Selepas solat zuhur, Kamal berehat di katil sambil membaca
akhbar. Sharina pula membaca novel sambil duduk bersandar di sofa yang berada
di kamar tidur mereka. Walau matanya terpaku kepada perkataan-perkataan yang
tercetak pada dada buku itu, namun fikirannya melayang entah ke mana.
“Abang...” panggil Sharina dengan suara lunak
sambil menghampiri Kamal. Novel diletakkan di atas meja tulis yang berdekatan.
Lengan Kamal diusap-usap perlahan. Bibirnya bergetar ingin menyatakan sesuatu.
Namun, dia bimbang api kemarahan Kamal akan memercik.
“Bang... err... Rin nak...”
Tergagap-gagap Sharina untuk menyuarakan permintaannya. Dia beralih kedudukan
di atas katil. Betis Kamal pula menjadi
sasarannya. Dia mengurut-urut kaki
Kamal. Memang itulah tugasnya setiap hari cuti.
Dia tidak pernah berasa jemu.
“Rin nak apa? Tak nampak keadaan
abang macam mana? Lumpuh tau tak? Tak berdaya, tak boleh berjalan!” bisik Kamal perlahan. Setelah itu, dia menunduk
seketika. Sayu hatinya. Sudah lama dia berada di dalam keadaan begitu,sejak kemalangan
ngeri menimpa mereka.
Sharina terketar seketika. Dia
tidak menyalahkan Kamal yang bersangka buruk terhadapnya. Dia mengerti. Lautan
hati Kamal yang selalu resah dan berasa dirinya tidak berguna lagi. Sebagai
suami yang separuh lumpuh, Kamal selalu berada di dalam keadaan tertekan.
“Kenapal abang ni? Abang ingat
Rin nak apa?” soal Sharina. Bukan sehari dua dia bermujahadah. Dia menyayangi
suaminya itu dengan hati yang tulus suci. Bukan kerana nafsu atau harta benda
dan wang ringgit yang dimilikinya. Suatu ketika dahulu Kamal pernah melayaninya
dengan baik sekali. Pada ketika itu perasaan sayang dan cintanya terhadap Kamal
telah terukir di hati. Kini dengan cintanya itu, dia sanggup menerima Kamal
seadanya.
Sharina yakin dan percaya segala
mimpi indah yang pernah dijalinkannya bersama suami tersayang akan dapat
direbutnya kembali, digumpal-gumpal dan digenggam apabila Kamal sembuh semula.
“Rin nak bawa abang pergi
berurutlah! Kawan Rin ada ceritakan seorang tukang urut yang selalu mengurut
pesakit macam abang ni. Alhamdulillah, boleh pulih! Abang, kita pergi nak tak?”
pujuk Sharina dengan penuh kelembutan.
Liza, salah seorang temannya yang
bertugas di bank tempatnya bekerja ada memberitahu tentang perkara itu dua hari
yang lalu. Sharina belum sempat memberitahu hal tersebut kepada Kamal. Mujurlah
ketika dijerkah Kamal, perkara berkenaan tiba-tiba datang di ingatannya.
“Urut? Bila kita nak pergi?” soal Kamal.
Sharina tersenyum girang.
“Kalau abang dah setuju, hari
Ahad ni kita boleh pergi,” jawab Sharina sambil memeluk tubuh Kamal yang sedang
terbaring.
“Moga-moga abang dapat pulih
kembali.” Itulah yang diucapkan kepada Kamal dengan suara yang amat perlahan.
Kamal hanya mendiamkan diri.
Sharina telah banyak berkorban untuknya.
“Abang kan masih ada rawatan
susulan di hospital. Di orthopedik dan fisioterapi tu?” soal Kamal pula.
Rawatan demi rawatan yang dilalui, Kamal bersyukur kini kesihatannya semakin
menunjukkan impak positif. Dari terbaring sahaja di atas katil dan mengharapkan
orang menguruskan berak kencing dan mandi-mandanya, ini dia sudah boleh duduk
di kerusi roda dan bergerak ke sana sini. Namun sebagai hamba ALLAH, ALLAH
masih mahu terus mengujinya. Menduga kesabaran dan keimanannya.
“Yalah, Rin faham, bang. Tapi apa
salahnya kalau kita berikhtiar di tempat lain pula. Mana tahu dengan izin ALLAH
abang cepat sembuh,” pujuk Sharina. “Doktor pun dah beritahu, saraf tunjang
abang tak ada masalah...” Bicara Sharina terhenti di situ sahaja. Dia bimbang
jika Kamal akan menyangka yang dia sudah bosan menjaganya.
“Saraf tunjang?” soal Kamal. Dia
cuba mengingatkan sesuatu. Selepas kemalangan kelmarin, dia langsung tidak
boleh duduk. Asyik terbaring sahaja beberapa lama.
“Ya saraf tunjang abang kan tak
ada masalah lagi selepas pembedahan tu. Sebelum ni kan abang nak duduk pun tak
boleh,” beritahu Sharina cuba mengingatkan Kamal.
“Sebab tulah Rin ajak abang pergi
berurut! Mana tahu diizinkan ALLAH, abang boleh sembuh atau pulih kembali. DIA
yang mendatangkan penyakit, DIA juga yang mengadakan penawarnya. Kita ikhtiar
ya,” pujuk Sharina lagi.
“Bayarannya?” soal Kamal acuh
tidak acuh. Matanya menjalar ke siling melihat dua ekor cicak yang sedang
berkejaran. Hatinya bagai tersiat. Penderitaan batinnya dan batin isterinya
mungkin tiada kesudahan. Kamal merenggangkan pelukan Sharina.
“Abang panas,” beritahunya sambil
menolak tubuh Sharina dan memberi isyarat supaya berbaring di sisinya
“Belum tau lagi, bang. Bila kita
pergi nanti barulah kita tanyakan,” ujar Sharina sambil membetulkan rambutnya.
Rambutnya yang berombak separas belakang itu dipintal-pintal dan diikat kemas.
“Cara rawatannya macam mana?
Kalau ada kes menurun-nurun, minta tolong jin, abang tak nak pergi. Biar abang
begini sampai akhir hayat,” terang Kamal. Dia tidak mahu terlibat dengan perkara
maksiat dan menggadaikan keimanannya kepada ALLAH. Mensyirikkan ALLAH. Tak akan
ada pengampunan daripada-NYA.
“Astaghfirullahalazim! Alah,
abang ni! Rin kan nak bawa abang pergi jumpa tukang urut. Bukannya Rin nak bawa abang pergi jumpa
bomoh! Dulu-dulu kan abang dah beritahu, ALLAH tak akan terima segala amal
ibadat hamba-NYA selama 40 hari, kalau
hamba-NYA itu pergi mengadu hal dan meminta bantuan bomoh,” jelas Sharina. Dia
merenung Kamal.
“Hmm... kalau masih ingat dan
faham, tak apa,” balas Kamal sambil melontarkan pandangannya ke tangan Sharina
yang masih mengurut-urut betisnya.
“Bolehlah kita pergi,” sambung
Kamal lagi.
Sharina tersenyum lebar mendengar
persetujuan suaminya itu. Namun fikirannya jauh melayang entah ke mana.
“Rin fikirkan apa lagi? Dari tadi
lagi abang perasan dahi Rin asyik berkerut, kenapa?” soal Kamal.
Sharina menggosok-gosokkan
dahinya. “Tak fikir apa-apa, bang! Rin sakit kepala sikit,” jawab Sharina
sambil menafikan andaian yang dibuat oleh suaminya itu.
“Kalau ada masalah,jangan
sembunyikan daripada abang.”
“Rin di bawah tanggungjawab
abang,” tegas Kamal lagi.
Sharina terdiam. Sudah acapkali
Kamal berpesan kepadanya begitu. Namun wajarkah semua perkara yang sedang
membelit fikirannya diceritakannya kepada suaminya itu?
“Tak ada apa-apa masalahlah,
bang.”
“Rin dah dah makan ubat?” soal
Kamal pula.
Sharina mengangguk perlahan.
“Pagi tadi kak ngah telefon,”
beritahu Kamal cuba mengalihkan tajuk perbincangan mereka.
“Kak ngah?” soal Sharina ingin kepastian. Terbayangwajah
wanita bermulut becok itu. Sejujurnya, dia berasa tidak selesa dengan karakter
kakak iparnya itu.
“Mereka sekeluarga nak datang ke sini minggu
depan,” terang Kamal.
“Selalu tu datang ke sini tak ada
telefon pun,” ujar Sharina perlahan.
“Emak ada datang sekali?” tanya Sharina lagi.
Kamal mengangguk. Saat itu,
Sharina mula berasa kurang senang. Isi Perbualan dengan emak mertuanya di
telefon petang semalam terngiang-ngiang di telinganya.
“Yalah, mak. Tadi kan Rin dah
janji dengan emak. Rin akan fikirkan. Rin tak mahu susah kemudian hari kalau
membuat sesuatu terburu-buru, emak,” beritahunya jujur. Perkara yang diminta
oleh emak mertuanya bukan hal mudah yang boleh dibuat keputusan
sewenang-wenangnya.
“Tak payah fikir-fikir lagi. Emak
ni bukan ke emak mertua kamu? Cakap emak, kamu tak boleh bantah macam mana kamu
tak boleh membantah cakap emak kandung kamu!” herdik Mak Cik Mariah dengan
suara kuat dan menyakitkan telinganya.
“Emak! Rin ni isteri abang Kamal.
Rin tak boleh buat sesuka hati Rin tanpa berbincang dengan suami Rin,”
terangnya lagi. Perasaannya mula bergelora. Pohon-pohon berduri mula menumbuh
di dalam hatinya.
“Sebab kamu isteri Kamal, kamu
kena tolong emak! Bukannya banyak. 50 ribu aje sedangkan duit Kamal yang
terlambak kepada kamu melebihi jumlah itu!” tengking emak mertuanya dengan nada
sombong.
“Emak! Kalau abang Kamal tahu
nanti, dia marah Rin. Rin tak nak sebab hal ini akan mencetuskan rasa curiga
pada hati Abang Kamal,” beritahunya lagi. Kerukunan rumah tangganya paling
utama.
“Eleh... kalau kamu tak beritahu,
macam mana pula dia dapat tahu!” balas emak mertuanya lagi.
“Sabarlah emak. Sebulan dua lagi,
boleh tak? Rin kena fikir dalam-dalam sebelum buat pinjaman baru! Yang dulu pun
belum selesai lagi, mak.”
“Hai... kalau tak mahu berhutang,
kamu keluarkan wang simpanan kamu. Dulu Rin ada cerita pada emak, Kamal
masukkan duit nafkah Rin setiap bulan dalam akaun Rin. Gunalah duit itu! Atau
barang-barang emas yang Kamal belikan untuk Rin tu, Rin bagi sahaja kepada
emak. Biar emak cagarkan kepada bank untuk dapatkan duit tunai, buat menolong
kak ngah dan Abang Zarif kamu…”
“Astaghfirullahalazim... Mana
boleh buat macam tu, mak! Rin takutlah! Berdosa! Tak amanah kepada harta benda
suami ALLAH murka nanti, mak,” ujarnya.
“Hisy, kamu dan Kamal ni sama
aje. Asyik nak ulang cakap. Kalau kamu susah sangat nak tolong emak,nanti emak
carikan isteri baru untuk laki kamu!” ugut emak mertuanya.
Sharina terkulat-kulat.
Fikirannya yang mulai galau tidak dihirau. Nafas Sharina bagaikan sesak.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan