PUAS dipaksa dan dipulas
telinga, dicubit dan ditampar, aku tetap berkeras sambil menangis bersungguh
hati. Aku harapkan dengan deraian air mata yang melimpah, Idham akan berasa
simpati. Rupa-rupanya harapanku hancur dan remuk. Idham, tetap dengan
kehendak-nya. Kuasanya sebagai seorang suami. Sungguh, aku berasa amat tertekan
sekali. Terlalu tertekan.
“Bagi sini nombor itu, jika
tidak malam ini, rumah ini akan dibanjiri dengan darah abang!” suara Idham
sudah semakin serak. Mungkin kerana dia telah bertempik dan memarahi aku hampir
dua jam. Ancaman Idham mencemaskan aku. Jariku mengeletar sewaktu menuliskan
nombor Norshakila dan menyerahkannya kepada Idham.
“Kamu duduk di situ dan
jangan pergi ke mana-mana!” Idham
menundingkan jari telunjuknya ke arah sofa yang berada tidak jauh daripada meja
telefon.
Idham terus menghubungi
Norshakila. Aku langsung tidak boleh mencelah perbualan mereka. Setiap kali aku cuba menghampiri Idham untuk
menghalangnya dari terus bercakap dengan perempuan itu, Idham menunjukkan
pisau-pisau yang dipegangnya kepadaku. Idham terus menceritakan perkara sebenar
yang telah terjadi dan meminta maaf bagi pihak diriku. Itulah yang aku dengar.
Perbualan mereka tamat selepas 30 minit berlalu.
“Lidya mulai hari ini kamu
mesti berjanji yang kamu tidak akan menghubungi mereka lagi. Jangan sebut
namanya di hadapan abang walaupun sekali. Kalau abang dapat tahu Lidya
berhubung dengan Syamil lagi, abang akan hancurkan mukanya!” Idham duduk di
lantai berhampiran denganku. Kedua bilah
pisau tadi masih di tangannya.
“Kamu masih nak ingati dia
ke?” Idham menyoal dengan nada keras.
Aku terdiam, tidak tahu untuk
menjawab apa. Dapatkah aku melupakan Syamil, lelaki yang telah mengisi seluruh
ruang hatiku?
“Jawab!” Idham bertempik
berulang-ulang sambil menampar-nampar tubuh badanku dengan kuat.
Aku masih membisu.
Idham terus meradang dan
mencapai cuping telingaku pula dan dipulasnya dengan kuat.
“Sampai
mati Lidya tidak boleh lupakan dia!” Bibirku terketar-ketar mengungkapkan ayat
itu sambil menahan tangisan. “Tak boleh bang! Tak boleh! Lidya lebih rela
mati!” Aku terus teresak-esak seperti
anak kecil. Di
hatiku tersendat pilu.
Kata-kataku itu tambah
menaikkan darah Idham.
“Kamu nak tengok abang mati
malam ini? Hah?” Idham menghempas-hempas kedua bilah pisau tadi ke dadanya.
“Tak nak bang! Tolonglah bang
jangan buat begitu!” Aku terus merayu. Jika benar Idham nekad untuk membenamkan
pisau menembusi dadanya sehingga membawa maut, apa yang aku ceritakan kepada
keluarganya? Bagaimana dengan aku? Tubuh badanku sudah berbirat-birat kerana di
pukulnya berkali. Segala rahsia yang aku
sembunyikan selama ini akan terbongkar.
“Perangai kamu ini akan buat
aku mati! Kamu bunuh aku dalam diam! Sekarang ni kamu masih nak ingat si Syamil
itu atau tidak?” Idham terus bertempik. Lagi sekali tangannya hinggap di
bahagian belakang leherku. Hanya TUHAN
sahaja yang tahu bagaimana perasaanku pada waktu itu. Kekecewaan, kesedihan,
kehampaan dan kesengsaraan seolah bersatu dan menyempitkan saluran
pernafasanku. Ada ketikanya aku terpaksa mengangakan mulut untuk bernafas.
“Nah! Kamu bersumpah dengan
al-Quran ini!” Idham mencapai sebuah al-Quran yang berada di rak buku
berhampiran dengan televisen. Al-Quran sama yang digunakannya sewaktu menyuruh
Syamil membuat janji bersumpah tempoh hari.
“Nak cakap apa?” Aku menyoal
bodoh dengan suara yang sengau kerana hidungku sudah sendat oleh hingus kerana
terlalu lama aku menangis. Lagi sekali telingaku dipulas oleh Idham
“Sekarang kamu ikut apa yang
aku cakap!” Idham bersuara garang.
Dengan suara yang tidak
berdaya, aku pun mengikut kata-kata yang diucapkan oleh Idham walaupun tidak
sepenuhnya. Aku sudah terlalu letih.
Letih fikiran, kecewa perasaan. Badanku
rasa sakit dan sengal-sengal. Mataku sudah pedih. Air mataku sudah kering. Tekakku pun sudah
terasa sakit.
“Degil! Keras kepala!”
Serentak dengan suara itu, aku terasa ada benda keras menghempap atas kepalaku.
Idham telah menghempuk kepalaku dengan al-Quran yang berkulit keras itu sekuat
hatinya. Tidak cukup dengan itu dia
menghempuk pipi kiri dan kananku juga dengan quran itu. Telingaku menjadi
bengang tiba-tiba. Darah mengalir perlahan dari lubang hidungku. Kegetiran itu
tidak dapat kugambarkan dengan kata-kata atau suara, betapa aku berada di dalam
rasa takut yang maha dalam.
Lembing-lembing tajam seolah
berceracak menghala kepadaku. Menanti detik untuk merobek-robek serta menyiat
sekujur tubuhku dengan amat kejamnya, lalu kelukaan-kelukaan yang parah akibat
diterjah dengan senjata itu, disiram dengan cuka yang amat bisanya. Sungguh aku
tidak tertahan menangggung pedihnya.
Idham benar-benar telah naik darah.
Kemarahannya tidak terkawal lagi apabila aku ditampar bertubi-tubi pula. Aku tidak mampu melawan walaupun sedikit.
Alangkah seksanya perasaanku pada waktu itu. Alangkah takutnya aku pada detik
itu. Bagaikan berada di pernafasan terakhir, tidak ada sesuatu pun yang dapat
aku lakukan. Hanya menanti dengan reda dan pasrah.
“Abang! Maafkan Lidya, bang!
Lidya tidak buat lagi! Sudahlah abang!
Kalau perpisahan dengan Abang Syamil boleh memberi kebahagiaan kepada abang,
tak apalah, Lidya ikut segala kata abang! Cuma Lidya rasa sedih, inikah
balasannya yang Lidya perolehi di atas segala budi yang Lidya hulurkan kepada
orang!” Aku merintih dan merayu kepada Idham, memohon simpati dan berharap dia
akan menghentikan segalanya. Pernafasanku bagaikan dilalui oleh udara beracun
yang akan menyentak-nyentak tangkai jantung, menghentikan aliran darah,
meleraikan gumpalan uratku dan mencabutnya satu per satu.
“Kalau abang mati kamu jaga
diri kamu Lidya! Berhati-hati dan jangan terpedaya lagi dengan orang-orang
seperti Syamil ini!” Keras suara Idham
masih belum berkurangan. Dia duduk di
atas kerusi rotannya sambil memicit-micit kepala. Dahinya dikerutkan berkali.
Tubuhnya yang tidak berbaju berpeluh-peluh.
Kesedihanku kerana diperlakukan
begitu oleh Idham dan kekecewaanku disebabkan oleh sikap Syamil serta
kelukaanku yang disebabkan oleh Norshakila, ditambahi pula oleh rasa bimbang
apabila melihat Idham di dalam keadaan itu. Dia benar-benar di dalam keadaan
tertekan, kesal dan kecewa.
“Keluarga itu tidak boleh
dibuat baik! Kalau abang tiada lagi, kamu ingat pesan ini Lidya! Jaga maruah
kamu, diri kamu, jangan diperlekehkan oleh orang lain!” Idham menasihati dengan
nada keras.
Pukul 3.45 pagi barulah aku
berpeluang merebahkan diri untuk tidur. Idham dengan perasaan marah yang belum
reda tetap menyambut tanganku sewaktu aku ingin bersalam dengannya sebelum
tidur. Malam itu aku tertidur dengan esakan yang masih belum reda. Nasib baik
aliran darah dari hidungku sudah berhenti. Namun, rasa bengang telingaku akibat
dihempuk kepalaku dengan al-Quran masih tetap sama. Belakang leherku juga terasa amat sakit.
DERINGAN
jam loceng mengejutkan aku. Kepalaku
rasa sakit. Terlalu sakit. Begitu juga dengan tubuh badanku. Berat rasanya
hatiku untuk membuka mata pada subuh itu. Berat juga rasa hatiku untuk pergi ke pejabat. Aku
benar-benar rasa tidak berdaya. Idham di sebelahku masih keras dengkurnya. Mendengar suara azan yang berkumandang dari
arah surau yang berhampiran, aku menggagahkan diri untuk bangun. Tekakku terasa mual dan loya sebaik sahaja
aku bangun berdiri. Mujur keadaan itu hanya seketika.
Alhamdulillah, selepas mandi
subuh itu, berwuduk dan solat subuh tubuhku rasa segar sedikit. Namun, telingaku tetap rasa bengang tambahan
apabila tubuh badanku bergerak agak pantas. “Assalamualaikum, bang! Bang!
Bangunlah bang! Abang bangunlah
sembahyang subuh! Bang!” Aku menepuk-nepuk pipi Idham berkali-kali. Rambutnya
kuusap perlahan. Sesekali aku mencium
dahinya. Walaupun semalam aku dikasari sebegitu rupa, namun aku memaafkan
segalanya tanpa dipinta.15 minit berlalu, Idham masih belum sedar. Dengkurannya tetap sama.
“Abang! Mengapa begini?
Tolonglah bang, bangunlah!” Perasaan
hatiku semakin cemas. Aku tidak putus asa untuk mengejutkan Idham. Mungkin dia
terlalu letih kerana peristiwa semalam.
‘Kenapa ni?’ Hatiku menyoal
sendiri. Ombak resak mulai bergelora
di jiwaku. Aku menuju ke dapur dan mengambil semangkuk air. Idham tidak juga
mencelikkan matanya walau kepala dan mukanya telah aku basahi dengan air. Aku membaca ayat Kursi dan meniupkan di telinga kanannya,
namun Idham tidak memberi tindak balas. Kegelisahanku semakin menebal.
“ Abang!!!”
Malangnya, suaraku itu seolah
tidak didengari oleh Idham. ‘Ya ALLAH,
terlalu banyak dugaan terhadap hamba-MU
ini. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi segalanya. Kini aku keseorangan di
rumah ini. Tolonglah aku, Ya ALLAH.’
Begitu bisik hatiku untuk mententeramkan fikiran. Fikiranku semakin
bergelodak apabila cecair merah mengalir semula dari lubang hidungku. Walau pun
lelehannya amat perlahan dan sedikit tetapi aku
benar-benar rasa takut dan cemas dan pada waktu yang sama, Idham masih
tidak bergerak.
“Abang! Bangunlah bang!
Janganlah begini!” Lagi sekali aku mengejutkan Idham. Dalam rasa takut dan
cemas itu gagang telefon terus aku capai. Idham tidak boleh dibiarkan dalam
keadaan begitu lebih lama lagi.
“Helo! Unit rawatan dan
kecemasan! Tolong hantar ambulan ke rumah di nombor…”
~ ~ bersambung ~ ~
Ikuti kisah Lidyahani selanjutnya. Dapatkan naskah novel ini di pasaran atau beli terus secara on line di http://mall.karangkraf.com/
Terima kasih kerana sudi menatap karya ini. Maaf jika ada kekurangan. Setiap yang baik itu datangnya daripada Allah,dan segala kesilapan adalah daripada penulis sendiri.
Wallahualam...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan