Isnin, 27 Januari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 52)


Angin yang bertiup agak kencang pada tengah hari itu menerbangkan sehelai dua kain batik yang ada di jemuran Mak Cik Mariah. Dia yang sedang berbual-bual dengan Rita di atas buaian berhampiran air terjun buatan bersebelahan rumah segera bangun.
“Tak apa, mak cik! Mak cik duduk aje. Kain-kain tu biar Rita yang tolong ambilkan,” kata Rita mesra sambil menggosok-gosok manja paha wanita itu.
Rasa sejuk hati Mak Cik Mariah mendengarnya.
“Yalah...” setuju Mak Cik Mariah dengan senang hati. “Mak cik pun sakit lutut ni,” beritahunya sambil menggosok kepala lututnya berulang kali.
“Rita ambil semualah kain-kain ni, mak cik! Semua dah kering ni,” beritahu Rita sambil menjerit dari jauh. Sehelai demi sehelai kain baju yang sudah kering dikutip dan disangkut atas bahunya. Banyaknya kain yang dibasuh oleh Mak Cik Mariah pada hari itu sehingga muka Rita hampir tertutup dek kain baju.
“Terima kasihlah, Rita! Rajin dan baik hatinya kamu,” puji Mak Cik Mariah.
Rita tersenyum-senyum mendengar pujian itu. Kain baju di atas bahu diletakkannya ke dalam bakul yang sedang dipegang oleh Mak Cik Mariah.
“Banyaknya kain baju yang mak cik basuh. Basuh dua minggu sekali ke?” soal Rita sambil senyum ramah. Kalau Mak Cik Mariah membasuh kain baju sebulan sekali nampak sangatlah mereka begitu serasi.
“Mak cik tak berapa sihat kebelakangan  ni. Sebab itu basuh dua minggu sekali,” jawab Mak Cik Mariah.
Rita menyeringai. Memang tepatlah tekaannya tadi!
“Jomlah, kita masuk. Panggil budak-budak tu masuk. Boleh kita makan nasi tengah hari,” pelawa Mak Cik Mariah.
Rita pun mengekorinya sambil mendakap gumpalan kain baju yang dikutipnya dari jemuran tadi. Sebahagiannya telah dimasukkan ke dalam bakul.
“Nak letak mana kain-kain ni mak cik?” tanya Rita sambil matanya meliar mencari bakul.
Mak Cik Mariah menghulurkan sebuah bakul kosong kepada Rita. Umar Ridzuan dan adiknya pula sibuk hendak memasukkan kaki mereka ke dalam bakul. Mak Cik Mariah hanya ketawa melihat telatah anak-anak Rita itu.
“Cucu nenek! Jom, ikut nenek ke dapur jom! Kita makan nasi,”kata Mak Cik Mariah dengan nada berlagu-lagu macam kartun. Rita pun turut ketawa melihat telatah orang tua itu. Dia pun mengekori Mak Cik Mariah.
“Biar Rita cedokkan nasinya. Mak cik duduk aje. Tolong tengok budak-budak tu! Nakal...” kata Rita. Dia pun bergerak pantas di ruang dapur.
Mak Cik Mariah melihatnya dengan senyuman. Dulu, Rita memang kerap datang ke rumah itu. Dia sudah biasa sangat. Rumah itu bagaikan rumahnya sendiri.
“Bila mak cik buat dapur ni? cantik betul! Berkenanlah Rita tengok,” puji Rita dengan suara kagum. Matanya terus memerhati kabinet, almari dan segala kelengkapan di ruang dapur itu. Lantainya berkilat-kilat dan cantik pilihan warnanya. Padan dengan segala perabot dan pinggan mangkuknya. Silingnya pun berkerawang-kerawang.
“Dah macam dapur istana aje, mak cik...” puji Rita lagi.
Kembang hati Mak Cik Mariah mendengarkan pujian itu.
“Dekat 50 ribu belanjanya Rita, mahu tak cantik,” jawab Mak Cik Mariah dengan perasaan megah.
“100 ribu pun tak apa! Mak Cik orang berduit! Kamal buatkan ke, mak cik?” tanya Rita sambil mengorek rahsia.Sejak kebelakangan ini, hatinya asyik teringatkan Kamal saja. Apatah lagi mereka kerap pula bertembung dengan cara tidak sengaja.
“Mak cik yang cari kontraktornya. Kamal hanya bagi duit,” cerita Mak Cik Mariah berbohong. Nasib baiklah menantunya yang lurus bendul itu percaya kata-katanya. Duit yang diminta daripada Sharina konon untuk membantu Ainun dan Zarif Afandi digunakan untuk membuat dapur itu. Maklumlah apabila diminta daripada Kamal, anaknya itu buat endah tak endah sahaja. Untuk merawat hatinya yang sakit dia pun mendesak menantunya. Tambahan apabila Kamal lumpuh, Kamal tidak berpeluang untuk balik ke rumahnya. Pada waktu itulah dia memanggil orang untuk memecah ruang dapur dan membina yang baru.
“Bertuahnya mak cik! Kamal tu loaded. Tiga minggu lepas saya pergi ke rumahnya dengan kak ngah. Wah, terpegun saya tengok rumah Kamal tu! Cantik sungguh. Sejuk aje. Dari luar rumah sehingga ke dapur. Terpesona saya, mak cik...” ujar Rita sambil mencedokkan nasi buat Mak Cik Mariah dan anak-anaknya,Umar Ridzuan dan Umaira Safiya.
“Bertuah Rin, mak cik!” sambung Rita lagi.
Mak Cik Mariah mencebik serta-merta.
“Ya ke Rita pergi ke rumah Kamal?” soal Mak Cik Mariah seolah tidak percaya. Rita menganggukkan kepalanya.
“Macam mana layanan Kamal pada Rita dan anak-anak?” tanya Mak Cik Mariah lagi. Sengaja hendak mengorek rahsia.
“Kamal layan saya elok aje. Isterinya pun sama. Anak-anak saya pun Kamal layan baik walaupun Umar tu nakal. Dia main-main dengan Umar macam dah mesra sangat. Umar pun macam tu jugak! Tak segan-segan main dengan Kamal walaupun baru sekali berjumpa...” cerita Rita dengan perasaan senang.
Terkejip-kejip mata Mak Cik Mariah sewaktu mendengar cerita itu. “Rita... mak cik nak tanya ni. Rita jawab terus terang ya...” kata Mak Cik Mariah. Rita menganggukkan kepalanya.
“Rita sayang tak lagi pada Kamal?” tanyanya serius. “Cinta tak lagi pada dia?”
“Mestilah Rita sayang! Cinta pun masih membara. Dulu tu, Kamal yang putuskan pertunangan kami! Sebenarnya hati Rita kecewa, tapi Rita tak mahu nak tunjukkan pada orang. Rita rasa malu. Tambah-tambah Kamal bernikah tak berapa lama selepas putus tunang dengan Rita.” Kata-kata Rita terhenti seketika. Dia menyuap nasi ke dalam mulut Umaira Safiya.
“Macam Rita ni perempuan yang tak elok sangat pada mata dia!” rungut Rita. “Tapi lama-lama Rita boleh terima yang kami tidak berjodoh. Sekarang ni, Rita pun dah janda! Rita terimalah segalanya. Nak buat macam mana,” kata Rita pura-pura sedih.
“Alah... jodoh tu kita yang pilihnya. Nak dengan tak nak aje,” balas Mak Cik Mariah. “Rita, bila Rita ada di depan mata mak cik ni, hati mak cik rasa senang aje. Tambah-tambah bila kita dapat makan bersama begini. Lagi hati mak cik rasa senang! Dengan Rin tu entahlah... agaknya sampai mati pun mak cik tak boleh nak terima dia. Rasa getik aje,” sambung Mak Cik Mariah lagi sambil menghulurkan pinggannya kepada Rita.
“Dia bukan suka balik ke sini,” adu Mak Cik Mariah. “Kalau mak cik kahwinkan kamu dengan Kamal, kamu nak?” soalnya mendadak kepada Rita.
“Mestilah nak...” Jawapan itu meluncur laju daripada bibir Rita.
Mak Cik Mariah tersenyum lebar. Ilhamnya datang mencurah-curah bagaikan hujan lebat di musim tengkujuh.

MALAM telah larut benar sewaktu Sharina berkesempatan membuka e-melnya. Ada satu kiriman e-mel daripada Zarif Afandi. Entah dari mana birasnya itu mendapat alamat e-melnya! Belum sempat dia membaca e-mel itu, Kamal sudah memanggilnya.
“Rin, mari tidur...” ajak Kamal. Hampir 15 minit dia sudah merebahkan tubuhnya di atas katil selepas menonton siaran berita yang terakhir pada 12.00 malam tadi.
“Sekejaplah bang,” jawab Sharina. 
“Dah pukul berapa ni?” soal Kamal dengan suara kuat.
“Hujan-hujan ni tak usahlah menghadap laptop lagi,” tegur Kamal. Dari petang tadi hujan turun tiada berhenti.
“Sebentar bang,” jawab Sharina. Akur kepada kehendak suami, segera dia menutup suis komputer ribanya. Walau bagaimanapun, dia sempat memadam e-mel yang diterimanya itu. Bimbang tulisan-tulisan daripada birasnya itu semakin meresahkan hatinya. Justeru itu, e-mel itu tidak perlu dibaca. 
“Rin buat apa tadi?” soal Kamal sebaik sahaja tubuh Sharina berbaring di sebelahnya. “Taip puisi, tapi ketandusan ilham pula,” jawab Sharina memberi alasan.
“Hmm... tidurrlah! Rin, esok pagi abang nak sarapan nasi lemak! Esok hari minggu, kan? Rin masakkan untuk abang! Selepas itu, kita ke taman rekreasi. Lama dah kita tidak ke situ,” kata Kamal dengan suara perlahan dan mata separuh pejam.  “Kita pergi joging sama-sama ya,” ajak Kamal sambil menguap.
“Abang nak makan nasi lemak?” soal Sharina kembali. Kotak fikirnya menyelongkar ingatan dan membayangkan stok barang-barang makanan yang ada di dalam peti sejuk. Masih adakah santan segar dan lain-lain bahan yang diperlukan untuk membuat nasi lemak. Bibirnya tersenyum sebaik sahaja berasa pasti semua bahan yang diperlukan ada di dapur.
“Insya-ALLAH, bang... Esok Rin masakkan! Tapi lauknya sambal tumis udang kering, ya?” beritahu Sharina. Seingatannya stok ikan bilis atau udang basah sudah habis di dapurnya.
“Okey, abang tak kisah! Asalkan Rin tak lupa janji,” kata Kamal seolah-olah menyindir.
“Mana pernah Rin buat begitu?” soal Sharina perlahan. Seingatnya, dia tidak pernah mengabaikan janji yang telah dipadukan oleh mereka.
“Adaa...” jawab Kamal dengan matanya yang masih lagi terpejam. “Cuba Rin ingatkan balik,” sambung Kamal lagi.
Sharina terdiam. Hatinya menjadi resah.
“Kalau Rin dah lupa, abang ingatkan,” beritahu Kamal lirih. Dia menarik tubuh Sharina supaya terus rapat kepadanya. Lantas dirangkulnya erat-erat.
Serta-merta Sharina teringatkan janji mereka yang tidak tertunaikan sehingga kini. Sudah berbulan.
“Alah... Rin minta maaf, bang! Rin... Rin...” Sharina tergagap-gagap untuk memberitahu yang hatinya dilanda rasa cemburu dan tidak bersedia dimesrai. Lagipun sudah lama dia tidak disentuhi kerana ketidaksempurnaan suaminya itu dulu. Dia telah menjadi biasa.
“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” bisik Kamal sambil menghela nafasnya.
Sharina terdiam. Dia faham maksud kata-kata suaminya itu. Jangan kerana perasaan cemburunya kepada Rita,d ia telah mengabaikan kehendak suaminya. “Berdosa tahu tak...” beritahu Kamal lembut dan perlahan.
“Maafkan Rin, bang...” kata Sharina sambil mengusap pipi Kamal.
“Tak apa! Abang maafkan, tapi sehingga saat ini sahaja,” kata Kamal dengan renungan matanya yang kian layu.
“Alah...” balas Sharina sambil mencubit kecil lengan Kamal.
“Malam ini tak ada alasan lagi,” kata Kamal sambil ketawa lalu mendakap Sharina dengan kemas. Deringan telefon bimbit Kamal pula mengganggu. Kamal mengeluh beberapa ketika sebelum mencapai telefon bimbitnya di atas kepala katil sambil melaras cahaya lampu tidur supaya lebih terang.
“Waalaikumussalam. Ya... dah nak tidur dah! Kan dah lebih dua belas malam ni?” tanya Kamal dengan suara malas. Sharina yang sedang berbaring di sisinya pura-pura memejamkan mata.
“Tak apa! Datanglah! Saya dan Rin tak pergi ke mana-mana esok,” kata Kamal lalu menamatkan perbualannya selepas memberi salam.
“Siapa tu, bang... telefon malam-malam ni?” soal Sharina perlahan sambil menarik selimut supaya menutupi seluruh tubuhnya.
“Rita nak datang dengan anak-anaknya,” jawab Kamal jujur. “Dia nak makan tengah hari di sini esok,” jelas Kamal lagi.
Sekali lagi hati Sharina dibakar oleh perasaan cemburu. Sharina tidak berkata apa-apa lagi sebaliknya memaksa matanya untuk tidur. Jika diikutkan rasa cemburu yang kembali bersemayam di hatinya, ingin  sahaja dia bangun dari sisi Kamal dan tidur bersendirian di bilik tetamu atau di ruang tamu. Tetapi dia bimbang Kamal pula akan merajuk. Hati Sharina terus merewang. Dia tidak rela kalau kasih Kamal berpindah kepada wanita lain.
“Rin... Rin...”
Bisikan Kamal tidak diendahkan.
“Rin... kenapa ni?”
Pertanyaan Kamal tidak mendapat jawapan. Hujan di luar rumah terus mencurah. Kamal yang kedinginan terus menggelisah. Sekali lagi janji mereka terlerai.


Tiada ulasan: