KETENANGANKU benar-benar
tergugat dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Aku terkenangkan Idham yang sudah pergi buat
selamanya. Aku tidak boleh lupakan
Syamil. Aku ingin menghubungi Syamil untuk memberitahunya kejadian malang yang
menimpa Idham, ekoran panggilan telefon yang telah dibuat oleh isterinya itu.
Namun, hatiku tersepit antara keinginan yang meronta dan ketakutan yang
menggila. Aku bimbang, jika aku menghubungi Syamil dengan menggunakan telefon
bimbitku, panggilan itu akan disambut oleh Norshakila. Aku yakin semenjak
peristiwa itu, perempuan itu akan terus mengawal segala pergerakan Syamil.
Aku teringatkan janjiku.
Janji dengan diri sendiri. Janji untuk mengembalikan wang yang digunakan Syamil
untuk membeli barang emas yang dikembalikannya kepadaku. Sungguhpun barang-barang emas itu telah aku
buang, aku tetap akan membayar harga perbezaan itu. Walaupun peristiwa itu sudah enam bulan berlalu, Syamil sedikit pun aku
tidak boleh lupakan walaupun sesaat. Ketenangan mungkin tidak aku perolehi
sekiranya aku tidak menunaikan janji yang telah aku buat dengan diri sendiri.
Sementara mencari kembali nombor akaun Syamil yang hilang dari simpanan,
puas aku berperang dengan perasaan sendiri. Aku terkenangkan perangai buruk
Syamil yang telah membohongi dan mengkhianati kasih sayangku kepadanya. Aku
juga teringatkan kebiadapan Norshakila yang telah menghumbankan aku di dalam
kesengsaraan. Aku juga terbayangkan bagaimana keadaanku sewaktu dibelasah oleh
Idham gara-gara aduan palsu yang dibuat oleh perempuan itu. Betapa hinanya aku rasa.
Air mataku deras mengalir sewaktu mengingatkan kembali bagaimana keadaan
Idham yang terlantar di ICU selama beberapa hari kerana tekanan darah tinggi
gara-gara panggilan telefon dan aduan-aduan yang telah dilakukan oleh wanita
durjana itu. Idham telah mengalami stroke akibat tekanan darah tinggi,
pendarahan otak sehingga menyebabkan dia pengsan di subuh itu. TUHAN sahaja yang mengetahui bagaimana aku menghadapi
kesukaran-kesukaran itu. Aku terpaksa memberi komitmen yang padu kepada Idham
sedangkan beberapa jam sebelum itu aku teruk dibelasahnya. Sungguh berat dan besar ujian
daripada ALLAH untukku.
Akhirnya aku berjaya menemui nombor akaun Syamil tertulis di diari lama
yang tersimpan di dalam laci pejabat.
Lagi sekali aku menguji mereka. Sekiranya mereka jenis manusia yang
mengutamakan maruah, berapa pun bayaran yang aku buat mereka tidak akan terima
kerana logiknya aku tidak perlu membayar satu sen pun. Namun, demi maruahku serta teringatkan
pesanan Idham, keesokannya aku terus memasukkan wang ke akaun Syamil. Dan aku
mengutusi e-mail kepada mereka suami isteri.
Asalamualaikum, Encik Syamil dan Puan Noshakila.
Semoga sihat seisi keluarga.
Saya telah masukkan sejumlah wang ke dalam akaun Abang Syamil.
Sememangnya saya telah berjanji dengan diri untuk membayar perbezaan jumlah
harga, (emas) untuk memperolehi kembali emas 916 sejumlah berat yang dipinjamkan itu.
Saya tidak mahu mana-mana pihak
terasa ralat atau merasa rugi, terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana
saya. Tambahan Abang Syamil tentu berasa rugi yang amat sangat.
Saya tidak pernah berniat untuk
memerangkap sesiapa. Demi ALLAH tidak.
Bahkan saya telah memberi tahu Abang Syamil yang saya tiada bertujuan untuk
membuat keuntungan walau satu sen.
Saya tidak pernah marah dia
menjual barang-barang itu. Walaupun
sedikit kecewa kerana barang-barang itu semua sangat saya sayangi. Perkara
telah terjadi apa nak buat lagi. Saya
tidak kisah asalkan dia dapat gunakan wang hasil dari jualan barang–barang emas
yang tidak seberapa itu untuk menyelesaikan masalahnya.
Saya faham, bila dia
bercerita yang isterinya tidak dapat
membantu kerana seorang surirumah tangga dan seorang sedang belajar.
Saudara mara di kampung pula ada masalah
yang tersendiri-tidak dapat membantu... itu yang diberitahu oleh Abang
Syamil. Saya tidak kisah untuk menolong, tanpa rasa curiga dan
tidak pernah bertanyakan jujur tidaknya, tanpa prasangka saya penuhi semua
keinginannya sekadar yang saya mampu, jika dia di dalam masalah atau
kesusahan.
Segala desakan-desakan saya kepada Abang Syamil bersangkutan hal hutang sama ada percakapan
lisan atau sms atau e-mail hanya ingin menguji kejujuran, kasih sayang, sikap
tanggungjawab, amanah serta hati budinya sahaja. Jawapan-jawapan yang saya perolehi melalui perbuatan
atau sikapnya, SMSnya telah mencerminkan
segalanya. Namun, saya tidak mahu komen apa-apa. Biarlah ALLAH saja yang
menilai segalanya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu apa yang di dalam hati
hamba-NYA.
“Hani,
mengapa masih nak ganggu abang?” Tanpa ucapan salam, persoalan yang tiba-tiba
daripada puan sebaik sahaja saya mengangkat gagang telefon menyebabkan saya
tidak dapat menjawab pada waktu itu kerana benar-benar tergamam, terpempan dan
tidak menyangka hal tersebut. Mungkin dalam fikiran yang masih berserabut,
perasaan terumbang ambing, kesihatan tidak begitu baik, mesej tersalah
hala. Bagaimanapun hal telah berlaku dan
saya pun telah dikasari suami secukupnya.
Tempeleng, penumbuk, penampar, cubit dan kepala saya telah dihentak
dengan al-Quran beberapa kali.
Malam itulah pengalaman yang
dasyat dan paling buruk serta menyakitkan yang
dialami sepanjang tempoh 12 tahun, tidak ingin meraih simpati sesiapa
atau menyalahkan sesiapa. Saya redha, meskipun tubuh badan lebam-lebam,
bengkak-bengkil serta berbirat. Terlupa segala bantuan yang pernah dihulurkan,
tanpa usul periksa saya dilabel sebagai penggagggu, jahat dan dibelasah
secukupnya. Saya diperangi seolah penjenayah. Adakah kerana hutang telah
dibayar, puan berasa diri terlalu agung dan saya yang pernah berbudi kepada
suami puan menjadi terlalu hina?
Jika memperlakukan kezaliman
boleh mendatangkan kebahagiaan, kepuasan hati puan, saya terima. Mungkin telah tertulis di suratan hidup dan saya
tidak berdaya mempertahankan apa-apa. Hilang suara, hilang kata. Habis air
mata. Cemburu akan menutupi kemanusiaan, keburukan yang satu akan melenyapkan
kebaikan beribu.
Sekiranya niat saya
mengembalikan wang untuk menutupi kerugian atau keralatan di pihak puan atau
Abang Syamil, dirasakan sebagai satu kesalahan atau dosa dan ingin menghukum
saya, datanglah untuk jatuhkan hukuman sepuas hati, sekiranya itu boleh
mendatangkan kegembiraan atau menambah keintiman puan suami isteri.
Tanpa niat memutuskan
silaraturahim, perhubungan kami, yang dimulakan dan dinamakan oleh Abang Syamil
sebagai ‘perhubungan terlarang dan cinta terhalang’ telah selesai.
TUHAN yang menemukan, TUHAN
juga yang akan memisahkannya. ALLAH penyelesai segala masalah. Hanya DIA juga
yang tahu, pihak yang mana yang telah membuat keputusan yang paling sukar.
ALLAH yang maha mengetahui di dalam hati setiap hamba-NYA.
Saya telah maklumkan kepada Abang Syamil beberapa kali, saya telah
menatangnya seperti minyak yang penuh.Seumur hidup saya, tidak pernah
mempercayai orang lain sebagaimana saya mempercayai diri Abang Syamil, namun
akan tiba detiknya saya tidak menginginkan apa-apa. Saya akan pergi buat
selamanya. Saya tidak pernah mementingkan kehendak peribadi. Segala-galanya
telah diberitahu. Semuanya sudah
dicerita. Hanya menunggu saat ketika yang ditentukan oleh-NYA dengan sebab yang
ditentukan oleh-NYA juga.
Meskipun tidak pernah berniat untuk mengganggu sesiapa, namun saya tidak
boleh menghalang apa-apa tanggapan terhadap diri saya kerana diri penuh dengan
kelemahan serta kekurangan. Ungkapan dan kata-kata yang saya terima membuktikan
segalanya.
Saya tidak pernah mengenali
Abang Syamil sebelum ini. Dia yang datang dalam hidup
saya. Saya juga tidak tahu siapa puan sebelum ini, tetapi puan yang muncul di
dalam hidup saya tanpa diundang.
Justeru itu maaf kerana menjadi pengganggu selama hampir enam tahun di kehidupan puan dan Abang
Syamil.
Lidyahani.
SETENANG air dikali, begitulah yang aku
rasai, Yanti. Sebaik sahaja aku
menguruskan soal pembayaran wang itu kepada Syamil. Sehingga kini mereka tidak
pernah menghubungiku untuk mengucapkan terima kasih atau meminta maaf. Walaupun aku tidak mengharapkan ucapan
terima kasih daripada Syamil atau Norshakila, tetapi sebenarnya aku berasa
hairan juga mengapakah mereka tergamak menerima wang orang lain tanpa
mengucapkan kata-kata itu? Apatah lagi untuk meminta maaf kerana mereka telah
menyebabkan aku di belasah, nyaris mati.
Memang benarlah kata-kata Idham,
aku telah tersilap tempat menabur budi. Kekecewaan dan kelukaan di hatiku
mungkin akan terubat sedikit jika mereka mengucapkan terima kasih dan meminta
maaf daripadaku. Namun, sehingga kini mereka langsung tidak ada fikiran atau
perasaan untuk meminta maaf.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan