Isnin, 27 Januari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 46)


JARUM jam di dinding pejabat telah menunjukkan angka 4.00 petang. Sharina asyik dengan tugas yang telah diamanahkan terhadapnya. Ada beberapa pucuk surat  yang perlu tindakan segera. Tiba-tiba  suasana pejabat yang hening itu terganggu oleh deringan telefon bimbitnya yang bernyanyi-nyanyi minta untuk dilayani.
‘Hisy!’ rungut Sharina kerana berasa terganggu. Pantas dia menyambar telefon yang diletakkannya di penjuru meja kerjanya.
“Helo, sayang!” Jengahan suara lelaki itu membuatkan hati Sharina menjengkel. Nampak gayanya Zarif Afandi semakin galak mengganggu hidupnya.
“Helo,” jawabnya serius. Matanya terus mengamati monitor di hadapannya.
“Seriusnya suara! Manjalah sikit,” seloroh Zarif Afandi. Setelah itu dia ketawa bertali-tali.
“Kemanjaan Rin hanya untuk Abang Kamal,” beritahu Sharina dengan suara yang masih serius.
“Kamal dah lumpuh. Kemanjaan Rin tak membawa apa-apa makna. Buat kecewakan hati Rin aje,” provok Zarif Afandi. “Lama abang tak telefon Rin,” sambungnya pula. Dia mengepit telefon bimbit antara bahu dan telinganya.
“Dah rindu benar rasanya,” bisik Zarif Afandi romantis.
Sharina diam tidak menjawab. Ikutkan hati, dia ingin menamatkan perbualan mereka serta-merta.
“Rin tak rindu pada abang ke?” soal Zarif Afandi.
Sharina terus mengunci bibir.
“Abang dah rindu sangat dengan Rin,” beritahu Zarif Afandi cuba menggoda hati birasnya.
Sharina terus membisu.
“Kita bertemu hujung minggu ni, setuju?” soal Zarif Afandi lembut.
“Rin dah beritahu banyak kali. Jangan ganggu, Rin!” Akhirnya, Sharina bersuara juga sambil mengawal rasa meradangnya. Dia teringat peristiwa beberapa minggu yang lalu. Sewaktu dia masuk ke dalam kereta untuk menyerahkan wang yang ingin dipinjam, Zarif Afandi mengunci pintu kereta kerana tidak membenarkan dia keluar. Setelah itu, birasnya itu membawanya sehingga ke Taman Tasik, Taiping entah untuk tujuan apa. Nasib baik dia berjaya memaksa lelaki itu membuka kunci pintu kereta setelah mengugut akan menelefon polis. Dia terpaksa balik ke tempat parkir kereta yang berhadapan bank tempat dia bekerja dengan teksi.
“Abang bukan ganggu. Abang benar-benar rindu.”
“Apa salahnya kita minum-minum. Abang nak ucapkan terima kasih kepada Rin kerana membantu abang tempoh hari,” beritahu Zarif Afandi. Terus memujuk.
“Rin bantu abang kerana ALLAH. Rin tak mahu apa-apa balasan,” jawab Sharina. Walaupun kecewa dengan sikap Zarif Afandi tidaklah pula dia rasa menyesal menghulurkan bantuan kepada lelaki itu.
“Abang pun nak belanja Rin kerana ALLAH jugak!” balas Zarif Afandi. “Bolehlah, sayang...”
“Tak boleh! Sampai bila-bila pun tak boleh! Rin ni biras abang. Isteri orang. Takkan abang tak faham?” tanya Sharina dengan perasaan tertekan. Takkan dia mengulangi pertemuannya dengan lelaki itu.  Zarif Afandi yang sentiasa mengintai kesempatan dan mencari kelemahannya. Pada hari itu birasnya itu sudah cuba-cuba mengusap pipi dan memegang jari-jemarinya! Hal itulah yang membuat dia geram dan meradang.
“Jomlah, hidup kan cuma sekali?” Kata-kata itulah yang selalu menerjah minda Zarif Afandi. Kata-kata itulah yang selalu dibisikkannya kepada Nora sehingga Nora terkulai layu dengan pujuk rayunya. Lalu, mereka berdua terus karam dan hanyut dalam bahang asmara. Mereka jadi manusia lupa tentang hidup sesudah mati.
“Kan Rin dah kata tak boleh. Sebab hidup hanya sekali, Rin tak mahu isi kehidupan dengan perkara dosa. Perkara yang tidak diredai oleh ALLAH,” tegas  Sharina.
“Biras tak boleh bersahabat ke, sayang?” Zarif Afandi terus memujuk dan memancing dengan kata-kata. Dia tidak pernah putus asa untuk memiliki birasnya itu. Kecantikan Sharina terbayang di mata.
“ Tak boleh, bang. Nanti akan timbul fitnah. Suami Rin pasti marah kalau dia tahu,” tegas Sharina lagi.
“Janganlah sampai dia tahu! Pandai makan, pandailah simpan.” Tanpa putus asa Zarif Afandi terus memujuk
“Dengan ALLAH macam mana nak sembunyi? Nak simpan, nak sorok?” tanya Sharina cuba mengingatkan birasnya yang tidak sedar diri itu. Belum terlintas di hatinya untuk bertemu dengan Zarif Afandi untuk bersuka-suka.Tidak sanggup rasanya untuk mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh suaminya.
“Assalamualaikum!” Akhirnya, dia menamatkan. Zarif Afandi semakin dilayan dan diberi peluang, semakin menyesakkan fikirannya. Jiwanya rasa tertekan.

“Macam mana,Kamal!?” soal Ainun dengan suara penuh mengharap. Matanya merenung Kamal dan Sharina bersilih ganti.
“Kak ngah... kak ngah... cuba tengok kaki saya ni. Tengok!” kata  Kamal sambil menggerakkan kerusi roda dan menghampiri Ainun yang sedang duduk di sofa.
“Kamal, kakak tahu... Kamal lumpuh tapi dari segi kewangan, Kamal lebih berkemampuan daripada orang yang sihat,” balas Ainun sambil menelan air liur berulang kali. Dia memandang ke arah Sharina. Cuba melihat riak air muka adik iparnya itu. Tenang atau kelat!
“Yang kakak minta tu banyak sangat. Manalah saya mampu. Kalau setakat seribu dua tu, bolehlah. Esok juga saya suruh Rin keluarkan duit. Ini sampai puluhan ribu. Eh, kan baik buat pinjaman bank,” cadang Kamal.
 “Abang Zarif kau, dah muflis! Bank mana nak beri buat pinjaman?” tanya Ainun. Dia membulatkan matanya memandang Kamal.
“Simpanan? Kan sebelum ni bisnes bagus. Untung banyak! Takkan tak ada wang simpanan?” soal  Kamal.
Ainun diam tidak menjawab. Fikirannya ligat mencari idea untuk mempengaruhi adiknya itu. “Kalau tak dapat lima puluh ribu, dapat pinjam separuh daripada tu pun jadilah Kamal,” kata Ainun terus memujuk.
Kamal berada di dalam keadaan serba salah. Tidak dibantu, yang bakal susah itu kakak darah daging sendiri. Jika dibantu masakan wang yang dipinjam akan dipulangkan kembali tanpa mencetuskan pergaduhan adik beradik.
Kamal faham sangat dengan sikap sesetengah orang. Jika meminjam dari bank mampu membayar ansuran setiap bulan sehingga bertahun. Tetapi jika meminjam daripada adik-beradik atau kawan-kawan usahkan hendak membayar sekali gus sebagaimana yang mereka terima, nak membayar secara ansuran pun banyak alasan yang akan diberi nanti. Hanguslah segala wangnya pada waktu itu.
“Sekarang ni, Abang Zarif dah tak dapat projek! Sejak kami balik ke Ipoh ni, kehidupan kami semakin lama semakin susah,” adu Ainun terus meraih simpati. Harap-harap Kamal akan terpedaya dan lembut hatinya.
“Nantilah saya fikirkan,” jawab Kamal dengan suara perlahan sambil memandang Ainun. Wajah kakaknya nampak muram dan kusut.
“Fikir apa lagi? Dapat duit insuran banyak, ratusan ribu takkan menolong adik-beradik tak boleh? Atau semua wang tu dah -kau namakan ke atas nama Rin?” soal Ainun.
Sharina tersentak mendengar kata-kata -itu. Dia merenung kakak iparnya dengan ekor mata dan dengan perasaan tidak puas hati.
“Kak ngah, wang saya, saya tahu mengatur dan menggunakannya untuk keluarga dan masa depan! Kan saya dah kata, saya akan fikirkan, terpulanglah kepada saya untuk membantu kak ngah sebanyak mana,” ujar Kamal lalu menggerakkan kerusi rodanya dan bergerak menuju ke bilik tidur diekori oleh Sharina.
Ainun tinggal sendirian di ruang tamu, terkebil-kebil melihat suasana malam. 
“Kak ngah tidurlah, berehat!”
Ainun terdengar suara Kamal melaung dari jauh. Selesai menguruskan Kamal yang perlu dibantu untuk ke katil, Sharina kembali ke ruang tamu. Ainun masih termenung.
“Kak ngah! Kalau nak tidur, bolehlah gunakan bilik tidur tetamu tu. Saya dah siapkan,” beritahu Sharina sambil menutup mulut yang tiba-tiba ingin menguap.
Ainun menarik tangan Sharina supaya duduk di sisinya.
 “Rin, cubalah kau pujuk Kamal tu.” Suaranya seakan berbisik.
“Pujuk? Pujuk Abang Kamal?” Dia sedikit tergamam. Perasaan serba salah bertandang di jiwanya. Mudahkah Kamal dipujuk? Meskipun dia tahu Kamal tidak lokek dalam soal wang, namun suaminya itu tidak begitu suka dengan abang iparnya, Zarif Afandi. Mustahil Kamal mahu membantu orang yang menjadi kebenciannya?
“Tapi kak ngah, kalau boleh saya tak mahu campur tangan dalam soal ni. Saya ni hanya adik ipar, kak ngah tentu lebih faham ragam Abang Kamal. Kak ngah dan Abang Kamal sedarah sedaging. Lagipun Abang Kamal tentu tidak setuju jika saya masuk campur, nanti dia marah saya pula,” beritahu Sharina berterus terang.
“Kau pujuklah Kamal, Rin. Tolonglah! Tentu Kamal akan lembut hati dengan pujukan Rin,” ujar Ainun lagi.
“Kalau Kamal tak dapat bantu, kak ngah pun tak tahu nak mengadu kepada siapa lagi.” Dia terus mengatur bicara dengan suara sebak. Harapannya, Sharina akan bersimpati dan akan menyebelahinya.
 “Kak ngah tidurlah dulu, nanti Rin cuba pujuk Abang Kamal.” Sharina sekadar memujuk hati kakak iparnya itu.
“Insya-ALLAH... ada jalan keluarnya nanti. TUHAN dah tetapkan rezeki setiap hamba-NYA. Kalau kita selalu bersyukur di atas kurniaan-NYA, pasti ALLAH akan tambahkan rezeki kita semua,” kata Sharina perlahan.

Ainun mencebik di dalam gelap. ‘Umur setahun jagung kau nak sekolahkan aku pulak!’ gerutunya dalam hati.


                                                               ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: