AKU menanti-nanti panggilan
telefon daripada Syamil. Pesanan-pesanan
ringkas yang tersimpan di dalam telefon bimbit kubaca berulang kali. ‘Tetap
sama, tak pernah berubah’. Aku juga
teringat kepada salah satu ucapannya sewaktu kami chatting. ‘Menyepi
bukan bermakna perhubungan kita sudah tamat.
Abang tetap sayangkan Hani sampai bila-bila.’ Jika benar dia menyintai
aku seperti mana yang selalu diucapkannya sepanjang perhubungan kami, takkanlah
kerana sudah menyelesaikan hutang, pertalian cinta itu terus mereput? Di
manakah kesucian dan keikhlasannya?
Deringan telefon mengejutkan
aku dan Idham yang sedang menonton televisen pada malam itu. Jarum jam
menunjukkan waktu 9.35 malam.
“Helo...” Pantas aku bersuara sebaik sahaja gagang
telefon aku sambar.
“Hani! Mengapa masih nak
ganggu abang lagi?” Tersentak aku dengan
suara yang aku dengar. Norshakila, tanpa ucapan salam, dia terus menjerkah aku.
Aku benar-benar tergamam dan terkejut dengan kata-kata itu. Terlalu hinanya aku
dengan kata-kata itu. Adakah selama ini Syamil menganggap aku sebagai
pengganggu dalam hidupnya? Bibirku terketar-ketar.
“Dalam handphone
abang, banyak mesej dari Hani lagi! Kenapa Hani nak ganggu abang lagi!”
Perempuan itu terus menyerang aku dengan kata-katanya.
Wah! Mentang-mentanglah sudah
membayar hutang, fikirnya dia boleh berkata sembarangan denganku. Beberapa
ketika lidahku menjadi kelu. Aku tiba-tiba berasa takut yang amat sangat.
Seketul batu yang amat besar seolah akan menghempap kepalaku pada bila-bila
masa. Aku tidak takut kepada perempuan itu walaupun sebesar peniti. Namun,
ketakutan yang amat sangat ialah ancaman yang terlalu hampir denganku. Idham.
Apa jawapan yang harus aku
beri sedangkan di waktu itu Idham terlalu hampir denganku? Memberi jawapan yang
bagaimana pun, akan menjadi kesalahan yang amat besar kepada Idham dan dia akan
menghukum aku. Mungkin aku akan ditempeleng, tumbuk, cubit dan berbagai bentuk
kekasaran fizikal yang akan aku terima. Rasa takut itu terus menjalar-jalar dan
seolah memintal hati dan jantungku.
Degupan jantungku semakin kencang.
“Siapa tu Lidya?” Idham terus
bangun dari tempatnya berbaring apabila melihat aku masih mendengar suara di
gagang telefon dan tidak menjawab sesuatu pun.
“Tak tahu!” Aku berbohong.
Idham terus menghampiriku dan cuba merampas gagang telefon yang sedang aku
pegang. Aku menolak tangannya.
Pergelutan merebut gagang telefon itu berlaku hampir dua minit.
“Siapa? Siapa telefon yang
kamu beria-ia sangat menyembunyikan daripada aku?” Idham mula bersuara lantang
dan marah. Dia cuba menerpa ke arah
telefon yang terletak di atas almari
pinggan mangkuk. Sememangnya di dalam rumah kami, Idham telah menyediakan
telefon di beberapa bahagian rumah untuk kemudahan dan memudaratkan aku.
“Jangan ambil! Jangan ambil
telefon itu! Jangan!!!” Aku terjerit seperti orang hilang akal. Peliknya aku,
perempuan itu masih berada di talian walaupun mendengar aku dan Idham sedang
berkelahi kerana berebutkan gagang telefon.
“Helo...” Terdengar suara
Idham yang kuat sebaik sahaja gagang telefon telah melekap di telinganya.
“Abang! Jangan! Jangan cakap
dengan dia!” Aku cuba menegah Idham dengan laungan yang bersulam dengan
tangisan. Idham menolak aku sewaktu aku cuba merampas gagang telefon itu
daripadanya sehingga aku jatuh terduduk di atas lantai. Aku segera bangun dan
terfikir untuk merentap kabel induk yang berada di dinding. Perkara itu terus
aku lakukan dengan pantas. Talian telefon itu akhirnya dapat juga diputuskan.
Untuk seketika aku berjaya menghalang perempuan itu bercakap dengan Idham.
“Kamu sembunyikan apa? Apa?
Cakap!” Idham bertempik sambil menampar kepalaku.
Aku terus menangis
tersedu-sedu.
“Siapa yang telefon? Siapa?”
Idham terus menyoal dengan kemarahan yang berapi. Pehaku dicubitnya berulang
kali.
Aku terus meraung. “Shakila!”
Dalam esakan aku memberitahu perkara yang sebenar.
“Kamu telefon Syamil, Lidya!
Kamu telefon dia, ya? Aku dah beritahu jangan hubungi dia!” Idham menjerit
memarahi aku.
Aku menggeleng.
“Kalau kamu tidak berbuat
salah, buat apa bininya telefon ke sini!” Idham menekan telunjuknya ke dahiku.
“ Buat apa kamu cabut wayar telefon, kalau kamu tak buat salah! Kamu tak perlu
rasa takut kalau aku hendak bercakap dengannya!!!” Dia terus meleteri aku
dengan suara yang kuat. Ketakutanku semakin bergelora. Dadaku seolah akan
meletup waktu itu juga kerana debarannya semakin bergemuruh.
Dia membetulkan kabel telefon
dan sebaik sahaja soketnya disambungkan kembali, telefon berdering sekali
lagi. Dia terus menyambar gagang telefon
dan menghalang aku menghampirinya. Perempuan itu menelefon sekali lagi. Tidak
faham aku apa yang ada di dalam fikirannya. Sepatutnya dia telah tahu kekalutan
yang timbul antara aku dan Idham kerana panggilannya itu.
Mereka berbual hampir
setengah jam. Bermacam-macamlah yang diceritakan oleh perempuan itu kepada
suamiku. Bahkan dia juga mengakui akan datang menemui Idham, menunjukkan bukti
tentang segala pesanan ringkasku kepada Syamil serta rekod-rekod panggilan yang
telah aku buat kepada Syamil. Dia juga kononnya akan membuat laporan polis dan
akan mengheret aku ke mahkamah kerana telah menganggu Syamil. Itulah di antara
perbualan yang aku dengar. Alangkah malangnya nasibku. Segala pengorbananku
selama ini langsung tiada nilainya pada pandangan mereka. Setelah segala hutang diselesaikan, aku dimusuhi
seolah penjenayah. Oh, TUHAN.
Idham terus menerkam aku
sebaik sahaja gagang telefon diletakkan. “Lidya! Kamu ceritakan perkara yang
sebenarnya!” Lagi sekali penamparnya
singgah di belakangku.
Aku teresak-esak mengharapkan
Idham berasa simpati. Malam sudah larut
benar. Jarum jam menunjukkan waktu 12.45 malam. Aku sudah terlalu letih dengan
keadaan ini. Aku terlalu kecewa. Kecewa
dengan Syamil. Geram dan marah kepada Norshakila. Begitukah sikap dan cara
seorang yang telah mengakui untuk meramaikan saudara dan tidak suka bermusuh.
Inikah balasan yang aku terima di atas segala kebaikan yang telah aku hulurkan
untuk membantu keluarga itu sewaktu mereka
menghadapi kesusahan?
“Lidya! Kamu mengaku atau
tidak yang kamu ada hubungi Syamil lagi selepas hari itu!” Idham terus menyoal.
Dia memandang aku dengan rupa yang amat menakutkan. Matanya dijegilkannya ke arah aku.
“Jawab! Aku benar-benar malu
dengan sikap kamu! Kamu telah jatuhkan maruah aku!” suaranya dengan kuat.
Aku terdiam.
“Dia dah ada bukti! Dia kata
akan heret kamu ke mahkamah kerana ganggu suaminya! Aku benar-benar malu! Malu
dengan sikap kamu! Aku dah kata jangan berhubung dengan orang-orang seperti
ini! Kamu sudah salah tempat menabur budi!” Idham berleter dengan nada marah
dan kecewa serta sesal.
“Kamu ceritakan hal yang
sebenar! Biar abang betulkan situasi ini! Cerita!” Idham
menengking serta mencubit pehaku.
Dengan suara yang perlahan
dan disulam dengan esakan aku terpaksa menceritakan yang sebenarnya kepada
Idham. SMS yang ingin aku kirimkan kepada adik angkatku yang berada di
Terengganu tersasar ke telefon bimbit Syamil.
Idham bertambah marah apabila nama Ady aku sebutkan. Lagi sekali penampar hinggap di pehaku.
Tamparan itu terlalu kuat. Aku mengeleting di atas lantai.
“Waktu itu fikiran Lidya
benar-benar buntu! Bercelaru! Tapi Lidya
memang tidak berniat untuk hantar kepada Abang Syamil! Lidya tahu dia sudah
membenci Lidya! Dia marah!” Aku tersedu-sedu. Berlautan kesedihan yang berada
di hatiku pada waktu itu. Syamil melukakan hatiku, Norshakila menyula
perasaanku dan paling menyedihkan Idham juga turut menuangkan cuka di atas
kelukaan yang telah dilakukan oleh mereka. Alangkah sakit serta pedihnya aku
rasa.
“Hei Lidya! Oh! Rupanya kamu
kemaruk jantan! Kamu bagi aku nombor telefonnya!” Idham mencubit lengan serta
memulas cuping telingaku dengan kuat.
Aku mengetap bibir menahan
kesakitan. “Abang! To...tolong bang! Jangan hubungi dan marah dia! Dia tak tahu
apa-apa! Lidya benar-benar menganggapnya seperti seorang adik!” Aku merayu-rayu kepada Idham sambil menulis
nombor telefon Ady di atas secebis kertas.
Idham diam seketika sambil
meneliti nombor telefon Ady dan Syamil. “Sekarang kamu bagi aku nombor telefon
perempuan tadi!” Dia bersuara agak kuat. Perasaanku kembali tertekan. Aku takut
perempuan itu sekali lagi bercerita perkara yang bukan-bukan kepada Idham.
Akibatnya Idham akan membelasah aku sepuas hatinya sedangkan pada waktu itu
tubuh badanku merah-merah kerana telah dicubit dan di tampar berulang kali.
Kepalaku juga terasa sakit kerana sudah ditampar berkali.
“Mana nombor telefon Shakila?
Bagi! Bagi sini!!!” Dengan suara yang
kuat, Idham terus mendesak aku. Keenggananku menaikkan darahnya.
Situasi itu amat mencemaskan
aku. Aku benar-benar rasa tertekan dan
terancam lalu meluru ke kabinet di dapur
yang letaknya kira-kira semeter dari situ dengan fikiran yang benar-benar
buntu, takut, kecewa dan berbagai lagi. “Kalau abang telefon dia, Lidya tikam
diri Lidya!” Aku menjerit dalam tangisan sambil memandang ke arah Idham serta
menghalakan pisau ke arah pinggangku. Aku cuba mengugut Idham untuk
menakutkannya. Aku harap Idham akan menghentikan niatnya untuk menghubungi
perempuan itu.
“Hei!” Serentak dengan itu
Idham terus menerkam dan merampas pisau yang aku pegang. Tubuh badannya lebih
besar daripada aku. Sudah tentu tenaga yang dimilikinya tidak mampu aku lawan. Akhirnya pisau bertukar tangan.
“Kamu jangan berpura-pura
menjadi gila! Kamu bukan gila! Kamu orang yang bijak! Kamu bertemu psikiatri
kerana mental kamu didera oleh iblis laki bini itu! Isteri abang tak gila!”
Idham menudingkan jarinya ke dahiku.
“Bagi nombor telefon dia!
Kalau tidak abang pergi cari Syamil malam ini juga dan tamatkan riwayatnya!”
Dia terus memaksa aku, serentak dengan itu penamparnya hinggap di tengah
belakangku. Kemudiannya, dia pula tergesa ke dapur dan mencapai sebilah pisau
lagi. Kini tangan kiri dan kanan Idham sudah terhunus pisau.
“Kamu bagi Lidya! Mengapa
kamu takut sangat! Kamu sudah berbuat salah! Lidya kecewakan abang! Lidya
curang! Ya ALLAH! Mengapa aku harus
melalui episod hidup yang begini.” Idham
tiba-tiba merintih dengan hibanya. Aku lihat dia menyapu air mata yang jatuh di
pipinya. Perasaan hatiku rasa tersentuh.
~ ~bersambung~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan