Hisham menyeka keringat di dahinya. Segala pertolongan yang diminta oleh adik iparnya sudah dilunasi. Tanggungjawabnya kepada manusia seboleh-bolehnya cuba dijaga sebaiknya. Sebagaimana dia menjaga tanggungjawabnya sebagai hamba ALLAH.
“Terima kasih, Sham. ALLAH sahaja
yang akan memberi ganjarannya nanti,” kata Kamal sebak. Hatinya berasa senang
kerana dapat kembali ke rumahnya sendiri. Duduk di rumah sendiri tentu lebih
selesa. Jika dia duduk di rumah emaknya dalam keadaan dirinya yang tidak
berupaya, emaknya pasti akan berusaha untuk menyusahkan isterinya.
“Hal kecil saja, Kamal,” jawab
Hisham sambil menyengih. Dia yang sedang membetulkan bantal pengalas kepala
adik iparnya itu. “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi
saudaranya, seperti mana ia kasihkan dirinya sendiri,” sambung Hisham lagi.
Kamal yang mendengar kata-kata
abang iparnya itu tidak terjawab. Keperibadian sahabatnya itu memang tidak
pernah berubah sejak dulu lagi. Isi percakapannya penuh hikmah dan selalu
bersandarkan hadis Rasulullah SAW.
“Kalau kau benarkan, aku dan emak
akan duduk di sini untuk sama-sama jaga kau sehingga kau pulih sedikit,”
beritahu Hisham.
Bagaikan terkena sentuhan sakti
di hati Kamal apabila mendengar kata-kata abang iparnya itu. “Aku memang dah
carikan seseorang untuk membantu kau, tapi di rumah ini tak ada orang lain
lagi. Pembantu tu pula seorang pemuda yang bekerja di hospital, tetapi sanggup
menjaga kau sebagai kerja sambilannya... mengikut kesesuaian waktu kerja
dialah.” Hisham berhenti berkata seketika. Wajah Kamal diamati.
“Bila difikir-fikirkan balik,
dari segi hukumnya tak boleh pulak! Kalau dia datang sewaktu Rin ada di rumah,
bimbang menjadi fitnah. Engkau faham-faham sajalah Kamal, mulut manusia ni,”
sambungnya lagi dengan panjang lebar.
“Sham...” bisik Kamal dengan hati
yang pedih.
Hisham menoleh Kamal yang sudah
dibaringkan di atas katil di biliknya. Kamal menghulurkan tangannya kepada
Hisham lalu disambut oleh abang iparnya itu. Tangan Hisham lalu digenggamnya
kuat-kuat.
“Terima kasih,” katanya lalu
tangan Hisham dicium lama-lama dengan
deraian air mata.
“Selagi terdaya, aku akan terus berada di sisi kau, Kamal!
Sekarang ini, kita mesti berusaha dan berikhtiar untuk memulihkan kau.
Insya-ALLAH... mungkin ada harapan dan peluang lagi untuk sembuh.” Hisham
memberi kata-kata semangat kepada adik iparnya.
“ALLAH menurunkan penyakit dan
DIA juga mengadakan penawarnya,” sambung Hisham lagi.
“Kau rehatlah Kamal, aku nak
jumpa budak-budak tadi!” ujar Hisham lagi sambil memaniskan wajahnya.
Kamal menganggukkan kepalanya
tanda faham.
“Ni, guna telefon ni dulu!
Telefon Rin,” kata Hisham lagi sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepada
Kamal.
“Telefon dan beritahu emak kau
jugak,” nasihat Hisham.
“Nak beritahu emak aku? Aku rasa
baik tak payahlah, Sham...” balas Kamal.
“Walau apa juga yang dia telah
lakukan terhadap kau, kepada Rin, dia tetap emak kau! Tak ada emak yang
lahirkan, tak adalah kita tengok dunia ni,” sambung Hisham lagi. Bukannya dia
tidak faham kemelut yang sedang melanda hati adik iparnya pada waktu itu. Namun sebagai kawan merangkap abang, dia kena
menasihati perkara yang sepatutnya.
“Ya, nanti aku telefon,” janji
Kamal. “Tapi tengoklah macam mana,” sambung Kamal lagi. Nasihat abang iparnya
akan disemat di hati.
“Aku keluar dulu...” kata Hisham
apabila mendengar suara memanggil namanya.
“Terima kasih, Sham! Bil-bil
semua nanti kau serahkan kepada aku, ya?” pesan Kamal.
“Ah, kau Kamal! Ini nampak!!”
Kata Hisham sambil menunjukkan penumbuknya untuk bergurau. Gurauannya itu
menyebabkan Kamal tergelak.
Tidak terungkap rasa kesyukurannya
kepada Yang Maha ESA. Dengan perhatian abang ipar, emak mertua serta isteri
yang dikasihinya, meskipun jiwa berasa sengsara dengan nasib diri yang sedang
melalui jambatan derita, jauh di sudut hatinya, Kamal merasakan kasih sayang
dan cinta TUHAN untuk dirinya tidak pernah ada sempadan. Subhanallah.
Sepeninggalan Hisham, Kamal cuba
menghubungi Sharina. Berkali-kali, tetapi telefon isterinya itu tidak dapat
dihubungi. Akhirnya, dia hanya menghantar pesanan ringkas.
Sayang, abang ada di rumah kita di
Kampung Manjoi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan