Isnin, 25 November 2013

Redha TakdirMu(Bab 49-sambungan)




“IBU!!! Nak kencing!” suara Farhan yang merengek-rengek mengejutkan Yanti yang sedang asyik menghayati kisah hidup sahabatnya itu. 
“Masuk bilik airlah, sayang! Ibu sedang buat kerja ni!”  Sambil membaca dan menaip, mata Yanti menjeling Farhan yang sudah berada disisinya. Kanak-kanak lelaki itu terpisat-pisat menggosok-gosok matanya.
“Takut hantu! Macam yang dekat TV tadi! Jomlah ibu.”  Farhan, menghentakkan kakinya berkali-kali. 
Yanti ketawa kecil melihat telatah anaknya itu. “Astaghfirullahalazim! Mana ada hantu! Pergi masuk bilik air! Nanti terkencing di sini, Farhan cuci nak?” Dia masih tidak mempedulikan kehendak anaknya itu. “Bilik Farhan di mana?”  Dia menyoal, sambil menjeling Farhan.
Farhan menudingkan jarinya.
“Jauhkan dari bilik ibu? Mengapa Farhan datang ke bilik ibu, tak ada rasa takut, dalam bilik air takut!” Yanti mula berleter dengan nada perlahan.  Lama kelamaan dia pun tidak sampai hati melihat Farhan menyepit-nyepit peha menahan kencing.
“Jomlah! Ibu temankan! Tak malu! Anak lelaki penakut pulak!” Yanti menarik tangan Farhan dan mengheret anak itu ke bilik air. Dia rasa terganggu. Benar-benar terganggu.  Mujurlah suamiku tidak berperangai seperti Syamil.  Begitulah desis hati Yanti. Ramai manusia yang bernama Syamil di kelilingnya. Bapa saudaranya yang sebelah ibu, dipanggil Pak Uteh, juga bernama Syamil. Anak kakaknya yang sulung juga bernama Syamil. Syamil Ashraf.  Dan yang melucukannya, nama suaminya juga dirangkaikan dengan nama Syamil. Adib Syamil. Namun, Syamil-Syamil itu tidaklah berkelakuan seperti Syamil, kekasih hati Lidya.  Penipu. Mempermainkan perasaan wanita. Suka berhutang. 
“Ibu! Dah sudah! Farhan dah basuh sendiri!!!” Jejari Farhan yang dibasahi air menyentuhi lengan Yanti yang sedang mengelamun. 
“Pergi masuk bilik Farhan!” Yanti memujuk.
Tidak sempat menjawab, anak itu sudah berlari meninggalkan Yanti seorang diri.

YANTI menggerak-gerakkan tetikus. Lagi sekali matanya menumpu ke arah monitor dan buku catatan Lidya yang berada di sisinya. Di atas meja sebelah kiri. Bola matanya kembali menari di atas permukaan buku itu.

“Yasinnn...” Setiap saat yang terluang aku membaca surah yasin di tempat menunggu, di luar bilik unit rawatan rapi di hospital besar di daerah itu. Sudah lima hari aku berkampung di sana. Tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lain atau anak-anak Idham. Aku bersengkang mata pada setiap hari dengan penuh setia. Aku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabku terhadap Idham. Mujurlah ada keluarga pesakit yang lain sama-sama menunggu di situ. Merekalah yang menjadi keluargaku buat sementara. Kami, mengalami nasib yang sama.
 Setiap saat, hati dan harapan seolah berada di atas hujung lembing yang meruncing. Apakah nasib saat yang berikutnya?  Tambahan, apabila melihat pintu bilik ICU itu terkuak dari arah dalam. Sama ada jururawat keluar memanggil waris yang menunggu atau melihat pesakit dibawa keluar di atas stretcher untuk dipindahkan ke wad lain atau lebih malang, melihat di atas stretcher pesakit sudah tidak bernyawa lagi.
“Lidya...” Kak Yah yang sedang duduk di atas kerusi di hadapanku memanggilku dengan nada berbisik.  Aku sedang tersandar di dinding kerana membaca surah yasin sejak selepas asar tadi.  Kak Yah pun sedang menunggu anaknya yang telah berada di ICU lebih sebulan.  Sehingga ke saat itu, anak Kak Yah masih berada di dalam keadaan koma.
“Lidya, ada saudara mencari, agaknya.” Kak Yah bersuara perlahan. Matanya mengisyaratkan ke arah seorang lelaki yang berada tidak jauh dari situ. Mataku pun memandang ke arah lelaki yang dikatakan oleh wanita separuh abad itu.  Puas aku amati, ingat-ingat lupa di manakah aku pernah bertemu dengan lelaki itu. Aku hanya dapat melihat dari arah sisi sahaja. Lelaki yang dikatakan oleh Kak Yah itu, berbual pula dengan seorang kawannya penuh kosentrasi dan tidak memandang kepadaku.   
Aku meneruskan bacaanku. Surah yasin masih berada di tangan sejak dari tadi. Tidak lama selepas aku melihat dengan ekor mataku lelaki itu meninggalkan tempat itu dengan kawannya tadi, tergesa-gesa.
Kak Yah menghampiri dan duduk di lantai di hujung lututku. Sesekali dia menarik nafas panjang. Di sebalik ketenangan wajahnya, aku mengerti Kak Yah berada di dalam keadaan yang amat bimbang. Bimbang tentang anak yang sedang dirawat di dalam kamar ICU itu. Selesai membaca surah itu aku berdoa kepada ILAHI. Semoga ALLAH memberi kesembuhan kepada Idham yang sudah lima hari tidak sedarkan diri kerana stroke.
“Lidya, lelaki yang tadi tu agaknya saudara Lidya atau suami. Dah dua tiga hari dia datang ke sini. Dia melawat adik lelakinya di HDU. Kemalangan jalan raya katanya. Semalam, sewaktu Lidya nak pergi sembahyang asar ke surau, dia dah ada di sini. Duduk di kerusi tu! Dia ada tanya dengan Kak Yah, apa perhubungan kita. Kak Yah ceritakan yang Lidya sedang menunggu suami di ICU. Kita baru berkenalan di sini.” Kak Yah bercerita dengan wajah yang tersenyum dan lembut. “ Nama sebenar Lidya, Lidyahani kan?” 
“Hmm...” Aku menjawab ringkas. 
Kak Yah tersenyum seolah berpuas hati. Dia mengambil tas tangannya di dalam raga yang mengisi pakaian.
“Betullah kata lelaki tu! Lidya, Kak Yah nak pergi kantin.  Dari pagi tadi tak makan apa-apa, tak lalu makan! Tadi sebentar tadi waktu melawat pukul 4.30 petang tadi, jururawat ada beritahu, hari ini Noni stabil sikit walaupun masih belum sedar!” Kak Yah bersuara sedih. Ada air yang terkumpul di penjuru matanya. 
Seketika kemudian, Kak Yah beredar dari situ.  Sepeninggalannya, aku berlunjur meluruskan kakiku sambil menyandarkan kepala ke dinding cuba memejamkan mata.  Tubuhku terlalu penat. Makan, minum dan tidurku tidak menentu semenjak aku menjadi penghuni di ruang menunggu di situ. Lelaki yang dikatakan oleh Kak Yah menjadi tanda tanya di fikiranku.
“Waris pesakit Idham!” Terdengar suara jururawat melaung dari arah pintu bilik ICU. Di muka pintu yang terkuak itu, seorang jururawat memerhatikan aku yang berjalan ke arahnya.  Jururawat berbisik-bisik kepadaku. Dadaku berdegup kencang dan jantungku seolah akan tercabut dari tempatnya. 
“Sekejap, nurse. Saya nak ambil surah yassin,”  suaraku tersendat pilu sambil melangkah dengan longlai ke tempat persinggahan sementara di ruang legar menunggu pesakit itu. Di sana ,terlonggok beg-beg kain orang-orang yang menunggu di situ termasuklah aku.
“Idham, kritikal” Hanya itu yang sempat aku suarakan kepada teman-teman yang berada di situ. 
“Bersabarlah, Lidya.”
“Kami doakan.”

Begitulah kata-kata yang keluar dari bibir mereka dengan nada bimbang. Aku tidak sempat membalas apa-apa yang dikatakan oleh mereka kerana fokusku hanyalah kepada Idham di dalam bilik itu yang berada di antara dua dunia. Dengan langkah yang lemah dan perasaan hati yang cemas, aku masuk ke bilik itu diiringi jururawat yang memanggilku tadi.


                                                                               ~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan: