Isnin, 27 Januari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 48)


Fikiran Zarif Afandi terus berserabut. Pelbagai masalah menyelubungi dirinya. Nora yang terus menagih kasih. Ainun yang membosankan. Iklim bisnes yang terus gersang. Segalanya mengusutkan fikiran. Sharina. Nama wanita itu juga yang hinggap di hatinya. Hatinya dijenguk kerinduan. Sekali lagi dia ingin mencuba menghubungi birasnya itu. Satu demi satu butang di telefon ditekan dengan perasaan berdebar-debar.
“Helo! Assalamualaikum,” sapa Zarif Afandi sambil meromantiskan suaranya.
“Waalaikumsalam,” jawab Sharina lembut. ‘Abang Zarif!’ desis hatinya. Rasa sesal pula kerana terus menyambar telefon bimbit dan menjawab panggilan itu sebelum memerhati skrinnya.
“Rin, Abang Zarif ni.” Perasaannya berbunga indah. Hatinya bersinar bak mentari pagi apabila mendengar suara wanita itu.
“Ya, Rin tahu,” jawab Sharina lambat-lambat.
“Rin di mana ni, sayang?” soal Zarif Afandi. Telinganya dapat mendengar bunyi bising di telefon.
“Tepi jalan, bang! Rin nak pergi makan,” jawab Sharina sambil melihat jam tangan yang menunjukkan waktu 10.15 pagi. Terasa geli gegendang telinganya apabila mendengarkan ungkapan ’sayang’ daripada bibir birasnya itu.
“Ada hal penting ke?” tanya Sharina pula. Perasaannya mula jadi tidak selesa. Mustahil birasnya itu meminta bantuan daripadanya lagi. Baru lagi dia meminjamkan wang kepada birasnya itu. Itupun kerana berasa belas dan mengenangkan kak ngah serta anak-anak mereka yang dua orang.
“Kalau abang ajak Rin pergi makan tengah hari ni, Rin sudi tak?” tanya Zarif Afandi berterus terang penuh harapan. “Secara kebetulan, sekejap lagi abang nak pergi ke Taiping,” sambungnya pula.
“Minta maaflah, bang! Rin tak dapat penuhi permintaan abang tu,” jawab Sharina. Mustahil dia keluar bersama dengan lelaki lain sedangkan dirinya sudah berstatus isteri orang. Walau dengan biras sendiri. Kenangan lalu mengusik kalbu.
“Rin takut Kamal marah ya? Bukannya dia tahu...” pujuk Zarif Afandi lagi. Mengingatkan Kamal Hanafi, hatinya terasa geram. Ada dendam yang belum terbalas. Disebabkan lelaki itu, hidupnya kini sudah semakin terhimpit. Hampir dua tahun bisnesnya di dalam kemarau yang tiada kesudahannya.
“Setia betul adik abang ni! Kesetiaan kepada suami yang dah tak berdaya sia-sia aje, Rin.”
“Minta maaflah, bang! Rin isteri orang. Tak elok dan tak manis pada pandangan mata orang dan mata ALLAH,” balas Sharina pula.
“Alah, Rin... tak menjadi salahnya. Sebaliknya Kamal yang banyak bersalah kepada Rin... dari segi hukumnya, dia sepatutnya dah lepaskan Rin,” ujar Zarif Afandi mula memainkan kata-katanya.
“Apa yang abang maksudkan ni?” tanya Sharina pura-pura tak faham.
“Kamal tu dah lumpuh hampir dua tahun, kan? Dia dah abaikan nafkah batin yang harus diperoleh oleh seorang isteri. Itu hak. Kewajipan seorang suami. Tiga bulan suami tak beri nafkah batin kepada isterinya... sebagai isteri, Rin dah boleh buat aduan ke pejabat agama.”
Zarif Afandi mula berkhutbah untuk mempengaruhi birasnya itu.
“Hal itu tak penting! Yang penting, kasih sayang antara kami. Cinta dan kejujuran yang mengikat antara Rin dan Abang Kamal,” bidas Sharina. “Ikhlas kerana ALLAH, bukan kerana nafsu atau lain-lain,” sambung Sharina lagi.
“Lagipun, mana abang tahu yang dia akan kekal begitu sepanjang hayat? Kami sedang berikhtiar dan berusaha untuk berubat,” sambungnya lagi. Sudah beberapa kali dia membawa Kamal berurut secara tradisional. Nampaknya, ada perubahan yang positif.
“Kalau Abang Kamal berterusan begitu pun, Rin tetap akan bersama dengan dia sampai bila-bila,” jelas Sharina dengan lembut dan tegas. “Rin akan terima dia seadanya,” sambung Sharina lagi.
“Jujurnya Rin pada cinta. Cinta Rin pada Kamal betul-betul suci dan sejati!” perli Zarif Afandi.
“Sebelum bernikah, Rin langsung tak kenal Kamal, kan? Rin tahu tak sebelum itu dia dah ada tunang?” tanya Zarif Afandi.
“Rin dah tahu pasal tunang Abang Kamal tu. Kak Rita, kan? Dia pernah datang ke rumah berjumpa dengan Rin,” jawab Sharina.
Jawapan Sharina menyebabkan lidah Zarif Afandi terkelu seketika. Sangkanya Sharina tidak tahu tentang hal itu.
“Oh ya! Terlupa pula abang,” kata Zarif Afandi. Dia semakin bersemangat untuk berbual dengan Sharina.
“Tapi Rin tak tahu sebab mereka putus tunang, kan? Mesti Kamal beritahu Rin, pertunangan tu dia yang putuskan! Tapi yang terjadi sebaliknya. Rita yang putuskan pertunangan tu sebab Kamal tu kaki betina!! Nampak orang cantik aje terus nak rembat! Tak boleh tahan langsung, terus nak ngapp!” Fitnah Zarif Afandi lagi sambil mengharapkan Sharina mempercayai kata-katanya.
“Rin jangan percaya sangat orang berlagak warak ni,” hasutnya lagi. “Kemalangan yang menimpa Kamal tu, bala yang TUHAN bagi kat dialah sebab perangai buruknya itu,” sambung Zarif Afandi lagi tanpa rasa bersalah.
‘Astaghfirullahalazim! Apa yang Abang Zarif merepek ni?’ bisik hati Sharina. ‘Nampaknya mereka sengaja hendak melaga-lagakan aku dengan Abang Kamal,’kata hatinya.
“Abang Zarif, untuk pengetahuan Abang Zarif, abang Rin kawan baik dengan Abang Kamal. Takkan abang Rin mengizinkan Rin bernikah dengan kawannya kalau kawan dia sekeji itu. Abang ni sengaja nak mereka cerita dan nak mengeruhkan perhubungan Rin dan Abang Kamal!” tukas Sharina dengan panjang lebar.
“Alahai, Rin. Takkanlah Rin tak kenal dengan manusia hipokrit, pandai berpura-pura macam Kamal tu. Depan abang Rin, dia mainlah watak baik! Di belakang abang Rin, dah ramai perempuan yang diangkut ke sana dan ke sini. Sebab itu dia nak kahwin dengan Rin. Waktu itu, Rin muda sangat lagi. Baru habis sekolah, kan? Motifnya satu saja... biar isterinya tak mengungkit atau tidak dapat mengesan perangai buruknya.Kalau Kamal tipu pun takkan Rin nak percaya atau dapat meneka.”
Semakin berjela pula rantaian fitnah yang dicipta oleh Zarif Afandi. 
“Abang, maaf ya. Rin dah lambat ni. Tak usah telefon Rin lagi! Nanti kak ngah marah. Abang Kamal pun akan marah kalau dia tahu abang ada telefon Rin,” kata Sharina.
“Rin tak akan terpedaya dengan fitnah abang tu,” sambung Sharina lagi sambil menekan butang merah di telefon bimbitnya.

Pagi hari Sabtu yang mendamaikan. Awal lagi Sharina sudah memanaskan enjin kereta sambil memasukkan beg galas yang berisi pakaian ke dalam but kereta. Sudah lama mereka tidak pergi bercuti. Semenjak mereka menemui kemalangan jalan raya. Semenjak Kamal hilang keupayaannya. Kini, Kamal sudah beransur pulih.
“Okey bang, kita bertolak sekarang ya?” Dia memapah Kamal perlahan-lahan. Kamal berbaju T putih dan memakai seluar sukan biru tua. Perlahan-lahan langkahnya. Setelah berurut beberapa lama, kedua-dua kaki Kamal beransur pulih.
Gabungan rawatan tradisional dan moden serta doanya yang tidak pernah putus, kini dia mampu tersenyum apabila melihat suaminya itu bertambah ceria dan bersemangat kembali untuk meneruskan kehidupan.
“Kerusi roda abang... Rin ada bawa?” soal Kamal sebaik sahaja Sharina menghidupkan enjin kereta. Sememangnya Kamal seorang yang teliti dan cerewet. Dia paling pantang jika sampai ke tempat yang dituju ada barang-barang yang diperlukan tertinggal di rumah. Alamat bersedialah mendengar bebelannya.
“Dah, bang... Semua Rin dah sediakan untuk abang,” jawab Sharina. Dia merenung Kamal lama-lama.
“Ni, nak pergi ke tak mau ni?” tanya Kamal apabila Sharina belum menggerakkan kereta. “Kalau macam ni tak payahlah kita pergi.” Perangai Kamal macam budak-budak pula. Merajuk.
“Baik! Baik bang! Kita bertolak sekarang. Maafkan Rin! Mengelamun pulak,” jawab Sharina. Dia cuba menenangkan hatinya dengan beristighfar di dalam hati dan memaafkan Kamal. Perlahan-lahan dia melepaskan pedal cluth dan menekan pedal minyak kereta.        
Pukul 11.00 pagi, mereka sampai di Lumut. Sharina meletakkan kereta di tempat letak kereta berbayar.
“Bang! Duduk atas kerusi roda ya? Sampai hotel di Pangkor nanti baru abang jalan sikit-sikit,” cadang Sharina kepada Kamal apabila melihat Kamal terkial-kial menarik tongkatnya. 
“Abang tak boleh nak jalan dengan tongkat tu dalam jarak jauh sangat, tau...” kata Sharina mengingatkan suaminya.
Kamal mengangguk. Masakan Sharina hendak menolak kerusi kosong? Beg pakaian yang tergalas di bahu Sharina pun membebankan juga.
“Beg pakaian tu biar abang pegang. Ni tongkat abang ni, boleh dilipat tiga, biar abang pegang juga! Rin cuma tolak kerusi ni saja. Mana-mana tempat yang abang boleh bergerak sendiri... biar abang buat,” arah Kamal. Sharina terlalu memanjakannya. Jika berterusan begitu, fizikalnya tentu akan bertambah lemah kerana kurang stamina.
“Okey, okey. Bila abang lenguh nanti, abang beritahu Rin,” jawab Sharina. Dia cuma menurut sahaja kemahuan Kamal.
Setelah membeli tiket feri untuk menyeberangi laut menuju ke Pulau Pangkor, Sharina perlahan-lahan menolak kerusi roda menuju ke jeti. Kamal duduk membatu. Cuma Sharina sahaja tidak berhenti menceceh. Mata Kamal meliar ke sana sini. 
 Laut, ombak, deburan ombak, hanyir air laut. Ah, segalanya menyamankan. ‘Kalaulah kaki ini boleh berjalan seperti dulu,’ bisik hati Kamal sambil membina impian.
Alangkah sulitnya Sharina sewaktu cuba untuk menurunkan kerusi roda dari jeti ke feri. ‘Alamak, kenapa jeti ini tak menyediakan laluan untuk orang kurang upaya? Sharina membebel di dalam hati. 
“Uncle, tolong saya boleh!?” tanya Sharina kepada seorang lelaki. Tidak ada pilihan, dia terpaksa meminta bantuan seorang lelaki Cina yang berjalan seiringnya. Mujurlah lelaki Cina itu sudi membantu. Lebih kurang empat puluh minit berada di dalam feri, mereka sampai ke jeti Pulau Pangkor.
“Akak! Biar saya tolong angkatkan beg tu,” tawar seorang pemuda.
Sharina menjeling Kamal seketika. 
“Tak susahkan adik ke?” soal Sharina sambil tersenyum.Dia berasa lega kerana ada insan yang rela hati ingin membantunya. Pemuda tadi menggelengkan kepalanya lantas  mengambil beg pakaian yang di atas pangkuan Kamal. 
Ramai pula yang membantu Kamal dari feri ke jeti. Pemuda tadi membantu Sharina dan Kamal sehingga pasangan itu menaiki van yang akan membawa mereka ke tempat penginapan.
“Rin ni tersilap pilih tempatlah untuk percutian kita,” rungut Kamal. “Abang menyusahkan ramai orang pulak,” katanya lagi.
“Maaf, bang! Rin tak terfikir yang tempat ni tak cukup fasiliti untuk kita,” jawab Sharina perlahan. Sewaktu memilih lokasi percutian, dia tidak ingat tentang suaminya yang kurang keupayaan.
“Di hotel ada lif tak?” soal Kamal dengan wajah bimbang.
Sharina cepat-cepat bertanya kepada pemandu van yang akan menghantar mereka ke tempat penginapan. Jawapan yang diterima melegakan hati mereka.

Mereka menginap di Coral Bay Resort. Hampir dengan pantai. Selama berada di sana, Sharina membawa Kamal ke tepi pantai, selepas sarapan. Di pantai, dia menanam tubuh Kamal di dalam pasir. Dari pinggang ke bawah. Itulah yang disuruh oleh Lebai Aki sewaktu mereka pergi berurut.
Sementara menemani Kamal, Sharina akan membaca novel serta mendengar radio. Kamal pula akan membaca surat khabar. Hati Sharina tiba-tiba terasa ngilu. Beban perasaannya membuatkan dia rasa menderita. Titik-titik air mata merembes di pipi. Semakin lebat apabila ingatannya terhadap emak mertuanya semakin mekar.
“Aku pun tak tahu, kenapal Kamal sayang sangat kepada kamu, Rin. Kalaulah dia tak lumpuh, emak akan nikahkan dia dengan calon pilihan emak! Pasti menantu emak itu boleh memujuk Kamal. Kamu ni, kak ngah suruh pujuk Kamal sikit pun kamu tak mahu. Menantu apa?”
Kata-kata itu dihambur oleh emak mertuanya kerana sehingga saat itu, Kamal belum lagi memberi kata putus untuk membantu kak ngahnya.
Titis air matanya jatuh membasahi novel yang sedang di baca.Tidak semena-mena pula dia terkenangkan emaknya. Emak yang terlalu menyayanginya. Namun, dia tidak pernah menceritakan tentang emak mertuanya kepada emak kandungnya. Walaupun dia ingin sangat bebanan fikirannya dikongsi dengan seseorang. 
“Kenapa Rin menangis ni?” soal Kamal. Tanpa disedari Kamal asyik memerhatikanya dari tadi. Kemuraman di wajah Sharina dapat diduganya.
“Rin dah jemu temani abang di sini? Kalau begitu, pergi balik ke hotel, nanti abang cuba balik sendiri,” ujar Kamal lagi. Dia bersuara agak kuat kerana deburan ombak dan angin yang bertiup menenggelamkan suaranya.
“Rin sedih,” jawab Sharina sambil teresak-esak.
“Rin sedih baca novel ni.” Sengaja dia memberi alasan.
Kamal yang mendengar ketawa. “Lah... kalau sedih buat apa nak baca? Buang air mata tak tentu pasal. Carilah novel komedi  ke, komik kartun ke yang menghiburkan hati! Beli novel mahal-mahal, cerita sedih pula. Jangan baca lagi,” kata  Kamal menasihati Sharina yang sedang menangis.
“Air laut tu dah cukup banyak. Dah cukup masin. Tak usah Rin bermurah hati sangat nak menambahnya lagi,” gurau Kamal.
Mendengar nasihat Kamal, Sharina terus ketawa. Kamal yang kadangkala bersikap agak kelakar. Nampaknya, bunga-bunga keceriaan sudah berputik kembali di hati suaminya itu.
“Abang... jom kita balik ke hotel,” ajak Sharina.
Tangannya pantas mengorek pasir-pasir yang menimbus tubuh Kamal. Kamal turut membantu. Setelah mandi seketika dengan air laut, Kamal berasa badannya segar. Dia cuba menggagahkan dirinya untuk berjalan dengan dibantu oleh Sharina. Kamal dapat merasakan yang kelumpuhan kakinya akan berakhir tidak lama lagi. Dia sangat yakin ALLAH akan menyembuhkannya.
“Kamal! Assalamualaikum!” sapa satu suara. Kamal yang sedang mengelap tubuhnya dengan tuala segera menoleh. Begitu juga dengan Sharina. Berderau darah Sharina melihat wanita yang sedang mendekati suaminya.
“Rita?” soal Kamal sambil menggaru-garu kepalanya. Sudah lama mereka tidak bertemu sejak putus tunang dan dia menikahi Sharina. Tetapi cerita tentang Rita selalu didengari daripada mulut emaknya. Emak yang tidak sudah-sudah mengungkit kisah lalu.
“Saya ada dengar Kamal kemalangan kereta! Maaf, tak sempat datang melawat,” kata Rita terus beramah mesra.
Sharina menghulurkan tangannya kepada Rita.
“Tak boleh berjalan lagi?” soal Rita lagi sambil merapati Kamal dan membedek-bedek kaki Kamal dari lutut ke bawah.
“Sebulan dua ini nampaknya ada perubahan yang positif. Alhamdulillah,” jawab Kamal sambil tersenyum.
“Sharina yang menjaga saya selama saya lumpuh dan terus berikhtiar untuk memulihkan saya,” beritahu Kamal sambil memeluk bahu isterinya itu.
Sharina sekadar tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
“Baiklah, Kamal. Rita beredar dululah. Semoga segera sembuh!”  Rita sempat juga melontarkan kata-kata itu. “Rita datang ke sini bawa anak-anak dan emak bercuti,” beritahunya selamba. “Mereka ada di bilik hotel,” sambung Rita lagi.
“Oh ya, Rita. Saya dengar suami dah tak ada. Takziahlah walaupun dah terlewat,” ungkap Kamal perlahan.
“Tak apa, Kamal. Saya beredar dulu,” beritahu Rita sekali lagi. Matanya terus memandang Kamal yang masih memeluk kemas bahu Sharina. Hati Rita diwarnai cemburu. Serta-merta dia teringatkan janji Mak Cik Mariah kepadanya beberapa tahun yang lalu. Waktu itu, Kamal baru bernikah dengan Sharina.
“Rin, jom kita balik! Tolong abang...”
“Kita nak ke bilik terus atau singgah makan dulu?” tanya Sharina. Tangannya memegang pangkal lengan Kamal.
“Abang nak naik ke bilik. Nak mandi dan berehat. Kalau Rin nak makan, Rin makanlah selepas hantar abang ke bilik,” jawab Kamal. Suara Kamal tiba-tiba menjadi hambar. Hatinya berasa tidak selesa dengan kemunculan Rita itu. Tiba-tiba dia teringat kepada emak yang suka sangat Rita menjadi menantu. Sehingga ke hari ini, emaknya tidak pula boleh menerima Sharina sebagai isterinya dengan sepenuh hati. 
“Terima kasih,” ucap Kamal kepada Sharina sebaik sahaja mereka tiba di bilik. Sharina terus menghidupkan suis penghawa dingin. Setelah itu, dia masuk ke bilik air untuk membasuh kakinya dan mandi.
Kamal mengesat seluruh kakinya dengan tuala kotor. Cuba menghilangkan pasir halus yang melekat. Matanya merenung Sharina yang baru keluar dari bilik air dan sedang berdiri mengadap ke arahnya. Renungan tajam isterinya itu tidak diendahkannya.
“Rin... kalau Rin nak tanya abang tentang Rita...” bicara Kamal terhenti seketika. Dia mengambil tuala dan membuka pakaiannya.

“Jawapan abang tetap sama macam dulu jugak,” beritahu Kamal lalu menghilangkan dirinya ke dalam bilik air. 


                                                      ~ ~ bersambung ~~ 

Tiada ulasan: