Ahad, 19 Januari 2014

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 44)

KAMAL menggerakkan kerusi rodanya menuju ke almari buku. Setiap hari masanya dihabiskan dengan membaca. Pejam celik-pejam celik sudah hampir dua tahun dia berkerusi roda. Selama itu  jugalah dia menjadi penghuni setia rumah itu. Bertemankan sepi. Sepi yang kadangkala mengundang kesedihannya. Batinnya menangis dan meratap pada setiap saat.
Kamal sudah bertekad. Sama ada kakinya pulih atau pun tidak, dia akan memulakan tugasnya kerana kelayakan cuti sakitnya akan berakhir. Tidak mengapa kalau kakinya  tidak boleh berjalan, yang penting mindanya masih boleh berfikir. Jari-jemarinya boleh melakukan kerja. Menulis, mengetuk papan kekunci, melukis dan lain-lain lagi.
Dulu, dia sangat sibuk. 24 jam sehari bagaikan tidak cukup. Selepas kemalangan itu, berbulan-bulan dia berehat. Kini, hati kecilnya berterima kasih kepada ALLAH.
 “Assalamualaikum, Kamal!”
Terdengar suara memberi salam dari luar pintu hadapan.  Keasyikan Kamal membaca terganggu seketika. Lamunannya  terlontar. Tombol pintu diputar, lantas daun pintu ditarik ke arahnya. Sepasang tangan membantu Kamal membuka pintu dengan menolak daun pintu dari arah luar.
“Emak! Kak ngah...” sapa Kamal sambil menjauhkan kerusi rodanya dari daun pintu. Bola matanya terputar-putar melihat dua orang wanita yang sedang berdiri di muka pintu.
“Masuklah,” ujarnya lagi sambil melontarkan senyuman menyambut tetamu yang datang. Tanpa dipelawa mereka terus menghenyakkan pinggul di atas sofa. Kedua-duanya bagaikan tercungap dan nampak kepanasan.
“Panasnya, Kamal... macam mana kau boleh tahan macam ni?” rungut Ainun sambil lalu bangun dari sofanya dan menghidupkan alat penghawa dingin di ruang tamu.
Kamal tersentak dengan rungutan kakaknya itu. Ainun memang bermulut celopar.
“Panas di dunia saja, kak ngah. Saya tadi di bilik. Kak ngah ingat saya suka ke memerap di rumah ni, dah bertahun?” Sempat lagi dia menyindir halus.
Ainun menoleh dan melihat air muka mendung adiknya. Mungkin berkecil hati dengan pertanyaannya tadi. Maklumlah, orang yang telah hilang keupayaan, tentu cepat berkecil hati.
“Abang Zarif kau kirim salam,Kamal!” Ainun mengubah tajuk perbualan. Sedangkan sewaktu dia keluar dari rumah petang tadi, Zarif Afandi tak ada di rumah pun. Suaminya itu entah ke mana merayapnya sejak dari pagi.
“Kata nak datang dua minggu lepas. Macam-macam Rin masakan untuk emak dan kak ngah,” kata Kamal.
“Kereta kakak kamu rosak,” beritahu emaknya. Kamal mengangkat keningnya. Sudah biasa dengan alasan itu.
“Hmm... mak dan kak ngah nak minum apa?” tanya Kamal lagi. Kerusi roda digerakkan supaya menghampiri emaknya yang tersandar di sofa sejak tadi.
“Tak apa, Kamal! Jangan susah-susah,” ujar Mak Cik Mariah sambil menarik roda kerusi Kamal menghalang anaknya pergi dari situ.
“Tak ada susahnya. Mak dan kak ngah, duduk saja di sini! Saya pergi ambil di dapur. Semuanya Rin dah sediakan dalam peti sejuk tu. Kalau nak minuman sejuk! Kalau nak minuman panas, kak ngah yang kena bancuh sendiri. Atau tunggu isteri saya balik,” balas Kamal ceria.
Gembira juga hatinya kerana dikunjungi oleh ibu dan kakaknya. Terubat kesunyiannya seketika.
“Macam mana Kamal nak buat semua itu?” soal Mak Cik Mariah sambil merenung Kamal. Kamal bukannya sempurna seperti orang lain. Hendak bergerak ke sana dan ke sini pun menggunakan kerusi roda. Namun bibirnya tidak tergamak pula melontarkan kata-kata yang sedang melintas di hatinya.
“Rin selalu balik awal ke? Tak pernah melencong ke lain?” soal lagi Mak Cik Mariah cuba serkap jarang tentang menantunya itu.
Kamal tersentak mendengar persoalan itu. Angin tidak. Ribut tidak, tiba-tiba bersangka buruk terhadap isterinya. Perasaan Kamal sebal seketika.
“Nak balik awal macam mana, mak! Tempat kerja dia jauh! 6.30 petang nanti sampailah tu.” Kamal merenung wajah emaknya. Dia tidak mengerti apa maksud emaknya menyoal begitu. Selama ini, dia tidak tidak pernah curiga kepada kejujuran isterinya itu. Bimbang pisang akan berbuah dua kali.
“Tak pernah lewat sedikit pun! Biar betul!” Ainun pula menyampuk. Dia baru muncul dari dapur. Di tangannya membawa dulang yang berisi air kotak yang diambilnya dari peti sejuk tadi.
“Adalah sesekali lambat, kak ngah, emak! Kalau hujan lebat atau ada perayaan ke. Jalan raya sesak! Dah dia kerja jauh, kenalah saya fahami keadaannya,” terang Kamal. Dia berasa tidak selesa dengan tanggapan buruk yang sedang disampaikan oleh kakak dan emaknya itu.
“Kamal, makanan dalam peti sejuk tu, Rin masak ke dia beli?” tanya Ainun pula.
Kamal ketawa kecil mendengar soalan kakaknya itu. “Setiap pagi Rin masak untuk saya. Kak ngah dan emak kan dah tahu, saya ni bab-bab makanan ni cerewet sikit. Kenalah Rin masak. Makanan beli ni tak tertelan saya nanti,” ujar Kamal lagi. Percakapannya terhenti seketika. Dia menyambut kotak minuman yang dihulurkan oleh Ainun walaupun tidak berasa dahaga.
“Yang emak dan kak ngah menyoal tentang isteri saya macam-macam, apa hal?” soal Kamal lagi.
“Yalah! Mestilah nak tanya. Kau tu, anak emak! Dah hilang upaya pula! Tak boleh berjalan. Bimbanglah emak kalau Rin buli dan buat tak tentu kepada Kamal. Tak layan Kamal dengan elok,” kata Mak Cik Mariah dengan suara agak nyaring. Dia mengipas-ngipas leher dengan tangannya. Mungkin udara dingin yang datang dari pendingin udara hanya meresapi seluruh ruang tamu itu, tidak di hati Mak Cik Mariah.
“Ya Kamal! Isteri-isteri zaman sekarang ni, bukan boleh dipercayai sangat. Tambah-tambah kalau suami dah tak berdaya, takut ambil kesempatan,” ungkap Ainun. Bibirnya dijuihkan ke arah Kamal sambil memandang pula kepada ibunya.
 “Kak ngah buat macam tu ke?” soal Kamal  dengan nada sinis. Tersentuh juga hatinya bila disoal yang bukan-bukan oleh ibu dan kakaknya. 
“Kenapa nak kaitkan dengan kak ngah pulak?” soal Ainun kembali.
Kamal tersenyum. ‘Tahu pulak dia nak marah,’ getus hatinya sambil melirik ke wajah kakaknya itu.
“Rin dah banyak berkorban untuk saya emak, kak ngah. Dia menjaga saya dengan baik,” kata Kamal lagi.
“Dah Kamal tabur dia dengan kemewahan, sangguplah dia,” pintas emaknya.
“Kalau Kamal kahwin dengan Rita kelmarin, dia akan jaga Kamal jugak. Entah-entah lebih bagus daripada Rin,”sambungnya lagi.
Belum sempat Ainun menyampuk, terdengar bunyi enjin kereta memasuki porch di sebelah kanan rumah. 
Tidak berapa minit kemudian muncul Sharina di muka pintu. Ainun dan Mak Cik Mariah saling berenungan. Kamal merenung ke wajah kakak dan ibunya silih berganti. Selepas itu pandangan matanya terlontar ke pintu. Lontaran pandangan menyinggahi ke susuk tubuh dan wajah isterinya itu. Air muka isterinya nampak tegang.
Sharina yang kepenatan sempat melontarkan senyuman. Setelah itu, dia terus mendekati Kamal. Bersalaman dan mencium tangan suaminya itu.
“Dari pejabat terus balik ke rumah? Tak melencong ke mana-mana ke?” celopar mulut Ainun menyoal menyebabkan Sharina yang keletihan tersentak. Sejenak matanya merenung ke wajah Kamal yang memerhatikannya dari tadi.
“Melencong ke mana pula, kak ngah. Dah senja. Hampir maghrib pun. Burung pun tahu pulang ke sarang. Lembu dan kambing pun tahu balik ke kandang.”
Meredakan perasaan yang tercalar dengan kata-kata Ainun tadi, Sharina melontarkan kata-kata itu sambil ketawa kecil. Ainun pun turut ketawa dan setelah itu tersenyum kelat. Sinis lontaran kata-kata adik iparnya itu.
 “Kami baru sampai, Rin. Tak payah susah-susah nak sediakan apa-apa. Rin pun baru balik kerja. Tentu penat. Rehatlah dulu. Kak ngah dan emak sebentar lagi nak balik,” tukas Ainun lalu bangun dari tempat duduknya dan menghampiri Sharina serta menarik tangan adik iparnya itu. Sharina diajak duduk bersamanya, namun adik iparnya itu tetap berdiri dan mengeraskan dirinya. 
“Kak ngah dan emak duduklah dulu! Berbual-bual dengan Abang Kamal. Rin nak ke bilik. Nak mandi,” kata Sharina dengan suara lemah.
 Sebaik sahaja kelibat Sharina hilang dari pandangan mereka, Ainun menjuihkan bibirnya. “Jomlah, emak kita balik! Kan Rin dah menyindir kita tadi,” ujar Ainun.
Kamal berdeham beberapa kali. Kata-kata yang dihamburkan oleh Ainun sebentar tadi tidak dipersetujui oleh hati kecilnya.
“Kak ngah tu yang mulakan! Rin tu kan letih, baru balik.Kak ngah perli dia buat apa?  Buat apa sakitkan hati isteri saya? Rin tu dah penat-penat menjaga saya. Kita pandai-pandailah ambil hatinya,” rungut  Kamal perlahan sambil menggerakkan kerusi rodanya menghala ke muka pintu. Meredakan perasaan yang tercalar.
“Bila Rin cakap perkara yang benar, kak ngah rasa tersindir pulak! Rin tu bukan begitu orangnya,” sambung Kamal lagi membela isterinya. Tidak rela telinganya mendengar kata-kata yang tidak elok tentang isterinya itu.
Mak Cik Mariah hanya mendiamkan diri sedari tadi. Kata-kata Kamal itu ada benarnya. Sharina memang menantu yang baik, tapi hatinya masih belum boleh menerima.
Di sofa, Ainun terus menguis-nguis paha emaknya mendesaknya supaya bangun.
“Kami pulang dulu, Kamal,” kata  Mak Cik Mariah sambil bangun dari kerusi setelah didesak oleh Ainun.
Mendengarkan kata-kata itu, Kamal menoleh.
“Emak nak jumpa Rin sekejap,” beritahu Mak Cik Mariah terus menuju ke tingkat atas.

“Emak!” sapa Sharina sebaik sahaja emak mertuanya muncul di dalam bilik. Dia yang sedang bertuala termalu-malu kerana baru keluar dari bilik mandi dan cepat-cepat menyambar kain batik untuk melindungi tubuhnya. Rambutnya yang basah kerana disyampu dipintal-pintal dan biar terjurai.
“Rin, bila kau nak bagi barang-barang yang emak minta tu?” soal emak mertuanya.
Pertanyaan itu semakin menyesakkan fikiran Sharina. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hati.
“Insya-ALLAH... dua tiga hari lagi, mak,” janji Sharina dengan wajah muram. Sebahagian daripada barang kemasnya telah digadai untuk membantu birasnya.
“Baik! Emak tunggu kamu tunaikan janji!” sahut Mak Cik Mariah sambil menudingkan jari telunjuknya ke wajah Sharina. Setelah itu, dia terus beredar dari bilik tidur menantunya.
“Kamal, mak nak balik ni,” beritahunya sebaik tiba di ruang tamu kembali.
“Tunggulah, Rin. Dia sedang mandi tu. Makan malam atau tidur di sinilah,” kata Kamal cuba memujuk.

“Tak payahlah, Kamal! Lain kali sahaja. Kau tu, jaga baik sikit dengan Rin! Jangan leka...” 


                           ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: