Kilauan mentari semakin
garang. Cahayanya melimpah ke seluruh Taman Putra, kawasan perumahan elit yang
berada di pinggir kota. Kereta Kembara biru tua bergerak meninggalkan Teratak
Cinta Waza. Sepuluh minit kemudian, ruang kosong di bawah pokok ketapang di
hadapan banglo itu menerima kunjungan tetamu yang lain pula. Kali ini sebuah
kereta Kancil berwarna putih yang kelihatan uzur.
|
Matahari bersinar semakin terik. Zarina
mengintai melalui celahan langsir pintu rumahnya. Pagi tadi, sewaktu van
sekolah yang mengambil Eisha Safiya datang menjemput anak tunggalnya itu untuk
dibawa ke taska, kereta Kembara berwarna biru tua ada terparkir di luar
rumahnya. Zarina terus menyelak-nyelak kain langsir dan memerhati dengan
berhati-hati. Sudah berkali-kali dia perasan kereta Kembara itu diparkirkan di
hadapan rumah mereka. Suaminya sudah berpesan, jika hal itu berlarutan mereka
harus membuat laporan kepada pihak polis.
“Alhamdulillah! Dah tak ada lagi kereta
Kembara tu,” katanya sendiri. Dia memerhati jam di dinding. Baru 11.45 pagi.
Eisha Safiya akan balik ke rumah jam 12.30 tengah hari. Sebenarnya bukan dia
tidak mahu menghantar dan menjemput anaknya itu pada setiap hari, namun
hasratnya ditentang. Kata suaminya, biar Eisha Safiya belajar berdikari. Dari
usia kanak-kanaklah, dia harus dididik untuk berdikari, berani dan yakin pada
diri sendiri.
Zarina menaiki tangga menuju ke bilik
utama. Waktu yang tersisa sebelum kepulangan Eisha Safiya, dia ingin
membersihkan dirinya. Baru sebentar tadi, dia sibuk mengerjakan kebun sayur
yang ada di belakang rumah. Kawasan lapang di belakang rumah tidak dibiarkan
membazir begitu saja. Apa salahnya menyinsing lengan dan memegang cangkul serta
tajak untuk menyediakan batas-batas kecil buat menanam cili dan dua tiga jenis
sayur.
Zarina mencapai tuala dan terus memasuki
bilik mandi kerana tiba-tiba kepalanya terasa sakit. Bimbang pula kalau dia
mengikut rasa sakitnya dan berbaring, dia akan terlelap. Selesai mandi, rasa
sakit di kepalanya semakin kuat. Dahinya berkerut menahan kesakitan.
“Ya ALLAH, kenapa sakit sangat ni?” rintih Zarina sambil
merebahkan dirinya di atas tilam. Jarinya menjalari dahi serta seluruh
kepalanya. Minit-minit terus berlalu. Zarina terlelap dalam kesakitan.
“Tak apa. Kita berani,” jawab Eisha
Safiya apabila ditanya oleh pemandu van sama ada dia berani atau tidak
ditinggalkan bersendirian di hadapan pagar rumahnya.
“Mama!” jerit Eisha Safiya. Dia memanjat
tembok pagar dan melihat kereta mamanya cantik terparkir.
“Mama, Eisha balik!” pekiknya. Tangannya tidak sampai pula
hendak memicit butang loceng yang tinggi kedudukannya.
“Assalamualaikum! Eisha Safiya...”
Eisha Safiya terkejut. Dia menoleh ke
arah perempuan cantik yang memanggil namanya. Perempuan itu senyum kepadanya.
Eisha Safiya merenung ke wajah perempuan itu dengan sinar mata sangsi.
“Eisha, jom ikut auntie! Mama Eisha suruh
auntie ambil Eisha... sebab... sebab... dia pergi ke hospital. Papa Eisha
sakit. Auntie nak bawa Eisha pergi hospital ni,” katanya lagi dengan suara
lunak. Dia terus merapati Eisha Safiya dan menarik lengan kanak-kanak itu.
Bulat mata Eisha Safiya merenung ke wajah
perempuan muda itu. Wajah yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Segera
tangannya memegang gril pagar sekuat hati.
“Cepatlah!” desak perempuan itu. Cuba
memujuk lagi.
“Eisha tak nak! Eisha tak kenal, auntie!”
jawab Eisha Safiya berani. Matanya mulai basah dengan air mata.
“Eisha jangan ikut orang yang Eisha tak
kenal! Jangan percaya apa kata mereka!” Pesanan papa dan mama, terngiang-ngiang
di telinganya.
“Mama!” jerit Eisha Safiya sambil
menangis. Mulutnya menganga luas. Hatinya mula cemas.
“Jangan menjerit!” bisik perempuan itu
kasar. Mulut Eisha Safiya terus dipekup. Tangannya yang sedang memegang palang
gril direntap dan tubuh comelnya pantas diangkat. Eisha dibawa berlari di atas
dukungan menuju ke kereta Kancil putih yang sudah menunggu di situ.
Eisha Safiya terus meronta sepenuh
tenaga. Walaupun tubuh badannya kecil, rontaannya yang bertalu-talu menyebabkan
perempuan itu sukar untuk terus memeluknya.
“Aduh!” jeritnya apabila terasa pipinya
dicakar kuat. Pekupan telapak tangan pada bibir Eisha Safiya terlepas.
“Mama!”
Tiba-tiba telinganya dijengah oleh
jeritan seorang kanak-kanak perempuan. Jeritan bercampur tangisan kuat. Mata
Ray terus mencari arah suara yang menjerit. Pandangannya terlontar ke arah
lorong di hadapannya. Jaraknya hanya 10 meter dari tempat dia berada. Seorang
kanak-kanak perempuan sedang meronta daripada pegangan seorang wanita muda.
Kuat rontaannya melemahkan pegangan
tangan wanita muda itu lantas tubuh kecilnya terhumban ke atas rumput di bahu
jalan. Cepat-cepat kanak-kanak itu bangun, lantas berlari lintang-pukang.
“Tolong!” Nyaring suaranya menjerit
meminta tolong sambil berlari penuh ketakutan.
“Eh, kenapa dengan budak tu?” tanya Ray
sendiri. Pantas dia berlari anak menuju ke arah budak perempuan yang berumur
lebih kurang empat tahun itu. Budak yang sedang berlari itu menuju ke sebuah
banglo berhampiran. Ray juga berlari menuju ke arah bunglo itu.
“Hoi!” tempik Ray. Perempuan muda
berhenti mengejar. Budak perempuan yang dikejar sudah berlari ke arah Ray di
hadapan pagar sebuah banglo.
Kanak-kanak itu terus menangis kuat. Ray
cepat-cepat menghampirinya dengan langkah deras.
“Auntie tu jahat!” adunya kepada Ray.
“Okey, tak apa... nanti abang telefon
polis...” pujuk Ray. Cepat-cepat dia memeluk budak perempuan itu dan
mendukungnya. Mungkin benar telahan kanak-kanak itu.
Perempuan yang mengejar budak itu tadi cepat-cepat menaiki kereta Kancil berwarna putih dan meninggalkan tempat itu.
“Okey... okey, adik jangan nangis
lagi,” kata Ray perlahan sambil mengusap-usap rambut budak itu yang masih
tersedu-sedan. Suara tangisnya kedengaran. Tangan kecilnya memeluk leher Ray.
Mungkin berasa selamat di atas dukungan pemuda itu. Ray senyum teringatkan,
Dania.
“Rumah adik kat mana?” tanya Ray lembut.
Air mata yang membasahi pipi kanak-kanak itu dikesatnya dengan hujung jari.
Ingatannya kepada Dania semakin kuat. Dulu sewaktu kecil, Dania terlalu manja
dengannya. Budak itu terus teresak. Dia hanya menudingkan jari ke arah rumah di
hadapan mereka.
“Adik baru balik dari tadika, eh?” tanya
Ray apabila terpandang beg sekolah berwarna merah jambu bergelimpangan di atas
jalan. Ray menurunkan budak itu dari dukungannya. Dia mengutip beg dan buku
yang bertaburan.
“Eisha Safiya Waza,” kata Ray sambil
senyum. Matanya terus mengamati tulisan yang terpapar pada sehelai kertas
lukisan. “Nama adik Eisha Safiya Waza?” tanya Ray.
Eisha Safiya mengangguk. Ray
menggaru-garu kepalanya. Dia memikirkan bagaimana hendak membantu kanak-kanak
itu. Nama mereka pun seakan-akan. Namanya Ahmad Raiyan Wafa. Sedangkan nama
kanak-kanak perempuan itu Eisha Safiya Waza. Wafa dan Waza seakan-akan
bunyinya. Secara kebetulan, nama bapa pun
serupa. Abdul Wahab.
“Itu papa balik,” tangis Eisha Safiya
lagi sambil menunjukkan ke arah sebuah kereta Mercedez marron yang sedang menuju ke situ.
Ray turut memerhati. ’Anak orang kaya
budak ni!’ teka Ray. Patutlah perempuan tadi cuba menculik Eisha Safiya.
Datuk Wahab memberhentikan keretanya
betul-betul di hadapan Ray. Dia segera turun dari kereta. Dia memerhati wajah
Ray dan berasa seolah-olah pernah melihat pemuda itu, tetapi entah di mana.
“Apa hal ni? Apa awak buat dengan anak
saya ni?” tanyanya sambil merenung Ray dengan perasaan curiga. Eisha Safiya
terus diangkat dan didukungnya.
“Papa, tadi ada auntie jahat!” adu Eisha
Safiya sambil menangis lagi. Belum sempat Ray menjawab. “Di... dia nnak...
ttangkap Eis... Eisha,” cerita Eisha Safiya sambil teresak. Hingus dan air
matanya sudah menyatu. Rasa takutnya masih tersisa. “Di... dia tu... tutup
mulut Ei... Eisha...” sambung Eisha Safiya lagi.
“Eisha budak berani, kan?” tanya Datuk
Wahab cuba mengembalikan semangat Eisha Safiya. “Be... beranii...” jawab Eisha
Safiya dalam esakan.
“Okey... Okey... jangan nangis lagi! Papa
ada... papa ada ni,” pujuknya. “Macam mana awak boleh berada di sini?” tanya
Datuk Wahab kepada Ray dengan suara tegang.
“Saya sedang melalui jalan di situ,”
cerita Ray sambil menunjukkan jalan yang sedang dilaluinya tadi. “Tiba-tiba
saya mendengar suara budak menjerit dan menangis. Saya pun berkejar ke sini dan
nampak anak encik berlari sebab dikejar oleh seorang perempuan...” sambungnya
lagi dengan suara perlahan. Dia tidak pasti sama ada lelaki di hadapannya itu
akan mempercayai ceritanya. Jangan-jangan dia pula yang akan dituduh, cuba
menculik Eisha Safiya.
“Seterusnya?”
“Bila anak encik berlari mendapatkan
saya, perempuan itu berhenti mengejarnya. Dia naik sebuah kereta Kancil putih
dan terus pergi begitu saja,” terang Ray. “Tapi, saya tak sempat pula nak tengok nombor plat
keretanya,” keluh Ray.
“Oh, kalau begitu terima kasihlah! Eisha, cakap terima kasih kepada abang ni.”
Suara Datuk Wahab berubah lembut.
“Te... tee... terima kasih,” kata Eisha
Safiya sambil tersedu. Leher papanya terus direngkuh.
“Sama-sama,” balas Ray sambil mencuit
pipi Eisha Safiya.
“Kalau begitu, saya pergi dululah,
encik...” kata Ray. Dia berasa tidak selesa apabila melihat bapa Eisha Safiya
asyik merenung ke wajahnya. Renungannya lama dan tajam.
“Jangan pergi lagi!” tegah Datuk Wahab
cuba menghalang. Dia mengeluarkan kunci dari poket seluarnya. Entah mengapa
isterinya tidak muncul-muncul sejak dari tadi. Hatinya diamuk resah. Panggilan
telefonnya pun tidak berjawab. Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk balik
ke rumah.
“Tapi encik,” balas Ray agak kehairanan.
Mustahil baru berkenalan beberapa minit lelaki itu hendak mengajaknya masuk ke
rumah pula.
“Awak dah tolong selamatkan anak saya
dari diculik, kan? Jom, masuk ke dalam rumah dulu,” pelawa Datuk Wahab sambil
mencuri pandang ke wajah Ray. Kalbunya tergigit pada saat itu. Senyuman yang
terukir di bibir pemuda itu membias aura senyuman yang amat dirindukan terlalu
lama.
“Saya Wahab,” kenalnya sambil menghulurkan tangan.
Ray menyambut huluran tangan lelaki itu.
Pandangan mereka bertaut beberapa ketika. “Ray!” Spontan Ray menyebut nama yang sinonim dengannya.
“Terima kasih, Ray,”
ucap lelaki itu lagi. Tanpa sangsi, dia meraih bahu Ray dan mengajak anak muda
itu masuk ke pekarangan rumah sebaik sahaja pintu pagar dibuka kuncinya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan