Gerimis yang menjadi tetamu pada saat azan maghrib sedang
bergema tadi akhirnya menjadi hujan lebat yang menderu. Selepas maghrib,
Sharina dan Kamal sama-sama membaca al-Quran menanti masuknya waktu isyak.
Selesai menunaikan solat isya sahaja, Sharina terus menuju ke dapur. Hujan yang
masih lebat menyebabkan dia berasa sejuk dan kelaparan.
Kamal memerhati wajah isterinya
yang kelihatan tegang pada malam itu. Sharina yang sedang menyiapkan hidangan
makan malam tidak bersuara dari tadi.
“Rin, dah. Berhenti buat semua
tu. Tinggalkan semua kerja tu, biar abang yang buat. Rin penat ya?” tanya Kamal
sambil menghampiri Sharina perlahan-lahan. Dia belum pulih sepenuhnya lagi.
Hanya boleh berjalan setapak-setapak dan pergerakannya lambat.
“Tak apa, bang! Siapkan makan
minum untuk kita, bukan ke tanggungjawab Rin sebagai seorang isteri,” jawab
Sharina sambil melemparkan senyuman kepada Kamal.
“Dah tu, muka tu tegang semacam.
Macam tak ikhlas buat kerja saja,” tukas Kamal. Dia mengambil pinggan di dalam
kabinet pinggan mangkuk lalu meletakkannya di atas meja.
“Rin buat dengan hati yang
sucilah,” balas Sharina sambil ketawa. Tidak diduga Kamal asyik memerhatinya
dari tadi. Semua makanan sudah terhidang di atas meja.
“Duduklah, bang! Cepat kita makan
malam, cepat kita dapat berehat...” kata Sharina sambil meriangkan suaranya.
Tangan Kamal ditarik lembut sambil tangan kanannya menarik kerusi buat suaminya
itu.
“Rin, esok jadi kita keluar beli
barangan dapur?” soal Kamal sambil duduk.
Sharina cepat-cepat mencedok nasi
untuk suaminya itu. Kari ikan sembilang dengan terung bulat diletakkannya ke
dalam pinggan Kamal.
“Insya-ALLAH, esok kita pergi...”
jawab Sharina. Dia duduk sambil memerhati Kamal yang mula menyuap nasi ke
mulut. Lama dia memerhatikan suaminya itu tanpa berkata sesuatu. Wajah Kamal
tenang dan bersahaja. Kebelakangan ini wajah itu kembali berseri dan ceria.
Penuh semangat. Kejernihan air muka yang terbayang di wajah suaminya itu mendamaikan
jiwanya. Mana mungkin lelaki yang begitu seorang kaki perempuan. Berhutang
dengan kakak sendiri dan tidak mahu membayar? Sharina pelik dengan
tuduhan-tuduhan yang ditujukan kepada suaminya itu.
“Boleh kenyang ke Rin kalau asyik
pandang wajah abang?” soal Kamal sambil menjeling sekilas.
Sharina termalu sendiri.
Cepat-cepat dia mengisi nasi ke dalam pinggannya sendiri. “Rin suka tengok
abang semakin sihat. Makan pun berselera,” dalih Sharina.
Kamal tersenyum. “Apa masalah Rin
sebenarnya? Abang perhatikan sejak Rin balik dari kerja petang tadi, air muka
Rin macam orang ada masalah. Jangan nak sorokkan daripada abang,” kata Kamal
lagi.
“Tak ada apa-apalah, bang!” jawab
Sharina masih menyimpan rahsia. Jika dia memberitahu Kamal, kak ngah datang
berjumpa dengannya, 1001 soalan akan ditanyakan oleh suaminya itu. Hal itu
pasti akan membuat dia rasa lebih tertekan.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa
Rin balik lambat hari ni?” soal Kamal pula. Tangannya memberi isyarat kepada
Sharina supaya menuangkan air minuman untuknya.
“Ada sebuah kereta halang kereta
Rin nak keluar...” jawab Sharina selamba. Cepat-cepat dia mengangkat pinggannya
dan membawa ke singki.
“Abang teruskan makan, ya! Jangan
segan-segan. Rin nak ke tandas. Sakit perut tiba-tiba...” kata Sharina sambil
mengerutkan dahi dan menggosok-gosok perutnya. Tiba-tiba sahaja dalih itu
muncul di fikirannya. Sebuah ciuman singgah di pipi Kamal sebelum dia berlalu
dari situ.
Keesokan harinya,
mereka keluar ke bandar Ipoh bersama-sama. Sudah lama tidak memandu kereta,
petang itu Kamal mula memandu semula. Hatinya berlagu senang kerana
pemanduannya lancar dan tidak mengalami masalah. Lagipun kereta milik Sharina
memang auto dan mudah untuk mengendalikannya.
“Rin... minggu depan kita pergi
ambil kereta, ya?” beritahu Kamal sambil memandu.
Sharina yang terkejut menoleh
kepada Kamal. “Abang nak beli kereta ke?” soal Sharina teruja. Bibirnya memekar
senyuman.
Kamal menganggukkan kepalanya.
“Kan abang nak mula bertugas tak
lama lagi? Tak ada kenderaan, susah sikitlah abang nak berulang-alik ke
pejabat,” jawab Kamal lirih.
“Kawan abang kata minggu depan
mungkin kereta tu sampai,” beritahu Kamal tenang. Matanya sesekali menjeling ke
cermin pandang belakang.
“Abang beli Toyata Camry juga
ke?” tanya Sharina menduga. Dia teringatkan cerita kak ngah. Kamal menggeleng.
“Sebenarnya abang sayang sangat kereta Toyata Camry tu. Banyak menyimpan
kenangan manis. Dulu, abang fikir... abang nak guna saja kereta tu sampai
bila-bila. Sebab abang sayang sangat dengan kenangan indah yang tercipta
sewaktu abang baru beli kereta tu,” cerita Kamal dengan penuh perasaan. Matanya
menjeling Sharina yang berada di sisi.
“Rin dah lupa sewaktu kita mula
bertemu?” soalnya sambil menjeling Sharina sekali lagi.
Sharina ketawa mengekek. “Abang
ni... takkanlah Rin lupa. Abang langgar punggung basikal Rin! Sebabnya apa tau
tak? Bawa kereta dalam kampung orang sambil berangan-angan! Nasib baik Rin tak
patah riuk. Kalau tak, Abang Hisham pasti cari abang sampai ke lubang cacing,”
jawab Sharina berjela.
“Itulah kenangan terindah abang
dengan kereta Toyota Camry tu. Sebab itu abang sayang sangat. Tapi nak buat
macam mana dah accident pulak.” Suara Kamal berubah sayu.
“Dulu abang beli kereta tu tunai
ke, bang? Berapa puluh ribu?” tanya Sharina cuba mengorek rahsia. Inilah
masanya dia mengetahui kisah sebenar tentang kereta itu. Yang kononnya dibeli
oleh Kamal setelah meminjam duit kakaknya.
“Abang bayar ansur hmm... kalau
tak silap abang dua kali. Mula-mula abang bayar 30 ribu. Waktu tu, abang guna
duit simpanan. Tak lama selepas abang dapat duit pampasan tanah yang kerajaan
beli untuk buat jalan kereta api tu, abang selesaikan semua hutang. Rin bukan
tak tahu, abang pening kepala kalau memikirkan hal hutang ni. Sebab itu abang
tak suka berhutang dengan sesiapa walau dengan emak atau kakak abang sendiri,”
jawab Kamal.
Sharina terhenyak di kerusinya.
Penerangan Kamal itu sangat jelas dan terbukti kak ngah telah berbohong
kepadanya.
“Soal duit ringgit ni memang
abang sensitif, Rin. Abang bukan kedekut atau lokek. Tapi abang perlu
berhati-hati. Kalau orang tipu duit ringgit abang walau satu sen, memang abang
tak akan maafkan dia,” ambung Kamal lagi.
Sharina menelan liurnya sambil
mengetap bibir. Tiba-tiba dia rasa bersalah. Tiba-tiba pula dia rasa akan
dihukum suatu hari nanti.
Agak ramai juga
pengunjung di Ipoh Parade pada hari itu. Maklumlah, hari itu hari Sabtu.
Sharina menolak troli yang sarat dengan keperluan dapur ke kaunter pembayaran.
“Semua barang yang Rin nak beli
dah ada ke?” soal Kamal perlahan. Hari itu hari pertama Kamal keluar untuk
membeli-belah bersama Sharina sejak kemalangan ngeri itu. Syukur. Kakinya sudah
boleh berjalan walaupun belum sempurna lagi. Sekurang-kurangnya dia boleh
melupakan kerusi roda yang menjadi teman setianya setahun dua ini.
Sharina tidak menjawab. Dia terus
mengeluarkan barang-barang dari troli dan meletakkannya di atas meja kaunter.
“Semua barang ada ke, Rin?” ulang
Kamal lagi.
Sharina masih tidak menjawab.
Entah ke mana fikirannya melayang. Yang pasti,
dia asyik memikirkan dan mengenangkan kata-kata Zarif Afandi tentang
suaminya. Cerita Kak ngahnya. Juga kata-kata Kamal dalam perbualan mereka tadi.
“Rin ni mengelamun ke mana?
Banyak kali abang tanya, langsung Rin tak dengar,” rungut Kamal sambil merenung
ke wajah isterinya itu.
“Rin dengar, bang! Tapi, bibir ni
tak terjawab pula,” kata Sharina memberi alasan. Bibir yang tidak berdosa
menjadi mangsa hujung jarinya. Dicubit berkali-kali.
“Barang semua dah ada, bang...”
sambung Sharina lagi apabila melihat rona wajah Kamal berubah. Dia bimbang jika
Kamal dapat meneka lukisan wajahnya yang nampak tidak ceria dan tertekan.
“RM312.85,” kata gadis petugas
kaunter bayaran.
Kamal mengeluarkan duit dari
dompetnya.
“Selepas ni kita nak ke mana,
bang?” soal Sharina sambil memasukkan kembali barang-barang yang telah dibayar
ke dalam troli.
“Hantar barang ke kereta dulu,”
jawab Kamal perlahan. Dia membantu Sharina menolak troli yang sarat itu.
“Abang, sebelum kita ke
mana-mana, kita makan dulu! Perut Rin
dah berdendanglah,” cadang Sharina sambil merenung Kamal yang berjalan di
sebelahnya. Pergerakan Kamal agak lambat kerana kakinya masih belum pulih.
“Kita makan di restoran yang ada di sini aje, nak tak?”
“Okey! Kalau begitu abang tunggu
di sini! Tak apa ke kalau Rin bawa barang-barang ni sorang?” soal Kamal lagi.
“Tak apa! Kereta dekat aje,”
jawab Sharina lembut. Yang sebenarnya, dia kasihan melihat suaminya itu
bersusah payah membantunya.
Sepeninggalan Sharina, Kamal
sempat mencuci mata dengan barang-barang perhiasan wanita di kedai emas yang
berhampiran dengan tempat dia menunggu isterinya itu. Kamal tertarik dengan
seutas gelang tangan. Lama juga dia meneliti gelang tangan itu. Sebaik sahaja
urusannya dengan pekerja di kedai itu selesai, bahunya ditepuk seseorang.
“Mal!” Seorang wanita terus duduk
di sisinya. Kamal terperanjat dengan kehadiran wanita itu. Mata Kamal sempat
memerhati pintu masuk ke pasar raya itu kalau-kalau isterinya sudah kembali
semula.
“Beli gelang untuk Rin, ke?” soal
wanita itu. Matanya sempat melihat gelang tangan yang dibeli oleh Kamal tadi.
Sebenarnya lama juga dia memerhati Kamal yang memilih barang-barang emas di
situ.
“Rita,” sapa Kamal terpaksa. Dia
berasa tidak selesa dengan kehadiran wanita itu. Baru lagi mereka bertembung di
Pulau Pangkor. Hari ini bertemu semula. Mata Kamal memerhati rambut Rita yang
terdedah. Wanita itu masih seperti dulu. Suka mengiraikan rambutnya di khalayak
ramai.
“Rita seorang saja ke?” tanya
Kamal sekadar berbasa-basi.
“Ha’ah... Saja Rita nak
jalan-jalan. Kalau bawa budak-budak itu payah nak menjaganya. Dua-dua sedang
nakal,” beritahu Rita.
Kamal mengangguk. Perangai Rita
yang suka merambu itu nampaknya masih belum terhakis walaupun dia sudah
berusia.
“Kamal datang seorang ke?” soal
Rita pula. Matanya menatap wajah Kamal. Wajah yang selalu dirindu dan
diangan-angankan.
“Saya datang dengan Rin tadi. Dia
pergi hantar barang ke kereta,” jelas Kamal bersahaja. Dia berdoa dalam hati
supaya Sharina cepat-cepat muncul di situ. Bibir Kamal segera melebar apabila
terlihat kelibat isterinya di pintu masuk sambil menolak troli yang sudah
kosong. Sharina terus menuju ke tempat penyimpanan troli dan tidak perasan
Kamal sedang memerhatikannya dari situ.
“Saya beredar dulu.Tu... Rin dah
sampai. Assalamualaikum,” kata Kamal. Cepat-cepat dia meninggalkan Rita di
kedai emas itu. Dia segera mencari Sharina di tempat yang dijanjikan tadi.
AINUN
menyelongkar di dalam laci, mencari telefon bimbit Zarif Afandi sebaik sahaja
Zarif Afandi masuk ke dalam bilik air. Matanya merenung setiap nombor panggilan
yang dibuat oleh lelaki itu. Nombor cuba diingati. Mesej-mesej pesanan ringkas
yang tersembunyi di dalam folder yang dinamai oleh Zarif Afandi sebagai
Sukmahatiku dibaca oleh Ainun satu per satu. Perasaan marahnya menggelegak dan
rasa cemburunya menjulang-julang. Nampaknya, Zarif Afandi masih seperti dulu.
“Nun buat apa dengan telefon
abang tu?” soal Zarif Afandi sebaik sahaja keluar dari bilik air. Pantas dia
merampas telefon bimbitnya daripada tangan Ainun.
“Jangan usik telefon bimbit
abang! Abang tak suka!” marah Zarif Afandi. Menjadi kepantangannya jika isteri
cuba menyibuk hal peribadinya.
Ainun tidak menjawab. Hatinya
berasa terlalu sakit apabila membaca mesej-mesej romantis Zarif Afandi kepada
seorang wanita.
“Sekarang ni, abang berkasih
dengan siapa pulak?” soalnya sambil menjeling geram.
“Tak ada siapa-siapa.” Memang
betul, dia tidak berkasih dengan sesiapa pun. Apa yang dilakukan sekarang
hanyalah cuba memikat birasnya. Itupun untuk membalas dendam kepada adik
iparnya. Keperitan yang dirasai di pipinya kerana dilempang oleh Kamal pada
malam itu masih terasa.
Kenangan itu begitu membekam pada
jiwa. Tambahan pula apabila Kamal menolak kerja-kerja pembinaan yang dilakukan
sehingga kontraktor lain hilang kepercayaan terhadapnya, perasaan dendam itu
semakin melebar.
Di samping itu, dia hanya
melayani Nora yang sedang dahagakan kasih serta cintanya. Rindukan belaian
tangannya.
“Kenapa abang nak sembunyikan
daripada Nun kalau betul! Nun bukannya marah sebab sekarang ni abang tak banyak
duit macam dulu-dulu. Perempuan mana yang nak pada abang?” perli Ainun. Mana
ada perempuan yang kemaruk kepada lelaki yang pokai. Kalau benar ada memang
perempuan itu daripada spesies tidak begitu cerdik. Fikir Ainun.
“Amboi, pandang hinanya Ainun
pada abang!” bidas Zarif Afandi. “Bukannya abang tak ada duit langsung!”
Jelasnya dengan suara kendur. Setelah itu, senyuman tipis tersungging di hujung
bibirnya. Dia telah terjumpa dua ikat not RM50 di sebalik kain baju isterinya
sewaktu mencari dokumen perjanjian di dalam almari malam tadi.
Mendengar kata-kata itu, Ainun
tersenyum lebar.
“Abang ada dapat projek baru ke,
bang?” tanya Ainun manja.
Zarif Afandi mengangguk perlahan.
Ainun memang dasar perempuan mata duitan. Mendengar perkataan duit sahaja terus
lembut lidahnya.
“Itu yang abang nak beritahu
kepada Nun! Abang outstation sebab nak berbincang dengan kawan abang
tentang projek yang dikatakannya itu. Tiga hari abang pergi,” beritahu Zarif
Afandi sambil tersengih-sengih.
“Ya bang?” tanya Ainun semakin
teruja. “Tapi nanti kalau dah dapat projek baru, abang ada modal ke?” soalnya
pula kerana berasa ragu di atas kemampuan kewangan suaminya.
“Simpanan abang ada sikit lagi!
Tapi kalau Nun sanggup pindahkan wang simpanan Nun ke dalam akaun syarikat kita
buat sementara, kewangan syarikat kita nampak lebih kukuh. Senang sikit orang
nak percaya,” kata Zarif Afandi berhati-hati.
“Berapa nilai projek tu? Ribuan
ke... jutaan?” tanya Ainun sambil ketawa. Zarif Afandi pura-pura ketawa bersama
isterinya.
”Adalah... takkanlah abang nak ambil
projek kecil saja.” Di dalam hatinya, dia terus berdoa, berwirid dan beratib
agar isterinya itu mempercayai segala kata-katanya.
“Bila abang nak bertolak? Biar
Nun siapkan pakaian abang,” kata Ainun ingin menabur bakti. Matanya terus
menatap wajah suaminya. Datang pula rasa sayangnya kepada Zarif Afandi pada
waktu itu.
“Tak payah Abang dah siapkan!
Abang nak pergi sekarang.”
“Abang, boleh tak Nun nak pergi
ke rumah Kamal malam ni? Nun nak pergi dengan Rita,” beritahu Ainun sekali gus
meminta izin daripada suaminya untuk keluar rumah.
‘Amboi, dah tebiat agaknya
perempuan ni! Baru dengar dapat projek baru saja, terus nak jadi isteri
solehah. Nak keluar pergi rumah adik dia pun nak minta izin segala! Selalu tu
tak pernah pun! Buat laki macam tunggul kayu,’ gerutu Zarif Afandi dalam hati.
“Abang izinkan tak?” tanya Ainun
sambil melentok-lentokkan lehernya yang pendek.
“Abang pun nak keluar. Takkan Nun
abang nak kurung dalam rumah pulak! Pergilah Nun walau ke mana pun. Abang pergi dulu, ya...” Cepat-cepat dia
menuju ke pintu.
Minggu lepas, dia sudah berjanji
dengan teman lama, kawan seperniagaan untuk menghiburkan hati. Melampiaskan
kegelisahan hati yang rawan. Mereka bercadang ke Genting Hihglands atau ke
Hatyai. Sepuluh ribu sudah ada di tangan. Tunai. Nora sudah sanggup untuk
menemani. Bukan sahaja menjadi penyokong di meja judi bahkan untuk menemaninya
tidur juga. Begitulah kesaktian cinta. Manusia bisa runtuh ke jurang kehinaan
atau dijulang ke puncak kemuliaan kerana rembatannya.
Selepas isyak
dan membaca al-Quran sebanyak dua muka surat, Sharina terus mengurungkan
dirinya di dalam bilik untuk membaca novel. Kamal pula memilih untuk menonton
televisyen di ruang tamu.
Keriutan pintu bilik mencampakkan
khayalan dan lamunan Sharina. Dia terus melemparkan senyuman kepada suaminya
yang sedang masuk ke dalam bilik.
“Rin tak tidur lagi? Esok nak
kerja, kan?” soal Kamal sambil berjalan menghampiri isterinya itu.
“Esok hari Ahadlah, bang...”
jawab Sharina sambil ketawa.
Kamal menepuk dahinya lalu turut
ketawa kecil. Maklumlah, sudah lama tidak bekerja sehingga hari pun dia jadi
lupa.
“Rin nak tunggu abang.” Keresahan
di hatinya cuba diselindungi. Dia membetul-betulkan kedudukan bantal Kamal di
atas tilam.
Kamal diam dan berjalan menuju ke
almari. Dia mengambil sesuatu dari dalam almari dan kembali duduk di atas tilam
rapat dengan Sharina. Kamal menatap wajah isterinya sambil tersenyum.
“Ini, abang belikan untuk Rin,
tadi! Cubalah,” kata Kamal sambil meletakkan sebuah kotak kecil di atas
pangkuan Sharina yang sedang berlunjur dan menyandarkan belakangnya ke kepala
katil.
“Apa ni, bang?” tanya Sharina
dengan gaya teruja.
Kamal memberi isyarat supaya
Sharina membuka kotak itu. Dia terus menunggu Sharina membuka penutup kotak
dengan sabar. Mata Sharina membesar apabila melihat isi kotak itu. Seutas
gelang tangan yang begitu cantik reka bentuk kerawangnya.
‘Subhanallah...’ bisik hatinya
hampir menitiskan air mata. TUHAN telah memberi ganti barang-barang emas yang
telah diberikan kepada emak mertuanya. Apabila emak mertuanya asyik mendesak
dan mengungkit yang bukan-bukan, dia pun merelakan hatinya untuk mengorbankan
barang-barang yang sangat disayanginya untuk menggembirakan hati wanita itu.
Emak mertuanya. Emak suaminya. Kakak suaminya, kakak iparnya juga. Sharina terus
memendam rasa.
“Gelang tangan? Terima kasih,
bang! Cantiknya!” Sharina teruja. Gelang tangan sebesar dua jari itu terus
disarungkan ke lengan dan dipamerkan kepada Kamal.
“Cantik tak?” soal Sharina cuba
bermanja. Dia menggawang-gawangkan lengannya di depan mata Kamal.
Kamal hanya tersenyum.
“Baju tidur yang Rin pakai cantik
tak?” soal Sharina lagi sambil menggoyang-goyangkan bahunya. Baju tidur yang
dipakai baru dibelinya tengah hari tadi. Warna kuning air, berlace putih di
bahagian dadanya.
“Cantik,” puji Kamal sambil
tersenyum dan meredupkan matanya apabila menatap wajah isterinya yang sedang
tersenyum manis. Rambut Sharina yang melepasi dada dan dibiarkan terurai begitu
mempersonakan matanya. Isterinya memang cantik. Satu-satunya bidadari di dalam
syurga hatinya.
“Apa yang ada pada Rin, yang Rin
pakai, semua cantik,” kata Kamal lagi sambil menarik hujung hidung isterinya
itu.
Sharina menggaru-garu kepala yang
tidak gatal. Cuba memikirkan sebab Kamal membelikan barang yang amat berharga
itu. Dengan nilai emas yang semakin melambung ketika ini, harga gelang yang
tersarung di lengannya itu mungkin lebih lima ribu harganya.
“Selamat hari lahir!” ucap Kamal tanpa kucupan
mesra bagai waktu dulu.
Sharina semakin teruja. Demi
ALLAH, dia sendiri telah lupa tarikh hari lahirnya. “Astaghfirullahalazim,”
ucap Sharina.Hatinya tersentuh.
“Abang, lain kali tak payahlah
abang membazir duit untuk beli barang-barang yang mahal ni untuk Rin,”
beritahunya jujur. “Rin dapat kasih sayang abang pun dah cukup! Tengok abang kembali
sihat, itu pun sudah memadai dan Rin bersyukur sangat-sangat,” sambungnya lagi.
Kamal hanya mendengar segala kata-katanya dengan senyuman.
“Kerana kasih sayang abang pada
Rin, kalau boleh abang nak jolokkan bulan untuk Rin,” tukas Kamal pula. Sehingga
kini kasih sayangnya tidak pernah berubah walaupun sedikit.
“Terima kasih, bang!” ucap
Sharina sekali lagi sambil tersenyum manja. Menyembunyikan keresahan di jiwa.
Kalau emak mertuanya nampak dia memakai gelang yang cantik itu, pasti emak
mertuanya cemburu. Makan hati.
“Rin sendiri pun dah tak ingat birthday
Rin. Rupa-rupanya abang tak lupa,” sambung Sharina lagi. Kolam matanya mula
digenangi air.
“Rin tu dah terlalu sibuk
sehingga mengabaikan diri sendiri,” tukas Kamal. Suaranya seolah membisik.
“Tetapi soal Rin, abang tidak
pernah lupa walau sesuatu pun,” sambung Kamal lagi.
Perasaan Sharina berasa tersentuh
mendengar kata-kata itu. Memang benar suaminya itu tidak pernah melupakan
hari-hari penting mereka walaupun sesibuk mana pun dia dulu. Spontan tangannya
mencapai tangan Kamal dan mencium hujung jari suaminya itu dengan perasaan
sebak.
“Rin! Tadi abang telah
menghubungi jabatan tempat abang bertugas, insya-ALLAH lagi dua minggu abang
akan mula bekerja,” cerita Kamal dengan
suara ceria. Matanya juga bercahaya.
“Tapi abang belum pulih
sepenuhnya, berehatlah dulu,” kata Sharina sambil melarik senyuman. Matanya
memerhati Kamal yang sedang duduk di birai katil di sisinya.
“Daripada duduk di atas kerusi
roda berbulan-bulan sehingga kini abang telah mampu berjalan kembali walaupun
terpaksa disokong oleh tongkat, syukurlah Rin! Abang dah bosan duduk di rumah,”
kata Kamal. Bicaranya panjang lebar.
Lautan hatinya kini tidak berkocak lagi bagai hari-hari yang lalu. Sudah mampu
berjalan sedikit walaupun terdengkot-dengkot bermakna adalah harapan untuk
pulih.
“Bila Rin pergi kerja, abang
keseorangan di rumah,” kata Kamal setelah terdiam seketika. Betapa sepi hatinya
lewat hari-hari yang lalu. Betapa kosongnya. Tidak terluah oleh kata-kata.
Tidak berapa lama lagi, kesepian itu akan dapat diusir. Mungkin rasa
kekosongannya juga akan berangkat pergi.
“Sekarang abang rasa tidak sabar
untuk kembali ke pejabat,” ungkap Kamal lagi dengan suara girang.
“Alhamdulillah, bang! Syukurlah,”
balas Sharina.
“Rin, sewaktu abang duduk di
rumah, abang berfikir tentang banyak perkara,” beritahu Kamal lagi. Kini, dia
memegang jari-jemari Sharina.
“Apa yang abang fikirkan?” soal
Sharina sambil meredupkan matanya kala merenung Kamal.
“Alangkah bagusnya jika kita
memiliki seorang dua cahaya mata.” Matanya sempat menjeling Sharina yang berada
di sisinya.
“Rin... bila abang dah sembuh
betul, kita berdua ikhtiar untuk memperoleh anak,” bisik Kamal perlahan.
Sharina masih membisu.
“Bila dah ada anak, Rin berhenti
kerja dan duduk dirumah,” sambung Kamal lagi. Nada suaranya riang dan penuh
harapan. Ungkapan kata-kata Kamal itu menghumbankan batin Sharina ke laut
resah. Hutangnya dengan bank kerana kehendak emak mertuanya banyak lagi yang
belum selesai.
“Pendapatan abang dah cukup untuk
sara hidup keluarga,” kata Kamal lagi. “Walaupun kita ada anak sedozen,” gurau
Kamal pula.
“Abang dah bersedia untuk miliki
anak? Bukan ke dulu abang tak mahu anak lagi?” soal Sharina. Dulu, Kamal
berkeras tidak mahukan anak. Rimas. Bising. Tidur malam terganggu. Seribu satu
macam sebab yang diberikannya kerana
tidak mahukan kehadiran cahaya mata. Namun apabila dia mengandung dan
keguguran, Kamal menangis kecewa.
“Dulu, Rin terlalu muda. Abang
tidak mahu membebankan Rin dengan tanggungjawab yang besar. Sebagai isteri... sebagai ibu,” terang Kamal
perlahan.
“Tapi bang, sekarang ni tak lewat
sangat ke?” soal Sharina cuba menguji suaminya.
Kamal ketawa kecil. Sharina
memeluk Kamal dan mencium pipi suaminya itu seketika. Apabila melihat suaminya
ketawa hatinya berasa terlalu bahagia.
“Lebih baik terlewat sikit
daripada tak ada langsung. Rin baru 26 tahun! Abang baru 34,” jawab Kamal
sambil menggaru-garu keningnya. “Nanti kita pergi jumpa pakar sakit puan.
Dapatkan nasihat. Sebab dulu doktor kata, rahim Rin tak kuat,” cadang Kamal.
Dia begitu bersemangat dan rasa tidak sabar untuk melihat isterinya itu
mengandung.
“Kita pergi hari Isnin nanti,”
sambung Kamal lagi sambil memaniskan wajahnya. Harapannya hari-hari mendatang
ini kebahagiaan yang pernah mendatangi rumah tangga mereka akan hadir semula.
“Okey,” jawab Sharina.
Kamal membalas dengan mengucup
kedua-dua kening isterinya. “Masih ada waktu lagi kalau kita ikhtiarkan. Tak
dapat lima orang, dapat tiga orang pun, syukur!” kata Kamal lagi sambil melirik
Sharina dengan ekor matanya.
“Lima? Abang! Penatlah Rin
nanti,” jawab Sharina dengan suara yang agak kuat sambil menampar manja lengan
suaminya.
“Nasib baik abang minta
lima,kalau abang nak sebelas orang?” kata Kamal sambil ketawa lagi.
Sharina turut ketawa.
Kamal
melepaskan Sharina daripada rangkulannya apabila terdengar bunyi dentingan
loceng. Dia segera berkejar ke tingkat bawah dan membuka pintu hadapan untuk
melihat tetamu yang datang. Ainun berdiri di ambang pintu sambil melemparkan
senyuman hambar kepada adik iparnya itu.
Sharina terkejut melihat tetamu
yang menemani kakak iparnya. “Kak Rita...” sapanya ramah. Tubuhnya tiba-tiba
bergetar. Bekas tunangan Kamal itu tersenyum manis melihatnya.
“Masuklah... Abang Kamal ada di
bilik,” beritahu Sharina sambil bersalam dengan kedua-dua orang wanita itu.
“Yalah,” jawab Ainun. Sharina
sempat bersalaman dengan dua orang kanak-kanak comel yang dibawa oleh mereka.
“Jemput duduk! Saya panggilkan
abang Kamal,” ujar Sharina lagi lantas beredar ke bilik untuk memanggil
suaminya dan memberitahu tentang tetamu yang datang. Hatinya rasa berlainan
benar dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang pada malam itu.
“Abang, kak ngah datang dengan hmm... Kak
Rita...” beritahu Sharina berterus terang dan melihat riak wajah suaminya itu
yang nampak teruja dan terkejut. “Kak Rita bawa anak-anak dia,” beritahunya
lagi.
“Rita bawa anak-anak?” soal
Kamal. Kamal terkenang pertemuannya dengan Rita di kedai emas petang tadi. Dia
berjalan tergesa-gesa menuju ke ruang tamu. Macam tidak sabar-sabar lagi untuk
bertemu dengan tetamu yang datang. Hati Sharina tiba-tiba diintip
rasa cemburu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan