Khamis, 13 Februari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 59)


SELEPAS solat subuh, Mak Leha terus menyediakan sarapan untuk anak bujangnya yang bercuti pada hari itu.
“Sham, Rin ada telefon Sham tak? Ada tak dia beritahu, dia dah sampai ke Ipoh atau belum?” tanya Mak Leha sambil mencedokkan nasi goreng untuk Hisham.
Hisham sedikit terkejut dengan pertanyaan emaknya itu. Dia diam sejenak. “Tak ada, mak!” jawab Hisham lembut sambil mencapai cawan kopi. “Sangka saya dia telefon mak,” sambung Hisham lagi.
Mak Leha tidak membalas kata-kata Hisham itu. Dia sedang berfikir sesuatu.
“Hati emak rasa tak sedap, Sham. Lepas makan nanti, Sham tolong telefon tanya khabar dia ya? Mak risau,” beritahu Mak Leha.
“Yalah, mak. Nanti Sham telefon. Mungkin sejam dua jam lagi! Sekarang ni masih awal pagi. Rin mesti tidur semula lepas solat subuh tadi. Dia mesti penat, mak. Memandu sorang-sorang dari Alor Star ke Ipoh,” beritahu Hisham sambil mengeluh.
“Mak pelik jugak. Macam mana Kamal boleh lepaskan Rin datang ke sini sendirian?” kata Mak Leha sambil mencedok nasi goreng untuk dirinya sendiri.
“Yalah, saya pun berasa pelik juga,” sampuk Hisham. “Rin tak ada cerita apa-apa pada mak?Manalah tahu kalau dia ada masalah,” tebak Hisham.
“Saya pun dah lama tak telefon Kamal. Tak ada masa! Kadang-kadang bila saya telefon, dia pula tak menjawab,” adu Hisham. “Tapi, emak tak usah bimbang. Insya-ALLAH, mereka bersuami isteri itu tak ada masalah apa-apa. Kamal tu lelaki yang bertanggungjawab, mak. Dan dia sangat sayang Rin,” jelas Hisham.
“Hal itu mak tahu, Sham. Tapi, emak Kamal tu tak begitu suka dengan adik kamu! Emak mertua kalau tak suka menantu mungkin akan timbul masalah...” kata Mak Leha.
“Alah, mak! Yang penting, Kamal sayang Rin. Jalankan kewajipan dia sebagai suami. Lagipun Rin bukan tinggal dengan emak mertua dia. Mereka tinggal berasingan,” balas Hisham cuba memujuk hati emaknya.
“Kalau saya kahwin esok-esok... emak jangan tak suka pulak isteri saya... kasihan dia, mak!” gurau Hisham.
“Hah! Dah ada calon ke?” soal Mak Leha lembut.
Hisham hanya menyengih.
“Mak tengok sinar mata dia tak berseri macam selalu.Mak rasa, dia ada sorokkan sesuatu daripada pengetahuan kita,” tebak Mak Leha.
“Mungkin hanya perasaan mak. Rin tu tak ada masalah apa-apalah, mak. Kamal takkan buat tak tentu kepada dia! Makan minum cukup. Kain baju cukup. Duit ringgit cukup. Kasih sayang Kamal kepada Rin tu melimpah bagai air tujuh lautan, mak...” jawab Hisham sambil memuji sahabat karib merangkap adik iparnya itu.
“Harap-harap begitulah, Sham. Jangan laut bertukar menjadi sungai sudahlah. Emak tak mahu adik kau menderita, Sham. Dia tu dah biasa manja. Tak pernah hadapi masalah...” ujar Mak Leha.
“Insya-ALLAH, mak! Walau apa pun dugaan yang mendatang, Rin boleh hadapinya, mak. Dia kan anak mak?” seloroh Hisham sambil mengangkat pinggan dan cawan kopi yang sudah kosong ke singki.
“Alhamdulillah. Sedap nasi goreng mak,” puji Hisham sambil tersenyum. “Sham nak ke bandar Alor Star sekejap! Mak ada nak pesan apa-apa?” tanya Hisham sebelum beredar dari ruang dapur.
Mak Leha menggeleng kepalanya.
“Rin tu biar Sham yang telefon. Mak jangan bimbang. Bagi peluang mereka berehat, mak. Kamal pun ada di rumah tu,” kata Hisham dari jauh. Usia perkahwinan Sharina dan sahabat baiknya sudah hampir enam tahun. Biasalah hidup di dalam rumah tangga, mustahil tiada keributan walau sedikit pun.

Deringan telefon bimbit yang terletak di atas dadanya sejak subuh tadi mengejutkan Kamal yang terlena di atas sofa di ruang tamu. Dengan mata separuh terbuka Kamal membaca nama pemanggil yang tercatat di skrin telefon. Bibirnya tersenyum pahit.
“Waalaikumussalam, Sham...” jawab Kamal dengan suara lemah. Matanya masih terlalu mengantuk. Dia mencari Sharina sehingga 4.30 pagi tadi. Namun, kecewa.
“Hai, Kamal... kau tak bangun tidur lagi ke? Janganlah begitu, kawan! Dah pukul 10.30 pagi ni,” gurau Hisham.
“Tak! Aku dah bangun pagi tadi. Tapi, tertidur balik,” dalih Kamal sambil menguap. Solat subuh hari ini pun sudah terlepas. Kamal menggosok-gosok kepalanya dengan perasaan sebal. Dia masih menanti abang iparnya itu memberitahu tentang Sharina.
“Kamal, aku tak boleh nak berbual lama dengan kau ni. Aku cuma nak tanya, semalam Rin sampai rumah pukul berapa? Dia tak telefon beritahu kepada aku atau emak pun. Dia bertolak dari Alor Star pun agak lewat juga semalam,” beritahu Hisham.
Lidah Kamal terkelu. Perasaan sesal dan rasa bersalah terus menghujam hatinya. ‘Mengapa Rin tak beritahu ke Alor Star? Ya ALLAH...’ rintih hati Kamal.
“Kau taulah emak tu, risaukan anak kesayangan dia tu,” kata Hisham lagi dengan panjang lebar.
Rasa sesal dan bersalah semakin mengikat hatinya. ‘Rin pergi ke mana pula ni?’’ keluh hati Kamal.
“Kamal, Rin ada sampai ke rumah tak?” tanya Hisham lagi apabila Kamal tidak memberi respons.
“Ada... ada,” jawab Kamal dengan suara lemah.
“Sebelum pukul 12.00 semalam dia sampai,” beritahu Kamal lesu. Tragedi semalam bermain dalam fikiran. Kolam matanya merebak.
“Syukurlah kalau macam tu! Nanti aku beritahu emak. Kau sambunglah tidur tu balik, Kamal. Kalau Rin dah bangun nanti, suruh dia telefon emak.” Hisham mengakhiri perbualannya
Kamal terpisat-pisat.

Beberapa orang jemputan mulai datang ke rumah Mak Cik Mariah yang akan mengadakan majlis kenduri secara kecil-kecilan. Dia tersenyum lebar. Ainun pun sama. Rita yang ada bersama mereka turut tersenyum lebar. Dia dan anak-anaknya tidur di rumah Mak Cik Mariah sejak semalam lagi. Hati Rita dibungai perasaan indah. Selepas ini kehidupannya pasti akan berubah. Rasa tidak sabarnya bercampur baur dengan rasa gemuruh. Sungguh tidak diduga impiannya akan terlaksana. Rita terus mengelamun.
“Emak, Kamal nak balik pukul berapa ni?” tanya Ainun.
Mak Cik Mariah menarik tangan Ainun dan membawanya keluar dari bilik.
“Sekejap lagi kau telefon Kamal,” beritahu Mak Cik Mariah. Setelah itu, dia terus berbisik-bisik dengan anak perempuannya itu.
 “Kalau dia tak mahu balik nanti macam mana, mak?” tanya Ainun dengan suara bimbang.
“Hai... kalau Nun beritahu dia apa yang emak suruh tu, takkan dia tak balik! Dia mesti balik,” jawab Mak Cik Mariah dengan suara kuat dan menyakinkan.
“Kalau Rin nak ikut nanti macam mana? Atau kalau dia bawa Rin?” soal Ainun lagi.
“Biarlah dia ikut pun! Kamal tu anak aku! Dia kena dengar cakap emak yang lahirkan dia. Bukan dengar cakap isterinya!” tukas Mak Cik Mariah dengan nada angkuh. Kamal tidak boleh membantah kehendaknya hari ini. Bukankah dia pernah berjanji dulu?

ANGIN bertiup sepoi-sepoi bahasa. Desiran angin petang yang dingin menyamankan tubuh Kamal yang dibasahi keringat kerana mencuci kereta. Hari ini hari Ahad. Sambil mencuci kereta sesekali matanya menjeling ke pagar kalau-kalau ternampak kereta atau susuk tubuh isterinya. Namun sudah dua hari hatinya diselubungi kehampaan. Semalam, seharian dia cuba mencari Sharina. Rumah emak mertuanya di Gopeng pun hampir enam kali dia berulang-alik, mana tahu Sharina ada di sana menyembunyikan diri.
Selesai mencuci kereta, jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Perutnya mula berdendang. Seingatnya dari semalam dia hanya mampu menelan air. Itupun terasa racun yang akan mereputkan seluruh tubuhnya. Kalau ada Sharina, setiap kali hari cuti isterinya itu akan memasak apa yang diinginkan oleh lidahnya. Walaupun dalam situasi berperang dingin, Sharina tetap akan bertanya apa yang ingin dimakannya. Namun, rasa ego membuatkan dia mendiamkan diri dan hanya menjamah sedikit sahaja makanan yang dimasak oleh isterinya itu. Sengaja untuk menyakitkan hati dan mendera perasaan isterinya yang telah mencalarkan hatinya.
Alangkah sayangnya jika istana yang telah terbina kian lama itu hancur berderai. Begitu rapuhkah cintanya terhadap Sharina? Tidak. Kamal terus bertanya dan menjawab sendiri. Hatinya semakin resah dihambat rasa sunyi dan rindu.
Irama bunyi telefonnya menyebabkan Kamal terus menyambar telefon bimbit di atas meja. Kak ngah. Nama yang terpapar di skrin.
“Kamal...” Suara Ainun yang menangis menjengah gegendang telinganya.
“Apa lagi, kak ngah? Nak cerita apa lagi hari ni?” soal Kamal acuh tak acuh.
“Kamal cepatlah balik...” tangis Ainun.
“Kenapa kak ngah menangis ni?” tanya Kamal sambil mengusap dagunya yang tidak bercukur sudah dua hari.
“Emak... Kamal! Emak tak sihat! Baliklah tengok dia. Dia asyik tanyakan Kamal...” cerita Ainun terus menangis.
“Bila tak sihatnya?” soal Kamal lagi lalu mencapai kunci kereta. Dia yang sememangnya bercadang untuk mencari Sharina rasa terhalang. Cadangnya ingin menjejak Sharina di seluruh hotel yang ada di bandar Ipoh.
“Tengah hari tadi Kamal. Tiba-tiba aje emak diserang sesak nafas,” jawab Ainun terus menangis hiba. “Kak ngah tengok, emak tu dah lain macam aje. Jangan-jangan sakitnya ini menjadi penyebab untuk dia tinggalkan kita...” Esakan Ainun semakin kuat.
“Alah, janganlah cakap begitu,” jawab Kamal dengan nada sebak. Walaupun emak berperangai buruk, dia tidak harus melupakan jasa emaknya. Emak hanya ada seorang dan tidak ada galang gantinya. Rasa kasih dan sayangnya kepada emak itu tidak pernah memudar walaupun dia sudah beristeri. Kedua-dua wanita itu amat bermakna di dalam hidupnya.
“Kamal baliklah...” rayu Ainun.
“Saya balik sekarang, kak ngah!” kata Kamal lalu menekan butang merah di telefon bimbitnya. Dia berlari ke bilik untuk menukar baju. Tidak sempat untuk mandi atau bercukur lagi. Sederas kilat kakinya melangkah menuju ke kereta, menghidupkan enjin kereta dan terus memecut menuju ke Kampung Sungai Tapah.

Debaran di dada Kamal semakin memuncak apabila sampai di rumah emaknya, dia melihat beberapa buah kereta terparkir di halaman rumah.
‘Emak tenat sangat ke? Kenapa kak ngah tak bawa ke hospital?’ soal hatinya lalu cepat-cepat keluar dari kereta. Langkah kakinya deras memasuki rumah.
“Assalamualaikum,” sapa Kamal kepada beberapa orang lelaki jiran sekampung yang kurang lebih usia emaknya.
“Waalaikumussalam. Hah, Kamal dah sampai pun,” kata seorang lelaki yang memakai serban lalu menghulurkan tangannya kepada Kamal.
Kamal berjabat salam dengan mereka sambil terpinga-pinga
“Papa...  papa...”  Umar Ridzuan datang menghampirinya.
Kamal mengusap kepala Umar Ridzuan sambil tersenyum kepada kanak-kanak itu. ‘Mesti emak tenat sampaikan Rita dan anak-anak pun dah ada di sini!’ bisik Kamal lagi.
“Saya minta diri, pak haji, pak lebai. Duduklah dulu, saya nak tengok emak. Maaf...” beritahu Kamal dengan lembut sambil menundukkan kepalanya seketika kepada tetamu-tetamu itu.
“Kamal dah balik!” Tiba-tiba muncul emaknya dari belakang dipapah oleh kak ngah. Wajah emaknya nampak letih dan sesekali bernafas mencungap.
“Duduk kat sini Kamal,” kata Mak Cik Mariah sambil menarik nafas panjang-panjang. Dia pun duduk bersila dengan dibantu oleh Ainun dan Kamal.
“Kita pergi ke hospital sekarang, mak!” ajak Kamal dengan suara perlahan. Telinganya terus menangkap bunyi nafas emaknya yang kuat dan mencungap-cungap.
“Ya... sekejap lagi kita pergi, nak ya?” jawab Mak Cik Mariah dengan suara menggeletar. “Uruskan hal Kamal dulu,” kata Mak Cik Mariah diselangi tarikan nafas yang panjang-panjang seolah-olah nyawanya hendak terputus.
“Kamal, emak nak tanya satu perkara! Betul atau tidak, dulu Kamal pernah berjanji akan dengar segala kata emak selagi emak tidak menyuruh Kamal membuat perkara yang ditegah agama?” tanya Mak Cik Mariah dengan suara bergetar dan amat lemah.
“Ya mak! Memang saya ada berjanji dengan emak,” jawab Kamal dengan perasaan sebak.
Mak Cik Mariah tiba-tiba mencengkam paha Kamal yang duduk rapat di sisinya.
“Tuan haji... cepat jalankan! Tak payah tangguhkan lagi,” suruh Mak Cik Mariah pula.
Kamal kebingungan.
“Kamal jangan bantah cakap emak. Ikut apa yang pak haji tu cakap,” arah Mak Cik Mariah. Cengkaman tangannya pada paha Kamal semakin kejap.
‘Ya Allah... bencana apakah ini?’ jerit hati Kamal apabila melihat pak haji dan empat orang lelaki yang lain merapatinya. Duduk mendepaninya.
“Kamal...” kata pak haji sambil menjabat tangan Kamal.
Kamal menggenggam jari-jemarinya. Dadanya dihempas gelora yang amat ganas hingga mampu meranapkan sebesar gunung.
“Kamal Hanafi bin Abdul Razak. Aku nikahkan kamu dengan Rita binti Abdul Rahman...” kata Pak Haji lagi. Genggaman tangannya ke tangan Kamal semakin kuat dan di hujung ungkapannya lelaki itu menghenjut tangan Kamal yang kebingungan.
“Kamal, jangan bagi malu emak. Kamal dah janji. Rin dah bersetuju. Kamal...” bisik Mak Cik Mariah.
Kamal masih diam. Pada saat semua mata tetamu yang menumpu kepadanya, Kamal terasa seolah-olah rohnya sedang meronta-ronta untuk berpisah daripada jasadnya.
“Kalau mak mati sekejap lagi, mak tak ampunkan Kamal.Mak tak akan tenang.” Mak Cik Mariah terus membisikkan kata-kata ugutan.
“Kamal Hanafi bin Abdul Razak. Aku nikahkan kamu dengan Rita binti Abdul Rahman dengan mas kahwinnya RM101 tunai.”
Sekali lagi tangannya dihenjut oleh pak haji yang memang bertugas sebagai kadi. Sekali lagi daging pahanya dicengkam oleh tangan emaknya dengan kuat.
‘AllahuAkbar! AllahuAkbar. Beratnya ujian-MU ini. Amat berat...’ rintih hati Kamal. Seluruh anjung rumah seperti sedang berpusing. Pandangan matanya mula berpinar dan berlapis-lapis. Sekali lagi telinganya mendengar ungkapan kalimah yang akan mengikat dirinya dengan Rita. Bibirnya masih terkunci. Tetamu yang hadir mula berbisik-bisik.
“Kamal, emak tak halalkan air susu emak kalau Kamal bantah,” ugut Mak Cik Mariah dengan suara bergetar.
“Kamal Hanafi bin Abdul Razak, aku nikahkan kamu dengan Rita binti Abdul Rahman dengan mas kahwinnya RM 101 tunai.” Suara tuan kadi bertambah kuat.

“Saya... saya...” Suara Kamal menggeletar. Peluh sejuk membasahi tubuhnya. Peti suaranya seakan disengkang dengan seketul batu yang amat besar. Jantungnya  semakin mengecil lantas pernafasannya menjadi sempit. Kamal menghela nafas panjang-panjang sebelum pandangannya gelap serta-merta.

Tiada ulasan: