Ray sudah lama bekerja di situ.
Kehingaran dan kekalutan yang selalu ada bagaikan teman karibnya. Namun, dia
tetap melakukan tugas dengan wajah tenang.
Dari satu meja ke satu meja Ray
mengambil pesanan. Setiap pesanan dicatat pada kertas pesanan sebesar tapak
tangan dan dihantar pula kepada tukang masak di dapur.
Di dapur, Ray akan mengambil
makanan-makanan yang sudah siap dimasak lalu dihantar ke meja pelanggan yang
memesan. Begitulah rutin kerjanya setiap hari.
“Hisy, budak ini!” rungut Ray
tiba-tiba. Dua orang budak lelaki sedang berkejaran sambil ketawa. Nyaris
melanggarnya. Ray cuba mengelak, lantas gelas kopi ‘O’ panas menyenget di dalam
dulang dan terus tumbang.
“Eh, mata kau buta ke?” tempik
satu suara.
Tersentak Ray. Seorang gadis
menjegil mata kepadanya. Gadis itu sudah bangun berdiri lalu menolak kerusi
yang sedang diduduki. Berdentum bunyinya. Terlentang kerusi itu di atas lantai.
Kesan air kopi yang tercurah di
atas bajunya ditepis-tepis. Sekejapan sahaja warna putih gaunnya telah
bertompok-tompok, coklat kehitaman. Cepat-cepat Ray meletak dulang yang sedang
dibawa ke atas meja yang ada ruang kosong.
“Tak guna betul kau ni! Jalan tak
tengok kiri kanan. Main langgar aje!” riuh mulut gadis itu memarahi Ray.
“Maaf... maaf. Saya tak sengaja,
cik...” jelas Ray tergagap-gagap. Laju dia cuba mengelap pakaian gadis itu yang
kebasahan. Pipinya tiba-tiba menghangat. Maklumlah, diherdik di tengah orang
ramai. Ray terasa begitu kerdil. Lebih kerdil daripada semut halus yang sedang
meniti kaki meja di hadapannya.
“Eh, jangan kau nak ambil
kesempatan pulak! Habis kotor baju aku!” marah gadis itu. Tangan Ray ditepis
kasar. Dia semakin berang. Geli-geleman dia melihat tangan pemuda itu mendarat
di atas gaunnya yang berwarna putih gading.
“Janganlah!” Kuat dan nyaring
suaranya sehingga menjadi perhatian semua orang yang berkunjung ke restoran
itu. Sapu tangan yang digunakan untuk mengelap baju tadi dilontar ke lantai kerana meradang.
“Berani kau sentuh baju aku dengan
tangan kau yang kotor tu?” herdiknya lagi, memberi amaran. Bulat matanya
merenung Ray. Macam singa betina lepas beranak.
“Tak! Saaya... sa...” kata Ray
cuba membela diri lagi.
“Kenapa ni, Ray?” pekik seorang
lelaki.
Tidak sempat Ray menghabiskan
kata-katanya, tauke restoran tiba-tiba menjelma. Mata lelaki separuh umur itu
mencerlung merenung Ray. Ray mematung sejenak. Apabila mendengar suara gadis
itu menceceh macam burung murai dicabut ekor, dia juga tidak sanggup
bersabar.
“Errr... sa... saya tercurah air
pada baju cik ni,” jawab Ray
tergagap-gagap. Kegagapannya itu bukan kerana dia takut, tetapi dia berasa malu
diherdik seperti anjing kurap.
“Bukannya terr... tapi dia sengaja
tumpahkan air pada saya!” pintas gadis itu sambil mencekak pinggang. Angkuh
lagaknya.
“Mana ada, saya cuma nak elak
budak-budak yang berlari kat sini tadi,” sanggah Ray. Lembut suaranya mempertahankan diri. Walaupun lautan hatinya
sedang diratah oleh perasaan marah, dia cuba bertenang.
“Macam-macam beri alasan. Dah
salah tu mengaku sajalah! Buat apa nak tegakkan benang yang basah?” Marah gadis
itu masih belum reda.
Ray diam sambil mencuba menahan
perasaan. Jika diikutkan hati, rasa hendak dicubit-cubit bibir yang sedang
mengomel itu.
“Ray!”
Mendengar namanya dipanggil, Ray
terus menoleh. Abang Ba, tauke restoran itu sedang merenungnya.
“Tak reti nak minta maaf ke?”
tanya Abang Ba.
“Abang Ba, saya dah minta maaf tadi,” jawab Ray
pantas.
“Besar sangat kau punya maaf?”
tingkah gadis itu dengan kasar. Langsung tidak mempedulikan pelanggan lain yang
memerhati gelagatnya. Bahkan dia berasa bangga kerana dapat menunjukkan
keangkuhannya. Lagi ramai orang memerhati, semakin tinggi rasa harga dirinya.
“Sudahlah tu, Jess. Hal kecil aje,
kan?” bisik teman yang bersamanya. Gadis berambut pendek itu menarik gadis yang
dipanggil Jess supaya duduk dibangkunya kembali. Perangai temannya yang angkuh
dan mengada-ngada itu sangat difahaminya. Dia pula yang berasa malu.
“Nora, kau nampak apa yang mamat
ni buat tadi, kan?” tanyanya mengharapkan sokongan. “Habis baju aku kotor!”
rungutnya lagi.
Nora menjongketkan kedua bahunya.
Dia tidak mahu ikut campur dalam perbalahan itu. “Hoi, malaun! Kau tahu tak, berapa harga gaun
aku ni? Setahun duit gaji kau kerja kat sini pun tak mampu nak beli baju ni,
tau tak?” tempiknya sambil menuding jari telunjuknya ke wajah Ray.
Ray terkulat-kulat. Dia rasa
terhina. Mahu saja telapak tangannya hinggap pada pipi gebu gadis itu. Rambutnya yang ikal terjurai ingin saja
direntap-rentap.
“Sudahlah, cik. Jangan menjerit
kat sini. Buat memalukan diri cik aje! Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya
ni,” kata Abang Ba. Wajah gadis itu direnungnya seketika. Sayang, wajah yang
cantik itu tidak seindah perangainya.
“Dia tak sengaja,” ujar Abang Ba
lagi cuba membela Ray.
“Takkan hal sekecil ni kita nak
panjang-panjangkan. Takkan nak buat laporan polis kut.” Sinis kata-kata Abang
Ba. “Macam nilah... makan minum cik dan
kawan-kawan tadi tak payah bayar,” pujuknya pula dengan suara tenang.
“Apa aku peduli! Menyesal singgah
makan kat sini! Makanan pun tak sedap
mana! Baju mahal pun dah rosak! Semua gara-gara pekerja awak yang tak ada otak
ni!”
Abang Ba pula kena sergah.
“Jom, Nora... kita berambus dari
sini!” Tangan Nora terus direntap.
Jelingan tajam dilemparkan kepada Ray yang masih terpaku. Dia beredar dari situ
dengan langkah angkuh.
Hilang suara gadis itu, Ray
menarik nafas lega. Dia hanya mampu menunduk. Sehelai sapu
tangan berwarna biru muda tergumpal di atas lantai.
“Sapu tangan awek tu!” getusnya.
Pantas dia mengambilnya. Sederas kilat dia cuba mengejar gadis tadi.
“Cik... cik!” panggil Ray. “Cik!”
laungnya lagi.
Gadis itu yang sudah berada di
parkir kereta menoleh. Wajahnya dimasamkan apabila bertembung pandangan dengan
Ray.
“Apa kau nak lagi?” sergahnya.
Dadanya beralun deras.
“Ni, sapu tangan cik. Terjatuh di
bawah meja tadi,” beritahu Ray, ikhlas. Sapu tangan itu dihulur sambil
memaniskan muka.
“Hei, sapu tangan tu memang aku
punya. Tapi, kau dah pegang, kan? Tak
payah pulangkan balik! Aku rasa jijik!” Kata-kata itu diungkapkan dengan gaya
yang menyakitkan hati. “Kalau kau kemaruk sangat, kau simpanlah sapu tangan tu.
Dah... blah! Aku nak undur!”
Tajam mata Ray merenung ke arah
gadis itu sambil menghela nafas perlahan.
“Berambuslah!” herdik gadis itu
lagi.
“Hei, perempuan! Tak guna rupa
cantik, kalau mulut macam longkang!” Tanpa sedar terpacul kata-kata itu
daripada bibir Ray. Akhirnya, benteng kesabarannya merapuh juga.
“Kalau mulut aku macam longkang,
mulut kau tu raja segala limbah!”
balasnya kuat. “Blahlah!” jerit gadis itu macam orang hilang akal. Sepantas
kilat, dia masuk ke dalam kereta dan menutup pintu dengan kuat. Marah benar
dengan pemuda itu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan