KICAU burung murai di pagi hari
mengejutkan Kamal yang lena tidur bersendirian di ruang tamu. Jam sudah
menunjukkan 6.45 pagi. Suasana rumah sunyi. Kamal bangun dan menggeliat
beberapa kali. Dia melipat selimut dan mengangkat bantal serta mengusungnya
membawa ke bilik tidur.
Nampaknya, Sharina sudah pergi
kerja tanpa mengejutkannya terlebih dahulu. Tidak pernah Sharina bersikap
begitu sebelum ini. Maklumlah, masing-masing sedang merajuk. Kamal terus menuju
ke bilik air untuk mandi. Kalau berlengah-lengah alamatnya dia akan kelewatan
untuk bersolat subuh.
Selesai solat, Kamal membuka almari pakaian untuk mengambil baju
yang akan dipakainya ke pejabat. Bibirnya menguntumkan senyuman apabila melihat
semua baju kemeja dan seluar yang akan dipakainya pada minggu itu telah digosok
oleh isterinya. Agaknya sewaktu ditinggalkan keseorangan semalam, Sharina
membuat kerja-kerja itu.
Setelah mengambil kunci kereta,
dia menjengah dapur seketika. Tudung saji di atas meja diselaknya. Ada sandwic
bakar dan air Nescafe sudah dibancuh dan dimasukkan oleh Sharina di dalam
termos yang ada di atas meja itu. Sambil menuang Nescafe ke dalam cawan, Kamal
mencapai telefon bimbitnya.
Hasrat di hati untuk menghubungi
Sharina tidak kesampaian kerana telefonnya berdering bernyanyi-nyanyi. Nombor
telefon yang terpapar di skrin tidak pernah diketahuinya sebelum ini.
“Assalamualaikum,” sapanya kepada
pemanggil yang tidak dikenali nombornya.
“Waalaikumussalam, Mal.”
Menjengah suara Rita. “Mal, tolong Rita...” beritahu Rita dengan suara cemas.
“Mak Rita sesak nafas. Nak minta tolong Kamal bawa dia ke hospital. Kereta Rita
tak boleh hidup enjinnya,” jelas Rita lagi sambil menangis.
“Okey,” jawab Kamal. Dia tergesa-gesa
menghabiskan sisa minuman dan sandwic yang masih ada separuh di tangannya.
Selepas menutup dan mengunci pintu rumah, dia terus menghidupkan enjin kereta.
Kamal menghentikan keretanya di pinggiran jalan lantas membuat panggilan
telefon ke pejabat.
“Saya cuti rehat hari ni. Ada urusan di
hospital.” Itulah yang dimaklumkan
kepada salah seorang kakitangan di pejabatnya. Kamal membuat pusingan ‘U’ dan
mengubah haluan keretanya ke arah jalan raya menuju ke rumah Mak Cik Rokiah.
Bola mata
Sharina memerhatikan kereta-kereta yang lalu-lalang kalau ternampak kereta
suaminya. Namun, hatinya hampa. Mahu tak mahu, dia cuba menghubungi telefon
bimbit Kamal. Tiada jawapan. Sharina kembali semula ke rumah. Baru hendak
bersandar pada sofa, kedengaran suara orang memberi salam dan
menggoncang-goncang pintu pagar. Seorang jirannya datang untuk menghantar kad
undangan perkahwinan. Di samping itu, jirannya sempat bercerita ada bertembung
dengan Kamal dengan seorang wanita dan dua orang kanak-kanak.
Cerita-cerita dari jirannya tadi
menimbulkan beribu persoalan di hatinya. Baru dia hendak padamkan lampu tidur,
terdengar bunyi telefon.
“Buka pintu, Rin.” Terdengar
suara Kamal di hujung sana. Sharina cepat-cepat menuruni tangga dan membuka
pintu. Setelah itu, dia naik ke bilik semula tanpa bercakap dengan Kamal. Kamal
pun begitu juga. Itulah hukuman yang harus diberikan kepada isterinya itu
kerana telah berbohong kepadanya.
Tadi dia balik ke rumah emaknya
kerana menghantar duit belanja tambahan yang diminta oleh emaknya. Secara
kebetulan, Wanciknya ada bertandang ke rumah. Telinganya mendengar cerita
tentang Sharina yang bersama seorang lelaki di stesen bas Sungai Petani. Bisul
di hatinya yang mulai reda kembali membengkak.
“Wancik bersumpah Kamal! Walaupun
Wancik ni sudah tua, tapi mata Wancik masih terang lagi. Wancik tengok dengan
mata kepala Wancik, lelaki itu pegang tangan Rin sewaktu mereka hendak seberang jalan. Berpeluk-peluk
pinggang. Beg Rin pun lelaki itu yang tolong bawakan. Lama Wancik perhatikan
mereka. Lepas itu, barulah Wancik pergi tegur Rin.”
Berdesing telinga Kamal sewaktu
mendengar cerita itu. Kalau berjumpa dengan Hisham takkan sampai berpeluk-peluk
pinggang? Ikutkan hati waktu itu juga dia ke pejabat Sharina dan bertanyakan
hal itu. Hendak dihubungi abang iparnya dan bertanyakan hal itu, dia berasa
segan pula. Nampak sangat perangai buruknya yang kuat cemburu dan terlalu
mengongkong isterinya itu.
Sharina duduk bersila di atas
tilam sambil memerhatikan Kamal yang sedang memakai pakaian tidurnya. Wajah
Kamal selamba tanpa rasa bersalah atau meminta maaf kerana membiarkan isterinya
itu menunggu kepulangannya.
“Abang dah makan malam ke belum?”
soal Sharina tegang.
Kamal menggeleng. Sharina terus
turun dari katil dan menuruni tangga menuju ke dapur. Kamal mendengar Sharina
menghidupkan api dapur. Mungkin untuk memanaskan nasi dan lauk-pauk buatnya.
Soal menjaga makan minum, pakaian dan rumah tangga, Sharina boleh diberi markah
lebih 100 persen. Memang dia isteri berprestasi tinggi!
Kamal mengambil bantal dan kain
selimutnya lalu membawa diri ke ruang tamu.
“Abang, Rin dah hidangkan nasi
untuk abang. Abang makanlah,” beritahu Sharina lembut lalu duduk di sofa
berhampiran Kamal.
Kamal yang sedang berbaring di
atas permaidani dan berbaring mengiring mengadap televisyen. Suara televisyen
sengaja dikuatkannya.
“Abang! Rin dah siapkan makanan
untuk abang di dapur tu. Pergilah makan,” ulang Sharina agak kuat.
Kamal seolah-olah tidak mendengar
kata-kata isterinya itu. Dia masih dengan posisinya tanpa menghiraukan
kehadiran Sharina yang berhampiran dengannya.
“Abang, Rin dah tunaikan segala
tanggungjawab Rin sebagai isteri. Abang nak makan atau tak, terserah kepada
abang,” kata Sharina dengan nada merajuk. Selepas meluahkan kata-kata itu, dia
bangun dari sofa dan meninggalkan Kamal.
Baru dua, tiga tapak Sharina
beredar dari situ, Kamal bangun dan mengekorinya menaiki tangga menuju ke bilik
mereka. Bibir Sharina mengukirkan senyuman. Sangkanya rajuk Kamal sudah lenyap
dan akan kembali tidur di bilik bersamanya malam itu. Rupa-rupanya Kamal
mengambil bantalnya lagi lalu turun sekali lagi ke ruang tamu.
“Abang ni, kenapa?” soal Sharina
sambil mengekori langkah kaki Kamal dan menarik baju suaminya itu. Dia hampir
menitiskan air mata apabila Kamal menepis tangannya.
“Dah berapa malam abang tak tidur
dengan Rin?” soal Sharina dengan suara sebak. “Kenapa abang berubah? Sejak Rin
balik dari kursus abang tak endahkan Rin!” tukasnya lagi dengan suara agak
kuat.
“Tak faham lagi! Kalau seorang
suami meninggalkan isterinya di tempat tidur, apa maksudnya?” soal Kamal dengan
serius dan melangkah laju menuruni tangga.
Sharina terus mengekori dan
menarik-narik hujung baju Kamal. “Abang sedang marah, tapi apa kesalahan Rin?”
soal Sharina. Dia benar-benar rasa terhina kerana diperlakukan begitu oleh
Kamal.
“Abang dah beritahu Rin. Jangan
wujud orang kedua, ketiga, kempat, kesepuluh antara kita berdua. Tapi, Rin buat
juga!” Suaranya semakin kuat. Langkahnya laju menuruni tangga.
“Apa yang abang maksudkan? Rin
tak faham!” balas Sharina pula.
“Rin tanyalah diri sendiri,”
rungut Kamal. Dia langsung tidak mempedulikan Sharina yang masih
memegang-megang dan menarik hujung bajunya.
“Rin tak tau apa salah Rin.
Abang...” Sedih benar rasa hati kerana diperlakukan suaminya begitu. Hatinya
sudah dibiarkan tanpa kasih dan sayang seperti dulu.
“Abang, cakaplah bang! Abang dah
banyak berubah. Abang dah tak sayang pada Rin lagi ke?” tangis Sharina. Namun,
Kamal tidak mempedulikan tangisannya. Jika Kamal terus begini, benarlah segala
cerita yang didengar daripada birasnya.
“Kalau Rin ada buat salah, abang
beritahulah,” rayunya lagi. Kamal terus membisu.
“Abang...” Tangisannya tidak
dapat dikekang lagi. Kebisuan Kamal itu mendera hati dan perasaannya yang
semakin menjauh.
“Tolong tinggalkan abang
sendirian! Abang runsing. Rin pergi naik tidur di bilik!” suruh Kamal keras.
Lautan hatinya benar-benar bergelora.
“Kalau Rin tak tinggalkan abang
sekarang, abang yang akan keluar dari rumah ni,” ugut Kamal sambil berpura-pura
mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja berhampiran televisyen.
“Abang...” tangis Sharina. Hancur
luluh rasa hatinya apabila diusir oleh suaminya sedemikian rupa dan mengancam
untuk meninggalkannya di tengah-tengah malam itu. Esakannya tertahan-tahan dan
mengasak dada.
“Pergi naik sekarang!”
Akhirnya, Sharina terpaksa
mengalah. Dengan langkah longlai, dia menaiki tangga. Sedu-sedannya ditelan
perlahan.
Menggeletar
tubuh Sharina sewaktu membaca tulisan yang tercetak pada dokumen yang
dihulurkan oleh emak mertuanya. ‘Ya ALLAH... berilah aku kekuatan segagah
gunung. Jangan lemahkan hatiku seperti pasir-pasir di pantai yang berterbangan
apabila dihembus angin, dipukul badai,’ rintih hatinya. Jari-jemarinya turut
menggeletar senada dengan debaran dadanya.
“Sebenarnya, Kamal yang suruh
emak datang berjumpa dengan kamu. Dia nak beritahu sendiri, dia tak sampai
hati,” kata Mak Cik Mariah sambil menyorot ke wajah menantunya itu. Sharina
sedang membaca dokumen itu berkali-kali. Mak Cik Mariah perasan air muka menantunya
bertukar muram. Kulit mukanya yang putih kuning halus mulus sudah bertukar rona
memerah jambu.
“Kamal mengaku dia telah
melakukan kesilapan kerana memutuskan pertunangannya dengan Rita dulu,” sambung
Mak Cik Mariah lagi. “Rita tu pilihan arwah ayahnya. Memanglah semua ini cerita
lama. Kamal sendiri pun tahu.” Kata-kata yang diungkapkan oleh Mak Cik Mariah
terhenti seketika.
“Apabila dia kecewakan Rita, emak
pun rasa kecewa, Rin. Emak rasa bersalah sangat-sangat kepada arwah,” rintih
Mak Cik Mariah dengan suara sebak dan wajah yang berkerut menahan kesedihan.
Sharina hanya mendengar. Tidak
mampu menjawab atau mencelah walau sepatah kata. Saat itu, hatinya menggelupur
bagaikan ayam yang hendak disembelih.
“Sekarang ni, Kamal nak bernikah
dengan Rita. Emak bersyukur sangat-sangat, Rin...” beritahu Mak Cik Mariah
bagaikan seorang yang tidak mempunyai perasaan.
‘Ya ALLAH... benarkah apa yang
aku dengar ini, Ya ALLAH?’ tangis hati Sharina. Remuk dan hancur hatinya
bagaikan kaca terhempas ke batu. Runtuh dan berguguran bulan dan sang mentari
yang menyinari hatinya selama ini.
“Kalau Rin tak sanggup hidup
bermadu dengan Rita, Rin suruh Kamal ceraikan Rin,” cadang Mak Cik Mariah.
Perasaan hati Sharina
diracik-racik. Nafasnya terasa sesak.
“Lagipun kamu bukannya tidak tahu
hukum hakam,” sambung Mak Cik Mariah lagi dengan wajah tanpa emosi.
“Emak... boleh tak Rin berbincang
dengan Abang Kamal dulu?” soal Sharina perlahan dengan titisan air mata.
Sungguh dia tidak menduga takdir hidupnya akan berubah sedrastik itu. Segala
madah cinta yang diungkapkan oleh suaminya itu lenyap entah ke mana.
“Nak buat apa berbincang dengan
dia? Segalanya dia dah beritahu pada emak. Dia nak perkara ini diselesaikan
hari ini jugak!” kata Mak Cik Mariah dengan suara yang sengaja ditekankan.
“Kamal ada kemampuan,” jelas Mak
Cik Mariah lagi.
“Sekarang ni, dia nak menikah
dengan bekas tunangan dia. Mungkin suatu hari nanti, dia akan menikah dengan
orang lain jugak! Orang lelaki tak salah ada isteri lebih daripada seorang.
Tambahan kalau dia berkemampuan!” Tegas Mak Cik Mariah.
“Balik ke rumah nanti, kamu tak
payah beritahu dia atau tanya kepada Kamal tentang perkara ni,” pesan Mak Cik
Mariah. “Buat-buat tak tahu sahaja,” sambungnya lagi.
Sharina hanya mengangguk kerana
fikirannya kusut dan berserabut. Tidak tahu bagaimana untuk meleraikannya.
“Rin sayangkan Kamal kerana
ALLAH, kan? Dulu waktu dia lumpuh, Rin boleh terima Kamal seadanya kerana
perasaan cinta Rin terhadap Kamal ikhlas kerana ALLAH, betul?” soal Mak Cik
Mariah. Sharina mengangguk.
Demi ALLAH memang seluruh
perasaannya kepada suaminya itu ikhlas kerana ALLAH yang telah menciptakan
mereka.
“Rin kata,dalam kehidupan Rin,
Rin hendak ALLAH redha pada Rin, suami Rin redha pada Rin, betul tak?” tanya
Mak Cik Mariah lagi.
Sharina terus mengangguk-anggukkan kepalanya sedang hatinya seolah
dicucuk-cucuk. ‘Abang... kenapa lakukan ini kepada Rin, bang? Saat hati ini
sangat perlukan abang.’ Batin Sharina terus merintih dan menangis.
“Sekarang, Kamal sudah sihat. Dia
juga ingin mulakan sejarah baru dengan bekas tunangannya dulu,” sambung Mak Cik
Mariah lagi.
“Kalau Kamal sudah beritahu pada
emak dia tak rasa bahagia dengan Rin, takkan Rin hendak menghalang dia mencari
kebahagiaan dengan wanita lain pulak?” Ungkapan yang meluncur daripada mulut
emak mertuanya semakin berbisa dan tajam. Terus merobek-robek hatinya.
“Emak…” Hanya sepatah perkataan
yang terlontar daripada bibir Sharina yang menggeletar. Nafasnya
tertahan.Tekaknya bagaikan tersekat dengan seketul batu yang bergerigi.
“Abang Kamal tak pernah cerita
apa-apa pun pada Rin, mak,” adu Sharina. Bukan untuk meraih simpati. Walaupun
kebelakangan ini perhubungan mereka semakin dingin, Kamal tidak pernah
memberitahu apa-apa pun tentang cintanya yang sudah meretak apatah lagi
membayangkan untuk beristeri lain.
“Memanglah dia tak cerita. Tapi
dia anggap yang kamu sudah faham yang hatinya sudah berubah. Dia dah tak
bahagia dengan Rin. Kamu tak nampak ke hubungannya dengan Rita serta
budak-budak tu sudah semakin akrab?” soal Mak Cik Mariah.
Sharina terdiam. Memang benar.
Rita kerap datang ke rumahnya. Dia juga sudah mendengar cerita yang Kamal
pernah membawa Rita dan anak-anaknya keluar berjalan-jalan.
‘Kalau betullah abang sudah tidak
mencintai Rin lagi...’ Sharina menelan air liurnya berkali-kali sambil
memejamkan mata cuba menilai hatinya pada saat itu. Memang tiada tandingannya
melainkan cintanya kepada ALLAH. Jika benarlah ALLAH mentakdirkan Kamal
membahagikan cintanya kepada wanita lain, dia kena redha.
“Rin, tunggu apa lagi?
Lepaskanlah Kamal jika kamu benar-benar cinta kepadanya. Izinkanlah dia mencari
bahagia,” ujar Mak Cik Mariah dengan wajah tanpa perasaan. Sekali lagi
dokumen-dokumen itu ditolakkannya kepada Sharina.
Allah... Ya Allah...
Ambillah hatiku ini, Ya ALLAH.Janganlah serahkan hatiku kepadaku sehingga aku
menyerahkannya kepada hamba-MU kerana hatiku ini, seluruh diriku ini miliki-MU.
Dugaan-MU ini, aku rela, Ya ALLAH...’ rintih hati Sharina. Hatinya terus
berirama pilu. Air liur yang ditelan berkali-kali bagaikan duri.
“Mak, Rin...” Sharina kehilangan
kata-kata. Mak Cik Mariah terus menjegilkan matanya.
“Abang, demi kebahagiaan abang!
Demi kegembiraan hati emak yang telah melahirkan abang...” Hatinya terus
membisik dibuai lara.
Sejenak matanya dipejamkan lalu
dengan lafaz bismillah Sharina mengayun pena berdakwat hitam yang di
genggamannya sedari tadi. Menggeletar jari-jemarinya menandatangani
borang-borang yang terbentang di hadapan matanya. Bagai langit yang terkoyak
oleh petir begitu jua dengan hatinya. Kegalauan di jiwa semakin rakus memamah
perasaannya.
‘Ya Allah, tolonglah...’ tangisannya bergempita di dalam dada.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan