Kebelakangan ini banyak perkara malang yang menimpa dirinya. Tidak
cukup dengan kedainya diterjah oleh anggota polis semalam, pagi tadi, selepas
balik dari balai polis, dia diterjah oleh pemilik premis yang datang menuntut
hutang yang tertunggak.
Ramulinggam datang bersama tiga
orang lelaki bertubuh besar. Kecut hati Zarif Afandi menerima kedatangan tetamu
yang tidak diundang itu.
“Macam mana ni, Encik Zarif
Afandi? Sudah berapa bulan awak tak bayar sewa?”
“Nanti saya bayarlah Mr. Ramu!
Saya cuba selesaikan minggu depan.” Zarif Afandi menabur janji.
“Minggu depan? Hei, sudah berapa
kali awak berjanji macam tu?! Tapi sampai hari ni awak tak bayar! Dah 4500
ringgit!” balas Ramulinggam dengan nada marah.
“Beginilah, Encik Zarif. Saya
mahu awak keluar dari kedai ni hari ni juga! Saya dah sewakan kepada orang
lain! Pindahkan semua barang awak sebelum saya panggil orang-orang ni humban
barang-barang dalam kedai ni keluar sana!” ujar Ramulinggam lagi sambil menudingkan
jari telunjuknya ke arah luar.
“Janganlah begitu Mr. Ramu!
Tolonglah...” rayu Zarif Afandi. Gelap gelita hatinya saat itu. Bukannya dia
tidak ada duit langsung. Saki-baki keuntungan perniagaannya sewaktu di Johor dulu masih ada sisanya.
Namun memandangkan sudah berbelas bulan dia tidak mendapat projek, tabungan itu
digunakan untuk menyara keluarga dan hal-hal lain.
“Sudah banyak peluang yang saya
berikan, tapi nampaknya awak ni tak boleh dipercayai!” Sinis kata-kata
Ramulinggam menghiris hati Zarif Afandi. Telinganya berdesing, kulit mukanya
terasa tebal.
“Awak ni orang Islam Zarif
Afandi,” kata Ramulinggam cuba mengingatkan lelaki yang sedang tercegat di
hadapannya.
Muka Zarif Afandi semakin pudar.
Benar dia orang Islam namun perilakunya sepanjang kehidupan bertepatankah
dengan agama suci yang dianuti? Anuti atau warisi? Zarif Afandi menyoal hatinya
sendiri.
“Sehingga pagi esok, pastikan
awak dah keluar dari kedai ni! Dan tunggakan tu, selesaikan...” tegas
Ramulinggam.
Kata-kata terakhir yang terlontar
daripada bibir Ramulinggam itu terus menghumban Zarif Afandi ke lautan gelisah.
Fikirannya semakin berserabut.
Sepanjang
petang tadi cuaca mendung. Sehingga malam tidak juga hujan turun. Hembusan
angin menyejukkan kalbu. Namun hati Sharina tidak begitu damai.
‘Kalau Abang Kamal tahu, mesti
dia marah,’ desis hatinya. “Rin, abang tak tahu hendak meminta bantuan daripada
siapa lagi. Hanya pada Rin yang abang harapkan. Hendak meminta daripada kak
ngah, dia tu nama aje isteri abang. Tapi tak pernah ingin berkongsi kesusahan
abang...”
Berulang kali suara Zarif Afandi
terngiang-ngiang di telinga sehingga dia gagal melelapkan matanya.
Keesokkan pagi, dia bangun dengan perasaan yang tidak selesa
dan sakit kepala kerana tidak cukup tidur. Mujurlah hari itu hari Sabtu minggu
pertama dalam bulan itu, hari cuti.
“Mata bengkak, wajah sembab.
Semalam Rin tak tidur ke?” soal Kamal tiba-tiba. “Semalaman abang tengok Rin
gelisah,” sambung Kamal lagi.
Sharina diam tidak menjawab.
Mindanya terus memikir. Mungkin dia boleh meminta bantuan daripada Kamal untuk
menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Itu yang sedang dibisikkan oleh
hati kecilnya. Mata Sharina memerhatikan Kamal yang sedang terbaring di atas
katil.
“Rin ada masalah di tempat kerja
ke?” Pandangannya terhala ke wajah isterinya yang nampak tegang.
“Rasa stres? Penat?” soal Kamal
bertalu-talu.
“Tak ada apalah, bang! Mungkin
penat sikit. Maklumlah, hujung bulan ni,” dalih Sharina. Janganlah Kamal
menyuruh dia berhenti kerja pula. Kalau dia berhenti kerja bagaimana dengan
hutang-hutangnya di bank?
“Agaknya abang buat Rin stress..”
tebak Kamal menduga. Sharina mula rasa tertekan dengan asakan soalan demi
soalan. Sudahlah saat itu dia sedang runsingkan birasnya.
“Taklah bang! Mana ada Rin stres.
Rin Okey aja. Alhamdulillah. Semua cabaran yang datang, insya-ALLAH Rin cuba
hadapi dengan tenang. Rin pergi siapkan sarapan dulu,” katanya cuba mengelak
daripada disoal berterusan.
“Rin,” panggil Kamal. Sharina
menoleh.
“Tak usah masak beria. Bakar roti
aje! Lepas tu, Rin rehat,” arah Kamal.
“Okey...” Sharina menyengih di
muka pintu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan