Khamis, 13 Februari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 58)


Sharina yang melihat Kamal bercekak pinggang di muka pintu, kecut hatinya. Dia tidak menyangka tiba di rumah selewat itu. Ada kemalangan bas ekspres dan sebuah lori kontena di Juru, lantas membantutkan perjalanannya hampir dua jam.
Ingin saja dia berundur agar tubuhnya tidak sampai kepada Kamal. Atau kalau boleh, biarlah kakinya yang melangkah, bumi yang dipijaknya bergerak ke belakang membawanya jauh dari rumah itu. Namun, mahu tak mahu langkah kakinya sampai juga di muka pintu dengan perasaan penuh ketakutan. Terlerai segala impian dan bayangan keindahan yang dianyam sebelum bertolak pulang dari Alor Star tadi. Kini, malapetaka yang bakal menantinya.
“Oh... dah pandai berbohong sekarang ni ya?” soal Kamal menengking. Tangannya dengan kasar menyentap tudung di kepala Sharina sebaik sahaja kaki Sharina melangkah masuk ke pintu.
“Pergi ke mana, hah?” tanya Kamal marah. Pantas tangannya mencapai rambut Sharina yang bertocang kuda. Direntapnya kuat sehingga kepala Sharina terpaksa mengikut gerakan tangan Kamal yang menarik serta menyentap rambutnya hingga dia terdongak memandang siling. 
Sharina tidak bersuara. Tangannya memegang rambutnya kuat-kuat, bimbang disentap oleh Kamal sekali lagi. Dia yang baru sahaja masuk ke rumah terkejut. Benar-benar berasa takut. 
“Awal pagi sudah keluar rumah, beritahu suami pergi kerja, tapi bila abang telefon ke pejabat, mereka kata Rin cuti. Handphone off, langsung tak dapat dihubungi.Rin pergi ke mana?” tengking Kamal lagi. Nafasnya deras. Kamal benar-benar sedang naik baran.
“Rin tertinggal telefon,” jawab Sharina tergagap-gagap.
“Bohong! Rin sengaja tinggalkan telefon di rumah supaya abang tak dapat hubungi Rin! Betul tak?” tuduh Kamal. Dia mengambil telefon bimbit Sharina yang memang disimpannya di dalam kocek seluar dari tadi.
Sharina kembali membisu. Bibirnya seakan terkunci. “Ni apa? Mesej daripada siapa?” tanya Kamal dengan suara kuat. Telefon bimbit yang sudah dibuka jendela mesej pesanannya ditayang ke muka Sharina.
Sharina tersentak. Sungguh tidak diduga telefon bimbit yang tertinggal telah digeledah isi perutnya oleh Kamal.
“Jawab!” tengking Kamal sambil memandang Sharina dengan renungan yang tajam.
“Rin... Rin tak tahu, bang...” jawab Sharina sambil menangis. Matanya menatap wajah Kamal. Wajah masam mencuka Kamal, menakutkannya.
“Jangan bohong! Macam mana dia boleh dapat nombor telefon, Rin? Cakap!” Kamal menarik lengan Sharina sehingga tubuh Sharina rapat dengan dirinya. Pangkal tangan Sharina dicengkamnya kuat-kuat dengan perasaan geram.
“Cakap! Eh, Rin dah jadi bisu ke?  Cakap! Cakapp! Tadi pergi ke mana? Buat maksiat di mana? Cakap!” jerit Kamal. Kegeraman yang melahar diluahkan melalui tekanan suaranya. Kamal menonyoh-nonyoh pipi Sharina dengan penumbuknya.
Sharina paling pantang jika ada sesiapa mengasari pipinya. Kalau hendak mencederakan biarlah di tempat lain. Bukannya di muka.
“Kenapa dengan abang ni? Kalau nak marah pun tak sempat-sempat orang berehat dulu ke? Orang baru balik ni! Penat belum habis, abang dah bising-bising kenapa?” soal Sharina. Giliran dia pula naik berang. Suaranya meninggi, matanya dibesarkan apabila memandang Kamal. Agaknya memang betul apa yang diceritakan oleh emak mertuanya yang Kamal sudah berubah hati. Sudah beralih kasih.
“Oh... dah pandai melawan! Sejak bila? Cakap!” desak Kamal sambil menarik tangan Sharina supaya berdiri, berhampiran dengannya. Sharina cuba menjauhkan diri, namun Kamal menarik dengan mencubit perutnya.
“Rin ada hubungan dengan Abang Zarif tanpa pengetahuan abang! Abang tak suka! Sudah berapa kali abang beritahu? Kenapa Rin bantah cakap  abang?” Kamal bertempik.
“Abang Zarif dah buat perangai biadap dengan Rin, Rin masih nak layan dia juga!” leter Kamal. Pudar air mukanya tadi sewaktu kak ngah menunjukkan gambar isteri yang dikasihi bersama dengan abang iparnya. Mukanya terasa diconteng dengan minyak hitam.
“Apa yang Rin dah buat dengan Abang Zarif?” tanya Kamal. “Kenapa Rin nak adakan hubungan dengan dia?”
“Mana ada?!” nafi Sharina. Sememangnya dia tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan lelaki itu.
“Bohong! Ini apa? Kak ngah jumpa rantai tangan Rin dalam kereta Abang Zarif. Kalau Rin tak masuk dalam kereta dia, macam mana rantai tangan Rin boleh tercicir dalam kereta dia?”
Sharina tersentak. Badannya mula menggeletar ketakutan. Kenyataan Kamal itu membungkamkannya. Kamal menarik Sharina menuju ke dalam bilik. Walaupun Sharina enggan, Kamal tetap mengheretnya juga menaiki tangga.
Sebaik sahaja sampai ke bilik tidur mereka, tubuh Sharina ditolaknya dengan kasar ke atas katil sehingga menyebabkan wanita itu terbaring terbaring di atas timbunan kain bajunya. Keadaan di dalam bilik itu mengejutkan Sharina. Kamar tidur yang sentiasa bersih dan kemas berselerak seperti kapal pecah. Hati Sharina diasak oleh perasaan takut yang maha dahsyat. Pasti Kamal telah mengetahui segala rahsianya! bisik hati Sharina sambil menangis.
Kamal tiba-tiba membuka almari dan menghumban beberapa buah fail ke arah Sharina. Setelah itu, dia menyelongkar pula laci dan mengeluarkan semua dokumen yang tersimpan di dalam laci dengan rakus.
“Ini! Rin jawab! Ke mana pergi semua duit ni?” tanya Kamal sambil menghumban buku-buku akaun dan bil-bil yang diambilnya dari dalam laci ke muka Sharina.
Sharina mendiamkan diri dengan tubuh yang menggeletar.
“Sejak bila jadi begini? Cakap! Sejak bila Rin pandai tak amanah? Cakappp!” soal Kamal bertalu-talu. Dia benar-benar marah dengan perubahan sikap Sharina. Malam ini, biar segala-galanya terbongkar.
Kehilangan Sharina sehari suntuk pada hari ini ditambahi pula dengan perkhabaran yang dibawa oleh kak ngahnya petang tadi menyebabkan hatinya terlalu kecewa.
“Rin ambil kad ATM abang! Rin keluarkan duit berpuluh ribu ringgit, untuk siapa? Untuk apa?” Badannya mula berpeluh kembali. Meskipun dalam bilik tidur itu alat penghawa dingin telah dihidupkan sejak tadi.
“Rin buat pinjaman sampai 100 ribu! Rin berhutang! Abang tak suka! Abang tak pernah ajar Rin buat begitu!” jerit Kamal sehingga urat di lehernya kelihatan tegang.
“Ya! Rin yang pakai semua tu, abang nak apakan Rin? Macam ni ke abang balas budi Rin menjaga abang selama abang terlantar? Macam ni ke? Macam ni ke abang balas pengorbanan Rin?” tukas Sharina cuba mempertahankan dirinya.
Walaupun dia tidak berniat untuk mengungkit kerana menyedari amal kebaikan yang dilakukan tanpa nilai ikhlas tidak mendatangkan pahala. Namun, sikap Kamal amat mengecewakannya.
Kata-kata yang keluar daripada Sharina tambah mengejutkan Kamal. Sebelum ini, Sharina tidak pernah bersikap begitu. Hanya dia begitu mudah merajuk. Cepat menangis.
“Kalau nak pakai, nak guna semua duit tu abang tak kisah. Pakailah, gunalah tetapi beritahu dulu. Hilang berpuluh ribu dari akaun, tak ada pula dalam simpanan Rin! Dibelanjakan pun tak! Rin ke manakan duit semua tu, hah! Jawab!” tempik Kamal lagi. Kemarahan Kamal semakin memuncak. Dia menolak tubuh Sharina ke atas katil sekali lagi. Tangannya membuka tali pinggang yang membelit di pinggang jean yang sedang dipakainya.
“Cakap! Beri kepada siapa semua duit tu? Cakap!” tempik Kamal sambil melibas tali pinggang ke tubuh Sharina.
“Rin tidak amanah terhadap harta benda suami sewaktu abang hilang upaya! Berdosa tahu tak?” marahnya lagi.
Kamal benar-benar geram dengan perubahan sikap isteri yang dikasihinya itu. Perasaan marahnya bagai terhimpun kembali dan gagal dikawal.
“Siapa dia ni? Apa hubungannya dengan Rin? Jawablah!” soal Kamal lagi. Tempikannya ibarat halilintar. Dia menonyoh-nonyoh salinan slip bank yang ditemuinya di dalam laci tadi ke muka Sharina. Nama yang tertera pada salinan slip bank itu terlalu kabur.
Sharina benar-benar terkejut kerana Kamal telah menemui slip bank itu. Pergaduhan besar antara emak mertuanya dengan suaminya itu pasti akan berlaku jika dia berterus terang. Kemarahan Kamal pasti lebih meledak lagi.
“Cakap!” pekik Kamal lalu melibas Sharina sekali lagi.
Sharina yang cuba mengelak terjatuh dari katil dan terguling di atas lantai.
Kamal tidak mempedulikannya. Segera dia memijak tubuh Sharina menghalangnya daripada bangun. Sharina berusaha membebaskan dirinya daripada tekanan tapak kaki Kamal. Dia cuba untuk menolak kaki Kamal, namun tidak berdaya. Libasan tali pinggang hinggap ke tubuhnya berkali-kali. Perit dan sakitnya ALLAH sahaja yang tahu. 
“Cakap!” desak Kamal lagi.
Bibir Sharina terkunci. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan memberitahu Kamal yang segala barang kemas serta wang ringgitnya itu telah diserahkan kepada emak mertuanya.
“Abang... Rin minta maaf sebab dah berbuat salah..” Bersama esakan dan deraian air mata yang cuba ditahan, Sharina bersuara. Dia menggosok-gosok tubuhnya yang  sakit kerana rembatan tali pinggang. 
“Tapi begini ke cara abang balas segala pengorbanan Rin untuk abang selama ni? Sampai hati abang pukul Rin,” ucap Sharina dengan suara tertahan-tahan sambil menghamburkan air mata.
“Hei, Rin isteri! Tanggungjawab! Kewajipan Rin! Jangan nak mengungkit! Abang tabur Rin dengan kemewahan walaupun abang lumpuh! Tapi, Rin tak amanah. Abang tak boleh terima isteri yang pembohong. Pendusta. Menghancurkan kepercayaan yang abang berikan kepada Rin!” tempik Kamal lagi.
“Abang ingat segala pengorbanan Rin. Tapi, kenapa Rin yang abang anggap sebagai bidadari di hati abang, bertukar menjadi iblis! Kenapa? Kenapa?” soal Kamal sambil menumbuk tilam berkali-kali dengan perasaan yang amat kecewa. Sekali lagi tali pinggang hinggap pada tubuh Sharina
“Abang tak boleh terima kalau Rin ada hubungan dengan lelaki lain. Sampai abang mati!” jerit Kamal pula. Dia menggigit bibir berkali-kali. “Rin khianati cinta abang! Rin curangi abang! Abang tak boleh terima! Abang benci! Benci!” sambung Kamal penuh emosi sedih dan kecewa. Nafasnya mencungap.
“Abang, semua tu tak benar, bang... Rin tak pernah lakukan perkara tu. Percayalah, bang. Abang dah salah sangka!” tangis Sharina dengan perasaan yang hancur.
“Memang benar Rin ambil duit dan barang kemas tu, tapi Rin tak pernah ada hubungan dengan lelaki lain!” jelas Sharina sambil menangis. Remuk hatinya jika dia dituduh sedemikian rupa.
“Sebenarnya abang yang berubah! Rin tahu, abang sedang menjalin cinta dengan bekas tunangan abang yang dah menjanda tu! Cinta abang kepadanya dah bersemarak kembali! Rin dah tahu semua itu,” kata Sharina lagi. Dalam tangisan kesakitan, dia meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Kamal.
“Yes, bagus kalau dah faham. Kalau begitu, keluar dari rumah ni sekarang!” Kamal menarik tubuh Sharina serta mengheretnya dari bilik menuju ke ruang tamu.
Sharina menangis tersedu-sedu. Pengakuan Kamal itu semakin meremukkan hatinya. Sharina yang kesakitan terjelepok di depan pintu sambil menangis.
“Abang tak tahu bersyukur. Tak mengenang budi. Buat perangai macam orang tak ada iman. Rin benci!” kata Sharina sambil meraung. Asakan kesedihan dan kekecewaan yang semakin menghimpit seluruh jiwa raganya menyebabkan Sharina tidak mempedulikan apa juga kata-kata yang keluar daripada bibirnya.
“Eh, jangan sebut perkataan iman! Iman di dada Rin tu  langsung kosong! Rin hancurkan perasaan dan hati abang! Berambus! Ambil kunci kereta  ni!” herdik Kamal lalu menghumbankan kunci kereta dan beg tangan Sharina yang diletakkan di sofa tadi.
“Pergilah ke mana Rin  suka!” usir Kamal sambil  menutup pintu. Kemarakan api yang mengganas membakar apa sahaja boleh terhapus oleh siraman air, namun kemarahan hati yang menjulang tidak akan reda walaupun yang empunya hati itu direndam di dalam lautan dingin.
“Abang, Rin minta ampun, bangg... Tolong jangan buat begini, bang...” rayu Sharina sambil mengetuk pintu.
Namun Kamal tidak mengendahkannya. Disebabkan  kesakitan, dia terbongkok-bongkok menuju ke kereta. Dengan deraian air mata, dia menghidupkan enjin kereta.

Kamal bersandar di sofa dengan nafas yang masih mencungap. Dia menggosok-gosok tapak tangannya yang pedih. Tali pinggang kulit yang digunakan untuk menghukum Sharina tadi terkulai di atas pahanya. Gelapnya malam bagai gelap sanubarinya saat itu. Pedih hatinya. Remuk dan hancur. 
‘Rin khianati hati abang. Mengapa Rin tergamak lakukan? Mengapa? Tidakkah Rin faham dan mengerti tidak ada wanita lain lagi yang abang cintai? Tak akan ada sesiapa pun yang dapat menggantikan Rin di hati abang. Rin...’ rintih hati Kamal. Suara Sharina yang merayu menangis minta ampun daripadanya seolah-olah kedengaran.
“Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan tadi?” soal hati Kamal. “Ya ALLAH...” rintih Kamal. “Abang pukul Rin?” Dia seolah-olah terjaga daripada mimpi ngeri.
“Rin! Jangan pergi! Rin!” pekik Kamal lalu menerpa ke pintu. Daun pintu dikuaknya rakus. “Astaghfirullahalazim!!!” Istighfar Kamal apabila melihat kereta isterinya sudah tiada lagi di bawah porch. Separuh jiwanya seolah-olah dibawa pergi apabila isterinya tiada di sisi. Gelap malam terus menyaksikan hati Kamal yang tidak berhenti meratap.
“Rin, baliklah... Abang minta maaf!” Tangisannya tidak mampu didengari oleh sesiapa pun walau angin malam yang sedang menemaninya. ‘Rin!’ Batin Kamal terus meraung.

Dalam warna malam yang semakin pekat, Kamal menghidupkan enjin kereta dan terus membelah malam untuk memburu isterinya itu. Dia menyesal. Hujan di hatinya semakin lebat dan deras. 

Tiada ulasan: