TITIK-TITIK hujan terus membasahi
bumi. Hujan telah turun sejak pukul 3.00 petang tadi. Kamal yang baru keluar
dari pejabatnya berlari-lari anak menuju ke tempat keretanya diparkirkan. Kamal
menutup kepalanya dengan sampul surat terpakai bersaiz besar. Sampul surat yang
sengaja dibawanya dari pejabat tadi. Namun, bajunya kemejanya tetap basah.
“Kamal...”
Terdengar namanya dipanggil oleh
seseorang. Kamal menoleh ke arah suara itu. Rita dan emaknya, Mak Cik Mariah
berpayung bersama dan berjalan menghampirinya.
Kamal sudah berada di bawah
bumbung tempat parkir kereta pegawai kanan di pejabat itu memusingkan tubuhnya
mengadap kedua wanita itu. Tidak jadi dia masuk ke perut kereta. Pintu kereta
yang sudah dibukanya separuh, dibiarkan
ternganga.
“Rita? Emak! Mengapa ada di sini
pula?” soal Kamal kepada Rita yang kebasahan di bahagian kaki seluar yang
dipakainya itu.
Rita melontar senyuman manis buat
tatapan Kamal. Rindunya dia pada lelaki itu. Layanan baik yang diberikan oleh
Kamal kebelakangan ini menyebabkan cintanya dan angan-angannya semakin
menggebu.
“ Secara kebetulan Rita balik ke
rumah emak dan datang ke rumah mak cik,” jawab
Rita.
“Emak yang ajak dia datang ke
sini, cari Kamal,” sampuk Mak Cik Mariah.
“Rita nak beri Mal kad ni!
Datanglah! Anak-anak Rita dah heboh tanya pasal Kamal sejak mereka bertandang
ke rumah Mal dulu,” pelawa Rita sambil menghulurkan sekeping kad yang comel
berwarna merah jambu kepada Kamal.
Kamal terus membuka kad itu dan
membacanya.
“Oh,majlis hari lahir Umar
Ridzuan! Hari Ahad ni? Hmm... insya-ALLAH,” kata Kamal. Giliran Kamal pula
melontarkan senyuman kepada Rita. Matanya melihat langit yang masih menurunkan
titisan air. Titisan hujan semakin kasar dan kerap.
“Terima kasih, susah-susah hantar
kad ni! Dalam hujan lebat pula tu,” sambung Kamal lagi.
Rita masih berdiri tercegat
berhampirannya. Hatinya berdebar-debar.
“Majlis buat di rumah emak. Rita
pun mungkin terus menetap di rumah emak,” kata Rita lagi. Payung
digerak-gerakkannya mengikut arah angin. Dia sudah nekad untuk balik ke kampung
dan duduk bersama emaknya. Umar Ridzuan dan Umaira Safiya kena dibiasakan
dengan opahnya. Satu-satunya waris yang mereka ada. Keluarga arwah suaminya
tidak merestui perkahwinan mereka. Lantas, jika terjadi sesuatu yang buruk
kepada dirinya, anak-anak yang masih kecil itu tidak ada orang yang akan
memelihara kecuali emaknya.
“Jangan tak datang, Kamal. Penat
aje Rita ni berhujan menghantar kad jemputan untuk kamu,” desak Mak Cik Mariah.
Wajah tenang anaknya itu disoroti berkali-kali.
“Insya-ALLAH, mak. Rita. Nanti
saya ajak Rin,” janji Kamal.
Mak Cik Mariah mencebik. “Alah,
Kamal sesekali apa salahnya berjalan sendiri! Asyik nak berkepit aje. Jangan
kamu seorang aje yang hendak mengepit dia, entah-entah hatinya sudah rimas dan
bosan.” Sinis kata-kata yang diungkapkan oleh Mak Cik Mariah. Niatnya hanya
satu untuk menghasut anaknya itu.
Kamal tidak menjawab. Lemas
dengan sikap emaknya yang tiada berkesudahan menyangka buruk kepada isterinya.
“Saya beredar dulu. Terima kasih
kerana undangan ini,” ungkap Kamal. Tangan yang dihulurkan oleh Rita untuk
berjabat salam tidak disambut oleh Kamal.
“Saya baru lepas solat asar tadi,
Rita. Masih ada wuduk,” beritahunya jujur.
Sekali lagi Mak Cik Mariah
mencebik. ‘Balik ke rumah tak sempat masuk rumah air wuduk dah terburai di
depan pintu!’ gerutu hatinya. Matanya terbayang-bayang aksi menantunya
menyambut kepulangan suami suatu waktu dulu.
“Jom kita pergi minum! Boleh
berbual-bual lama sikit,” pelawa Rita. Matanya terus merenungi Kamal yang
berbaju kemeja lengan panjang warna biru muda berjalur halus. Kamal sentiasa
nampak kemas dan segak. Tiada perempuan yang tidak akan tergoda melihatnya.
“Jomlah, Kamal!” desak Mak Cik
Mariah.
“Emak...Nanti Rin balik dari
kerja, saya tak ada di rumah,dia risau pulak,” balas Kamal. Kamal cuba
berdalih.Alasannya itu semakin membakar hati emaknya.
“Hei!Asyik Rin..Rin..Rin!Kan emak
ni yang lahirkan kamu!Nak ajak pergi minum pun,susah!” Tempelak Mak Cik Mariah
perlahan.
“ Rita dan mak Cik tunggu Mal di rest house! Ermm, restoran di
situ makanannya boleh tahan juga!Okey, jumpa di sana,” kata Rita,terus beredar
dari situ tanpa sempat Kamal membuat keputusan. Kamal yang berasa serba salah
dengan permintaan mereka akhirnya mengekori juga kereta wanita itu yang
bergerak mendahuluinya.
@@@@
Hati Sharina
tertanya-tanya. Kamal masih belum pulang. Lepas mandi, dia terus menunaikan
solat maghrib tanpa menunggu Kamal untuk berjemaah bersama. Selesai solat, baru
tangannya mencapai gagang telefon, terdengar bunyi enjin kereta Kamal memasuki porch.
Sharina cepat-cepat menyalin kain telekungnya dan memakai baju tidur.
“Abang tak beritahu Rin pun abang
nak balik lewat! Rin dah risau dah ni,” ujar Sharina sambil menyambut tangan
yang dihulurkan oleh Kamal. Dia mencium tangan Kamal. Setelah itu mukanya
didongakkan dan matanya merenung Kamal yang nampak kepenatan.
“Abang ada mesyuarat ke?” soal
Sharina pula sambil mengekori langkah Kamal menuju ke sofa.
“Tak! Bukan mesyuarat. Abang
pergi minum dengan kawan lama. Oh ya, abang ada bungkuskan mi goreng untuk Rin!
Tertinggal dalam kereta pula,” kata Kamal sambil menepuk dahi.
“Tolong ambilkan, Rin...”
“Ya ke, bang! Alhamdulillah. Rin pun
lapar sangat ni. Maklumlah hujan lebat tadi. Sejuk. Perut pun dah
berkeroncong,” balas Sharina dengan riang. Perasaan bimbangnya lenyap.
“Abang pergi mandi dulu. Waktu
maghrib dah nak habis tu. Biar Rin siapkan minuman untuk kita.” Bibir Sharina
sempat melontarkan kata-kata itu sebelum dia keluar rumah dan menuju ke kereta
Kamal untuk mengambil bungkusan mi goreng.
Bola matanya mengitari dalam kereta dan terlontar ke
tempat duduk belakang. Perhatiannya tertarik melihat sebuah bungkusan yang
sudah dibalut cantik. Bungkusan yang agak besar.
‘Hadiah untuk siapa ni?’ Hatinya
berbisik sendiri. Ingin sahaja tangannya menggeledah beg plastik yang membaluti
bungkusan hadiah itu, namun dia bimbang pula Kamal mengintai gerak-gerinya dari
dalam rumah.
‘Mungkin untuk staf pejabatnya,’
bisik hatinya. Sharina terus bersangka baik terhadap suaminya. Lantas cepat
sahaja dia mencapai bungkusan mi goreng dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Sampai di dapur, Sharina terus
mengeluarkan bekas polisterin berwarna putih itu dari plastiknya. Sekali lagi
matanya tertumpu kepada sekeping kad yang begitu menarik hatinya, terselit di
dalam beg plastik itu. Sharina membelek-belek dan membaca kad undangan itu.
Undangan Hari Lahir
“Tadi abang berjumpa dengan
Rita?” tanyanya spontan sebaik sahaja
Kamal sampai di ruangan dapur dan
duduk berhampirannya.
Kamal terkejut dengan pertanyaan
itu, namun berpura-pura tenang. Pasti
Sharina telah membaca kad undangan yang diletakkannya di dalam beg plastik mi
goreng tadi.
“Ya,” jawab Kamal lambat-lambat
sambil menyorot ke wajah Sharina yang nampak berubah. Mendung wajah Sharina
sama seperti cuaca di luar rumah.
Sharina menuangkan teh panas dan
mencedokkan mi goreng untuk Kamal.
“Rin, abang pergi minum dengan
Rita tadi,” cerita Kamal lagi tanpa berselindung. Tidak perlu menyembunyikan
perkara yang benar.
Sharina menelan air liur sewaktu
mendengar kata-kata itu. Perasaannya berbaur. Marah. Cemburu.
“Abang minumlah. Ni... mi goreng
ni Rin dah panaskan! Makanlah!. Rin nak masuk ke bilik. Tiba-tiba pula Rin rasa
kenyang,” kata Sharina dengan suara bergetar.
Tanpa melihat ke wajah Kamal,
Sharina meninggalkan lelaki itu yang kehairanan. Kamal bingung kerana Sharina
tiba-tiba berubah sikap.
“Rin, kenapa ni? Kalau Rin tak
nak makan, abang pun tak mahu makan. Rin!” Kamal terus melaung Sharina yang
sedang meninggalkan ruangan dapur menuju ke tingkat atas rumah mereka.
Sharina tidak menoleh walaupun
Kamal memanggilnya berkali-kali.
Berasa tersentuh dengan perubahan
sikap isterinya yang mendadak itu, selera Kamal jadi terbantut. Dia
meninggalkan meja makan tanpa sempat menjamah walau sesudu mi goreng atau
menghirup seteguk air. Kamal naik ke bilik tidur mereka. Matanya terlontar ke
tubuh Sharina yang meniarap di atas tilam. Telinga Kamal mendengar esakan
Sharina yang jarang-jarang.
“Kenapa Rin menangis ni? Cemburu
pada Rita ke?” soal Kamal sambil mengangkat bantal yang menutupi muka isterinya
itu. Tangisan Sharina semakin lebat.
“Rin, tadi bukan abang berdua dengan Rita.
Emak abang pun ada sekali,” bisik Kamal. Namun kata-kata itu sudah terlewat
diucapkan. Hati Sharina yang merajuk sudah pun menjauh. Mengapa sejak
akhir-akhir ini kerap sangat wanita itu bertemu dengan suaminya?
@@@
Tidak tahu apa sebabnya, hari ini jalan raya penuh sesak. Sesal pula rasa
hatinya kerana singgah di pusat membeli-belah itu sewaktu rehat pagi. Gagal
mendapatkan tempat parkir di belakang pasar raya itu, Sharina terpaksa
memarkirkan keretanya berhadapan dengan pusat membeli-belah itu.
Hatinya terus merungut apabila
melihat kereta yang bertali arus di hadapannya langsung tidak memberi peluang
kepada orang yang hendak melintas. Hatinya resah dan bosan menunggu lalu dia
terus melangkah ke hadapan dan bertekad untuk melintas apabila melihat sebuah
kereta memperlahankan pemanduannya.
“Eh, Rin! Motor tu!”
Sharina terkejut apabila terasa
baju kurung yang dipakainya ditarik oleh seseorang lantas tubuhnya terdorong ke
belakang. Tidak berapa saat selepas itu sebuah motosikal rebah di hadapannya
kerana membrek mengejut dan tergesel sebuah kereta yang sedang bergerak. Ada
seorang perempuan Cina yang agak tua hampir dilanggar oleh motor itu. Pemuda
yang menunggang motor terjatuh di atas jalan.
Suasana di situ menjadi kecoh beberapa ketika.
Sharina yang terkejut dengan
insiden itu, pucat wajahnya. Kalaulah dia dilanggar oleh motosikal yang sedang
dibawa laju tadi, mungkin patah riuk. Tidak semena-mena, dia mengucapkan rasa
syukur kepada ILAHI. Matanya menoleh ke sisinya. Zarif Afandi senyum dan
tersengih-sengih.
“Hah! Nasib baik tak kena langgar
tadi,” ungkap Zarif Afandi serta-merta.
“Terima kasih Abang Zarif
selamatkan Rin tadi...” ucapnya kepada lelaki yang masih berdiri di
sisinya.
“Abang minta maaf sebab tarik
baju Rin tadi! Hanya itu saja yang sempat abang capai, harap-harap baju Rin tak
koyak,” kata Zarif Afandi sambil tersenyum senang. Insiden itu membuka lembaran
baru episod perhubungannya dengan birasnya itu.
Sharina membalas percakapan Zarif
Afandi dengan senyumannya. “Tak koyaklah...”
jawab Sharina lalu membelek-belek baju kurung yang dipakainya. “Macam mana
abang boleh datang ke Taiping pulak ni?” tanya Sharina sekadar berbasa basi.
Orang sudah berjasa, mustahillah dia pergi begitu sahaja. Lagipun, Zarif Afandi
itu abang ipar suaminya!
“Abang memang nak pergi ke tempat kerja Rin.
Nak jumpa dengan Rin,” beritahu Zarif Afandi sambil menatap wajah Sharina yang
menyenangkan hatinya.
“Oh ya? Kalau tak keberatan boleh
Rin tahu apa halnya?” soal Sharina perlahan. Perasaannya mula rasa tidak selesa
dengan kenyataan birasnya itu.
“Boleh kita singgah di restoran
depan tu, tak?” tanya Zarif Afandi dengan harapan.
Sharina mengerutkan dahinya.
Permintaan biras yang baru berbudi dengannya itu menjerut dirinya.
“Sekarang waktu rehat Rin dah hampir
habis,” dalih Sharina sambil melihat jam tangannya. Benar-benar dia menyesal
datang ke situ pagi ini.
“Lima minit saja, Rin,” rayu
Zarif Afandi. Peluang yang datang takkan dilepaskan begitu saja. “Kita pergi ke
restoran kat depan tu saja. Tak payah Rin naik kereta abang lagi kalau takut
abang larikan Rin macam hari itu. Sebenarnya hari tu abang sengaja nak menyakat
Rin,” jelas Zarif Afandi.
Sharina mengetap bibir.
“Abang ada perkara yang sangat
penting untuk beritahu kepada Rin.”
“Tolonglah, Rin...” rayu Zarif
Afandi. “Abang minta maaf atas kejadian kelmarin. Takkan Rin tak mahu maafkan
abang. Alangkan Nabi pun maafkan umatnya,” pujuk Zarif Afandi terus
memprovokasi. Dia tahu birasnya itu seorang yang lembut hati.
“Baiklah! Rin ada masa tiga minit
saja,” jawab Sharina lantas mula melangkah ke restoran yang dikatakan oleh
birasnya itu.
Zarif Afandi senyum puas. Dia
mengekori Sharina yang berjalan laju.
“Duduklah dulu,” pelawa Zarif
Afandi sebaik sahaja mereka masuk ke dalam restoran. Dia menarikkan kerusi
untuk Sharina. Mahu tak mahu, Sharina terpaksa duduk.
“Rin... abang nak beritahu
tentang Rita dan Kamal,” jelas Zarif Afandi dengan perlahan. Dia merapatkan
dirinya dengan wanita itu seolah ingin membisikkan sesuatu. Apabila Sharina
bercakap sesuatu dengan pelayan restoran, Zarif Afandi sempat menekan butang
kamera di telefon bimbitnya dan meletakkan telefon di atas meja.
“Beritahulah,” gesa Sharina.
Sebaik sahaja pelayan restoran meninggalkan mereka. Bimbang Sharina melarikan
diri, Zarif Afandi menjarakkan kerusinya dengan kerusi yang diduduki Sharina.
“Selalu tak Rita datang ke rumah
Rin sekarang ini?” tanya Zarif Afandi.
Sharina mengangguk. Walau tidak
sekerap mana, tetapi kunjungan wanita itu bersama anak-anaknya telah merangkai derita di hatinya.
Perhubungannya dengan Kamal pun semakin mendingin.
“Sebenarnya begini...” Zarif
Afandi memulakan ceritanya. Nafas Sharina tertahan-tahan sewaktu mendengar
ungkapan kata-kata yang terlontar daripada bibir birasnya itu.
“Macam mana Abang Zarif tahu hal
ini?” soal Sharina dengan suara bergetar. Air matanya mulai bergenang. “Takkan
Rin dah lupa, kita ni biras. Kak ngah tu rapat sangat dengan emak dia. Mestilah
apa juga rancangan emaknya, dia tahu dan jadi penasihatnya pula! Pulak tu, mulut
kak ngah bukannya dia tahu nak zip sedikit! Semua dia nak cerita pada abang,”
jelas Zarif Afandi dengan panjang lebar.
‘Tidak! Perkara ini tidak mungkin
berlaku! Tidak!’ Jeritan batinnya bergema hingga ke langit yang ketujuh. Tanpa
sedar, Sharina terus berlari-lari anak keluar dari restoran itu meninggalkan
Zarif Afandi yang sedang bercerita tentang Kamal dan mantan tunangannya.
Pandangan matanya menjadi kelabu kerana air mata. Sampai di dalam kereta,
Sharina terus menangis sepuasnya.
@@@
Cuaca pada
malam itu sejuk. Angin yang bertiup lembut melalui celah kaca jendela
menyentuhi tubuh Rita. Dari jendela kaca yang terbuka, matanya sesekali
merenung bulan penuh yang cahayanya menyinari halaman rumah. Rita mengeluh
sejenak. Hatinya ditambat hampa. Sehingga saat itu, kereta Kamal belum tiba di
halaman rumahnya. Majlis yang diadakan untuk anak sulungnya pun sudah selesai.
‘Mesti Rin tak benarkan dia
datang,’ teka hati Rita. Sekali lagi dia menjenguk melalui tingkap kalau-kalau
Kamal ada datang. Kekecewaannya berulang kembali. Rita akhirnya keluar dari
bilik untuk membantu emaknya mengemas pinggan mangkuk yang digunakan untuk
jamuan tadi.
Mak Cik Rokiah sibuk mengutip
pinggan mangkuk dari anjung rumah dan membawanya ke dapur. Dia berasa lega
kerana majlis kecil-kecilan untuk meraikan hari lahir cucunya terlaksana. Bukan
main gembira lagi dilihatnya cucunya itu.
“Muka muram kenapa?” tanyanya
kepada Rita yang datang ke dapur membawa bersama jag yang sudah kosong.
“Muramlah! Kamal tak datang. Rita
ingat dia datang! Penat aje pergi hantar kad ke pejabatnya dalam hujan lebat
pulak tu,” adunya sambil memuncungkan bibirnya.
“Kamal? Rita pergi berjumpa
dengan Kamal?” soal Mak Cik Rokiah. Wajahnya berkerut. Dia mengecilkan matanya
sewaktu merenung anak tunggalnya itu.
“Ke rumah dia pun Rita dah pergi,
mak. Kak Nun yang ajak. Mak Cik Mariah yang suruh,” ceritanya sambil
tersenyum-senyum. Layanan baik yang diberikan oleh Kamal kepadanya menyebabkan perasaannya menggebu.
Berbunga-bunga.
“Mak Cik Mariah suruh? Nak buat
apa? Rita, Kamal tu dah ada isteri. Ingat sikit! Dibuatnya kamu rapat dengan
Kamal, mereka bertengkar, bergaduh, macam mana?” tanya Mak Cik Rokiah sambil
membulatkan matanya.
“Alah, Kamal tu dulu kan tunang
Rita,” jawab Rita cuba mempertahankan haknya. Kata Mak Cik Mariah, ‘kalau benar
mencintai seseorang,kena pertahankan.’
“Itu dulu. Sekarang ni dah lain.
Dulu dia bujang,sekarang ni dah kahwin. Kau pun dah janda,” perli Mak Cik
Rokiah. Pinggan mangkuk di atas meja dipindahkannya ke dalam singki.
“Jangan nak terhegeh-hegeh pada
Kamal lagi. Mak tak suka!Janda ni lubuk fitnah! Emak tak nak dengar cerita
macam-macam tentang kau pulak,” nasihat Mak Cik Rokiah.
“Emak nak marah-marah pulak! Rin
dan Kamal tu tak ada apa-apa pun. Layan saya elok aje. Kamal pun sayang dengan
Umar dan Umaira tu, mak. Biarlah anak-anak saya hendak menumpang kasih kepada
Kamal,” bantah Rita.
“Kalau Kamal ajak saya kahwin
dengan dia pun, saya nak, mak! Jadi isteri nombor empat pun tak apa,” sambung
Rita lagi. Sekali lagi bibirnya mengukir senyuman. Entah mengapa, sejak
pertemuan semula dengan lelaki itu, perasaannya bagaikan terapung-apung sahaja.
Teringin pula hatinya berada di dalam dakapan lelaki itu yang nampak semakin
segak kebelakangan ini.
“Kamal nak ajak Rita kahwin?
Hmm... potong telinga emak ni kalau betul jadi,” cabar Mak Cik Rokiah.
“Alangkan sewaktu kamu masih anak dara pun dia tak ingin. Inikan pulak kamu dah
menjanda. Dah beranak dua. Tak palarnya!!” Tempelak Mak Cik Rokiah.
“Dulu sewaktu ada peluang,tak
mahu jaga dia betul-betul. Tak mahu ambil hatinya. Kamal bukan bagus sangatlah.
Sekarang ni hidung tak mancung,jangan pipi tersorong-sorong,” sindir Mak Cik
Rokiah lagi.
“Alah, emak ni. Suka nak
perlekehkan saya. Sepatutnya emak berikan saya dorongan, semangat untuk memikat
kembali hati Kamal tu. Dulu-dulu ikatan terlerai manalah tahu dalam waktu
terdekat ini ikatan yang terlerai akan tercantum semula. Hilang telinga mak
nanti,” bidas Rita sambil tergelak.
“Mak doa-doakanlah. Biar
cita-cita Rita berjaya. Kamal tu loaded, mak...” sambung Rita lagi.
Seronok pula rasa hatinya pada malam itu apabila membincangkan tentang Kamal.
Pakej Kamal sebagai lelaki idaman wanita cukup sempurna dan lengkap pada
pandangan matanya. Tambahan pula emak Kamal sendiri menyokong.
“Cita-cita apa?” tanya Mak Cik Rokiah
menduga.
“Cita-cita Rita nak kahwin dengan
Kamal!” jawab Rita sambil mengekek. Mencerlung mata Mak Cik Rokiah melihat
anaknya itu yang sedang ketawa mengalahkan pontianak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan