Ainun memuncungkan bibirnya sambil memandu kereta. Mak Cik
Mariah yang perasan pura-pura memandang ke lain. Dia tahu hati anaknya itu
sedang membengkak.
“Mak janji dengan saya nak minta
duit daripada Kamal. Kenapa tadi mak langsung tak sebutkan hal tu?” tanya Ainun dengan
suara kuat.
“Alah, macam mana mak nak
sebutkan hal itu? Yang kau tak menyempat hendak mengata isterinya tu, buat
apa?” tingkah Mak Cik Mariah pula. Rosak segala rancangannya pada senja itu.
“Itulah! Kalau nakkan sesuatu
kena fikir dengan teliti. Bukan main redah saja! Dah lukakan hati adik kamu nak
minta duit dia pulak! Kau ingat dia nak bagi? Dah lama hidup dengan dia, takkan
tak faham dengan hatinya?” tanya Mak Cik Mariah marah.
“Lainlah emak! Dia tak boleh
bantah! Kalau emak suruh dia ceraikan Rin, dia kena ceraikan,” sambung Mak Cik
Mariah lagi. Namun, hatinya belum berniat sehingga ke tahap begitu kecuali jika
keadaan sudah memaksa.
“Dah tu, kenapa emak tak mintak
tadi?” tanya Ainun masih tak mengalah.
“Dah kau bertengkar dengan dia
tadi! Orang tengah sakit hati, takkan nak suruh dia makan hati pulak dengan
permintaan emak,” jawab Mak Cik Mariah. Padanya jika hendak melakukan sesuatu
hendaklah berhati-hati.
“Emak tak pesan dengan Nun pun
jangan sakitkan hati Kamal,” sanggah Ainun pula.
“Kami kalau bertemu, mesti nak
bertekak,” katanya lagi cuba membela diri. “Emak bukannya tak faham perangai
Nun,” sambungnya terus.
“Ada aje nak menjawab cakap
emak!” balas Mak Cik Mariah. Ainun menoleh kepada emaknya seketika.
“Anak emak. Ke mana tumpahnya
kuah kalau tak ke nasi,” balas Ainun sambil ketawa.
“Rin sekarang ni dah pandai
menjawab nampaknya, kan emak? Pandai dia menepis sindiran saya tadi,” sambung
Ainun lagi sambil menjuihkan bibirnya.
“Dia dah dewasa. Dulu baru kahwin
memanglah dia budak kecik, macam yang kau selalu kata! Sekarang, umurnya dah
nak masuk 24 atau 25 tahun, lajulah mulutnya. Nak-nak Kamal dah begitu!
Bertambah naik tocanglah dia! Entah-entah Kamal tu dah kena control
dengan dia. Mesti dia sedang kikis duit ringgit Kamal. Bila dah habis esok,
mesti dia lari tinggalkan Kamal yang dah lumpuh tu,” kata Mak Cik Mariah dengan
panjang lebar. Tuduhannya melulu.
“Betul kata emak tu. Takkan kita
nak biarkan Rin kikis Kamal sampai botak!” sahut Ainun. Adik bongsunya itu
memang banyak duit. Kalaulah dia yang menjadi Sharina, puas hatinya dapat
melancong ke serata dunia!
“Kalau Kamal botak, Rin pun akan
botak jugak! Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki,” jawab Mak Cik Mariah.
Lontaran kata-katanya penuh makna tersirat.
“Apa maksud mak?” tanya Ainun
yang gagal memahami kata-kata emaknya.
Mak Cik Mariah membiarkan
pertanyaan Ainun tanpa jawapan. Dia menyandarkan kepalanya lalu memejamkan mata
sambil mendengar deru enjin kereta.
BUNYI
titisan hujan di atas bumbung mengejutkan lena Sharina. Dia yang tertidur di
atas sofa di ruang tamu. Tadi, selepas makan malam dan selesai solat isya, dia
berbaring di situ sambil menonton televisyen. Asyik mengelamun dan terkenangkan
birasnya, tak tersedar dia terlelap di situ. Sharina menguap sambil menutup
mulutnya. Dia mengeliat beberapa kali lalu bangun menuju ke bilik tidur utama.
“Astaghfirullahalazim! Abang
tertidur di sini pula,” ujar Sharina lalu menghampiri Kamal yang menyembamkan
mukanya di atas meja tulis serta tidur di situ.
“Abang! Jom tidur di katil, bang... Dah pukul
2.00 pagi ni,” panggil Sharina mengejutkan Kamal perlahan-lahan. Suaranya
separuh serak. Picu yang mematikan roda kerusi itu ditariknya perlahan.
“Maaf... Rin tertidur di depan
tadi. Baru terjaga ni,” jelasnya kepada Kamal yang baru terjaga dan
menggosok-gosok matanya.
“Banyak kali abang panggil Rin
tadi, tapi Rin tak sedar! Tidur pun berdengkur! Rin letih sangat ke?” soal
Kamal dengan nada perlahan. Kasihan juga dia kepada isterinya itu yang terpaksa
bersusah payah menjaganya. Sudahlah begitu, tempat kerjanya jauh pula. Hampir
120km jaraknya dari rumah. Kamal menggerakkan kerusi roda merapati katil.
Sebagaimana selalu Sharina akan membantunya ke tilam walaupun ditegah. Sharina
menguap beberapa kali sambil mengeluh.
“Banyak kerja kat pejabat, bang! Perjalanan ke
tempat kerja lagi! Letih sangat rasanya,” kata Sharina dengan suara lemah. Dia
merebahkan dirinya di sebelah Kamal. Bantal guling yang terletak di antaranya
dan Kamal dipindahkan ke tepi dinding.
“Pagi esok tak payah susah-susah
masak untuk abang! Lauk yang ada tu panaskan saja,”ujar Kamal lagi sambil
memejamkan matanya. Sharina di sebelahnya pura-pura memejamkan matanya. Diam
tidak menjawab. Kamal terkenangkan persoalan emak dan kak ngahnya tadi.
“Rin..” bisik Kamal sambil
menggoyang-goyangkan tubuh Sharina.
Sharina mengeraskan dirinya.
Tubuhnya yang kecil molek, sedikit pun tidak beranjak. Pada saat itu,
fikirannya berserabut. Dia terkenangkan peristiwa yang berlaku pada petang
tadi. Perasaannya jadi tidak tentu arah. Rasa marahnya kepada Zarif Afandi
terus membuak. Dia juga terkenangkan tuntutan yang dibuat oleh emak mertuanya.
Sharina rasa tersepit dan serba salah.
“Rinnn...” panggil Kamal terus
menggoyang-goyangkan bahu Sharina pula.
“Hmm...Rin letihlah, bang,” jawab
Sharina sambil memeluk bantal dan memusingkan tubuhnya membelakangkan Kamal.
“Rin, abang ada hal nak cakap
ni,” beritahu Kamal dengan suara perlahan.
“Hmm... cakaplah, bang...” balas
Sharina tanpa berkalih melihat suaminya. Dia terus mengiring menghadap dinding.
“Rin... lepas habis kerja terus
balik ke rumah ya? Jangan pergi ke mana-mana tanpa keizinan abang. Abang tak
suka dengar apa-apa cerita buruk tentang Rin,” pesan Kamal.
“Tadi, emak dan kak ngah datang
bawa cerita yang tak elok tentang Rin ke?” soal Sharina.Tidak semena-mena dia
bangun dan duduk bersila di atas tilam. Rasa kantuknya tiba-tiba hilang. Kamal
yang sedang berbaring direnungnya dari hujung dahi ke dagu.
“Tak! Abang cuma berpesan saja,”
kata Kamal.
“Pesan?” soal Sharina. Jika tidak
ada apa-apa mustahil suaminya itu berkata begitu di tengah-tengah malam buta.
Tadi sewaktu makan malam, Kamal tidak pula berpesan apa-apa. Tapi suaminya itu
nampak kurang bercakap sejak kepulangan emak dan kak ngahnya. Mungkin banyak
yang sedang difikirkannya. Kamal memang begitu. Mendiamkan diri apabila
fikirannya terganggu. Sharina merebahkan dirinya kembali.
“Abang tak mahu wujud orang
ketiga, keempat atau kelima antara kita
berdua,” sambung Kamal lagi apabila Sharina kembali berbaring di sisinya.
“Kalau abang tak nampak, ALLAH nampak.” Spontan kata-kata itu keluar daripada
bibirnya.
Subuh itu,
selesai menggosok pakaian Sharina membuka almari pakaian dan mengambil bekas
tempat menyimpan barang-barang kemasnya. Dia melambakkan barang-barang kemas
itu di atas tilam. Gelang, rantai tangan, rantai leher yang dimilikinya
diperhati satu per satu. Kemudian, dia mengasingkan barang-barang yang
dibelinya sendiri dan yang dibeli oleh Kamal.
“Rin nak buat apa dengan
barang-barang tu!?” tegur Kamal. Dia yang di atas kerusi roda memerhatikan
telatah Sharina dari tadi. Tidak pernah Sharina mengeluarkan barang-barang
kemas tersebut. Sudah lama barang-barang itu tersimpan di dalam kotak dan
diletakkan di dalam almari kain baju.
“Rin nak hantar ke kedai, nak
cuci,” jawab Sharina selamba. Sedikit
pun dia tidak memandang Kamal. Sangka Sharina alasan yang diberikan mungkin
akan diterima oleh akal suaminya itu, lalu tidak ada lagi persoalan yang
timbul.
“Cuci? Cuci untuk apa? Bukannya
selalu pakai!” jerkah Kamal. Dia memusingkan roda kerusinya lalu menghampiri
Sharina.
“Bagi sini barang-barang tu biar
abang simpan,” kata Kamal sambil menadah tangannya.
Sharina merenung Kamal. Perasaan
hatinya berbaur. Marah dan tersinggung. Kamal seperti tidak mempercayai dan
curiga kepadanya.
Kamal masih belum bergerak dari
sisinya. Apabila melihat keadaan Kamal yang tidak berdaya di kerusi roda, tidak
sampai pula hatinya. Sharina menyerahkan kotak itu walaupun hatinya memprotes.
Dia sudah berjanji dengan emak mertuanya untuk menggunakan barang-barang itu
bagi membantu birasnya.
“Bang, abang nak simpan
barang-barang ni kat mana? Biar Rin letakkan,” ujar Sharina cuba memujuk. Dia
memicit-micit bahu Kamal. Sesekali tangannya mengusap rambut Kamal.
Kamal tidak mempedulikan pertanyaan
Sharina. Dia terus meletakkan kotak itu di atas riba.
“Abang...” panggil Sharina lagi.
Kamal tidak mengendahkan
permintaan Sharina sebaliknya memandang ke arah isterinya itu dengan pandangan
tajam.
“Yang Rin bersusah sangat pasal
barang-barang kemas ni, kenapa? Mesti Rin ada sembunyikan sesuatu daripada
abang!” tebak Kamal. Memang kotak fikirnya dihujani oleh beribu pertanyaan.
Barangan yang tidak pernah dipakai dikeluarkan dari simpanan semata-mata untuk
dicuci? Bukankah itu pelik?
Sharina yang berada tidak jauh
dari belakang suaminya itu terdiam. Dadanya berdebar-debar.
“Abang rasa lebih baik
barang-barang ni Rin simpan di bank saja! Bahaya simpan di rumah ni. Abang
tengok, bukannya Rin pakai pun,” kata Kamal sambil menjeling ke wajah Sharina. Isterinya
memang tidak suka memakai barang kemas. Jika ada pun hanya seutas rantai
tangan, seutas rantai leher. Mata Kamal singgah di pergelangan tangan Sharina.
Kosong.
“Rantai tangan Rin mana?”
Mendengar pertanyaan Kamal,
Sharina tersentak. Baru dia perasan yang rantai tangan itu sudah lenyap
daripada lengannya.
“Err... abang! Rin... Rin tak
perasan rantai tangan ni dah tak ada,” jawab Sharina tergagap-gagap. Seingatnya
sewaktu dia pergi menggadai barang kemas untuk membantu Zarif Afandi, rantai
tangan itu masih berada di lengannya. Jangan-jangan rantai itu terputus dan
terjatuh sewaktu dia cuba keluar dari kereta Zarif Afandi dengan tergesa-gesa!
“Hah... dah jatuh kat
mana-manalah tu! Kenapa Rin cuai sangat ni?” tanya Kamal.
Sharina menggaru-garu kepalanya
dengan rasa sebal. Juga rasa bersalah. Pasti suaminya kecil hati kerana dia
tidak menjaga pemberian suaminya itu.
“Nan... nanti Rin cari. Agaknya
terjatuh kat pejabat,” jawab Sharina. “Kat mana abang tempah rantai tu?” tanya
Sharina lembut. Kalau perlu terpaksalah dia menempah yang baru buat ganti.
“Cina tukang emas yang buat
rantai tu dah mati,” beritahu Kamal bersahaja.
Sharina terkedu. Dia memandang
suaminya yang berwajah selamba.
KEESOKAN paginya,
Sharina mengemas bilik tidur sebagaimana rutin biasanya pada hari cuti. Sambil
melakukan kerja, fikirannya melayang. ‘Kat mana aku nak cari rantai tangan tu
semula?’ Mustahil dia bertanyakan kepada birasnya pula. Seboleh-bolehnya, dia
tidak ingin menghubungi birasnya itu lagi. Tidak mahu bertemu dengannya lagi.
Sampai bila-bila.
“Prap!”
Kamal yang sedang bermenung di tepi tingkap
terkejut. Sharina sedang duduk di birai katil kerana sedang menukarkan sarung
bantal juga tersentak. Seminggu sekali cadar dan sarung bantal mesti ditukar.
“Apa yang jatuh tu, Rin?” tanya
Kamal sambil memusingkan kerusi rodanya. Dia memandang Sharina yang masih
memegang bantal.
“Kotak yang abang simpan
terjatuh. Rin nak salin sarung bantal ni,” jawab Sharina perlahan. Matanya
memandang ke lantai. Kamal turut memandang. Barang-barang emas bertaburan di
atas lantai dan di sekeliling kaki
Sharina.
Sharina menyembunyikan seberapa
banyak yang boleh di bawah tapak kakinya. Barang emas yang tersembunyi di bawah
telapak kakinya ditolak ke bawah katil. Matanya masih memandang ke arah Kamal.
“Rin minta maaf bang, tak
sengaja,” ujarnya lembut. Bimbang dimarahi Kamal. Degupan jantungnya jadi
kencang.
“Kutiplah balik kalau dah
terjatuh,” suruh Kamal sambil memusingkan kembali kerusi rodanya membelakangkan
Sharina. Dia kembali memandang ke luar jendela. Burung layang-layang yang
berkawan-kawan terbang di awan menarik perhatiannya. Matanya memandang pula ke
kakinya yang berselimut tebal. Entah bila dia dapat berjalan semula.
Sharina tersenyum dengan perasaan
lega. Barang-barang emas yang di bawah telapak kakinya ditolaknya perlahan ke
bawah katil sejauh yang mungkin. Sekurang-kurangnya dalam jarak yang
dijangkanya tidak dapat dilihat oleh Kamal.
“Bang, Rin dah salin semua sarung
bantal dan cadar. Rin bawa abang keluar ya sebab Rin nak vakum habuk-habuk
dalam bilik ni. Abang duduk di halaman tu sambil tengok anak-anak jiran
bermain. Cuaca hari ni pun redup,” pujuk Sharina dan mengharapkan persetujuan
suaminya itu. Jika Kamal enggan meninggalkan bilik tidurnya, dia tidak
berpeluang untuk mengambil barang-barang kemas yang telah disembunyikan di
bawah katil itu. Kamal menganggukkan kepalanya.
Sharina pantas menolak kerusi
roda itu lalu membawa Kamal ke halaman rumah. Kamal ditinggalkannya berhampiran
meja batu yang tersedia di depan rumah mereka. Seketika kemudian, dia
menghantar dulang yang berisi teh panas dan sepiring biskut untuk santapan
Kamal. Kamal hanya membisu.
“Abang, bila kerja dalam bilik tu
selesai, Rin temani abang. Kalau abang nak keluar ke bandar, boleh Rin
bawakan,” kata Sharina lagi sambil melagakan pipinya dengan pipi Kamal.
Kamal hanya mengangguk. Sharina
telah melayaninya dengan penuh kasih sayang. Kadangkala dia berasa terharu
dengan layanan yang diterimanya. Tulus dan ikhlas.
“Rin
betulkan kolar baju abang dulu,” kata Sharina sambil membetulkan kolar baju T
Kamal yang terkelepet ke dalam. Setelah memastikan cawan minuman dan piring
biskut dalam kedudukan yang mudah dicapai oleh Kamal, Sharina meninggalkan
suaminya itu untuk menghabiskan tugasannya membersih bilik tidur mereka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan