Kicau burung bersahut-sahutan. Berselang-seli pelbagai
irama. Agaknya pokok-pokok di sekeliling rumah menjadi tempat persinggahan
burung. Pada waktu itu, dia sedang menyiram pokok-pokok bunga kesayangannya.
Cuaca yang agak panas kebelakangan ini menyebabkan pokok bunganya rosak. Ada
beberapa jenis pokok keladi melecur daunnya kerana kepanasan.
‘Habis pokok keladi aku,’
rungutnya sambil memandang ke langit melihat mentari yang bersinar garang.
Lantas pasu pokok keladi itu diangkat dan diubah ke tempat yang lebih redup.
Ponnn!
Tersentak Mak Cik Mariah apabila
mendengar bunyi hon kereta di belakangnya. Segera dia menoleh. Sangkanya
menantu manjanya yang datang! Kadang-kadang ada juga Sharina datang
menjenguknya. Tapi datangnya hanya sekejap. Tidak sampai 15 minit.
“Assalamualaikum,” sapa Rita yang
sudah keluar dari perut kereta Kancilnya. Rita datang dengan anak-anaknya.
“Jom masuk ke dalam rumah dulu,
Rita...” ajak Mak Cik Mariah dengan suara riang. Anak-anak Rita sudah berlari
menuju ke pintu.
“Tak apalah, mak cik. Tak
payahlah masuk ke dalam rumah. Rita nak duduk kat sini saja,” balas Rita lalu
duduk di bangku kayu yang ada di taman kecil itu. Mata Rita meliar ke seluruh
taman bunga yang menjadi kebanggaan Mak Cik Mariah itu.
“Wah, banyaknya bunga!” tegur
Rita. “Rajinnya Mak Cik mengadun bunga ni setiap hari, ya?” Senyumannya mekar
bagai bunga tahi ayam yang sedang lebat berbunga di beberapa penjuru taman itu.
“Dah memang minat mak cik, Rita.
Bukannya Rita tak tahu. Dari dulu lagi, mak cik minat menanam bunga-bunga ni,”
balas Mak Cik Mariah.
“Kak Ainun kamu dan Kamal pun
minat juga! Rita tak minat ke?” tanya Mak Cik Mariah. Dia berjalan menuju ke
pasu pokok anggerik pula. Nasib baik pokok anggerik tahan pada cuaca panas.
“Rita tak minat berbunga ke?”
soal Mak Cik Mariah lagi apabila Rita tidak menjawab soalannya.
“Minat sangat mak cik! Cuma
sekarang ni, Rita tak ada masa nak melayan bunga-bunga. Maklumlah, budak-budak
dua orang tu sedang nakal sangat. Risau pulak nak menanam bunga kot disembelih
dek Umar,” jawab Rita panjang lebar.
“Eloklah Rita suburkan balik
minat berbunga tu. Biar sama minat dengan Kamal. Nanti kalau dah duduk serumah,
senang...” ungkap Mak Cik Mariah perlahan. Matanya sempat melirik ke wajah
Rita.
“Apa mak cik? Saya nak duduk
serumah dengan Kamal?” soal Rita tak percaya. Memang sahlah Mak Cik Mariah
bersungguh untuk menjodohkannya dengan Kamal. Orang tua itu benar-benar
berkenan kepadanya! Sudah menjanda dan beranak dua pun, Mak Cik Mariah tidak
lupakan janjinya.
“Ha’ah! Duduk serumah dengan
Kamal! Rita tak suka ke?” soal Mak Cik Mariah lalu memandang ke arah lain. Dia
tidak mahu melihat ke wajah Rita kerana tahu pasti wanita itu sedang memahat
senyuman seluas pipinya.
“Saya ada bertembung dengan Kamal
di Pulau Pangkor beberapa minggu yang lalu,” beritahu Rita. Langkah kaki Mak
Cik Mariah terus diekori.
“Ya ke? Tengok tu, pergi ke Pulau
Pangkor langsung tak nak pelawa mak cik,” celah Mak Cik Mariah. “Asyik dengar
cakap bini dia aja,” marahnya pula.
“Takkan nak ajak, mak cik. Tak
ada peluanglah mereka berdua nak bercengkerama kat tepi pantai,” balas Rita
sambil ketawa. “Kamal dah boleh berjalan sikit-sikit. Nampaknya begitulah,”
beritahu Rita. “Rin tu macam dulu jugak saya tengok,” tambah Rita.
“Macam dulu macam mana?” soal Mak
Cik Mariah menduga.
“Manja...” jawab Rita sepatah.
Mak Cik Mariah mencebik. “Dia
belum tahu lagi emak mertuanya ni tak suka pada dia! Esok-esok bila Mak Cik
nikahkan Kamal dengan perempuan lain, baru padan muka dia!” ejek Mak Cik
Mariah.
“Esok-esok sampai giliran
perempuan lain pula yang dapat bermanja dengan Kamal tu. Tunggulah Kamal pulih
betul-betul dulu,” sambung Mak Cik Mariah dengan penuh tekad.
Senyuman yang terukir di bibir
Rita semakin lebar. Hatinya juga dipalu debar. Bagaikan anak remaja yang
dipinang orang pula!
Sekembalinya
dari pejabat, selesai mandi Sharina menyiram pokok-pokok bunga yang banyak
terdapat di halaman rumahnya. Dia cuba melarikan ingatannya daripada mengenangi
Zarif Afandi. Zarif Afandi yang tidak pernah jemu menggoda dan menghasutnya.
Cuba menggoyahkan cintanya kepada Kamal. Kebelakangan ini boleh dikatakan
setiap hari birasnya itu menelefon sewaktu dia di pejabat. Kalau dia tidak
menjawab panggilan di telefon bimbit, Zarif akan menghubungi talian tetap
pejabat pula.
“Rin, esok tolong keluarkan duit untuk
abang,” suruh Kamal kepada Sharina yang sedang menyiram bunga.
Kamal sedang melakukan latihan
kaki menggunakan mesin yang baru dibelinya. Mesin itu diletakkan di luar rumah
betul-betul berhampiran dengan pasu-pasu bunga peliharaan Sharina. Tempatnya
redup dan sejuk jika angin bertiup. Tubuh Kamal bermandi peluh. Setiap hari,
dua kali dia melakukan latihan mengambil masa tiga puluh minit. Kamal optimis
yang kakinya akan pulih seperti biasa tidak berapa lama lagi.
“Boleh! Abang nak keluar berapa?”
soal Sharina lembut. Dia menghampiri Kamal. “Dahlah tu, bang... cukuplah untuk
hari ni,” kata Sharina sambil mengelap
peluh yang merembes di dahi Kamal.
“Lagi lima minit,” jawab Kamal.
Sharina memperlahankan kelajuan
mesin. Dia juga turut berpeluh-peluh kerana menyiram bunga-bunga tadi. Selepas
lima minit, Kamal berhenti. Dia duduk di kerusi yang diletakkan berhampiran.
“Hmm... bau ashemmm...” kata
Sharina cuba bergurau sewaktu mencium pipi Kamal yang berpeluh.
Kamal menyengih. Tidak pernah
lagi dalam sejarah tubuh badannya berbau masam walaupun dilimpahi peluh.
“Minuman petang dah sedia ke?”
soal Kamal.
“Dah, bang. Ada Teh O dan sandwic
goreng! Abang suka tak?” soal Sharina. Dia segera beredar dari sisi Kamal untuk
mengambil hidangan yang dikatakan. Belum sempat kakinya melangkah, Kamal
menarik tangannya.
“Tak apa. Sekejap lagi. Abang nak
rehat dulu. Sementara tu bagi abang minum air kosong dulu,” minta Kamal.
Sharina segera menuangkan untuk
Kamal.
“Esok pergi keluarkan duit untuk
servis kereta, ganti tayar dan sebagainya. Kemaskini buku akaun abang juga. Dah
lama tak kemas kini,” beritahu Kamal.
“Nak keluar berapa?” tanya
Sharina. Matanya merenung Kamal yang sedang mengesat-ngesat peluh yang mengalir
di lehernya.
“Untuk kereta Rin tu... dalam dua
ribu ringgit saja. Tu, tayar kereta tu dah tak nampak bunga lagi. Pergi tukar
semua sekali, keempat-empatnya. Selebihnya terserahlah kepada Rin untuk
perbelanjaan Rin dan rumah kita ni,” kata Kamal dengan suara mendatar.
“Yang kak ngah nak pinjam tu?”
Sharina memberanikan diri untuk bertanya.
“Nanti abang fikirkan dulu,”
jawab Kamal. Hatinya masih berbelah bahagi.
“Baiklah, bang. Esok Rin
uruskan,” janji Sharina. Tidak berani dia hendak mendesak Kamal supaya membantu
kak ngah. Takut juga dia hendak bercerita tentang ugutan emak mertuanya.
“Abang nak mandi dulu,” beritahu
Kamal kepada Sharina. Dia bangun perlahan-lahan. Berdiri beberapa ketika untuk
mengimbangi badannya.
“Boleh?” tanya Sharina sambil
menghulurkan kedua -dua tangannya di hadapan Kamal. Tubuh Kamal bergoyang dan
hampir terjatuh.
“Opsss... tak apa, abang cuba
lagi. Kaki abang yang sebelah kiri masih lemah. Yang sebelah kanan rasa kuat
sikit,” jawab Kamal. Cepat-cepat dia
memegang kerusi untuk mengelak daripada jatuh.
“Insya-ALLAH, nanti mesti boleh
pulih jugak!” Dia begitu optimis yang
ALLAH telah membuka jalan untuknya sembuh. Dia akan berjalan semula.
“Insya-ALLAH, bang! Kekuatan tak
datang dari kemampuan fizikal, tetapi atang dari semangat yang tak pernah
mengalah. Suami Rin ni seorang yang amat gigih, kan?” sambut Sharina pula
sambil tersenyum memandang Kamal.
“Disebabkan Rin jugak,” pintas
Kamal. Sharinalah pembakar semangatnya. Dulu kehidupan rumah tangga mereka
sentiasa manis dan indah. Dia ingin menikmati kebahagiaan itu semula.
“Abang nak mandi, kan?” tanya
Sharina. Lantas, dia menghulurkan tuala kepada Kamal.
“Rin, malam ini kita pergi makan
kat luar nak?”
“Okey, lepas maghrib kita pergi
ya?” balas Sharina. Dia menghantar Kamal sehingga ke pintu bilik air.
Sebaik Kamal mengunci pintu bilik
air, telefon mudah alihnya berdering. Cepat-cepat Sharina menjawab panggilan
itu. Panggilan daripada kak ngah yang ingin menabur resah di halaman hatinya.
Isyarat mesej
dari telefon mudah alihnya menyebabkan Sharina cepat-cepat mengambil telefon
dari dalam beg tangan. Mana tahu Kamal mengirimkan sms buatnya dan berpesan sesuatu. Entah-entah suaminya
teringin hendak makan popia atau rojak pasembor yang dijual di gerai
berhampiran Pasar Raya Larut Matang! Sharina cuba meneka.
Rin,Kak ngah nak jumpa Rin. Kak ngah
tunggu di KFC jam 5.00 petang.
Mahu tak mahu, Sharina terpaksa menurut kehendak kakak
iparnya. Dia terpaksa mencipta alasan untuk memberitahu Kamal di atas
kelewatannya pulang ke rumah pada petang itu.
5.20 petang baru Sharina sampai
di jalan berhadapan KFC, Taiping. Setelah itu, dia terpaksa berpusing dua tiga
kali di sekeliling deretan kedai di situ untuk mencari tempat parkir yang
paling hampir.
Secebis senyuman dilemparkan
kepada Ainun sebaik sahaja melihat kakak iparnya itu sedang duduk santai sambil
menikmati minuman.
“Maaf, Rin lambat sikit. Tak ada parkir
kosong...” jelas Sharina sambil mencungap.
“Ada tak Kamal beritahu Rin
apa-apa?” soal Ainun sebaik sahaja adik iparnya duduk di sisi. Dia menghulurkan
gelas oren jus yang sememangnya telah dipesan untuk Sharina sementara menunggu
tadi.
“Minum dulu, Rin” pelawa Ainun.
Sharina menyedut jus oren untuk
menghilangkan rasa hausnya. “Terima kasih, kak ngah,” katanya. Nafasnya turun
naik beberapa ketika. “Penat! Terkejar-kejar Rin nak datang ke sini,” cerita
Sharina sambil bernafas agak laju.
“Relaks sekejap, Rin...” nasihat Ainun. Dia pun
menghirup jus orennya juga. Mereka melayani perasaan masing-masing beberapa
saat. Apabila dilihatnya Sharina kembali tenang dan tidak kepenatan, Ainun
membuka mulutnya sekali lagi.
“Ada tak Kamal cerita pada Rin
tentang duit yang akak nak pinjam tu?” soal Ainun perlahan. Matanya menjeling
ke kiri dan ke kanan.
Sharina terdiam. Dia tidak berani
untuk menjawab bagi pihak suaminya itu.
“Rin tak tahu ya?” teka Ainun.
Sharina mengangguk perlahan. Cara
itu lebih selamat daripada dia menjawab bagi pihak suaminya.
Ainun mengeluh dalam. “Kalau
Kamal tak bagi pinjam, sedihlah kak ngah,” kata Ainun dengan suara bergetar.
Dia mengeluarkan tisu dari beg tangannya.
Sharina menggaru kepalanya
melihat keadaan kakak iparnya yang sedang dibelenggu kesedihan. Hatinya memang
cepat berasa hiba apabila melihat orang menangis.
“Kak ngah nak cerita pada Rin pun
kak ngah rasa serba salah,” sambung Ainun lagi. Suaranya kali ini lebih pilu.
“Rin mesti sayang sangat pada
Kamal, kan?” soalnya pula.
Sharina mengangguk laju. Jika
semua orang di dalam dunia ini bertanyakan perasaannya terhadap Kamal, itulah
jawapan yang akan diberi.
“Kalau dah sayang kepada
seseorang, biasanya orang itu kita nampak dia baik sahaja,” sambung Ainun lagi.
Sharina tidak memberi sebarang
respons. Dia pasang telinga untuk mendengar cerita selanjutnya daripada kakak
iparnya itu.
“Rin, kalau Kamal tak dapat
pinjamkan kak ngah duit, boleh tak Rin ikhtiar bayarkan hutang Kamal kepada kak
ngah?” tanya Ainun perlahan.
Sharina tersentak mendengar
cerita itu. Setahunya, Kamal tidak suka berhutang.
“Rin diam ni mesti Rin tak
percaya cerita Kak ngah ,kan? Sebab Kamal tu lelaki yang banyak duit! Gajinya
pun banyak. Duit simpanannya pun banyak. Mustahil dia berhutang dengan kak
ngah, betul tak?” soal Ainun, sengaja hendak menyerang saraf adik iparnya.
“Rin tak tahu nak komen apa, kak
ngah,” balas Sharina. Cerita daripada kak ngahnya itu sukar untuk dipercayai.
Sama seperti cerita yang disampaikan oleh birasnya.
“Sebenarnya, kak ngah ada
pinjamkan duit pada Kamal sewaktu dia nak bernikah dengan Rin dulu! Rin ingat
tak?Kamal bernikah dengan Rin dalam tempuh tiga bulan selepas berkenalan dengan
Rin. Masa tu, dia mana nak cukup duit sebab baru beli kereta. Rin ingat tak
Toyata Camry yang dah terlibat dalam kemalangan tu?” tanya Ainun.
“Bila Kamal dah mabuk nak
bernikah dengan Rin, dia pinjam daripada kak ngah, RM50 ribu. Kak ngah pada
waktu itu loaded jugak! Maklumlah Abang Zarif banyak dapat projek
sewaktu kami duduk di Johor dulu,” cerita Ainun lagi.
“Sekarang ni, hidup kami dah
susah. Sebab tu kak ngah minta tolong daripada Kamal. Nak sebut pasal hutangnya
takut dia marah dan berasa malu dengan Rin. Jadi, kak ngah pura-puralah nak pinjam
duit daripada dia..”
Bernoktah juga cerita Ainun. Dia
menyedut jus oren sehingga ke dasar gelas sambil menjeling ke wajah adik
iparnya yang sudah nampak muram dan serba salah.
“Akak harap dapat duit tu balik
dalam tempoh sebulan ni,” desak Ainun lagi.
Sharina tidak menjawab dan tidak
juga memberi sebarang janji. “Kalau Rin nak balik,bolehlah balik sekarang,”
beritahu Ainun. “Kak ngah memang nak beritahu tentang hal itu sahaja,”
sambungnya lagi.
Sharina menghela nafas panjang.
Entah apa-apalah tuntutan yang akan dibuat oleh kakak ipar dan emak mertuanya
selepas ini. Mereka macam sengaja hendak menyusahkannya. Macam
dirancang-rancang pula. Semua masalah yang diajukan kepadanya menyentuh soal
duit. Duit! Duit!
“Okeylah, kak ngah. Rin balik
dulu. Terima kasihlah sebab sudi berkongsi cerita dengan Rin,” kata Sharina
sambil bersalaman dengan kakak iparnya itu. Setelah itu, dia pun beredar dari
situ dengan segera. Sambil berjalan menuju ke kereta 1001 pertanyaan mengasak
fikirannya. Segalanya membelit hati dan mencampakkan perasaannya di lautan
serba salah yang tiada sempadannya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan