Khamis, 13 Februari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu (Bab 57)


JAM 9.00 pagi, Kamal serta dua orang pegawai lain di pejabat itu sudah meninggalkan pejabat. Dia melangkah deras menuju ke keretanya yang diparkirkan di tempat parkir.
“Tunggu saya di lokasi,” arah Kamal sambil menoleh kepada Ikwan dan Munir yang masing-masing sedang membuka pintu kereta mereka. Secara kebetulan, kereta mereka diparkir berdekatan. Ikwan dan Munir mengangkat tangan kepada Kamal tanda memahami arahan ketuanya itu.
Kamal yang bertugas sebagai jurutera awam di pejabat mereka, seorang yang tegas, namun senang didampingi dan dibawa berbincang. Pagi itu, mereka ingin memantau kerja-kerja pembinaan sebuah jejantas yang merentangi sebuah jalan raya yang amat sibuk di bandar berhampiran. Jejantas itu, jika telah siap akan menjadi jalan alternatif yang diharapkan dapat mengurangi kesesakan yang semakin meruncing.
Dua puluh minit bersesak-sesak di tengah jalan raya, barulah mereka tiba di tapak projek yang sedang dijalankan. Kehadiran Kamal di tempat itu disambut oleh kontraktor yang telah memperoleh tender untuk melaksanakan pembinaan jejantas itu. Mereka berjabat salam dan berbual-bual seketika sebelum Kamal dibawa melawat dan melihat kerja-kerja yang sedang dilakukan.
Majoriti buruh yang sedang melakukan kerja ialah rakyat Indonesia atau Bangladesh. Tekun melakukan tugas. Meskipun sinar sang mentari mulai menggigit tubuh dan kulit mereka. 
“Mesti ikut spesifikasi bapak! Pasaknya mesti kuat. Kukuh.Jika tidak, sekejapan saja bisa runtuh! Hancur berderai. Macam orang berumah tangga. Tapaknya mesti kuat.”
Seorang pekerja Indonesia yang menjadi mandur di situ cuba menerangkan kepada Kamal cara mereka bekerja di situ. 
“Hisy, apa kena-mengena jejantas yang hendak dibina dengan rumah tangga?” soal Kamal dengan suara perlahan.
“Benar, bapak! Struktur rumah tangga pun harus kuat, macam bangunan dan jejantas. Jika tidak, ditiup angin bayu sahaja sudah bisa ranap.” Pekerja Indonesia itu menyambung bicaranya dengan tawa dan sesudah itu menyeringai. 
“Mesti ada kejujuran, kasih sayang, keikhlasan, kemesraan. Paling utama keimanan dan rahmat dari yang di atas sana,” katanya lagi sambil jarinya menuding ke langit.
“Oopss, maaf bapak! Suka-suka saja saya bicara!” Cepat-cepat dia memohon maaf. Mungkinkah percakapannya tadi telah menyinggung perasaan lelaki pegawai kerajaan itu yang datang memantau kerja mereka?
“Sudahlah, Budiman. Teruskan kerja kamu,” celah kontraktor yang masih beriringan dengan Kamal. Bimbang Kamal akan berkecil hati dengan perkataan yang keluar daripada bibir pekerjanya itu.
“Maaf bapak!” ujar pekerja itu sekali lagi. Lelaki yang bernama Budiman meneruskan kerjanya sambil bersiul-siul dan sesekali mengelap keringat yang mengalir di pipi dan di dahi dengan sehelai tuala yang sudah kelabu warnanya.
Empat puluh lima minit berada di situ, Kamal pun beredar dan kembali ke pejabat. Ikwan dan Munir terus ke sekolah mengambil anak-anak masing-masing. Jam pun sudah menghampiri 1.00 tengah hari. Waktu rehat.
Sampai di pejabat, Kamal terkenangkan kata-kata buruh Indonesia tadi. Memang ada benarnya. Teguh dan kuatkah struktur rumah tangganya? Jika angin mendatang, kalau  puting beliung melanda, sekiranya ombak dan gelora menghempas... mampukah dia bertahan?
‘Rin...’ Hatinya berbisik menyebut nama itu. Tiba-tiba dia berasa amat rindu kepada isterinya itu. Perang dingin yang berlaku antara mereka kebelakangan ini sebenarnya menyeksa batinnya sendiri. Dia rindukan kemesraan dan kemanjaan isterinya itu. ‘Rin, apa yang sudah berlaku dengan rumah tangga kita, sayang?’ soalnya sendiri.
Sejak dia mengurangkan perbualan dengan isterinya itu, Sharina nampak begitu tertekan. Setiap pagi, selepas bangun tidur Kamal lihat pelupuk mata isterinya itu membengkak dan wajahnya sembab. Mungkin perasaan hati Sharina rasa terdera dengan tindakannya itu. Mungkin setiap malam Sharina tidur berendam air mata.
Semalam, Sharina datang tidur di sisinya di bilik tetamu. Tergamak hatinya yang semakin bertepek dengan keegoan itu tidak mengendahkan isterinya itu.
“Abang... Rin nak tidur di hujung kaki abang ya” beritahu Sharina.
Dia berpura-pura berdengkur dan tidak mendengar permintaan isterinya itu lalu membiarkan Sharina tidur di hujung kakinya. Hampir dinihari barulah dia mengangkat isterinya yang lena dan membaringkan di atas bantal di sisinya. Pelukan dan ciuman daripada isterinya juga tidak dipedulikan lagi. Dibiarkan tanpa balasan. Hati yang sedang merajuk sengaja dikeras-keraskan walaupun jauh di sudut hati, batinnya menagih kemesraan.
“Rin minta maaf, minta ampun dari hujung rambut ke hujung kaki, ya bang! Tengah hari nanti kalau abang balik nak makan tengah hari, Rin dah masakkan. Semuanya Rin dah masukkan dalam peti sejuk. Bila nak makan nanti, abang panaskan, ya?” pesan Sharina sebelum pergi bekerja pagi tadi. Dan dia hanya menjawab sepatah tanpa sepotong senyuman.
Wajarkah pengorbanan isterinya selama ini dibalas dengan hukuman sebegitu? Mungkin Wanciknya tersilap. Mungkin benar Sharina tidak ada perhubungan dengan mana-mana lelaki lagi di luar sana. Mungkin Wancik tersalah pandang. Mesti ada kesilapan di mana-mana. Kamal cuba memujuk hati sendiri.
Kamal meneliti satu demi satu iklan maklumat mengenai pakej pelancongan. Sebagai menghargai penat lelah Sharina yang telah menjaganya selama ini, dia bercadang membawa isterinya pergi bercuti. Mungkin dengan percutian itu perhubungan mereka yang tegang kebelakangan ini dapat dipulihkan kembali. 
Berkali-kali Kamal cuba menghubungi telefon bimbit Sharina, namun tidak ada jawapan. Wajah Kamal mulai  mencuka. Hatinya bagai digigit-gigit. Gagang telefon masih di tangannya. Dia yang pada ketika itu berada di pejabat mula panas hati.
Gagal menghubungi Sharina melalui telefon bimbitnya, Kamal mendail ke nombor talian tetap pejabat isterinya itu.
“Puan Sharina, hari ni bercuti,” jawab satu suara.
“Cuti?” soal Kamal. “Tapi...” Terpempan dia seketika. Memang menjadi kepantangannya jika isteri pergi ke mana-mana tanpa meminta izin daripadanya terlebih dahulu.
“Encik ni siapa? Boleh saya bantu encik?” Lagi sekali kelembutan suara itu singgah di telinganya.
“Hmm... suaminya. Baiklah, puan... biar saya hubungi handphone Puan Sharina.” Kamal mencelah, lalu meletakkan gagang telefon. Beberapa detik kemudian, ia menghubungi telefon bimbit Sharina sekali lagi. Berkali-kali. Tiada jawapan. Di luar kawasan liputan.
Separuh hari itu, Kamal menghubungi telefon bimbit isterinya. Namun itulah jawapan yang diperolehinya. Kamal menghenyakkan tubuhnya ke kerusi sambil memicit-micit dahi. Fikirannya terasa tegang.

Mak Leha memeluk Sharina kuat-kuat. Kunjungan anak kesayangannya itu walaupun seketika dapat juga mengubat rindunya. Waktu zuhur tadi, Sharina sampai bersendirian. Katanya sengaja mengambil cuti untuk bertemu dengan emak dan abang. Rindu sangat. Itulah yang dibisikkan oleh anaknya.
“Rin sampai ke rumah nanti, terus telefon emak tau,” pesan Mak Leha.
“Insya-ALLAH, Rin mesti telefon emak,” jawab Sharina dengan nada riang. “Apa nak buat, mak? Rin tertinggal telefon. Jika tidak 20 minit sekali Rin akan telefon mak, buat laporan,” gurau Sharina. Cuba melindungi hati yang lara.
“Rin benar-benar terlupa. Telefon pun Rin dah tak ingat letak di mana. Lantaklah...” sambung Sharina lagi.
Bermacam-macam perkara yang sedang menghujam fikirannya kini. Sesungguhnya, dia tidak tahu untuk meluahkan kepada siapa. Jika diadukan kepada Hisham tentang suaminya yang ingin berkahwin lain, abangnya pasti akan kecewa dengan sahabat karibnya itu. Dia pasti akan membuat perhitungan dengan Kamal. Memang Kamal ada hak dan berkemampuan. Hisham tiada hak melarang. Sharina mengeluh tiba-tiba.
“Muda-muda lagi dah mamai,” sampuk Hisham sambil menarik-narik hidung adiknya itu.
“Kadang-kadang kenalah mamai,” jawab Sharina sambil ketawa. Masih menyembunyikan nestapa.
“Eloklah Rin bertolak sekarang. Ipoh tu jauh tau,” Kata Mak Leha sambil melangut ke langit. Langit masih nampak cerah. “Kirim salam pada Kamal ya? Jaga dia elok-elok. Hati suami kena jaga betul-betul. Rantai kuat-kuat. Jaga makan minumnya. Jangan bantah cakap dia,” nasihat Mak Leha.
“Kalau Kamal dah bersedia untuk ada anak, Rin kena bersedia jugak. Umur Rin sekarang dah 26 tahun. Kamal tu bukannya muda lagi,” nasihat Mak Leha. “Rambut atas kepala Kamal pun dah mula beruban mak tengok,” gurau Mak Leha.
Sharina tersenyum pahit. ‘Mak... menantu mak dah nak berkahwin lain,’ adunya di dalam hati. Mana mungkin dia menceritakan penderitaan yang sedang ditanggung oleh sekepal hatinya kini. Cinta Kamal kepadanya kini dirasakan semakin menjauh...
“Ingat pesan, mak! Ikat hati Kamal betul-betul. Dia suami yang baik, Rin. Kalau Rin pandai jaga dan ambil hatinya. Abang kenal sangat dengan dia,” sampuk Hisham pula.
Sharina mengangguk-anggukkan kepalanya. Berat hatinya untuk berpisah dengan emak dan abangnya.
“Kalau kita pandai ambil dan jaga hatinya, segala-galanya dia sanggup korbankan,” sambung Hisham lagi.
Sharina mengangguk sekali lagi. “Yalah, bang! Balik rumah nanti Rin ikat hati Abang Kamal kuat-kuat,” janji Sharina. Hisham membalasnya dengan senyuman.
“Rin balik dulu.” Tekaknya berasa kesat dan pedih. Dia masuk ke dalam kereta dengan langkah longlai.
“Okey... selamat jalan, Rin. Bawa kereta elok-elok,” pesan Hisham sambil melambaikan tangannya.
Rasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan meminta maaf daripada Kamal kerana mengunjungi emaknya tanpa pengetahuan suaminya itu. Jika perlu, dia akan melutut kepada suaminya itu. Mudah-mudahan kedinginan perhubungan mereka selama beberapa minggu ini dapat dihangatkan kembali. Rajuknya dan rajuk Kamal segera terusir. Sharina memandu laju di dalam cahaya suria yang semakin menjingga.

Sinar matahari mulai meredup pada tengah hari itu mungkin membawa tanda yang langit akan menurunkan hujan lebat. Tambahan pula langit yang cerah dari pagi tadi sudah menjadi kelabu. Ada gumpalan awan yang bergerak perlahan dan kelihatan memberat menanti saat untuk menjadi tetamu di muka bumi. Hanya menunggu perintah ALLAH.
Ainun bersama anak-anaknya menunggu kepulangan Zarif Afandi. Dia mengerling hidangan yang tersedia di meja makan. Anak-anak telah duduk keliling meja. Hanya menunggu kepulangan ayah mereka untuk makan bersama. Empat biji mata sedang merenung ke arahnya.
“Ayah tak balik. Mesti ayah dah makan di luar. Jomlah, kita makan,” kata Ainun sambil menghampiri meja lantas mencapai senduk dan mencedokkan mi rebus ke pinggan anak-anak yang sedang menanti. Anak-anak yang sedang bercuti penggal sekolah teringin menikmati mi rebus lantas terus dibuatnya untuk sajian minum petang.
“Alah... apalah ayah ni. Selalu sangat makan di luar,” sampuk Atilia, anak yang kedua. Mulutnya merungut sambil tangan menggaul-gaul mi dan kuah di dalam pinggan.
 “Yang kau sibuk kenapa? Biarlah! Ayah kita kan businessman! Banyak urusan. Biarlah ayah nak makan kat mana-mana pun!” tingkah Fakhirul, anak yang sulung membantah komen diknya itu. Fakhirul baru tingkatan dua.  Atilia dalam darjah enam.
“Sudah! Jangan bergaduh di depan rezeki. Makan elok-elok!” marah Ainun. Bibirnya muncung. Teringat pula kata-kata Atilia tadi. Memang benar, kebelakangan ini Zarif Afandi kerap makan di luar. Apakah dia hanya sekadar makan nasi campur di restoran mamak atau?  Tidak semena-mena rasa tawar hatinya untuk menjamah makanan.
“Mak tak nak makan ke?” soal Fakhirul sambil menjeling emaknya.
“Mak sakit kepala. Along, lepas makan letak pinggan kotor dalam singki dan bersihkan meja ni. Mak nak baring,” suruh Ainun kepada anaknya yang sulung.
Ainun meninggalkan ruang dapur lalu menaiki tangga ke tingkat atas. Ainun merebahkan dirinya di atas tilam. Perasaan hatinya bagai tergigit. Ada kegusaran di mana-mana.
‘Kalau Abang Zarif ada perempuan lain di luar sana, siaplah dia. Masalah yang ada pun tidak selesai sudah menambah masalah yang baru!’ rungut hati Ainun sambil memejamkan matanya. Kepalanya terus berdenyut.
“Atiliaa...” panggilnya kuat. Tidak berapa minit kemudian, Atilia sudah berada di sisi katilnya.
“Atilia tolong ambilkan emak ubat sakit kepala dua biji dan segelas air,” suruh Ainun dengan suara lemah.
“Ubat sakit kepala memang dah tak ada kat rumah ni, mak,” jawab Atilia. “Semalam emak dah cari, kan? Tapi tak ada...” terang Atilia. Wajah Ainun dipandangnya lagi.
“Tak apalah. Rasanya emak dah suruh ayah pergi beli semalam. Mungkin ada kat dalam kereta,” beritahu Ainun perlahan.
“Kalau macam tu biar Atilia pergi ambil. Bak kunci kereta...” tawar Atilia.
“Ayah dah bawa kereta dia, kan? Macam mana nak ambil ubat...” jawab Ainun. Dia bangun semula. Rambut yang kusut dirapikannya dengan jari-jemari. “Ada mak! Hari ni, ayah bawa kereta emak. Katanya nak pam tayar,” beritahu Atilia.
“Tak apalah, Atilia. Biar emak saja yang ambil,” kata Ainun. Dia mencari kunci kereta Zarif Afandi di dalam laci almari solek. Nasib baik memang kunci kereta Zarif Afandi disimpan di situ.
Tanpa berlengah lagi, dia terus menuruni tangga dan keluar rumah. Proton Perdana milik suaminya terparkir di situ. Ainun tersenyum lega sebaik menarik dashboard matanya ternampak sebungkus ubat. Terus dia mengambilnya.
“Hisy, kotor betul kereta Abang Zarif ni,” rungut Ainun apabila melihat di bahagian lantai yang dipenuhi butiran pasir. Dia terus memerhati di celah-celah kerusi yang nampak comot. Matanya tertangkap sesuatu yang berkilauan di bawah kerusi tempat duduk penumpang. Ainun terus menunduk dan mencapai benda yang berkilauan itu dan menariknya keluar.
“Rantai tangan!” katanya terkejut. Darahnya terus meruap apabila melihat rantai tangan itu dengan teliti. Hilang lenyap rasa sakit kepalanya. Ainun cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan menuju ke biliknya semula. Di bilik, dia terus meneliti rantai tangan itu sekali lagi. Nafas Ainun terus melaju. Telefon bimbitnya pula dicapai. Nombor telefon Zarif Afandi ditekannya dengan rakus. Kepalanya rasa hendak meletup pula apabila mendengar irama telefon Zarif Afandi di dalam bilik itu. Ainun terus mencari. Rupa-rupanya Zarif Afandi tertinggal telefon bimbitnya di dalam poket seluar. Seluar itu pula sudah dicampaknya ke dalam bakul pakaian kotor.

Butiran air mata yang menitis di pipinya diusap perlahan. Kepiluan yang menghiris hati tidak terungkap oleh kata-kata. Betapa hancur jiwa raganya untuk menerima kenyataan yang amat menyakitkan itu. Rasa bahagia yang sentiasa menyelimuti hatinya selama ini bagaikan terkoyak.
Satu demi satu gambar-gambar yang tersembunyi di dalam telefon bimbit suaminya itu dilihat. Hatinya bagaikan terbakar. Dia mesti membuat perhitungan. Perkara pertama yang mesti dilakukannya ialah bertemu dengan adiknya, Kamal Hanafi.
“Atilia... Fakhirul... emak nak pergi jumpa pak usu,” beritahu Ainun kepada anak-anaknya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Telefon bimbit Zarif Afandi dan rantai emas yang dijumpainya di dalam kereta tadi dibawa bersama.

Ainun muncul di pejabat Kamal pada saat adiknya itu sedang berkemas-kemas hendak pulang.
“Ada apa kak ngah cari saya sampai ke pejabat ni?” tanya Kamal.
“Ada hal pentinglah! Sangat penting!” jawab Ainun lalu menarik kerusi dan duduk di hadapan adiknya itu.
Kamal menatap wajah kak ngah yang keruh.
“Saya dah nak balik ni, kak ngah. Boleh kak ngah datang ke rumah saya tak?” soal Kamal pula sambil menggaru-garu belakang telinganya. Dia yang sudah tidak sabar hendak balik ke rumah. Mana tahu kalau-kalau Sharina ada di rumah.
Ainun mengambil telefon bimbit dari dalam beg tangannya. “Ni!Tengok gambar ni! Rupa-rupanya selama ni bini kamu ada hubungan dengan suami kak ngah!” beritahu Ainun sambil menunjukkan gambar pada telefon bimbit.
Kamal pantas menyambar tangan kakaknya dan melihat gambar pada telefon bimbit yang masih dipegang oleh Ainun.
“Rantai tangan ni Rin punya, kan? Kak ngah jumpa dalam kereta Abang Zarif. Di bawah tempat duduk penumpang,” jelas Ainun. Rantai tangan itu diletakkannya di dalam genggaman Kamal.
Bagaikan ledakan gunung berapi yang memuntahkan laharnya, hati Kamal terus disambar perasaan marah. Geram.
“Ni telefon bimbit Abang Zarif kamu!” beritahu Ainun dengan suara agak kuat. “Kalau dah rantai tangan dalam kereta Abang Zarif dan ada gambar di dalam telefon Abang Zarif, apa maknanya Kamal?” soal Ainun kuat. Tangannya menampar permukaan meja. “Selama ni, mereka ada hubungan..”
“Kak ngah hantar gambar tu ke telefon saya sekarang jugak! Dan apa juga bukti yang menunjukkan wujud perhubungan antara suami kak ngah dan isteri saya. Hantar semua sekali ke handphone saya. Sekarang, saya nak balik. Assalamualaikum!” pintas Kamal. Cepat-cepat dia beredar dari situ diikuti oleh Ainun. Perasaan marah Kamal semakin membara.

Kamal memandu deras untuk pulang ke rumah. Dia tidak sabar untuk bersemuka dengan Sharina. Namun kehampaan terus membelit hatinya yang sedang diratah luka. Kereta isterinya tiada di tempat parkirnya. Ini bermakna Sharina tiada di rumah. Entah ke mana menghilangnya.
Sampai di bilik, Kamal menghempaskan dirinya di atas katil. Dia menelentang merenung siling dan meneka-neka apa yang sedang dilakukan oleh isterinya itu. Telinganya terngiang-ngiang kata-kata yang diucapkan oleh Wanciknya beberapa minggu yang lalu. Gambar yang ditunjukkan oleh kakaknya tadi semakin menyakitkan hati. Memang benar itu gambar isterinya yang duduk terlalu rapat dengan abang iparnya di dalam sebuah restoran.
Rantai tangan yang didakwa oleh Sharina telah tercicir di pejabat rupa-rupanya tercicir di dalam kereta abang iparnya. Apa yang Sharina buat duduk dalam kereta abang iparnya itu? 
Kamal tiba-tiba bangun dan meluru ke almari pakaian Sharina. Dia terus membongkar almari pakaian itu untuk mencari apa-apa bukti lagi. Puas tangannya meraba di bawah kain baju yang berlipat dan tersusun rapi, tiada satu kertas pun yang ditemui. Lantas, Kamal menarik sehelai demi sehelai kain baju yang berlipat dan bersusun di atas raknya dalam almari dan melemparkannya di atas katil. Hampir tiga suku pakaian Sharina di dalam almari itu ditarik dan dikirai serta dihumbankan ke atas katil. Sebuah buku akaun bank terjatuhdi atas kakinya. Kamal dengan wajah masam terus membongkok dan mengambil buku akaun itu serta menelitinya. Hatinya semakin panas. Mengelegak. Kamal memunggah lagi. Bibirnya merungut-rungut sambil matanya mengitari ke seluruh almari yang di dalamnya hampir kosong. Bola mata Kamal menyinggahi ke permukaan dalam laci yang sedikit kembung.
Pantas tangannya mengangkat kertas yang mengalas permukaan dalam laci itu. Nafas Kamal semakin deras. Sampul surat kecil yang tersembunyi di bawah kertas pengalas ditunggingnya dengan rakus. Sekali lagi matanya membulat besar. Sekali lagi perasaan marahnya meletup.
Pencarian Kamal berakhir. Maklumat tentang misteri kehilangan wangnya telah ditemui. Rasa tidak sabar menunggu kepulangan isterinya itu menyebabkan Kamal mencuba untuk menelefonnya sekali lagi. Sayup-sayup kedengaran irama telefon isterinya. Kamal terus mencari bunyi yang kedengaran itu. Telefon ditemuinya tertindih oleh beberapa buah novel.
AllahhuAkbar. Dia tinggal telefon pulak! Rinnn!” pekik hati Kamal. Pantas tangannya mengambil telefon bimbit kepunyaan isterinya itu. Lantas, dia memicit butang-butang pada telefon bimbit untuk menggeledah segala isi yang tersimpan di dalamnya. Kotak mesej terus dibuka. Berderet-deret mesej yang belum dibaca daripada nombor peribadi.
Rin sayang.Senyumanmu seindah mentari pagi.Menyuluhi hati abang yang gelap rawan.Tidak sabar rasanya menanti dikau berada didalam pelukan abang.
Satu demi satu mesej dibaca. Kata-kata yang terpapar di mata Kamal menyebabkan hati dan jantungnya terpenggal. Mesej-mesej pesanan yang menunjukkan pengirimnya sedang mabuk berkasih dan berkeinginan untuk berasmara dengan isterinya itu.
“Rin!” Hati Kamal menjerit dan meraung. Perasaan marahnya semakin bergelora di dalam jiwa. Kini, dia hanya menunggu Sharina pulang. Pulang sahaja Sharina ke rumah, dia akan membuat perhitungan. Kamal menggenggam tangannya yang berpeluh.


Tiada ulasan: