Isnin, 3 Februari 2014

Sana Menanti, Sini Merindu(Bab 54)


Gerimis sejak dari petang membawa hingga ke malam. Kesunyian terus menggigit hati. Sharina masih mentelaah novel ‘Rembulan Tenggelam di Wajahmu,’ karya penulis Indonesia. Novel yang begitu menarik hatinya. Novel ketuhanan. Manusia selalu menangisi sesuatu yang hilang daripadanya dan menyalahkan ALLAH, namun tidak pernah bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberikan oleh-NYA.
Kamal sehingga lewat malam itu, masih berada di ruang tamu. Menonton televisyen. Perasaan Sharina kecewa sejak tadi. Lantaran itu, dia rela bersendirian di kamar melayani perasaannya sendiri daripada menemani suaminya di ruang tamu. Cerita birasnya semalam terngiang-ngiang di telinga. Kalau dia bertanya kepada Kamal, pasti Kamal akan memarahinya kerana bertemu dengan Zarif Afandi tanpa pengetahuannya. Walaupun pertemuan itu tidak disengajakan. Kamal pasti akan naik baran. Jika dia terus memendamkan perasaan, hatinya terus diratah rasa  sengsara yang tiada akhirnya.
Justeru itu, dia ingin menjauhkan dirinya daripada Kamal beberapa hari untuk mententeramkan hatinya. ALLAH seolah-olah mendengar rintihan hatinya. Peluang itu datang apabila dia ditawarkan untuk pergi kursus yang dianjurkan institusi kewangan tempatnya bekerja. Dia juga telah mendapat tawaran menghadiri temu duga sebagai penjawat awam. Permohonan kerja itu dibuatnya melalui e-permohonan melalui internet. Sekadar untuk main-main pada mulanya, tidak sangka pula dia akan dipanggil untuk temu duga. Sesi temu duga yang telah dijalankan di Taiping telah dihadirinya semalam tanpa pengetahuan Kamal. Namun untuk menghadiri kursus dia perlu meminta keizinan daripada suaminya itu.
Malangnya, Kamal menolak permintaannya untuk mengikuti kursus yang ditawarkan mentah-mentah.
“Kursus sehari sahaja boleh. Kalau sampai dua minggu, abang tak izinkan Rin pergi,” kata Kamal lagi,tetap dengan keputusannya. Desakan Sharina sedikit pun tidak diendahkan.  
“Nak dengar kata abang atau ketua jabatan. Nak pahala atau dosa. Ingkari abang bermakna Rin derhaka kepada ALLAH. Rin dah lupa?” soal Kamal terus menggunakan kuasa vetonya sebagai suami. 
“Alah... Rin selama ini tak pernah pergi kursus! Izinkanlah bang..,”rayu Sharina dengan air mata.
“Mana tahu,lepas ni ada kenaikan pangkat pula.” Hatinya sedang runsing, dia ingin pergi jauh daripada suaminya seketika untuk mencari damai di hatinya.
“Kursus tu bukan wajib! Tak boleh pergi. Nanti abang pergi jumpa bos Rin kalau dia paksa Rin pergi,” kata Kamal lagi. “Taat kepada abang, itu satu kewajipan,” tegas Kamal!
“Alah, bang... Kursus tu untuk menambahkan ilmu supaya Rin dapat menambah baik cara kerja Rin di pejabat, biar lebih berkesan!” Itulah katanya cuba memujuk suaminya.
“Selama ini, Rin tak pandai buat kerja ke? Tak cukup efisen?” soal Kamal lagi dengan nada serius. Matanya merenung Sharina dengan renungan tajam. “Dah berapa tahun Rin kerja? Dekat empat tahun dah, kan? Takkan tak reti-reti buat kerja!” marah Kamal berterusan.
“Susah-susah sangat, berhenti kerja! Duduk di rumah. Macam kita baru-baru kahwin dulu,” kata Kamal. “Bagi notis 24 jam. Biar abang bayar!” Bebelan Kamal belum bernoktah.
 “Hisy! Abang ni,” tingkah Sharina dengan nada hampa. Punahlah harapannya untuk berjauhan dengan Kamal beberapa hari. Mungkin selama berjauhan itu, dia dapat melupakan perasaan cemburunya. Dapat bermuhasabah diri dan mencari punca kesilapan yang telah dilakukannya sehingga membuatkan kasih suaminya berubah. Kata birasnya, emak mertuanya sedang merancang sesuatu untuk Kamal.
 “Rin suka jadi isteri yang nusyuz?” soal Kamal lagi.
Kata-kata itu terus mengunci bibir Sharina daripada bersuara. Dia pun mengurungkan dirinya di dalam bilik sebaik sahaja selesai menyediakan makan malam untuk suaminya itu. Namun terpaksa pula makan kerana didesak oleh Kamal.
 “Kalau Rin tak mahu makan, abang pun tak nak makan.” Begitulah kata Kamal.
Malam itu, nasi yang ditelan ibarat pasir yang mencalar-calar anak tekaknya. Air yang diminum umpama racun yang amat bisa menyumbat saluran pernafasannya.
Sharina cepat-cepat menyimpan novel yang sedang dibaca dan menghidupkan lampu tidur apabila suara televisyen lenyap di pendengarannya. Mungkin sebentar lagi Kamal akan naik ke bilik. Sharina cepat-cepat menyelubungi seluruh tubuhnya dengan kain selimut sehingga ke hujung kepalanya. 
Dia mendengar daun pintu ditolak dari luar. Dari celah kain selimut, Sharina mengintai segala pergerakan suaminya. Kamal masuk ke bilik air untuk membasuh kaki agaknya. Keluar dari bilik air, Kamal terus duduk di atas tilam, di sisinya.
“ Rin...” bisik Kamal sambil menggoyang-goyangkan tubuh Sharina. Sharina mengeraskan dirinya.
Kamal merebahkan dirinya di sisi Sharina lalu mematikan lampu. “Rin... minggu depan abang ada tugasan di Putrajaya. Abang tak dapat nak hantar Rin. Kalau Rin nak pergi juga kursus tu, Rin pergilah. Naik teksi atau bas ekspres,” kata Kamal perlahan. 
“Abang tak izinkan Rin memandu sendirian ke sana. Jauh,” kata Kamal lagi.
Sharina masih mendiamkan dirinya di dalam selimut. “Jaga diri elok-elok. Ingatkan diri Rin sendiri yang Rin tu isteri abang,” pesan Kamal.
Dia menyelak selimut yang menutup muka Sharina. Sharina pura-pura lena. “Selamat malam, sayang...” bisik Kamal lantas mengucup kening Sharina.

Mata Sharina melilau mencari Hisham sebaik turun dari tangga bas ekspres. Dia berkebaya labuh berwarna biru berbunga kelabu dan hijau. Dipadankannya dengan tudung berwarna kelabu yang bermanik di sekeliling hujungnya. Manik-manik itu berkilauan apabila dipanahi sinaran matahari. 
“Abang! Apa khabar?” tanya Sharina sebaik sahaja berdepan dengan Hisham. Wajahnya berseri dengan hiasan senyuman yang tidak lekang daripada bibir.
“Baik. Alhamdulillah,” jawab Hisham dengan ceria. Senyuman gembira menghiasi wajahnya. “Rin sihat? Kamal apa khabar?” tanya Hisham bertalu.
Sharina menyeringai sejenak. Sayang benar abangnya kepada Kamal. “Alhamdulillah. Rin semakin sihat, bang! Abang Kamal pun sihat juga,” jawab Sharina riang.
“Macam mana Kamal boleh lepaskan Rin naik bas sorang-sorang ni?” tanya Hisham pula. Hairan pula dia. Biasanya Kamal tidak mengizinkan Sharina berjalan jauh tanpa dia menemani.
“Abang Kamal ada urusan di Putrajaya. Sebab itu dia tak dapat hantar Rin,” jelas Sharina.
Hisham mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.
“Emak tak datang ke?” tanya Sharina sambil matanya meliar mencari emak.
Hisham menggelengkan kepala. Wajah Sharina berubah muram. Kalau emaknya datang, dapatlah meleraikan kerinduannya barang seketika.
“Secara kebetulan Rin, abang pun ada seminar di sini. Jadi emak tak dapat ikut,” beritahu Hisham dengan nada ceria. “Kamal ke Putrajaya lama ke,Rin?” soalnya lagi.
Sharina mengangguk lagi. Pertemuannya dengan Hisham itu sengaja tidak diberitahu kepada suaminya.
“Kita pergi makan dulu, lepas itu abang hantarkan Rin ke Hotel Seri Malaysia tu,” kata Hisham. Dia faham perjalanan dari Ipoh ke Sungai Petani bukannya dekat. Tentu adiknya itu lapar setelah hampir tiga jam berada dalam perjalanan.
“Kereta abang di mana?” tanya Sharina. Sekali lagi matanya melilau di sekeliling stesen bas Sungai Petani yang berbecak.
“Kereta abang di belakang sana,” jawab Hisham sambil memegang tangan adiknya. Beg pakaian di tangan Sharina pun diambilnya juga. Hisham berbaju kemeja kuning air berlengan panjang dan berseluar hitam. Sharina mungkin kerana keletihan cuma mendiamkan diri. Beg beroda yang mengisi bekalan pakaiannya selama berkursus dua minggu, kini bertukar tangan. 
“Masa Rin nak melapor diri pukul 2.30 hingga 5.30 petang, kan?” soal Hisham.
Mereka berjalan beriringan. Sesekali Sharina memegang tali pinggang abangnya. Dia hanya mengikut sahaja langkah  kaki Hisham tanpa menyoal ke arah mana dirinya hendak dibawa. 
“Rin!”
Sharina bagaikan terdengar seseorang memanggil namanya. Dia menoleh ke sana dan ke sini mencari orang yang memanggil namanya itu. Namun orang-orang di situ membawa hal masing-masing. 
“Rin! Nak ke mana ni?”
Tiba-tiba seorang wanita berumur lewat 40-an menghampirinya. Sharina sedikit tergamam. Wanita yang berada di hadapannya kini bersaudara dengan Kamal sebelah ibu mertuanya. Beberapa kali mereka pernah bertemu jika ada kendur-kendara di sebelah keluarga Kamal.
“Wan cik!!” Kata Sharina dengan nada terkejut. Dia segera bersalam dengan wanita itu. Hisham pula sudah bergerak jauh daripadanya. “Rin ada kursus,” terang Sharina. Dia tidak berapa senang bertemu dengan wanita itu kerana sikapnya persis emak mertuanya.
“Kamal tak hantar ke?” soal wanita yang dipanggil ‘Wancik’ oleh Sharina itu sambil matanya mengitari ke sana sini. Bagaikan mencari seseorang.
“Tak, Rin yang nak pergi sendiri! Lagipun Abang Kamal tu sibuk Wancik! Dia ada tugas di Putrajaya. Tak dapat nak hantar Rin,” terang  Sharina lagi dengan hati-hati. Sambil itu matanya menjeling juga ke arah Hisham yang sedang menunggu berhampiran pondok pengawal keselamatan yang ada di situ. Agak jauh daripadanya.
“Oh ya! Mak cik macam terperasan ada seorang lelaki yang berjalan rapat dengan Rin tadi. Mak cik sangkakan Kamal. Oh! Jadi, Kamal izinkan pula Rin datang ke Sungai Petani sendirian ni,” ujar wanita itu lagi. Dia berbicara panjang lebar sambil merenung ke wajah Sharina.
“Ada abang Rin tolong hantarkan, Wancik,” jelas Sharina untuk mengelakkan fitnah.
“Baiklah, Rin. Wancik beredar dululah. Ada keizinan ALLAH, kita jumpa lagi. Nanti sampaikan salam Wancik kepada Kamal. Rin tu jaga diri elok-elok. Ingat Kamal di rumah tu,” sambung Wancik lagi sambil bersalam dengan Sharina.
Sharina mengangguk-anggukkan kepalanya.

Heningnya malam ini. Hanya kesepian yang menemani Kamal. Perasaannya terasa asing tanpa isteri di sisi. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, baru pertama kali mereka berpisah dalam tempoh yang agak lama. Selepas solat maghrib, Kamal terus di atas tikar sejadah bermunajat kepada ALLAH.
“Alhamdulillah,” kata Kamal perlahan sambil meraupkan telapak tangan ke wajahnya. Selesai sudah tanggungjawab yang difardukan ke atasnya sebagai seorang muslim untuk hari itu. Solat isyak pun sudah dikerjakannya.
Baru petang tadi dia sampai ke rumah setelah menyelesaikan urusannya di sebuah kementerian di Putrajaya.
“Sunyi pulak tak ada Rin di rumah,” katanya  sendiri. Hatinya diintip rasa rindu. Baru jarinya tergaya-gaya hendak menekan butang-butang di telefon bimbitnya, telefonnya pula berdering. Lebar senyumannya sebaik melihat nama yang terpapar di skrin.
“Assalamualaikum, sayang...” sapanya dengan suara riang dan mesra. Kerinduannya terlontar sesaat.
“Waalaikumussalam. Abang buat apa?” tanya Sharina, juga dengan nada riang. Seminggu berjauhan rindunya juga menggebu-gebu. Apabila mendengar suara suaminya itu, rasa rindunya terusir sedikit.
“Baru selesai solatlah, sayang. Rin dah solat?” tanya Kamal sambil berjalan menuju ke tingkat bawah. Dia memijak anak tangga berhati-hati.
“Dah bang. Alhamdulillah,” jawab Sharina. “Bila abang sampai ke rumah?” tanyanya pula.
“Dalam pukul 6.00 petang tadi. Ingatkan nak balik semalam, Sabtu. Sempatlah abang pergi jenguk Rin di Sungai Petani. Tiba-tiba ada hal lain pulak,” cerita Kamal.
“Penatlah abang! Dari Putrajaya nak ke Sungai Petani pulak! Rin lagi seminggu aje di sini. Minggu depan Rin baliklah,” balas Sharina pula. Malam itu, perasaannya rasa dekat kembali dengan suaminya itu.
“Abang... Rin nak minta maaf sebab gosokkan baju abang untuk seminggu aje. Rin pun ingat nak balik semalam, tapi rasa penat sangat. Nasib baik Rin tak balik, rupa-rupanya abang pun tak ada di rumah,” ujar Sharina lagi.
“Tak apa, sayang! Baju kerja tu biarlah abang gosok sendiri untuk minggu ni,” balas Kamal lirih.
“Selama kita kahwin, Rin dah buat kerja tu tak pernah cuti! Kali ini, abang bagi Rin cuti...” gurau Kamal. Perpisahan sementara itu rupa-rupanya membawa hikmah kepada perhubungan mereka yang agak hambar kebelakangan ini.
“Alhamdulillah. Lega rasa hati Rin,” kata Sharina. Bibir Kamal memahat senyuman.
Perasaannya berbunga indah kembali. Sharina isterinya yang amat dicintai, sentiasa berada di dalam rangkulan hatinya. Cinta dan kasih sayangnya kepada wanita itu tetap mengikat kuat. Semakin hari semakin ketat.

Kamal mencari-cari baju kemeja lengan panjang berjalur biru di dalam almari pakaian. Entah macam mana, dia tiba-tiba teringat untuk memakai baju hadiah pemberian Sharina ke pejabat esok. Kemeja lengan panjang berjalur halus warna biru muda. Hadiah pemberian Sharina sempena memperoleh gaji yang pertama beberapa tahun dulu.
 Dalam pada mencari-cari, tangannya tersentuh kotak kayu yang tersorok di celah kain baju. Kamal mengeluarkan kotak itu dan membukanya. Berderau darahnya seketika. Kamal tersentak apabila melihat isi kandungan kotak itu telah susut. Barang-barang emas perhiasan Sharina telah berkurangan. Hampir dua per tiga dari kotak itu.
Hatinya berasa tidak sedap tiba-tiba. Lantas, dia mengeluarkan fail-fail yang mengandungi dokumen perbelanjaan rumah yang buat oleh isterinya selama dia berada di dalam keadaan separuh lumpuh dahulu.
Baru dia membuka fail, telefon talian tetap di rumah pula berdering. Panjang langkah Kamal menuju ke meja telefon dan pantas tangannya menyambar gagang telefon. Terdengar suara emaknya di hujung talian.
“Waalaikumussalam, mak” kata Kamal setelah mendengar ucapan salam daripada emaknya.
“Kamal ada kat mana ni?” soal Mak Cik Mariah dengan suara kuat.
Kamal tergelak. “Emak ni, kan emak telefon ke talian tetap rumah saya ni, mak. Saya ada kat rumahlah...” jawab Kamal sambil ketawa kecil.
“Oh ya, terlupa pulak mak,” pintas Mak Cik Mariah.
“Emak sihat?” soal Kamal. Agak lama juga dia tidak balik ke Kampung Sungai Tapah. Lebih kurang tiga minggu. Terdengar emaknya terbatuk-batuk di corong telefon.
“Tak sihat sangat. Batuk. Selsema,” adu Mak Cik Mariah. Sekali lagi dia terbatuk-batuk. Kali ini bunyinya semakin kuat. Sehingga memaksa Kamal menjauhkan gagang telefon dari telinganya.
“Kenapa emak tak beritahu saya? Boleh saya bawa emak ke klinik,” kata Kamal. Sesekali dia menggaru pelipisnya. Kotak fikirannya cuba meneka tujuan emaknya menelefon dia malam-malam begitu.
“Sepatutnya, Kamal yang telefon tanya khabar emak,” marah Mak Cik Mariah. Kata-kata itu mencuit hati Kamal. Sekali lagi dia ketawa kecil.
“Kan selalu saya  telefon mak? Semalam pun saya ada telefon. Setiap dua, tiga hari mesti saya ada telefon emak. Hari ini saja saya belum telefon. Sebab saya cadang nak balik kampung esok,” jelas Kamal.
“Oh... kalau begitu lagi senang hati emak. Sebenarnya, emak ada hal nak bincang dengan Kamal ni. Tapi, tak apalah...sebab esok Kamal nak balik, kita bincang kat rumah sajalah. Balik sorang. Jangan bawa Rin,” pesan Mak Cik Mariah sebelum meletakkan gagang telefon.
Kamal mengeluh sedih.

Kamal meneruskan kerjanya yang terbengkalai tadi. Dia terus  menyelak satu per satu helaian muka buku akaunnya. Dia  mengambil peluang untuk menyemak segala perbelanjaan rumahnya selama ketidakupayaannya. Bukannya dia tidak mempercayai isterinya itu. Bukan. Dia tahu dan faham bahawa Sharina seorang wanita yang jujur, amanah dan ikhlas. Nilai-nilai murni yang menghiasi diri Sharina itulah yang menyebabkan kasihnya terhadap Sharina terlalu dalam.
Terbeliak matanya melihat angka yang tertera pada lembaran buku akaun Amanah Saham Bumiputera milik isterinya. “Buat apa Rin keluarkan simpanan dari ASB ni? Terus langsai?” rungut Kamal sendiri. Terkejut dia melihat angka yang tercetak di buku Amanah Saham milik Sharina.
Kamal tersandar seketika di kerusi. Otaknya berfikir laju. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Dia mencari buku akaun Sharina yang disimpannya. Buku akaun simpanan wang nafkah untuk isterinya itu. Namun kecewa. Kamal terus menggaru-garu belakang telinganya sambil berfikir.
Laci meja tulis yang selalu digunakan oleh isterinya pula diselongkar. Sekeping penyata gaji isterinya itu terjulur dari celah novel.
“Astaghfirullahilazim. Apa yang Rin dah buat ni?Pinjaman apa ni?” soal Kamal sendiri. Hampir RM1000 yang dipotong daripada gaji isterinya untuk membayar pinjaman peribadi kepada sebuah bank tempatan, amat mengejutkannya.
‘Agaknya Rin buat pinjaman untuk tambah pelaburan di dalam saham ASB,’ tebak Kamal. ‘Tapi kenapa dia tidak berbincang dengan aku terlebih dahulu?’ Dia paling tidak suka tabiat suka berhutang. Hutang itu adalah kemiskinan yang terburuk. 
‘Ya ALLAH, syukurlah kerana telah membuka pintu hatiku untuk mencari baju kemeja itu. Jika tidak, aku tidak tahu perkara yang telah berlaku,’ desis hatinya.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Kamal telah singgah ke bank untuk mengemas kini buku-buku akaun kepunyaannya. Dia juga menyemak pinjaman peribadi yang dilakukan oleh isterinya. RM100 ribu bukan untuk pelaburan Amanah Saham. RM100 ribu pun tiada di dalam buku akaun isterinya itu.
Kemudian, dia menguruskan penukaran nombor pin bagi kad-kad ATM miliknya. Langkah itu perlu diambil segera untuk tujuan berjaga-jaga. Bukannya dia tidak mempercayai Sharina. Tidak. Namun, dia harus berhati-hati. Fikirannya semakin berserabut apabila dicongak-congak wang simpanannya telah susut beberapa puluh ribu. Hati Kamal bagaikan dilontar oleh sebutir bom sewaktu mendengar kata-kata pegawai bank yang sedang melayani urusannya.
“RM25000 itu telah dikeluarkan dalam tempoh tiga minggu, encik.” Begitulah kata-kata pegawai bank itu.
“Pengeluaran melalui mesin ATM, encik,” terang pegawai bank itu lagi.
Kamal melemparkan senyuman hambar. Di hatinya timbul beribu persoalan. Sejak bila Sharina berani mengambil kad ATM miliknya dil uar pengetahuannya?
RM25000  lesap entah ke mana. Pegawai yang berada di sebalik cermin kaca itu terus merenung Kamal dan kelihatan bersedia untuk terus membantu. Kamal membelek satu per satu buku akaun di tangannya.
“Boleh encik keluarkan penyata untuk akaun isteri saya?” minta Kamal dengan nada lembut dan berhati-hati.
Pegawai bank itu tersenyum. Matanya merenung ke wajah Kamal yang nampak sugul seketika.
 “Buku akaunnya hilang dalam simpanan,” dalih Kamal pula. Puas dicari semalaman, tetapi buku akaun untuk nafkah Sharina gagal ditemui.
“Minta nombor kad pengenalan isteri encik,” aju pegawai bank itu sambil jarinya terus mengetik papan kekunci. Pegawai bank menyerahkan sehelai kertas yang telah dicetak kepada Kamal. Kertas yang mengandungi angka- angka yang diingini oleh lelaki itu.
“Terima kasih, encik...” ucap Kamal sambil beredar dari situ. Tubuh Kamal berpeluh kerana menahan geram sebaik sahaja membaca catatan angka-angka itu.
 Baki di dalam akaun isterinya itu hampir sifar! ‘Ya ALLAH, Rin, apa yang Rin telah buat dengan semua duit ni?’ soal Kamal sendiri. Batinnya menjerit mengajukan persoalan itu, namun Sharina tidak mungkin dapat mendengar jeritannya.


Tiada ulasan: