Isnin, 25 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 40)


Waktu terus berputaran. Membawa kenangan. Melakar sejarah. Mencipta kisah pahit atau manis. Dalam diam-diam hampir dua tahun cinta Zarif Afandi dan Nora terjalin semula. 
Malam itu, mereka bertemu untuk kesekian kalinya. Selepas menjamu selera di salah sebuah restoran di pusat bandar raya Ipoh, mereka ke Taman D.R. Seenivasagam untuk menghirup udara malam yang menyegarkan.
“Kita berehat dalam kereta saja, ya...” kata Zarif Afandi.
Nora mengangguk. “Abang...” panggil Nora manja.
Zarif Afandi menoleh sambil tersenyum.
“Bila kita nak bernikah?” soal Nora. Bukankah semua orang yang bercinta impikan ikatan keramat itu? Dia begitu kepingin sekali menjadi isteri lelaki itu yang sah.
“Abang tak cukup duitlah, Nora. Sabar dulu boleh tak?” jawab Zarif Afandi. Suaranya lembut memujuk.
“Sampai bila-bila pun duit tak pernah cukup! Atau abang cari alasan untuk larikan diri daripada Nora,” tukas  Nora sambil merenung Zarif Afandi.
“Kalau nak lari daripada Nora, takkan abang berada di hadapan ni?” ujar Zarif Afandi sambil tersengih.
“Sekarang ni simpanan abang ada berapa? Takkan tak ada simpanan dalam sepuluh atau dua puluh ribu?” soal Nora lagi. Bukankah Zarif Afandi seorang usahawan?
“Insya-ALLAH, nanti abang akan usahakan,” kata Zarif Afandi cuba berjanji sambil merenung ke anak mata Nora dan  tersenyum. “Kalau dah jodoh tak akan ke mana,” katanya lagi. Lembut dan berlagu-lagu pula intonasi suaranya.
“Hal itu Nora tahulah,” balas Nora manja. “Tapi bila? Nora tak mahu dosa kita berlarutan,” balas Nora terus mendesak. Setiap kali pertemuan mereka pasti akan berakhir dengan perkara yang sama. Dia karam di dalam belaian Zarif Afandi. Demi cintanya terhadap lelaki itu, Nora sanggup berserah seluruh rasa. Menyerah segala.
“Nora dah taubat ke?” seloroh Zarif Afandi. Matanya mengerling nakal. “Mana ada orang yang tak buat dosa. Hidup hanya sekali, kenalah merasai segala keseronokan yang ada. Kalau tak, rugi!” kata Zarif Afandi lagi sambil ketawa.
“Dah nak mati esok barulah bertaubat. Sekarang ni, kita tau dan buat dulu.” Zarif Afandi tersenyum megah. Bangga dengan perbuatannya. Dialah lelaki paling berani di atas muka bumi ini.  Lelaki paling bertuah dan beruntung. Ada isteri yang menjaga makan minum dan mencuci kain bajunya. Ada bekas kekasih yang terlalu mendambakan cintanya. Dahagakan belaiannya. 
“Abang ni pergunakan Nora untuk nafsu abang ke atau memang benar-benar cinta?” soal Nora tegas. Telinganya terasa sakit mendengar bunyi ketawa Zarif Afandi.
“Dua-dua,” jawab Zarif Afandi selamba sambil ketawa.
Nora memasamkan wajahnya apabila mendengar jawapan Zarif Afandi. Lantas jarinya pantas mengutil lengan Zarif Afandi tanda marah.
“Nora juga yang mahu. Nora kata Nora cinta kepada abang. Rela berbuat apa saja,” bisik Zarif Afandi. “Apa salahnya Nora beri abang keseronokan. Kebahagiaan. Nikmat hidup yang hanya sekali ini. Abang ni kekasih Nora juga. Dah lama sangat kita berpisah. Ada peluang bertemu semula ini, kita isikanlah waktu yang ada tu dengan perkara yang indah,” pujuk Zarif Afandi sambil tersenyum simpul.
“Nanti kalau abang dapat duit dalam tiga empat puluh ribu, kita bernikah! Takkan abang nak kahwin dengan Nora percuma,” katanya lagi. Zarif Afandi terus memberikan harapan dan keyakinan kepada Nora.
Nora tersenyum mendengar jawapan Zarif Afandi. Alangkah indahnya perasaannya saat itu.
“Dulu, abang beritahu Nora abang kontraktor besar. Takkan dalam masa dua tahun segalanya berubah,” balas Nora.
Zarif Afandi terdiam. Serta-merta fikirannya terlayang kepada adik iparnya, Kamal Hanafi. Tidak semena-mena pula darahnya jadi mendidih.
“Itu dulu, Nora. Sewaktu abang duduk di Johor. Bila abang balik ke Ipoh ni, abang susah sangat nak dapat projek yang bagus-bagus. Kalau dapat projek lima atau enam bulan sekali, abang nak makan apa? Nasib baik ada seorang kawan bagi cadangan supaya abang buka kedai perkhidmatan internet,” cerita Zarif Afandi panjang lebar. Terpaksalah dia meminjam dari syarikat kewangan haram, RM30 ribu sebagai modal. Dia mengeluh apabila teringatkan segala beban hutangnya.
“Nora bersabar ya! Kalau dah jodoh kita berdua tentu tidak ke mana,”pujuk Zarif Afandi.
“Abang, Nora boleh bersabar. Selama ini pun Nora bersabar dalam usaha mencari abang. 15 tahun bukanlah waktu yang singkat untuk mencari dan memburu secebis cinta yang tidak pasti milik siapa.. tapi..” Nora kehilangan kata-kata. Hatinya diasak rasa sebak.
“Abang jangan tinggalkan Nora lagi. Nora tak sanggup kehilangan abang sekali lagi,” sambung Nora dengan suara yang kian terhimpit.
“Tak... takkan abang nak tinggalkan, Nora. Nora percaya dan yakinlah yang kita akan sentiasa bersama sebab cinta abang pada Nora sentiasa membara,” bisik Zarif Afandi. Dia memang pandai menyusun kata-kata. Sementara untuk mendapatkan Sharina apa salahnya menggunakan Nora yang sedang menagih cintanya untuk keseronokan.
“Jom, kita pergi berehat di tempat selalu,” ajak Zarif Afandi.

Nora mengangguk manja.

                                                                  ~~ bersambung~~ 

Tiada ulasan: