Isnin, 27 Januari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 47)


Dalam suasana pagi yang masih berkabus, Ainun beredar dari rumah Kamal dengan perasaan yang membuku. Dia terus menuju ke rumah emaknya di Kampung Sungai Tapah. Mak Cik Mariah menyambut kedatangan anaknya dengan senyuman meleret. Ainun membalasnya dengan muka masam.
“Teruk betullah perangai Kamal tu,” adu Ainun sebaik sahaja turun dari kereta.
“Kenapa? Dia tak bagi duit yang kamu nak pinjam tu?” soal Mak Cik Mariah sambil ketawa mengilai. Wajah Ainun yang mencuka mencuit hatinya.
“Ya mak! Geram betul saya. Sia-sia saya tidur di rumah dia semalam. Sampai pagi ini, dia tak bagi keputusan pun,” cerita Ainun lagi. Puas dia mengayat kepada Kamal semalam, tetapi adiknya itu terus memberi alasan.
“Kamu tu yang tak pandai berlakon! Berlakonlah manja-manja sikit! Rengek-rengek macam bini dia tu. Dapatlah apa yang kau nak!” tempelak Mak Cik Mariah.
“Kalau tak pun, tak dapat tanduk, telinga dipulas. Tak dapat rotan, akarnya pun jadilah,” Sambung Mak Cik Mariah lagi dengan kata penuh berkias.
“Bergeliga betul otak emak ni! Kenapa saya tak terfikir begitu, mak. Tak dapat mintak daripada Kamal, saya mintak daripada bini dia. Duit Kamal juga, kan? Kalau Kamal mati, dari segi hukum faraidnya, harta benda dia, saya ada hak juga walaupun sikit,” ujar Ainun sambil tersenyum. Hatinya bersinar cemerlang. Fikirannya berputar ligat mencari akal.
“Tahu pun kamu! Nak senang, nak kaya kena pandai pusing-pusingkan otak dan lidah kamu tu,” pesan Mak Cik Mariah sambil menjuihkan bibirnya. Di matanya sudah terbayang kotak yang berisi barang-barang kemas milik menantunya itu yang baru diperoleh beberapa  hari lepas.
“Rin tak mahu harta benda dunia ni, mak! Kalau ia hanya mendatangkan bencana kepada Rin. Mak simpanlah. Kalau Rin mati, emak beritahulah kepada Abang Kamal sebab barang-barang ni dia yang belikan untuk Rin.” Begitulah kata menantunya yang lurus bendul.
“Duduklah,” pelawa Mak Cik Mariah sambil menarik kerusi. Layangan kenangan terhadap menantu perempuannya segera diusir.
“Amboi, mak... cantiknya gelang! Bila emak beli ni? Besar betul!” tegur Ainun sambil memegang lengan emaknya yang bulat berisi.
“Mata kamu ni nampak aje barang-barang kemas yang emak pakai! Hah, jangan nak membodek, Emak takkan bagi kamu!” bidas Mak Cik Mariah.
“Kamal beli untuk mak ya? Patut dia tak mahu pinjamkan saya duit sebab dia dah melabur pada emak! Ya ALLAH,besarnya gelang emak.” Ainun mengekek melihat gelang-gelang yang dipakai oleh emaknya hampir tiga suku sikunya.
“Hah, itulah mak kata, kalau nak kaya, nak senang kena cerdik-cerdik. Kalau kena gayanya usahkan beli gelang macam ni, kamu nak celupkan badan kamu dengan emas pun boleh jugak, Nun...” beritahu Mak Cik Mariah sambil ketawa.
Gembira hatinya kerana segala impiannya tercapai. Hendakkan ruang dapur yang baru dan cantik, sudah terlaksana. Ingin menambah wang simpanannya juga sudah tercapai. Mahukan barang emas sudah hampir penuh kotak kayu bersaiz kotak kasut di dalam almari bajunya. Tanah kebunnya banyak. Namun hatinya masih belum puas. Semuanya belum cukup. Entah, kadangkala dia sendiri pun tidak mengerti, di dalam kehidupan ini apa sebenarnya yang dicari.

SHARINA menyediakan sarapan untuk Kamal. Dua keping roti bakar dan segelas susu serta sebiji epal hijau. Itu yang diminta oleh Kamal.
“Rin, wajar ke kita membantu kak ngah?” soal Kamal. Tiba-tiba persoalan itu muncul daripada bibir suaminya itu. Kamal mengambil roti yang dihulurkan oleh Sharina.
“Terpulang kepada abanglah. Rin ikut mana-mana yang baik saja, bang,” jawab Sharina. Seperti biasa, dia tidak pernah membantah kehendak suaminya itu.
“Baiklah, jika Rin kata begitu. Tapi Zarif Afandi tu... hmm... entahlah Rin abang rasa serba salah dan susah untuk buat keputusan,” kata Kamal ragu-ragu menyuarakan rasa tidak senangnya.
“Bang, kak ngah tu kakak sedarah sedaging abang,” nasihat Sharina. Bimbang  perasaan hati Kamal akan tercuit. 
“Famili suaminya apa kurang?” soal Kamal pula. Suaranya seakan merungut. Dia merenung Sharina yang tersenyum.
“Zarif tu kalau bercerita tentang familinya tak pernah ke bawah langsung! Semua tauke besar! Usahawan berjaya! Income juta-juta! Tapi bila dah bermasalah begitu, cari abang pula! Yang lumpuh ni! Munasabah ke?” soal Kamal.
“Dapat projek tak mahu buat kerja betul-betul! Tak amanah. Sebab tu ALLAH tutup pintu rezeki dia,” leter Kamal.
“Sembahyang tak nak! Waktu hari raya aje sibuk nak bersembahyang di masjid. Puasanya tak!” sambung Kamal dengan perasaan geram.
Sharina terdiam. Nampak benar suaminya itu terlalu marah dengan abang iparnya.
“Dah memang karakternya begitu. Nak buat macam mana,” balas Sharina pula.
“Itu abang faham, Rin. Tapi perasaan geram abang terhadap sikap biadapnya pada Rin dulu, abang belum lupa! Berani kacau bini orang! Biadap betul.” Kamal bersuara geram sambil mengetapkan giginya. 
 “Nasib baik abang fikirkan yang dia itu abang ipar. Kalau tidak...” Bicara Kamal terputus begitu sahaja. Namun masih ada dendam di dalam nada suaranya.
“Perkara tu dah lama berlalu! Tak usah dikenang lagi,” balas Sharina cuba memujuk.
“Abang tak suka sesiapa pun buat tak tentu kepada Rin, isteri abang. Walaupun darah daging abang sendiri! Walaupun emak abang,” ungkap Kamal tegas.
Sharina terdiam mendengar kata-kata Kamal itu. Kenyataan itu menyebabkan hatinya kecut. Kalaulah Kamal tahu Zarif Afandi meminjam duitnya, emak mertua memeras ugut duit dan meminta barang kemasnya, pasti Kamal mengamuk sakan.
 “Walaupun sudah bertahun-tahun, bagi abang peristiwa itu baru semalam berlaku. Panas hati abang ni masih belum reda, Rin!” Dia bersuara dengan penuh perasaan sambil mengusap-usap dadanya. Tidak ingin dia membayangkan kenangan yang menyakitkan hatinya itu.
“Yalah! Sekarang ni kan mereka di dalam kesusahan. Mungkin ALLAH sedang menduga iman abang! Sanggup ke abang menghulurkan bantuan kepada orang yang telah melakukan keburukan kepada abang! Dengan hati yang tulus dan ikhlas bukan kerana sesiapa tetapi kerana- NYA,” kata Sharina cuba memujuk lagi.
“Pelaburan untuk hari akhirat juga,” sambung  Sharina lagi dengan suara semakin perlahan. Dia bimbang Kamal akan melenting apabila mendengar kata-katanya itu. Atas prinsip itulah dia sanggup berkorban untuk emak mertuanya. Dan baru-baru ini untuk birasnya.
“Tak baik kita berdendam,” nasihat Sharina dengan suara lembut. Sebagai isteri, dia pun ada hak untuk menasihati suaminya itu jika berkelakuan tidak selari dengan ajaran agama.
“Bukan abang berdendam, tapi abang beringat. Rin ni, terlalu lembut hati. Rin, kalau bab meminjam wang ni hati-hatilah! Walau sedarah sedaging. Ini pesanan abang.”
“Dah banyak peristiwa yang terjadi, Rin... sebab wang ringgit, adik-beradik sanggup berbunuh-bunuhan. Suami isteri bercerai-berai. Sahabat baik jadi musuh. Kasih sayang berubah benci!”
 Panjang pula kutbah Kamal pada pagi hari minggu itu.
“Itu pendapat Rin saja! Apa-apa pun segalanya terserah kepada abang.”
 Kamal terdiam sejenak. Jika kakak kandung sudah mengadu hal kepadanya, mustahil pula dia sanggup lepas tangan. Mustahil dia memasukkan dirinya di dalam golongan yang rakus dan tamak juga. Dia masih ingatkan hari akhirat.Kampungnya yang abadi. Dia pun ingin membuat bekalan untuk dibawa pulang sebelum kembali.
 “Siapa kata tak mahu bantu? Bantulah juga! Abang pun suka untuk melakukan kebaikan kepada orang.” Suaranya semakin mengendur.
“Habis tu... tak usahlah abang nak pening. Bantulah kerana ALLAH. Tak usah peduli siapa yang hendak dibantu walaupun yang dibantu tu orang yang kita tak suka,” nasihat Sharina lembut. Nampaknya, Kamal termakan juga pujukannya.
“Yalah Rin, abang faham. Tapi dibuatnya Abang Zarif gunakan duit yang abang pinjamkan kepadanya tu di meja judi? Abang jugak yang dapat sahamnya nanti!” beritahu Kamal. Selama ini segala kegiatan tidak bermoral abang iparnya itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.
“Judi? Abang Zarif berjudi?” tanya Sharina dengan nada terkejut.
Kamal mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Semua cerita tentang Abang Zarif tu ada dalam poket abang, Rin...” jawab Kamal lagi.
Sharina mengeluh perlahan. “Kalau begitu, terserah kepada abanglah. Mana-mana yang abang rasakan baik, Rin ikut saja,” kata Sharina dengan lembut.
“Takkan kita nak bantu membantu dalam perkara maksiat pulak,” jawab Sharina.

Kamal mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat isterinya itu.

Tiada ulasan: