Isnin, 30 Jun 2014

SAPU TANGAN BIRU (BAB 16)



kenderaan bertali arus. Deruan enjin motokar dan motosikal terus mengasak-ngasak gegendang telinga Ray. Cuaca panas dan berdebu menyebabkan dia berasa tidak selesa. Tekaknya kering kerana sejak dari tadi asyik berjemur di tengah panas. Sudah hampir dua bulan dia bekerja di tapak parkir yang bersebelahan dengan sebuah gedung membeli-belah itu. Upah kerja menjaga tapak parkir dua puluh lima ringgit sehari. Waktu kerja dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Ray tidak betah membuang masanya pada waktu malam dengan tidur sahaja kerana dulu dia sudah biasa bekerja sehingga tengah malam. Justeru itu, dia membantu Mat Ali menjual burger di sebuah medan selera bagi menambahkan lagi pendapatannya. Mat Ali yang sama-sama bekerja dengannya di tapak parkir mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Ray! Itu ada sebuah kereta nak masuk! Tengok kawasan belakang sana ada lagi tak ruang kosong?” jerit Mat Ali.
Lamunan Ray berterbangan. Mat Alilah yang menerimanya bekerja di situ setelah dia diusir di tapak pembinaan. Nasib baiklah perjalanannya untuk mencari rezeki dipermudahkan oleh ALLAH. Mungkin berkat doa emaknya juga.
“Di belakang ada lagi tiga ruang kosong, bang!” balas Ray. Dia cepat-cepat menghampiri kereta Toyata Vios warna kelabu yang dipandu oleh seorang pemuda. Sebelah tempat penumpang ada lagi seorang lelaki yang asyik merenungnya.
“Letak di belakang, encik! Ada lagi kosong di sebelah kanan,” beritahu Ray apabila pemuda itu menurunkan skrin tingkap keretanya. Ray menunjukkan kawasan yang dimaksudkan dengan tangannya.
“Tempat tu selamat ke?” tanya pemuda itu ragu-ragu. Kawasan parkir yang luas itu menyebabkan tempat yang ditunjukkan oleh Ray agak jauh dari pondok kawalan.
“Insya-ALLAH, encik!” jawab Ray kuat. Dia terus beredar dari sisi kereta dan sempat melihat lelaki yang duduk di sebelah pemandu kereta itu tadi sekilas. Dadanya berderau. Lelaki itu macam pernah dilihatnya sebelum ini.
“Oh ya! Dia yang mengata aku penagih dadah! Agaknya dia masih cam aku! Pasal itulah tengok aku macam nak telan tadi,” rungut Ray perlahan. Untuk memuaskan hatinya, dia cuba meninjau ke arah kereta tadi. Sah! Memang lelaki itulah yang telah menghinanya sewaktu dia bekerja di tapak pembinaan tempoh hari. Emosi Ray sedikit terganggu.
Pedulikan Ray! Bukan dia yang memberi rezeki kepada kamu! Rezeki setiap manusia, ALLAH telah tentukan!’ Suara hatinya seolah membujuk.
Telinganya tiba-tiba dibingitkan oleh bunyi alat penggera kereta yang bertalu-talu. Menjerit-jerit.
“Ray! Pergi tengok! Kereta siapa yang memekak tu!” arah Mat Ali. Beberapa orang yang berada di situ cuba meneka arah kereta yang sedang meraung kuat.
Belum sempat Ray beredar, kedengaran pula suara kecoh-kecoh di bahagian depan. Di pintu masuk ke kawasan parkir itu. Dia pun berjalan pantas menuju ke situ. Sangkanya ada berlaku kemalangan.
“Hoi!” jerit seorang pemuda yang berlari di hadapan Ray. Pemuda itu melontarkan sesuatu kepadanya. Entah macam mana spontan tangan Ray menyambut benda yang dilemparkan kepadanya untuk menyelamatkan diri. Pemuda itu tiba-tiba saja lesap di celah-celah kenderaan yang lalu-lalang di situ. Ray terlopong. Belum sempat dia berbuat apa-apa, tiba sekumpulan orang yang tidak dikenali, berlari ke arahnya.
“Hah! Ini dia beg tangan saya!” pekik seorang perempuan lantas menerpa dan merampas beg tangan yang masih di tangan Ray.
Ray tergamam. Beberapa orang lelaki yang bersama perempuan itu meluru kepadanya. Buk! Buk! Tiba-tiba sahaja beberapa biji buku lima singgah pada tubuhnya. Ray rebah  ke atas tanah. Apabila mereka terus menyerangnya, Ray terpaksa melawan untuk mempertahankan dirinya.
“Tak ada kerja lain ke? Senang-senang nak ragut beg tangan orang!” Suara beberapa orang lelaki dalam ayat yang sama singgah di telinga Ray.
“Kau hisap dadah ya?” tuduh mereka lagi sambil terus membelasah Ray. Kini dia faham. Sekali lagi, dia menjadi mangsa keadaan.
“Hentikan!  Hoi!  Hentikan!  Buat apa belasah kawan saya?!” tempik Mat Ali kuat-kuat. Puas dia cuba meleraikan mereka yang sedang membelasah tubuh Ray yang kurus.
“Hoi!” Mat Ali terjerit kerana dia pula dibelasah. Dia juga terpaksa mempertahankan dirinya sendiri. Mat Ali sempat melihat Ray yang teruk dibelasah. Hidung dan mulut Ray berlumuran darah.
“Hei! Hei! Berhenti semua!” pekik suara lelaki diikuti bunyi tiupan wisel yang membingit, menghentikan adegan tumbuk-menumbuk di antara beberapa orang itu. Enam  orang lelaki termasuk Ray dan Mat Ali. Tiga orang polis tiba-tiba sahaja berada di situ.
“Bangun! Angkat tangan semua!” arah salah seorang polis. Kesemua mereka mengikut arahan. Dua orang anggota polis memeriksa tubuh Ray, Mat Ali dan penyerang mereka tadi.
“Mereka serang kawan saya, encik! Dengan tiba-tiba saja...” Mat Ali cuba bercerita sambil mengesat tepi bibirnya yang berdarah.
“Dia ragut beg tangan seorang perempuan!” tingkah salah seorang daripada penyerang tadi.
“Mana begnya?” tanya anggota polis. Matanya merenung tajam kepada pemuda yang bersuara itu. “Mana perempuannya?” soal anggota polis itu lagi. Pandangan matanya menyinggahi ke wajah-wajah lelaki yang ada di situ satu per satu.
“Hei! Perempuan itu pun dah cabut! Tak guna betul! Kita teruk-teruk hendak tolong dia! Ditinggalkannya kita begitu saja!” rungut lelaki itu sambil berludah.
“Saya tak buat kerja tu, encik! Mereka dah salah faham,” terang Ray. Tak pasal-pasal tubuh badannya sakit-sakit kerana dibelasah. Walhal, dia tidak tahu-menahu tentang beg tangan yang dilontar oleh pemuda yang tidak dikenali itu ke arahnya.
“Betul tu, encik! Dia ni kerja jaga parkir ni dengan saya,” sokong Mat Ali sambil menjeling lelaki-lelaki yang menyerang Ray tadi. Semuanya mempamir wajah bengang dan meradang. Tambahan pula apabila melibatkan anggota polis. Entah siapalah yang memanggil polis-polis itu datang ke situ.
“Sudah!  Jangan hendak bercerita di sini! Semua orang kena pergi ke balai. Di sana boleh beri keterangan atau buat laporan!” marah salah seorang anggota polis itu. Wajahnya serius.
Pemuda pemandu kereta Toyata Vios tadi tiba-tiba muncul di situ bersama dengan kawannya. Dia menghulurkan tangannya kepada anggota polis yang berada di situ.
“Saya Iskandar! Yang ini sepupu saya, Mukhriz,” kenalnya kepada polis-polis berkenaan. Ray terus memasang telinga. Hujung matanya sempat mengerling dan melihat wajah pemuda-pemuda itu.
“Kami yang telefon ke balai polis tadi,” beritahu Mukhriz sambil menjeling ke wajah Ray yang sedang menundukkan mukanya. Baru dia teringat yang pemuda kurus itu pernah bekerja di tapak pembinaannya beberapa minggu yang lalu. Pemuda yang asyik dengan buku catatannya.
“Terima kasih, encik! Mujur kami ada meronda tidak jauh dari sini! Cepatlah kami sampai,” beritahu salah seorang anggota polis tadi. Matanya singgah ke arah land rover polis yang tiba di situ.
“Semua naik land rover itu, pergi ke balai,” suruhnya. Dia mengiringi lelaki-lelaki yang bergaduh tadi ke land rover. Ray paling akhir. Dia berjalan terdengkut-dengkut kerana tercedera sewaktu mempertahankan dirinya tadi.
“Hei, kurus!” panggil Mukhriz.
Langkah kaki Ray terhenti. Dia menoleh kepada Mukhriz yang merapatinya. “Kamu yang kerja di Wafa Construction dulu, kan?” tanyanya.
Ray menganggukkan kepalanya. “Kan aku dah kata dulu,” ungkap Mukhriz perlahan. Sengaja ingin menyindir.
“Nama saya Ray dan saya tak buat kerja haram!” bisik Ray keras. Setelah itu, dia terus memanjat land rover. Ray melihat Mukhriz berbisik-bisik dengan Iskandar sambil merenung kepadanya. Setelah itu, mereka beredar dari situ. Land rover yang dinaiki pun bergerak meninggalkan tempat itu.
Setelah diambil keterangan, Ray dan Mat Ali dibebaskan tanpa jaminan. Pemuda yang menyerangnya juga dibebaskan dengan diberi sedikit nasihat oleh pegawai polis yang bertugas. Itupun kerana Ray dan Mat Ali enggan memanjangkan kes tersebut.
“Tak pasal-pasal kena heret ke balai polis hari ni!” rungut Mat Ali. Dia masih lagi bengang dengan peristiwa yang dilalui beberapa jam tadi.
“Saya minta maaf, bang! Sebenarnya, saya tak tahu-menahu. Tiba-tiba saja ada pemuda melontarkan sesuatu ke arah saya! Saya cuba menyelamatkan diri dan menyambut benda yang dilontarkannya itu. Tak sangka pula itu beg tangan yang diragut!” jelas Ray.
“Begitulah kalau hidup di bandar besar, Ray! Ramai sangat yang menjadi enau di dalam belukar! Peragut hendak menyelamatkan diri dan campak masalahnya kepada kau. Tak pasal-pasal pula kau dibelasah teruk,” balas Mat Ali. “Yang orang-orang tu pulak mengikut telunjuk nafsu marah dan melupakan undang-undang. Langsung tak usul periksa terus membuat tuduhan melulu dan bertindak tak guna akal...macam lembu,” rungut Mat Ali lagi. Sakit hatinya melihat Ray dibelasah tadi.
“Tak apa, bang! Dah nasib saya,” balas Ray perlahan. Tak guna berdiskusi tentang peristiwa yang telah dilaluinya tadi. Rasa sakit kerana dipukul mustahil terusir pada saat itu. Hanya lain kali dia perlu lebih berhati-hati dengan suasana dan orang-orang di sekelilingnya.
“Ray, hari ni tak payah teruskan kerja. Pergi ke hospital,” kata Mat Ali. Bangunan balai polis telah jauh ditinggalkan. Mat Ali sempat membedek-bedek tubuh Ray yang tercalar balar dan masih terkesan darah yang mengering. “Kalau doktor bagi cuti sakit, rehat aje di rumah. Lepas tu baru datang kerja balik,” sambungnya lagi sambil menyeluk poket.
“Ini gaji hari ini dan duit untuk pergi klinik atau hospital,” ujar Mat Ali sambil menghulurkan sekeping not 50. “Kau kenal ke lelaki yang menghubungi polis tadi?” Mat Ali sempat bertanya.
“Salah seorang daripadanya saya kenal. Kami pernah bertemu sekali saja. Sebelum ini, saya bekerja di tapak pembinaan syarikatnya, tapi dia pecat saya,” beritahu Ray jujur. Mat Ali menyuruh Ray meneruskan ceritanya.
“Dia kata saya penagih dadah dan tuduh saya hendak mencuri barang-barang di tapak pembinaan,” cerita Ray perlahan. Perasaannya tiba-tiba jadi sebak.
Mat Ali tersentak. Tajam matanya merenung muka Ray yang berubah muram. “Sabarlah, Ray! Hidup di kota memang penuh dengan cobaan dan dugaan. Bukannya apa, disebabkan terlalu susah hendak mencari kejujuran, ramai orang bersikap prasangka dan mencurigai semua orang yang baru dikenali,” kata Mat Ali. “Tapi, insyaALLAH... aku percaya kepada kau, Ray! Hanya penampilan kau tu perlu diubah sikit. Walaupun sekarang ini ramai penjenayah atau penagih dadah yang berlagak macho tampan dan bergaya, tetapi masih ada manusia berfikiran sempit. Asal tengok lelaki berambut panjang dan bertubuh kurus saja, mereka kata penagih dadah,” ujar Mat Ali. Sempat menumbuk perlahan bahu Ray. Dia harap Ray tidak berkecil hati dengan kata-katanya tadi.
Tak apa, bang!  Rambut ni nanti saya potong!  Sebenarnya baru beberapa bulan aje saya tak pergi gunting rambut,” cerita Ray. Sengaja dia melayan telatah Dania yang kepingin sangat melihatnya berambut panjang. Entah apa yang ada di dalam fikiran adiknya itu, dia pun malas hendak meneka. Untuk menggembirakan hati Dania, dia pun menurut sahaja.
Perasan diri tampan bila bertocang begini...” sambung Ray lagi sambil ketawa. Mat Ali ikut ketawa. Memang tidak dinafikannya Ray seorang pemuda tampan. Dengan rambutnya tersisir rapi ke belakang bertocang kemas, Ray nampak seperti seorang pelakun filem Mexico yang diminatinya. Bulu keningnya hitam dan tebal. Renungan matanya tajam. Namun, apabila dia meredupkan pandangan dan meneduhkan wajah, auranya berubah romantis pula. Senyuman yang terukir di bibirnya menampakkan lesung pipit yang menambah manis wajahnya.
“Okey Ray, pergilah ke klinik sekarang,” desaknya pula.
“Terima kasih, bang. Abang tak nak pergi ke?” tanya Ray. Mat Ali pun teruk juga kena belasah tadi. Mat Ali menyengih sambil mengeleng.
Insya-ALLAH kalau tak ada apa-apa, saya datang kerja balik,” janji Ray sambil menyalami Mat Ali.
“Berehat dulu!” gesa Mat Ali. Walaupun baru berkenalan dengan Ray, dia tahu pemuda itu seorang yang sangat bertanggungjawab dan rajin bekerja.
“Assalamualaikum,” kata Ray lalu meninggalkan Mat Ali. Langkah kakinya terus diatur satu per satu. Otaknya berputar ligat memikirkan tentang pelbagai perkara.

Tiada ulasan: