Isnin, 3 Februari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu(Bab 55)


Umar Ridzuan dan Umaira Safiya berlari-lari anak menuju ke pintu apabila mendengar suara lelaki memberi salam. Kanak-kanak yang berumur empat dan dua tahun itu berlari laju sebaik sahaja melihat kelibat wajah orang yang sedang berdiri di muka pintu.
“Jangan berlari nanti jatuh!” jerit Rita sambil mengejar anak-anak itu.
“Umaira, jangan hisap jari!” ujar Rita sambil menepis jari kecil Umaira Safiya yang disumbatkan ke dalam mulutnya. Sekali lagi kedengaran orang memberi salam. Kali ini, suara lelaki itu lebih kuat.
“Waalaikumussalam. Masuklah Kamal!” pelawa Rita sambil membuka gril. Kamal yang masih di posisinya tadi hanya tersenyum. Senyuman Kamal bertambah lebar apabila melihat bola mata kedua anak Rita merenung tajam kepadanya. Si kecil Umaira Safiya menarik perhatiannya. Mata anak itu yang bulat dan bulu matanya hitam serta lentik. Entah diwarisinya daripada siapa. Mata Rita tidaklah secantik itu.
“Salam dengan Pak Cik Kamal,” ujar Kamal sambil menghulurkan tangannya kepada anak-anak itu. Geram melihat anak perempuan Rita, pantas sahaja Kamal mengangkat kanak-kanak itu ke atas dukungannya. Umaira Safiya pun tidak menolak bahkan menyeringai apabila diagah-agah oleh Kamal.
“Hmm... busyuk!” gurau Kamal, namun masih memberi ciuman bertalu-talu di pipi anak itu yang halus dan gebu.
“Kelmarin, kenapa Kamal tak datang?” soal pRita sambil tangannya menyambut bungkusan hadiah yang dihulurkan oleh Kamal.
“Maaflah, Rita. Saya memang ada niat nak datang. Tapi tiba-tiba ada urusan pula. Langsung terbantut segala rancangan. Tu, hadiah untuk Umar,” jawab Kamal sambil kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Sebelah tangannya masih memegang tangan Umar Ridzuan.
 “Saya datang ni hanya nak hantar hadiah untuk Umar,” beritahu Kamal cuba menolak pelawaan Rita untuk minum petang bersama mereka.
“Kenapa tak bawa Rin sekali?” soal Rita sambil mengambil Umaira Safiya daripada dukungan Kamal. Saat itu, hatinya berasa bahagia. Terasa seolah-olah sedang mengambil anak daripada dukungan suaminya pula.
“Rin tak ada kat rumah. Dia pergi kursus di Sungai Petani! Esok baru dia balik,” beritahu Kamal. Disebabkan Sharina tidak ada di rumah, dia datang sendiri. Jika isterinya ada di rumah, pasti mereka akan datang berdua.
“Tak apalah kalau begitu! Rita faham. Terima kasihlah sebab sudi datang jenguk kami dan bersusah payah hantar hadiah untuk Umar tu,” kata Rita berbasa-basi dengan perasaan yang berbunga mekar. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kamal kepada anak-anak begitu disenangi dan sangat diharapkan. Dia terus mencari idea untuk bersama dengan Kamal pada hari itu. Sementara ada peluang!
“Mal, kereta Rita rosak! Kalau Rita minta Mal bawa Rita dan anak-anak ke bandar, boleh tak?” soal Rita tiba-tiba. Entah bagaimana tercetus pula idea itu di hatinya. Peluang untuk merapatkan dirinya dengan Kamal tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Begitulah nasihat emak Kamal kepadanya. 
Kamal tidak terus menjawab. Dia berpura-pura melayani Umar Ridzuan yang berada berhampirannya. Sebenarnya Kamal berasa serba salah dengan permintaan Rita itu. Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Sharina, belum pernah sekali pun dia membawa wanita lain menaiki keretanya kecuali emak kandung dan emak mertuanya. Kamal bimbang terjadi fitnah dan akan melukakan hati isterinya itu. Namun hendak menolak permintaan Rita, dia tidak sampai hati.
“Mak cik ada di rumah tak?” soal Kamal pula.
“Ada,” jawab Rita. “Kalau begitu, bolehlah. Kita bawa Mak Cik Rokiah sekali,” cadang Kamal. Jika ada Mak Cik Rokiah hatinya berasa lebih selesa. Jika pergi bersiar-siar atau ke bandar hanya dengan Rita dan anak-anaknya hatinya tidak begitu seronok. Bimbang orang akan tersalah sangka.
“Tak apalah, Kamal! Mak cik tak nak ikut,” sampuk Mak Cik Rokiah yang tiba-tiba muncul.
Jawapan daripada wanita itu meresahkan hati Kamal. Dia berasa tidak selesa jika hanya pergi dengan Rita dan anak-anaknya.
“Jomlah, mama! Jomlah kita pergi sekarang!” Umar Ridzuan tiba-tiba menyondol-nyondol betis Rita yang masih berdiri.
Kamal tersenyum melihat telatah kedua beradik itu dan berasa terhibur.
“Yalah, mama pergi tukar baju dulu.” Mahu tak mahu, Rita terpaksa menurut kehendak anak sulungnya itu. Walaupun hati sendiri pun begitu teruja hendak keluar bersama Kamal.
 “Kamal tunggu sekejap, ya!” ujar Rita sambil merenung ke wajah Kamal.
“Ya! Saya tunggu di luar sana,” balas Kamal. “Jom, along... ikut pak cik duduk atas buaian,” ajak Kamal sambil memegang tangan Umar Ridzuan dan membawa anak itu keluar dari rumah bersamanya. Hatinya sedikit terhibur dengan celoteh kanak-kanak itu yang bertanya itu dan ini. 
Keserabutan fikirannya yang timbul akibat penemuan beberapa perkara misteri yang menyelubungi isterinya bagaikan terlerai seketika.
“Pak Cik Kamal. Kalau along nak... nak...”
Umar Ridzuan yang memanjat ribaan Kamal tiba-tiba menyoal dengan suaranya yang tersangkut-sangkut. “Along nak apa? Nanti sampai di bandar pak cik cari dan belikan,” jawab Kamal sambil mencubit hidung Umar Ridzuan yang sedang tersengih-sengih.
“Mana ada jual di kedai!” balas Umar Ridzuan.
“Tak ada jual di kedai?” soal Kamal kembali. “Along nak apa?” tanyanya pelik.
 “Along nak panggil pak cik papa, boleh?” petah Umar Ridzuan menanya.
Kamal ketawa agak kuat. “Panggillah along. Tapi lebih baik tanya dengan mama dulu,” jawab Kamal sambil bangun dari buaian dan mengangkat tubuh Umar Ridzuan lalu mendukung anak itu dan membawanya ke kereta.
Rita dan Umaira Safiya sudah pun  keluar dari rumah dan berjalan menghampiri ke kereta juga.
  Harapannya, hari itu ialah hari pertama dan terakhir dia membawa Rita dan anak-anaknya bersiar-siar.

SUASANA di rumah sunyi dan sepi. Hari ini hari Sabtu. Sudah dua hari Sharina pulang dari berkursus. Perasaan Sharina berasa asing dengan perubahan sikap Kamal. Kamal yang banyak membisu daripada berbicara.
“Abang tak sihat ke? Mengapa monyok saja sejak Rin balik dari kursus ni?” soal Sharina cuba mendapatkan kepastian. Dia bertanya sambil merenung ke wajah Kamal yang selamba.
“Rin ada buat salah dengan abang ke? Kalau Rin bersalah, Rin minta maaf,” ungkap Sharina lagi.
Kamal tidak memberi respons. Sharina seperti sedang bercakap dengan tiang lampu.
“Abang,” panggil Sharina sambil menghampiri Kamal dan cuba mengambil surat khabar yang sedang dibaca oleh suaminya itu.
Kamal menghalang dan memegang surat khabar itu dengan lebih kemas lagi.
“Kenapa ni? Hujan tak, ribut tak... tiba-tiba merajuk! Apa salah Rin?” tanya Sharina. Dia  mengulangi pertanyaannya lagi dengan suara bergetar.
“Rin rasa, Rin ada buat salah dengan abang ke?” soal Kamal kembali dengan nada serius, namun perlahan suaranya. Matanya masih menunduk membaca tulisan yang tercatat di dada surat khabar.
Sharina tersentak namun cuba menenangkan wajahnya walaupun hati mula membadai resah.
“Apa yang abang maksudkan? Rin tak faham! Kenapa abang tiba-tiba berubah sikap?” soal Sharina menahan tangisan. Jiwanya tiba-tiba berombak ganas.
“Kalau tak salah apa-apa, mengapa Rin nak risau sangat? Sebenarnya abang sedang berfikir tentang macam-macam perkara. Sewaktu Rin pergi kursus dua minggu bermacam-macam hal yang terjadi. Fikiran abang pun jadi berserabut. Tugas di pejabat pun menimbun.”
Jawapan Kamal agak melegakan perasaan Sharina.
Kamal telah bertekad, rahsia yang telah dibongkarnya itu tidak akan diceritakannya kepada isterinya itu walau satu perkataan. Dia akan menyiasat segalanya diam-diam. Dengan rahsia.
“Hal apa? Mengapa abang tak mahu kongsikan bersama Rin! Kita kan suami isteri! Kalau abang susah hati, hati Rin pun tak akan berasa senang,” kata Sharina cuba memujuk suaminya itu.
“Tak apalah, Rin. Lama-kelamaan nanti Rin akan tahu juga, apa yang abang sedang fikirkan sekarang ini. Lagipun takkan semua kesusahan hati abang, abang nak lambakkan di hati Rin. Rin pun begitu juga, kan? Takkan semua perkara hendak ceritakan kepada abang. Ada juga yang Rin sembunyikan daripada pengetahuan abang,” kata Kamal perlahan, namun mengandungi sindiran yang amat tajam. Matanya sempat menyorot ke wajahnya isterinya itu yang tiba-tiba pudar.
“Abang nak balik ke rumah emak abang! Kalau Rin nak ikut, jom...” kata Kamal pula lalu bangun dari sofa dan beredar dari sisi Sharina.
Sharina terdiam sejenak, namun mengekori juga langkah Kamal menuju ke bilik tidur.
“Nanti abang kirim salam kepada emak! Rin rasa tak dapat ikut abang. Abang nak tidur di sana ke balik?” soal Sharina dengan suara yang agak kuat kerana Kamal berada di dalam bilik air.
“Kalau Rin ikut, abang tidur di sana,” jawab Kamal dari bilik air. Suaranya lenyap seketika. Yang kedengaran hanyalah bunyi air dari paip yang mengalir deras ke dalam kolah.
“Kalau Rin tak ikut, abang balik,” sambung Kamal lagi sebaik sahaja tubuhnya muncul semula di hadapan Sharina.
“Rin tak nak pergi. Rin rasa tak begitu selesa perut. Senggugut agaknya. Abang baliklah sendiri. Kalau abang nak tidur di rumah emak pun, tak apa. Rin boleh tinggal sendiri di rumah ni,” beritahu Sharina lagi. 
“Okey,” jawab Kamal ringkas sambil menyarung sehelai baju T berwarna hitam ke tubuhnya.
Sharina terus mengekori Kamal sehingga ke kereta.
“Abang pergi dulu. Oh ya, Rin... Tolong simpan sampul surat ni dalam laci almari pakaian abang,” ujar Kamal yang telah pun berada di dalam kereta.
Sharina mengambil sampul surat besar yang dihulurkan Kamal kepadanya. Dia mengintai isi kandungan sampul surat itu. Berderau darahnya!
“Assalamualaikum...” ucap Kamal sambil menaikkan skrin tingkap kereta. Mata Kamal sempat melihat wajah Sharina yang kelat. Kelat di wajah Sharina itu serupa dengan kelat wajahnya. Sengaja dia memendam perasaan marah dan geramnya terhadap Sharina. Kamal berazam akan menyelidiki kesetiaan atau kejujuran isterinya itu secara diam. Sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah juga. Begitulah bisik hati Kamal. Kereta terus dipandunya dengan laju menuju ke distinasi yang akan ditujunya.

BUNYI sudu dan pinggan mangkuk yang berlaga sesama sendiri sesekali memecah keheningan di dapur. Mak Cik Mariah membasuh pinggan mangkuk di singki sambil melayani anaknya yang sedang makan tengah hari.
“Emak bukan nak melaga-lagakan kamu suami isteri, tapi kadangkala cerita-cerita orang ni kita kena perhatikan juga.” Bibir Mak Cik Mariah terjuih-juih sewaktu mengeluarkan kata-katanya. Berita yang didengarinya daripada Miah menggembirakan hatinya. Rupa-rupanya menantunya yang lurus bendul itu curang.
“Dayus kau kalau terus membiarkan Rin begitu,” tambahnya lagi. Akhirnya, Mak Cik Mariah terpaksa berterus terang. Sedari tadi dia memberi kiasan kepada Kamal perihal Sharina, namun Kamal seolah-olah tidak mendengar apa-apa.
“Apa yang emak maksudkan ni? Saya tak faham. Cerita tentang apa sebenarnya ni?” Kamal cepat-cepat menghabiskan baki nasi di dalam pinggannya. Terbantut pula seleranya mendengar leteran emaknya. Kamal terus bangun dan membasuh tangan di singki.
“Wancik kamu terserempak dengan isteri kamu di Sungai Petani bersama seorang lelaki!” cerita Mak Cik Mariah dengan suara kuat sambil menoleh kepada Kamal.
“Rin dengan lelaki? Bila?” tanya Kamal pula. Rasa curiganya terhadap Sharina berbunga kembali. Namun untuk terus mempercayai cerita daripada emaknya itu mungkin tidak adil pula kepada Sharina. Entah betul entah tidak. Jangan-jangan secara kebetulan ada lelaki yang berjalan beriringan dengan Sharina lalu terserempak dengan Wancik. Perangai Wancik itu lebih kurang perangai emaknya juga. Mudah berburuk sangka.
“Mengapa diam Kamal? Atau kau dah tahu cerita ni dan nak ceritakan kepada emak!” Mak Cik Mariah terus meneka.
“Sharina tu dah banyak berbudi dan berkorban untuk saya emak! Lama dia menjaga saya yang terlantar dulu. Semua dia lakukan sendiri. Uruskan saya, rumah tangga, nak kerja lagi! Bertahun dia penat dan tak cukup rehat kerana saya. Dia tidak pernah merungut pun. Kalau dia dah ada pengganti saya, tentu Rin dah tinggalkan saya dulu lagi mak. Waktu saya di kerusi roda. Sewaktu saya lumpuh.”
“Takkan kerana dia telah berbudi kepada kau, dia boleh berbuat sesuka hatinya? Jadi curang, nusyuz!” bidas Mak Cik Mariah pula.
Mata Kamal terbeliak apabila mendengar perkataan itu. “Nusyuz?” Dia tidak mahu mengkategorikan isteri kesayangannya itu di dalam golongan itu. Nusyuz diistilahkan kepada isteri yang tidak mentaati atau ingkar perintah suami dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.  Tidak tergamak dia menghukum isterinya sebagai nusyuz tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Kau ni, Kamal... tak serik-serik. Dulu kau tak ingat ke? Dia goda abang ipar kamu di rumah ni!” tukas Mak Cik Mariah. Dia  mula mengungkit cerita lama.
Kamal tersentak dengan cerita itu. Bagaimana pula cerita itu boleh timbul sedangkan dia tidak pernah bercerita kepada sesiapa pun?
“Bila masanya Rin goda si Zarif Afandi tu?” Tuduhan ibunya seolah-olah mencalar maruahnya.
“Kamal ingat mak tak tahu ke?” sinis Mak Cik Mariah.
“Mesti kak ngah yang cerita kepada emak! Dan kak ngah pula dapat cerita daripada laki dia tu!” balas Kamal dengan suara agak meninggi. “Patutlah emak tak berapa suka dengan Rin,” rungut Kamal lagi. “Mak, Rin tu budak lagi sewaktu saya menikah dengan dia. Bab goda-menggoda ni dia tak tau apa-apa,” jelas Kamal terus membela isterinya.
Tak perlulah dia bercerita kepada sesiapa yang dia puas memujuk isterinya itu. Hampir sebulan Sharina tidak bercakap dengannya selepas mereka diijabkabulkan. Alangkan dengan suami sendiri pun dia susah untuk bermesra, inikan pula untuk menggoda Zarif Afandi. Kamal mengedipkan matanya. Perasaan sedih menyapa hatinya.   
 “Orang kalau dah buat salah mesti cuba cari jalan untuk menutup kesalahannya. Jalan yang paling mudah mengaibkan orang lain.”
“Emak! Kalau pun emak tak suka saya pilih Rin sebagai isteri saya, tak usahlah emak percayakan fitnah-fitnah buruk tentang dia. Yang sebenarnya, si Zarif tu yang cuba ganggu Rin.  Mata saya sendiri nampak dia sedang pegang tangan Rin. Dua biji mata saya ni yang jadi saksinya, mak. Tapi, saya tak suka nak heboh-hebohkan hal ni,” beritahu  Kamal dengan panjang lebar.
“Kalau tak, dah lama kak ngah dan si Zarif tu bercerai-berai.” Suaranya semakin mengendur. Dia menuang sirap ke dalam gelas dan meneguknya perlahan.
Mak Cik Mariah terdiam. Dia merenung wajah Kamal. Anak bongsunya itu berwajah serius dan tegang.
“Saya lempang dia pada malam tu, Abang Zarif ada cerita?” soal Kamal pula. Kamal mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Sharina. Isyarat yang diterima ialah talian sedang digunakan. Kotak fikiran Kamal menerawang. Sejumlah wang yang hilang daripada akaun kembali merunsingkan.

MALAM tiada berbintang. Bayu juga tiada bertiup. Hanya sesekali cengkerik bernyanyi. Kamal berpeluk tubuh di hadapan pintu sambil memandang keluar rumah. Dua ekor kucing yang sedang berkelahi dan berlari-lari di hadapannya tidak menarik perhatian. Dia masih mengenangi kata-kata emaknya tadi.
“Abang... Rin dah siapkan makan malam!” Suara Sharina yang memanggilnya dari arah belakang mengejutkan lamunan Kamal. Kamal menoleh seketika, namun Sharina telah kembali ke dapur.
Perut yang sedia berdendang beberapa minit tadi memaksa Kamal mengekori isterinya itu ke dapur. Dia menarik kerusi dan duduk di meja makan tanpa bersuara. Sharina pun demikian juga. Pinggan yang telah berisi nasi diletakkannya di atas permukaan meja di hadapan Kamal. Sharina melihat wajah Kamal yang nampak lain dari biasa.
Sambil menyuap nasi, Sharina terus memikirkan kesilapan yang mungkin telah dilakukannya sehingga Kamal berubah mood. Air muka suaminya kelihatan tegang, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Rin ada terjumpa dengan Wancik sewaktu di Sungai Petani?” soal Kamal tiba-tiba.
Sharina terkejut lalu tersedak. Cepat-cepat dia mencapai gelas air yang memang telah tersedia di hadapannya. Beberapa teguk air menyinggahi kerongkongnya buat menolak makanan yang tersangkut di anak tekaknya itu. Sharina terbatuk-batuk beberapa kali. 
“Wancik?” tanya Sharina apabila tekaknya terasa selesa kembali.
Kamal menganggukkan kepala sambil merenung ke wajah Sharina. Sharina diam tidak menjawab. Hanya matanya merenung ke dalam mata Kamal tepat-tepat.
“Kalau tak ada, tak apa!” ujar Kamal ringkas lalu membasuh tangannya. Hatinya membengkak. Seleranya untuk menjamah makanan patah serta-merta. Kamal meninggalkan meja makan dan pinggan yang masih ada nasi di dalamnya. Dia baru sahaja makan beberapa suap.
Sharina pun turut menyelesaikan suapannya. Nasi yang masih ada lagi separuh pinggan dituangkannya ke dalam tong sampah di belakang rumah. Sharina mengemaskan meja makan sambil mengelamun.
‘Mengapa sikap abang Kamal berlainan benar kebelakangan ini?’ tanya hati Sharina. Kamal yang selalu marah-marah. Tidak lagi mesra seperti dahulu. Bicaranya serius, tiada lagi gurauan dan lawak jenaka. Selesai membasuh pinggan, Sharina membancuh susu panas untuk Kamal dan membawanya ke ruang tamu.
Kamal masih bermenung di atas sofa. Lampu di ruang tamu pun tidak dihidupkannya. Setelah meletakkan gelas susu di atas meja kopi di sebelah sofa tempat duduk Kamal, dia menuju ke tepi dinding untuk menghidupkan suis lampu.
“Tutup balik, Rin! Abang tak mahu lampu tu! Biar abang duduk dalam gelap ni.”
“Kenapa dengan abang ni? Nampak lain sangat sekarang ni?” soal  Sharina tidak mengendahkan suruhan Kamal itu. Ruang tamu terang-benderang disinari cahaya lampu bagaikan stadium bola sepak.
“Apa salah dan dosa Rin pada abang? Abang beritahulah,” kata Sharina dengan lembut. Mustahil persoalan bertembung dengan Wancik menyebabkan Kamal naik angin.
“Memang Rin ada bertembung dengan Wancik di Sungai Petani.” Akhirnya, Sharina membuat pengakuan. Manalah tahu dengan pengakuannya itu perasaan marah yang sedang membara di hati suaminya akan terpadam.
“Tapi kenapa abang marah-marah?” soal Sharina pula. Dia mengharap rajuk Kamal akan reda dengan pengakuannya itu.
“Tadi abang telefon Rin daripada rumah emak, telefon Rin sedang digunakan! Rin telefon siapa?” soal Kamal dengan nada tegang.
Sharina terdiam. Tadi birasnya ada menelefon dan meneruskan niat untuk menggodanya.
“Rin telefon siapa?” tanya Kamal lagi.
“Tak ada sesiapa, bang! Rin nak telefon siapa? Rin hanya ada abang, emak Rin dan Abang Hisham,” dalih Sharina.
“Pergi ambil telefon Rin. Bawa ke sini!” arah Kamal tanpa memandang ke wajah isterinya itu.
Sharina akur kepada perintah suaminya itu. Kamal terus menggeledah memori di dalam telefon bimbit isterinya satu per satu. Hatinya kecewa kerana tiada satu nombor yang asing di dalam daftar panggilan masuk atau keluar di telefon itu. Yang ada hanyalah nombornya. Kamal mengembalikan telefon bimbit Sharina tanpa sepatah kata.
Sharina beredar dari ruang tamu meninggalkan Kamal bersendirian. Bosan  melayani lelaki yang bersikap begitu. Kerap sangat pasang surut hatinya semenjak kebelakangan ini. Di dalam bilik, Sharina duduk berlunjur di atas katil sambil membaca novel. Sambil membaca, hatinya berkata-kata sendiri. Tidak dapat mendustai, hatinya diselubungi oleh perasaan bimbang. Kamal tiba-tiba memasuki bilik dan menghampiri Sharina. Dia duduk di atas tilam di tepi Sharina.
Sharina menjauhkan tubuhnya beberapa inci. Degup dadanya bergemuruh. Detakan jantungnya semakin kencang. Namun, dia berlagak tenang.
“Siapa lelaki yang bersama Rin di Sungai Petani?” soal Kamal terus terang sambil merenung tajam kepada Sharina. Lengan Sharina dicengkamnya kuat-kuat.
Sharina tersentak. Badannya tiba-tiba berasa panas dan gementar.
“Lelaki? Mana ada...” jawab Sharina menafikan sambil menjeling Kamal. Mindanya ligat berfikir untuk mencari alasan. “Abang jangan menuduh Rin sembarangan.” Sharina mula naik berang. Mereka beradu pandangan beberapa ketika. Dia melihat dada Kamal bergelombang menandakan suaminya itu sedang menahan kemarahan.
“Rin jumpa dengan abang Rin pun abang nak cemburu? Abang tu pergi keluar dengan Kak Rita dan anak-anaknya tu, Rin tak tanya pun,” ujar Sharina perlahan sambil menundukkan wajahnya. Ada jiran yang bercerita kepadanya mengenai perkara itu. Zarif Afandi pun memberitahu hal yang sama.

Akhirnya, Kamal meninggalkan Sharina tanpa berkata sesuatu. 

Tiada ulasan: