Please, Rin... Percayalah kepada
abang. Abang benar-benar dalam kesulitan.
Sekali lagi SMS yang diterima merayu-rayu Sharina. Perasaan
Sharina berbelah bahagi. Sungguh, dia berasa serba salah. Desakan demi desakan.
Rayuan demi rayuan akhirnya hati menjadi lembut juga oleh limpahan rasa
simpati.
Lagipun Zarif Afandi bukan orang lain. Mahu
tak mahu kakinya terus melangkah masuk ke dalam sebuah kedai. Kedai Emas Chee
Wah di Jalan Dol Said,Taiping. Dia terpaksa keluar ke bandar Taiping pada waktu
rehat tengah hari.
“Tauke! Saya mahu guna duit
sepuluh ribu. You tengok barang ni, cukup tak? Tiga bulan lagi saya datang dan
ambil barang ni balik,” kata Sharina sambil mengeluarkan bekas fibre glass
empat segi dari beg tangannya. Dia melambakkan barang-barang kemas itu di atas
meja kaca.
“Lapan ribu ringgit saja,”
beritahu lelaki Cina di kedai emas itu. Dia masih membelek-belek dan menimbang
barangan emas yang diserahkan oleh Sharina kepadanya.
“Harga emas sekarang bukan ke
mahal?” soal Sharina pula. Dia merenung lelaki Cina itu.
“Ada susut nilailah adik,” terang
lelaki Cina itu sambil cuba tersenyum.
“25 peratus,” sambungnya lagi.
“Hisy, takkan susut nilai sampai
25 peratus? Barang semua elok lagi. Tengok ni! Berkilau macam baru! Memang saya
tak pernah pakai,” balas Sharina cuba berunding.
“Haiya... Undang-undang sudah
begitu maa! Pakai tak pakai mesti ada susut nilai,” kata lelaki Cina itu.
Sharina terdiam.
“Lapan ribu!” tegas lelaki Cina
itu lagi. Senyumannya tambah melebar apabila dilihat Sharina bagaikan bersetuju
dengan harga yang disebutkan tadi.
“Tauke beri saya cek! Saya tak
mahu duit tunai.” Laju sahaja bibir mungilnya melontarkan keinginan kepada
lelaki Cina itu.
“Tulis cek untuk nama orang ni,”
beritahunya lagi sambil menulis nama Zarif Afandi atas secebis kertas. Urusan
untuk membantu birasnya itu akan menjadi lebih mudah jika dia menggunakan cek.
Tidak perlu dia bertemu dengan lelaki yang merimaskan itu. Zarif Afandi yang
tidak pernah jemu untuk memujuk dan menggoda hatinya.
“Ambil tunailah adik! Senang! Sikit sahaja!
Tak ada orang rompak punya,” tukas lelaki Cina itu.
“Okey... okeylah, tauke...” jawab Sharina. Dia
malas untuk bertegang leher dengan lelaki Cina itu lalu mengambil serta mengira
kembali not-not yang diserahkan oleh lelaki berkenaan sebelum memasukkan duit
itu ke dalam beg tangan.
Selesai urusan di pajak gadai, dia
terpaksa ke bank berdekatan. RM2000
dikeluarkan daripada akaunnya untuk mencukupkan jumlah yang akan dipinjamkan
kepada Zarif Afandi. Walaupun birasnya itu meminta RM20000 ribu.
Mudah-mudahan dengan bantuannya
itu dapat menyelesaikan masalah birasnya. Begitulah doa yang dititipkan oleh
Sharina di dalam hati. Dengan perasaan tulus dan kudus. Mahu tidak mahu, dia
terpaksa menghubungi birasnya untuk meminta nombor akaun bagi memasukkan wang
tunai itu ke akaun lelaki itu.
“Abang datang jumpa Rin kat
Taipinglah,” kata Zarif Afandi apabila Sharina meminta nombor akaunnya. “Abang
dah tak ingat nombornya,” sambung Zarif Afandi terus beralasan. Bibirnya mula
mengukir senyuman. Nampaknya, hati Sharina mula dapat dijinakkan.
“Habis tu, takkan Rin nak bawa
duit ni balik ke rumah pulak? Ada sepuluh ribu ni,” balas Sharina.
“Habis tu Rin nak abang ambil
duit tu kat rumah? Abang tak ada masalah,” kata Zarif Afandi. Sekadar menduga.
Walhal dia pun gerun kepada Kamal.
“Abang datang kat tempat kerja
Rin, petang nanti,” pujuk Zarif Afandi lagi. “Abang pun memang nak pergi ke
Taiping ni,” sambungnya lagi.
“Baiklah.” Sharina bersetuju. Apa
yang hendak dikatakan lagi. Hanya cara itu sahaja yang dapat menyelesaikan
masalah mereka. “Terima kasih, Rin...” ungkap Zarif Afandi dalam nada romantis.
Suasana di
dalam bank tempat Sharina bekerja mulai lengang. Seorang demi seorang staf
meninggalkan meja kerja masing-masing. Sharina kian resah. Sehingga waktu itu,
Zarif Afandi belum lagi datang berjumpa dengannya.
“Ke mana Abang Zarif ni,” rungut
Sharina. Dia mencapai beg tangan dan meninggalkan meja kerjanya menuju ke pintu
keluar. Mahu tak mahu, dia perlu balik ke rumah pada waktu itu. Sharina sempat
mengerling jam tangannya. Sudah 5.20 petang.
Seelok sahaja dia sampai ke kaki
lima di hadapan premis bank itu, telefon bimbitnya berdering.
“Helo, assalamualaikum Rin. Abang
ada di depan bank tempat Rin kerja ni. Tak ada tempat parkirlah, Rin...”
beritahu Zarif Afandi lembut.
“Tak apalah... biar Rin cari
abang. Rin nak cepat balik ni. Abang
Kamal risau nanti,” balas Sharina tergesa-gesa. Setelah itu matanya meliar ke
kawasan parkir di hadapannya, mencari kereta birasnya itu. Memang benar penuh
sesak. Banyak kereta yang berhenti di jalan, mungkin menunggu seseorang.
“Sini, Rin...”
Terkejut Sharina apabila suara
Zarif Afandi tiba-tiba menjengah telinganya. Dia menoleh. Rupa-rupanya kereta
Zarif Afandi berada tidak jauh dari tempat dia menjawab panggilan telefonnya
tadi. Zarif Afandi sudah menyengih di dalam keretanya. Skrin tingkapnya memang
sudah diturunkan separuh.
Sharina cepat-cepat meraba ke
dalam beg tangannya untuk mengambil sampul surat yang sudah terisi RM10
ribu. Pantas tangannya menghulurkan
sampul surat itu kepada Zarif Afandi melalui tingkap.
“Rin, takkan Rin nak bagi duit
kepada abang begitu saja,” kata Zarif Afandi sambil menatap wajah Sharina yang
kemerahan kerana cuaca panas.
“Apa salahnya? Rin nak cepat
balik ni. Dah lambat. Nanti Abang Kamal risau,” ulangnya lagi. Sekali lagi dia
menghulurkan sampul surat kepada Zarif Afandi.
“Tak elok orang tengok, Rin. Rin
kan kerja di syarikat kewangan. Turun dari bank tiba-tiba hulurkan abang sampul
surat macam itu saja. Nanti orang ingat apa, pulak! Masuklah dalam kereta abang,” pujuk Zarif Afandi.
Sharina terpaku di tempat dia
berdiri.
“Takkan Rin tak percaya pada
abang? Takkanh abang nak lakukan perkara yang tak elok kepada Rin di tengah
orang ramai ni? Siang buta pulak tu! Semua orang boleh tengok kita,” tegas
Zarif Afandi, cuba memprovokasi.
Dalam keadaan tertekan, Sharina masuk ke perut
kereta. Dia menghenyakkan punggungnya di tempat duduk dan melepaskan nafasnya.
“Abang Zarif, ni duit yang abang
nak pinjam tu. Maaf, Rin dapat bantu abang sepuluh ribu aje,” kata Sharina lalu
menghulurkan sampul surat kepada Zarif Afandi.
“Terima kasih, Rin...” ucap Zarif
Afandi. Sampul surat bertukar tangan. Dia mengambil peluang untuk menatap wajah
Sharina lama-lama.
“Kalau begitu, Rin keluar dulu.
Rin nak balik. Assalamualaikum, bang...” kata Sharina lalu menarik picu untuk
membuka pintu kereta. “Abang, pintu tak boleh buka.”
“Memang abang tak bagi Rin
keluar,” jawab Zarif Afandi selamba. Dengan perlahan, dia menggerakkan
keretanya dan meninggalkan tempat itu.
“Abang... abang nak bawa Rin
pergi mana ni?” tanya Sharina dengan seribu sesalan. Sungguh tidak diduga
birasnya itu akan memperdayanya sedemikian rupa.
“Abang nak lepaskan rindu,” jawab
Zarif Afandi sambil ketawa. Sebelah tangannya mengusap pipi gebu Sharina. “Rin
pun sedang rindukan belaian tangan lelaki juga, kan?” Zarif Afandi ketawa
kecil.
“Abang Zarif!” jerit Sharina
dengan perasaan geram.
Zarif Afandi tidak peduli, bahkan
terus memecut laju.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan