Selamat pagi, sayang!
Sarapan abang Rin dah sediakan atas meja di dapur! Nanti abang makan tau!
Tengah hari nanti kita makan sama-sama. Hari ini hari Sabtu, Rin balik awal!
Kamal tersenyum membaca nota
kecil di atas almari solek. Pagi ini, Sharina pergi kerja tanpa mengejutkannya.
Maklumlah, semalaman dia merajuk dan naik angin tak tentu pasal. Entah-entah
angin senggugut menyerang. Pagi ini, celik sahaja dari tidur Sharina sudah
tidak ada di sisinya. Kamal tersenyum lagi.
Sulit juga untuk memahami emosi
wanita ini. Setiap saat bertukar. Setiap detik berbeza. Semua wanita atau
perempuan begitu ke? Atau hanya isterinya? Hampir lima tahun mereka hidup bersama.
Daripada seorang gadis remaja yang manja dan keanak-anakkan sehinggalah
isterinya itu sudah semakin dewasa dan matang.
Selepas terpaksa menjaga dia yang
separuh lumpuh kesan kemalangan, tempoh kematangan isterinya begitu ketara. Pelbagai dugaan dan kesulitan yang
harus dilaluinya. Kesabarannya tak pernah
tercalar. Meski Kamal tahu emaknya selalu menyakitkan hati isterinya
itu, namun Sharina tetap setia menjaganya.
Getaran telefon bimbit di pahanya
mengejutkan lamunan Kamal.
“Helo, bang! Nanti abang sarapan
tau! Rin dah siapkan semuanya atas meja. Maaf, Rin tak kejutkan abang sebelum
pergi kerja tadi. Abang tidur lena sangat. Tapi Rin rasa ganjil, sebab sebelum
pergi kerja tadi tak dakap dan cium tangan abang,” kata Sharina. Bagaikan
bertih goreng, isterinya langsung tidak memberinya peluang bercakap.
“Okey,” jawab Kamal ringkas.
“Muah!” Sharina mengucup telefon
bimbitnya dalam-dalam sebagai ganti ciuman pagi tadi.
“Pak Cik Zaki ada datang ke rumah
tak pagi ni?” soal Sharina dengan nada ceria. Sengaja dia menceriakan suaranya untuk menghiburkan hati
Kamal.
“Ada,” jawab Kamal sepatah sambil
mengeliat. Beberapa jam asyik duduk di atas kerusi roda, badannya pun terasa
lenguh.
“Dia dah balik ke?” tanya Sharina
lagi.
“Dah,” jawab Kamal sepatah.
Memang Pak Cik Zaki datang sekejap sahaja tadi. Selepas membantunya untuk ke
bilik air, lelaki itu balik ke rumahnya. Namun kerap kali jirannya itu akan
datang. Salinan kunci rumah memang dia ada satu set. Jadi, mudahlah dia datang
untuk menjenguk Kamal sewaktu Sharina tiada di rumah.
“Abang hari ni okey tak?” soal
Sharina lagi apabila mendengar suara suaminya yang tidak bermaya. “Abang tengah
buat apa tu?” tanya Sharina terus. Sengaja dia bertanya banyak-banyak kerana
mahu suaminya bercakap lama-lama dengannya. Kebelakangan ini, Kamal sudah
menjadi pendiam dan pemurung. Hal itulah yang membimbangkannya.
“Abang bosan duduk kat rumah,
Rin” jawab Kamal lemah. Hanya ALLAH yang tahu betapa deritanya hati yang
dibelenggu kebosanan. Belum lagi dicampur dengan rasa sunyi yang menjadi teman
setianya pada setiap saat isterinya tiada di sisi.
“Abang sabarlah ya? Abang
dengarlah radio. Tengok TV ke,” pujuk Sharina lembut. Hatinya dijenguk sayu.
Dia faham dengan situasi Kamal itu. Bukankah dulu dia pernah melalui saat-saat
bosan dan sunyi seperti itu? Kamal keluar bekerja, sedangkan dia tinggal di
rumah seorang diri.
“Abang nak baca bukulah, Rin.
Telinga abang dah tak larat nak dengar radio. Dah jemu...” balas Kamal.
“Abang, Rin dah nak buat kerja
ni. Kita berhenti di sini ya. Okay, bye... Take care. I love you,” kata
Sharina lagi. Terdengar di telinga Kamal, bunyi kucupan di telefon berkali-kali.
Seketika kemudian kedengaran
bunyi dengungan di telefon bimbit. Kamal tersenyum lagi. Telatah Sharina yang
kadangkala kebudak-budakan menyebabkan hatinya semakin sayang dan selalu
kerinduan.
Baru dia hendak menolak kerusi
roda menuju ke rak buku, telefon bimbitnya berdering lagi. Bonda. Cepat-cepat
Kamal menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum, mak,” sapa
Kamal. Sebelah tangan lagi dia menggerakkan kerusi roda menghampiri pintu.
“Waalaikumussalam,” jawab Mak Cik Mariah lirih.
“Mak sihat? Lama tak datang sini.
Telefon pun tak...” kata Kamal. Keluhan kuat emaknya menerjah ke telinga. Kamal
memasang telinga ingin mendengar kata-kata emaknya selepas itu.
“Mak sedang runsing, Kamal. Dah
banyak malam mak tak dapat tidur,” adu Mak Cik Mariah.
“Hal apa yang merunsingkan mak?
Lainlah saya ni! Duduk seorang diri kat rumah ni dalam keadaan begini, rasa tak
sabar lagi,” balas Kamal.
“Kau yang suruh Rin kerja, kan?
Apa salahnya dia duduk di rumah jaga kau yang tak begitu sihat! Mesti ada udang
di sebalik batu. Bukannya boleh dipercaya sangat bini kamu tu.” Mak Cik Mariah
tidak pernah melepaskan peluang untuk mengutuk menantunya itu.
“Emak ni tak habis-habis nak
marahkan Rin, kenapa mak?” soal Kamal hairan.
“Apa perkara yang buat emak
runsing? Kalau nak kata tak ada duit, baru minggu lepas saya dah suruh Rin
masukkan duit dalam akaun emak,” kata Kamal lagi.
“Sebenarnya begini, Kamal.”
Mak Cik Mariah mula bermain
kata-kata. Kamal menunggu lagi. Sekali lagi dia mendengar emaknya mengeluh.
Bagaikan ada masalah yang sangat besar.
“Ceritalah, mak,” desak Kamal.
“Rin ada di rumah ke? Atau dah
pergi kerja?”
“Rin tak ada, mak. Dah pergi
kerja,” jawab Kamal lirih.
“Sebenarnya begini, Kamal…”
Sekali lagi kata-kata Mak Cik Mariah terputus.
Kamal mula menggaru kepalanya
yang tidak gatal kerana rimas dengan sikap emaknya.
“Rita ada telefon emak tiga,
empat hari lepas,” sambung Mak Cik Mariah dengan suara bergetar.
“Rita?” soal Kamal kembali. Sudah
lama nama itu tidak disebut oleh emaknya. Tiba-tiba hari ini nama itu muncul
pula.
“Kenapa dengan Rita, emak?” tanya
Kamal acuh tak acuh. Tidak tahu kenapa hatinya jadi runsing jika mendengar nama
itu. Sebentar lagi pasti emaknya mengungkit kisah lama.
“Dia dah jadi janda...” beritahu
Mak Cik Rokiah deras. “Kasihan dia. Anak pun kecil-kecil lagi,” sambung Mak Cik
Rokiah dengan suara sayu menagih simpati Kamal.
Kamal diam. Dia tidak terkejut
kalau Rita diceraikan suaminya pun! “Dah nasib dia, mak. Nak buat macam
mana...” balas Kamal dengan suara yang tenggelam timbul. “Mesti ada sebab
suaminya ceraikan dia,” sambung Kamal pula.
“Kamal, Rita bukannya kena cerai!
Lakinya mati kena tembak. Sewaktu berbalas tembakan dengan perompak,” jelas Mak
Cik Mariah bersungguh.
“Ya, mak? Bila? Suami dia polis,
kan?” soal Kamal.
“Dah berbulan. Mak terlupa nak
bagitau kamu. Beberapa hari lepas, Rita ada datang ke rumah ni! Dia tanyakan
tentang kamu,” jawab Mak Cik Mariah. Sekarang ini, dia sedang memerah otak
bagaimana hendak menyatukan Rita dan Kamal. Kalau Kamal itu sihat walafiat,
mungkin kerjanya jadi mudah. Tapi, sekarang ini anaknya separuh lumpuh. Jika
dinikahkan dengan Rita pun, tak patut sangat. Pasti Rita rasa dizalimi.
“Ohh…” jawab Kamal ringkas. Kalau
tentang Rita, dia tidak mahu mengulas panjang. Bimbang emaknya salah sangka dan
menganggap hatinya sudah boleh menerima wanita itu.
“Nanti emak bawa dia datang ke
rumah kamu,” beritahu Mak Cik Mariah.
Kamal tersentak. Nampak gayanya
agenda emak hendak merapatkannya dengan Rita bermula sekali lagi.
“Tak usah bawa dia datang ke
sini, mak!” halang Kamal. Sharina pasti rasa tidak selesa menerima kehadiran
Rita di rumah mereka.
“Kenapa? Kamu takut Rin marah ke?
Kamal, emak tak kira. Emak nak bawa juga Rita ke rumah kamu! Dia nak melawat
dan menziarahi kamu. Nasib baik kamu dalam keadaan begitu. Jika tidak...”
Kata-kata yang terungkap oleh
bibir Mak Cik Mariah tersangkut di situ sahaja.
“Datang ke rumah ini dengan niat
yang baik, saya tak jadi masalah. Rin pun begitu juga... tapi emak jangan ada
niat lain pulak...” balas Kamal.
“Huh!” rengus Mak Cik Mariah
lantas menekan butang merah di telefonnya. Kamal seperti dapat membaca
fikirannya saat itu. Benar! Cita-citanya hendak bermenantukan Rita belum pernah
terhakis!
~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan