Isnin, 27 Januari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 51)


Balik sahaja dari bandar Ipoh kerana menguruskan pemindahan wang simpanannya ke akaun Syarikat ZA Construction Sdn Bhd seperti yang diminta oleh suaminya, Ainun terkejut besar. Sebaik sahaja dia menyimpan buku akaunnya di dalam laci, tiba-tiba dia teringat duit yang baru diberikan oleh Sharina. Lalu tangannya meraba-raba di belakang susunan lipatan kain bajunya. Menyirap darahnya serta-merta. Jantungnya bagai melompat keluar. Duit tunainya telah hilang!
Matahari yang bersinar gagah seolah-olah tidak lagi cerah. Langit yang membiru seolah kelabu. Gelap pandangannya beberapa ketika. Dunia pun seolah-olah berpusing sehingga perasaannya menjadi tidak tentu arah.
‘Macam mana boleh hilang ni?’ tanyanya sendiri bertalu-talu. Air mata mula merembes. Hampir botak kepalanya kerana dia asyik menggaru-garu kepala dan menarik rambut apabila rasa kecewa. Wang yang dicari tidak dijumpai.
Seharian dia menyelongkar almari kain bajunya kalau-kalau dia tersilap tempat menyembunyikan wang itu. Namun hampa. Hatinya diasak dengan perasaan marah dan geram yang semakin menyendat.
‘Mesti Abang Zarif yang ambil duit ini,’ tebaknya dengan deraian air mata. ‘Penat-penat aku menghabiskan air liur untuk memperdayakan Sharina senang-senang Abang Zarif kebas duit itu pula,’ rungutnya. Dia berasa tidak sabar menunggu kepulangan suaminya itu.

Hampir tengah malam, Zarif Afandi tiba di hadapan pintu rumah. Ainun menyambut suaminya dengan wajah yang masam mencuka. Cahaya bulan pun semakin pudar kerana ada tanda-tanda yang bumi akan disirami hujan.
“Abang, bagi balik duit Nun!” tempik Ainun sebaik sahaja Zarif Afandi duduk di atas sofa.
Zarif Afandi membisu.
“Bagi balik duit Nun!” ulang Ainun lagi dengan suara yang lebih kuat dari tadi sambil menghentakkan kakinya.
Zarif Afandi merenung Ainun seketika. Wajahnya yang sugul bertambah kusut apabila menerima layanan begitu daripada Ainun. Bukannya hendak menyambut kepulangan suami dengan dakapan mesra atau sapaan manja.  
“Buat apa abang ambil duit Nun?!” jerit Ainun menggeram lalu mencubit paha suaminya.
Zarif Afandi cuba menepis, tetapi tangan isterinya itu laju pula menampar-nampar dadanya berkali-kali.
“Kenapa dengan awak ni? Suami balik penat-penat bukan nak layan manja! Bawakan segelas air ke? Ni awak nak bertempik tengah-tengah malam apa pasal?” soal Zarif Afandi sambil membuka kemejanya.
“Nun bagi abang minum racun nanti!” gertak Ainun sambil menjegil mata kepada suaminya.
Zarif Afandi tersentak. ‘Busuk betul hati kamu!’
“Duit apa yang abang ambil? Abang tak tahu apa-apa pun,” kata Zarif Afandi sambil merenung wajah isterinya yang masam. “Berapa ribu duitnya yang hilang itu?” Zarif Afandi pura-pura tidak tahu.
“Duit tunai dalam almari baju! Ada sepuluh ribu. Duit tu duit Nun! Buat apa abang ambil?” marah Ainun sekali lagi. Sekali lagi paha Zarif Afandi dipulasnya.
“Sekarang ni, abang mesti pulangkan balik semua duit Nun. Duit yang Nun dah transfer ke akaun syarikat pun abang kena pulangkan balik!” Sungguh dia rasa menyesal kerana terpedaya dengan kata-kata suaminya. Air matanya mula bercucuran. Terasa sayang kepada duit ringgit yang telah hilang daripada simpanan.
“Jangan-jangan perompak masuk ke dalam rumah dan ambil duit Nun! Itulah simpan lagi duit tunai dalam rumah,” kata Zarif Afandi sambil ketawa. Kekecewaan kerana kalah berjudi terpadam seketika.
“Abanglah perompaknya! Kalau perompak masuk, barang-barang lain pun mereka dah selongkar,” balas Ainun geram.
“Abang nak pulangkan ke tak nak? Nun buat repot polis nanti!” ugut Ainun pula. Perasaannya benar-benar terbakar dengan kelakuan suaminya itu.
“Yalah! Yalah! Nanti abang pulangkan. Pinjamkan sekejap pun tak boleh,” janji Zarif Afandi. Di dalam hatinya, dia ketawa gembira. “Nun pindahkan semua duit simpanan Nun ke dalam akaun syarikat kita?” tanyanya lembut.
Ainun mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Buat apa Nun pindahkan semua?” tanya Zarif Afandi berpura-pura kesal dengan tindakan Ainun itu.
“Bak sini nombor telefon kawan abang yang janjikan projek untuk abang tu,” kata Ainun tiba-tiba.
Zarif Afandi tersentak. Nombor siapa yang hendak diberikan kepada isterinya itu? Kata-katanya tentang projek hanyalah cerita rekaan.
“Esok, abang mesti pindahkan balik duit-duit tu ke dalam akaun saya!” arah Ainun.
“Hai, bukan ke awak nak bantu perniagaan saya?” soal Zarif Afandi pula. Pelik dengan sikap isterinya yang mudah bertukar corak bagaikan pasir-pasir di tepi pantai.
“Ah, satu sen pun saya takkan bantu abang! Nak maju ke? Nak lingkup ke sedikit pun saya tak peduli! Tak malu ke minta duit daripada perempuan ni? Sepatutnya abang yang memberi duit kepada saya. Bukannya saya yang memberi duit kepada abang!” jerit Ainun. Marahnya masih berapi.
“Takkan sikit pun tak boleh bantu? Kan Ainun isteri abang. Bila ekonomi abang stabil, abang bayar balik!” Zarif Afandi cuba memujuk. Sesungguhnya, dia berasa tersepit dengan hutang yang semakin bertambah.
“Lagipun, wang simpanan saya tu untuk keperluan saya,” terang Ainun lagi. Nada marahnya masih belum kendur. Wajahnya terus keruh.
“Sudahlah! Kalau tak mahu bantu, tak apa...” Dia berpura-pura terhiris hati dengan perlakuan dan percakapan Ainun. Air mukanya dimuramkan.
“Abang berbohong dengan saya. Mesti abang pergi berjoli dengan duit saya tu! Abang ada perempuan lain ya?!” tuduh Ainun. Tangisannya mula bertandang. Dia teringat kepada mesej pesanan ringkas yang dibacanya di dalam telefon suaminya itu.
“Awak merepek apa ni?” soal Zarif Afandi cuba mengelak daripada menjawab persoalan Ainun.
 Ainun yang amat tebal dengan sikap cemburunya. Sama macam adiknya, Kamal. Maklumlah satu keturunan.
“Kalau saya dapat tahu siapa perempuan yang abang selalu hubungi tu, siaplah!” ugut Ainun.
“Lantak awaklah, Nun! Melalaklah sorang-sorang! Saya dah jelak! Saya nak keluar balik ni! Nak pindahkan duit awak balik,” balas Zarif Afandi sambil menyengetkan senyuman di hujung bibirnya.

SUDAH sebulan dia bertugas kembali. Kamal benar-benar bersyukur. TUHAN telah mengembalikan nikmat kakinya. Hanya kebahagiaan dan kegembiraannya bagaikan tercalar kerana perubahan sikap isterinya.
Hari ini pun Sharina bercuti. Ingin berehat katanya. Wajahnya muram dan senyuman tidak terlukis di bibirnya. Fikiran Kamal terkisar-kisar ke sana dan ke sini. Cuba meneka apa yang menyebabkan Sharina berubah sikap.
Perubahan Sharina begitu ketara sejak Rita datang bertandang ke rumah mereka pada malam itu. Malam yang sepatutnya menjadi malam yang indah dan hangat bertukar hambar.
Sehingga hari itu, janji yang telah dimeterai pada malam kedatangan Rita, tidak tertunaikan. Kamal kecewa, namun terus bersabar. Bukankah selama ini pun dia sudah lama bersabar? Kesabaran baginya bagaikan menghirup air dingin pada waktu kehausan.
Dari pintu lif yang terbuka, Kamal terus melangkah laju menuju ke pejabat dan menyelinap masuk ke dalam biliknya tanpa menyapa sesiapa.
Di atas meja sudah terbentang beberapa keping kertas bersaiz besar. Pelan bangunan yang akan didirikan oleh sebuah syarikat komunikasi bertaraf antarabangsa di bandar itu. Sejak dari semalam pelan itu sudah terbentang di atas meja kerjanya. Sudah diteliti secara kasarnya. Namun, harus diperhalusi lagi untuk beberapa hari. Diperhalusi dari segenap sudut. Itulah projek pertama yang menjadi tanggungjawabnya sejak dia mula bertugas semula.
Bip! Bip! Getaran telefon bimbit di atas meja, mengganggu konsentrasinya yang sedang menganalisis gambar rajah yang terlukis di dada kertas di atas mejanya. Skrin telefon bimbit memaparkan nama manja yang diberikan untuk isterinya. Kamal mengamati kata-kata Sharina yang disulami batuk-batuk kecil.
“Tak boleh. Abang tak izinkan. Rin kan tak sihat,” kata Kamal dengan suara serius dan nada suara yang tegang. Dia menggigit bibir apabila mendengar Sharina merengus kecil. 
“Rin nak balik ke rumah emak pun abang tak izinkan?” soal Sharina dalam nada protes. Emaknya baru balik dari Alor Setar semalam. Dia terasa rindu sangat untuk bertemu dengan emak dan abangnya.
“Bukan abang tak izinkan. Tadi Rin beritahu abang, Rin bercuti sebab nak berehat, kan? Berehat saja di rumah. Cuaca panas sekarang ni,” kata Kamal dalam nada perlahan.  Telefon bimbit ditekannya kuat-kuat pada telinga. “Lagipun, tadi sewaktu abang di rumah, Rin tak beritahu pun yang Rin nak balik ke rumah emak,” leter Kamal lagi.
“Dah beritahulah ni,” jawab Sharina dengan suara serak.
“Tak boleh! Abang tak benarkan,” tegas Kamal lagi.
Sharina diam tidak menjawab. Kamal mendengar desahan nafas isterinya itu melalui corong telefon.
 “Kalau abang tak izinkan, Rin jangan pergi!” ulang Kamal lagi. “Tengah hari nanti abang balik, kita pergi klinik,” pujuk Kamal pula. Sebelum keluar dari rumah tadi, dia sempat menjamah dahi isterinya itu. Membahang panasnya.
“ Baiklah,”  jawab Sharina dengan suara menahan sebak. Sebaik sahaja gagang telefon diletakkan,Sharina terus menangis. Rantai-rantai berduri mula mengelilinginya kembali.
 Bermacam perkara yang mendatangi hatinya saat ini dan dia perlu sangat bertemu dengan emaknya. Tidak untuk menceritakan punca kegalauan jiwa yang disebabkan oleh emak mertua, kakak ipar dan birasnya. Tetapi ingin bermanja dengan emaknya seketika. Mana tahu hatinya yang resah mungkin akan terpujuk.
Emak mertua yang tidak habis-habis menagih duit. Begitu juga dengan kakak iparnya. Ada sahaja masalah yang melanda mereka. Birasnya yang tidak berhenti-henti menagih kasih dan cinta. Rita yang bagaikan sengaja hendak merapati Kamal. Bagaikan ada udang di sebalik batu. Segala-galanya membuat hati Sharina lemas dan sesak perasaan. Dia tidak sanggup lagi merenangi lautan derita keseorangan.

Tengah hari itu, Kamal tiba di rumah seperti yang dijanjikan. Sharina cepat-cepat keluar rumah dan mengunci pintu.  Kamal menjamah dahi Sharina sebaik sahaja isterinya itu duduk di sisi.
Sharina membatu dan tidak bersuara. Bekas tapak tangan Kamal di dahinya segera dikesat dengan tapak tangannya tanda protes. Kamal yang memerhatikan tindakan itu terus menjamah dahi isterinya sekali lagi. Kali ini lebih lama dari tadi. Sharina menahan perasaan.
“Rin marah pada abang sebab tak bagi Rin balik ke rumah emak?” soal Kamal sambil menggerakkan kereta.
Sharina menggeleng-gelengkan kepalanya. Setelah itu, dia melontarkan pandangan ke arah lain. Tidak ingin bertentang mata dengan Kamal yang sedang merenungnya tajam. Dia menahan perasaan geram dan kecewa kerana kehendak hati tidak dituruti oleh Kamal.
Kamal meneruskan pemanduan tanpa mempedulikan rajuk isterinya itu. Sepanjang perjalanan hanya kebisuan yang menakluki mereka berdua. Hanya suara batuk Sharina sahaja yang kedengaran sesekali. 10 minit kemudian, mereka sampai ke klinik. Kamal memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan klinik.
“Rin tak payah turun! Tunggu di sini dulu. Abang pergi tanya pekerja di kaunter tu. Kalau doktor tak ada, kita pergi klinik lain,” beritahu Kamal kepada Sharina yang baru tergaya-gaya untuk membuka pintu kereta.
Sharina akur. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi rapat-rapat. Hembusan nafasnya terasa panas. Dia benar-benar tidak selesa. Tekaknya terasa gatal. Kepala pula sakit. Tidak berapa saat kemudian, Kamal datang semula ke kereta.
“Turun,” arah Kamal sambil mengetuk cermin dan membukakan pintu. Sharina terhuyung-hayang sejenak dan hampir rebah. Kamal memeluk bahunya dan membawanya masuk ke dalam klinik. Kamal mendaftarkan nama untuk Sharina. Tidak perlu menunggu lama, namanya dipanggil untuk bertemu doktor sebaik sahaja Kamal duduk di sisinya. 
“Ada pregnant ke?” soal doktor wanita berbangsa India itu sebaik sahaja Sharina duduk di hadapannya.
Sharina menggigit bibirnya. Dia menjeling Kamal memberi isyarat supaya Kamal menjawab bagi pihaknya. 
“Tak doktor! Dia demam,” jawab Kamal sambil menjeling Sharina dengan perasaan berbaur. Sampai hari itu, Sharina tidak mengendahkan keinginan batinnya. Dia terpaksa ‘berpuasa’ untuk sekian kalinya.
Doktor segera melakukan pemeriksaan. Sharina mendapat cuti sakit dua hari. Ubat lima jenis.  Keluar dari klinik, Sharina terhuyung-hayang lagi. 
“Rin larat ke tak ni?” soal Kamal sambil memeluk bahu isterinya kemas-kemas.
Sharina menggelengkan kepalanya. Namun, dia terpaksa menggagahkan diri untuk melangkah. Mustahil Kamal mendukungnya di khalayak ramai begitu. Kereta pun diparkirkan tidak berapa langkah sahaja dari pintu klinik itu.
“Uncle Kamal!” Terdengar satu suara. Tiba-tiba seorang kanak-kanak lelaki berlari menghampiri mereka. Kamal yang sedang membukakan pintu kereta untuk Sharina menoleh dan tersenyum. Serta-merta wajah yang serius tadi berubah girang.
 “Eh, Umar! Umar datang dengan siapa ni? Mama? Opah?” soal Kamal sambil matanya mengitari kawasan itu. Dia membongkokkan tubuhnya dan merapati kanak-kanak itu.
“Cium uncle,” pintanya sambil menghalakan pipinya kepada kanak-kanak lelaki yang dipanggilnya Umar itu. Suara lembut Kamal kedengaran di telinga Sharina yang sudah duduk di dalam kereta. 
“Tu Mama! Opah!” jawab kanak-kanak yang dipanggil Umar itu. Dia menundingkan jarinya ke arah dua orang wanita yang sedang berjalan menghampiri mereka.
Rita mendukung anaknya yang bongsu. Kamal meninggalkan Sharina di dalam kereta lalu berjalan mendekati Rita dan emaknya. Tangan Umar Ridzuan dipimpinnya erat. 
Sharina hanya memerhatikan gelagat mereka dari sebalik cermin tingkap kereta. Kereta yang masih belum dihidupkan enjin atau penghawa dinginnya. Bagaikan ketuhar yang akan memasakkan kulit dan daging tubuhnya.
Lama Kamal berbual-bual mesra dengan Rita serta emak dan anak-anaknya. Tanpa disedari ada air bening yang mengalir di pipi Sharina bersama sendunya yang tidak kedengaran. Hatinya berasa amat sakit seolah dicabik-cabik. Jika diikutkan perasaan marahnya ingin sahaja dia turun dari kereta dan menaiki teksi untuk balik ke rumah.
Hampir 20 minit kemudian barulah Kamal masuk ke dalam kereta tanpa ucapan maaf dan memandang ke wajah isterinya itu. Perasaan Sharina semakin tersula. Sekali lagi kebisuan menakluki mereka sepanjang perjalanan menuju ke rumah.
 “Rin makan nasi dan lepas tu makan ubat... boleh tidur! Abang nak balik ke pejabat,” pesan Kamal sewaktu menghentikan kereta di hadapan pintu pagar rumah. 
“Boleh ya, Rin tinggal seorang di rumah?” soal Kamal lagi apabila Sharina tidak memberi respons di atas segala kata-katanya.
Akhirnya, Sharina mengangguk. Kamal hanya meninggalkan pekarangan rumahnya apabila dipastikan yang Sharina telah selamat masuk ke dalam rumah. Jika tidak kerana kerjanya yang masih belum selesai tadi, tidak mungkin dia membiarkan isterinya itu begitu sahaja.
Sharina terus menghumbankan tubuhnya di atas sofa. Dia menangis sepuas-puasnya. Sedih benar rasa hatinya kerana diperlakukan begitu oleh Kamal. 
‘Sampai hati abang iarkan Rin kepanasan di dalam kereta kerana ingin melayan wanita bekas tunangan di hadapan mata Rin!’ rintih hatinya. Air matanya  terus berderai tidak berhenti.

Pukul 4.00 petang, Kamal sudah sampai di rumahnya. Terkejut dia sebaik sahaja masuk ke dalam rumah melihat  Sharina terguling di atas permaidani di ruang tamu. Ubat-ubat yang dibawa dari klinik tadi pun bergelimpangan di sisinya. 
“Lailahaillallah, Rin!” keluh Kamal terus menerpa dan cuba membangunkan isterinya itu.
Sharina tidur sambil mengerang. Dia mencelikkan matanya perlahan apabila pipinya diusap-usap oleh Kamal. Warna putih matanya memerah saga. Sekali lagi Kamal menjamah leher dan dahi isterinya itu.
“Abang... Rin sakit kepala! Sakit sangat...” adu Sharina terus menangis di bahu Kamal apabila suaminya itu mengangkat dan mendakapnya.
 “Rin tak larat nak naik tangga! Rin belum makan ubat. Belum makan,” beritahu Sharina sambil meratap bagaikan anak kecil. Esakannya berterusan.
 “Rin rasa nak muntah...” adu Sharina lagi dengan suara lemah.
“Jom, abang bawa masuk ke bilik. Rin... Rin... Dah tak larat sangat tadi tak mahu berterus terang dengan abang,” bebel Kamal. Suaranya seakan merungut. Dia pun mencempung tubuh Sharina dan membawanya ke bilik tidur mereka.
 “Nasib baik abang balik awal sikit,” kata Kamal lagi sambil membaringkan Sharina di atas tilam. Dia telah keluar dari pejabat sejak 3.30 petang tadi. Mujur kontraktor yang berjanji untuk bertemu dengannya telah membatalkan janji temu mereka. Dapatlah dia pulang awal dengan alasan hendak ke bank.
“Rin tidur dulu. Sementara abang siapkan makanan! Dah tak sihat, tak mahu makan.Tak mahu makan ubat,” kata Kamal lagi. Dia mula berleter.
Sharina memaksa matanya supaya pejam. Namun lelapnya diganggu oleh wajah Rita dan anak-anaknya. Emak mertua dan kakak ipar serta birasnya. Belantara duka di jiwanya semakin sendat.     

TIGA puluh minit kemudian, Kamal muncul di bilik membawa dulang berisi makanan. Sharina bangun apabila dikejutkan oleh suaminya itu. Dia menyandarkan tubuhnya ke kepala katil. Dia melihat hidangan yang disediakan oleh Kamal. Bubur nasi. Masih berasap tipis mengapung di permukaan mangkuk. Nampak menyelerakan. Namun pada saat itu, dia tiada keinginan untuk makan. Mulutnya berasa pahit.
“Abang dah makan ke belum?” soalnya dengan suara lemah apabila sudu yang terisi bubur nasi menghampiri bibirnya. Sharina kelihatan lesu.
“Rin makan dulu. Rin tak sihat. Nanti abang makanlah,” jawab Kamal sambil terus menyuap bubur nasi ke mulut Sharina yang memaksa tekaknya untuk menelan.
“Kalau Rin tak sedap mulut, malam nanti abang masakkan tom yam,” kata Kamal terus menyuapkan bubur nasi ke mulut Sharina.
Empat sudu bubur nasi melalui tekaknya, Sharina mula rasa loya. Dia cepat-cepat minum air untuk mengelakkan bubur nasi yang baru ditelan memancut keluar. Terdengar pula bunyi loceng dari pintu hadapan.
“Abang nak pergi tengok siapa yang datang,” beritahu Kamal lalu meninggalkan Sharina.
Tidak berapa lama kemudian, terdengar bunyi riuh-riuh dari ruang tamu. Baru Sharina hendak duduk di birai katil, tiba-tiba daun pintu biliknya terkuak. Mata Sharina membesar kerana terkejut melihat tetamu yang tidak diundang sedang masuk ke dalam biliknya. Rita  yang berjalan laju diekori oleh dua orang anaknya. Kamal mengekori mereka di belakang sekali. 
“Kasihannya, Rin... demam teruk ke?” soal Rita ramah lantas duduk di sebelah Sharina. Kamal pun sudah berdiri di hadapan Sharina memegang kedua bahu isterinya itu. Sharina yang nampak lemah. Pipinya yang cerah merah padam. Hembusan nafasnya kedengaran. Dengan tiba-tiba sahaja rasa loya yang bersarang di tekaknya tadi memuncak.
“Uwekk!” Lantas, memancut-mancut muntah dari tekak Sharina. Habis mengenai baju Rita yang tidak sempat bangun dan mengelakkannya.
“Abang! Rin pening...” kata Sharina sambil memaut pinggang Kamal kuat-kuat. Mukanya disembamkan pada perut suaminya itu. Air matanya berderaian. Perasaannya semakin tidak menentu. Mengapa banyak peristiwa yang merobek-robekkan hatinya berlaku saat ini? Batinnya meraung. Hati yang telah meretak terus patah.



Tiada ulasan: