Rabu, 2 Julai 2014

SAPU TANGAN BIRU (BAB 18)



Balik dari pejabat, fikiran Datuk Wahab berasa sarat. Pelbagai perkara yang tidak diduga menjelma fikirannya. Selepas mandi, dia duduk termenung di atas sofa di ruang tamu. Pertemuannya dengan pemuda yang telah menyelamatkan Eisha Safiya daripada diculik, sedikit sebanyak mengusik perasaannya.
Jun, tolong ambilkan abang air suam,” suruhnya kepada Datin Julaidah yang sedang asyik menonton dokumentari tentang aeroangkasa.
Takkan air suam aje, bang. Jun bawakan teh. Bibik ada buatkan puding roti, Jun ambilkan sekali, ya?” balas Datin Julaidah.
Datuk Wahab mengangguk. Sebenarnya, dia sengaja menyuruh isterinya mengambil air Walhal, dia tidak berasa haus pun. Pada saat itu, dia ingin menyendiri. Ingatannya melayang kepada pemuda yang dikenalinya tengah hari tadi.
Nama timangan saya, Ray. Baru dua bulan saya tinggal di kota ini, encik. Saya tinggalkan kampung halaman dan keluarga. Saya cuba untuk mengubah nasib keluarga saya. Emak dan dua orang adik. Saya menjadi anak yatim selepas bapa saya meninggal dunia kira-kira empat tahun yang lalu. Setelah itu, sayalah yang mengambil tanggungjawab untuk menyara keluarga.”
Terpiang-piang suara anak muda itu di telinga Datuk Wahab. Datuk Wahab menghela nafas perlahan sambil mengingatkan sesuatu. Ngilu rasa kalbunya. Fikirannya menyingkap tabir kenangan yang sudah lama disimpan. Rasa bersalah terus mengepung hatinya. Kerinduan yang kian lama terpendam menjengah sukma. Nostalgia cinta pertama terlayar dalam ingatan. Aura senyuman yang terukir di bibir anak muda itu membuka lembaran kenangan silam yang telah diikat kemas-kemas sejak hampir lebih dua dekad.
“Abang, kenapa asyik mengelamun ni?” tanya Datin Julaidah sambil menghampiri suaminya itu. Datuk Wahab yang asyik memicit dahi dari tadi dengan wajah keruh, membimbangkannya. Dulang yang berisi teh dan puding roti diletakkannya di atas meja kopi.
“Apa yang abang runsingkan ni? Cuba ceritakan kepada saya,” desak Datin Julaidah. Manalah tahu kalau-kalau suaminya itu mengalami masalah di dalam perniagaannya. Tak pernah-pernah abang berkeluh kesah begini,” ulas Datin Julaidah lagi.
Syarikat ada problem ke?” tanyanya penuh kasih sayang.
Datuk Wahab menggeleng. Fikiran yang memberat dengan tanda tanya tidak mungkin dikongsikan dengan isterinya itu. Berkongsi membawa maksud, dia harus bercerita segalanya. Apabila bercerita membawa pengertian yang dia harus membongkar sejarah silam yang sudah disimpan dalam-dalam di sudut hatinya.
Habis tu? Kenapa nampak macam susah hati ni?” tanya Datin Julaidah lagi. Bola matanya menikam ke anak mata suaminya itu. Suaminya seperti ada menyembunyikan sesuatu.
Rasanya sejak kita kahwin, baru hari ini Jun tengok abang macam ni. Murung. Gelisah. Ada apa-apa ke, bang?” Datin Julaidah terus mendesak. Jangan-jangan suaminya sudah jatuh cinta dengan wanita lain agaknya!  Hatinya mula meneka yang tidak-tidak.
“Saya fikirkan tentang Jess. Bila agaknya dia nak berubah. Ada rasa tanggungjawab sikit,” bohong Datuk Wahab. Sebenarnya dia kini sedang terfokus kepada pemuda yang bernama ‘Ray.’ Anak muda yang belum sempat diselidiki latar belakang dan asal usulnya dengan lengkap.
Saya menumpang rumah kawan saya. Rumahnya dekat dengan masjid. Alhamdulillah, saya rasa selesa jugak.”
Sekali lagi suara pemuda itu terngiang-ngiang di telinganya. Pemuda itu yang bercerita dengan suara lembut dan perlahan serta merendah diri menarik hatinya. Setiap kali dia senyum, nampak lesung pipitnya menyebabkan senyuman itu bertambah manis. Senyuman itulah yang sedang menjentik hatinya kini.
Datuk Wahab cepat-cepat bangun dari sofa. Hatinya bagai terpanggil untuk mencari anak muda itu. Dia tidak akan membiarkan Ray terlepas daripada pandangan matanya. Tidak juga rela Ray terlepas daripada pengetahuannya sehingga dia mengenali pemuda itu sebenar-benarnya.
“Nak ke mana pulak tu?” tanya Datin Julaidah. “Minumlah dulu,” pujuknya apabila melihat suaminya bagai orang mamai senja itu. Minuman dan puding roti yang dibawa tadi  belum dijamah walau sedikit.
“Oh ya, terlupa pula,” kata Datuk Wahab lantas duduk semula. Cawan teh terus dicapai. Piring puding roti diambil. Datuk Wahab minum dan makan dengan agak gelojoh. Datin Julaidah merenungi suaminya itu dengan pandangan hairan. Hatinya disinggahi tanda tanya. Melamar curiga.
“Nak kemana cepat-cepat ni, bang?” Langkah suaminya diekori dengan penjuru mata.
“Saya nak solat di masjid,” jawab Datuk Wahab yang mula mendaki anak tangga.
“Cerita tentang Jess belum lagi selesai,” ujar Datin Julaidah dengan suara melirih. Dia pun mengekori suaminya itu mendaki tangga menuju ke bilik tidur mereka.
“Alah, cerita tentang anak kesayangan awak tu takkan ada penyelesaiannya... Asyik berbalik-balik kalau dia tak ubah perangainya yang manja dan mengada-ngada tu. Hari ni merajuk dengan Iskandar. Esok, merajuk dengan awak!  Lusa merajuk dengan saya,” leter Datuk Wahab. “Dah macam watak pelakon drama sinetron Indonesia aje. Merunsing. Watak antagonis,” dakwa Datuk Wahab lagi. “Sekarang ni, dia pergi ke mana?  Tak tahu nak duduk diam di rumah?”
“Dia pergi tengok wayang dengan Iskandar! Alah, bang...biarlah mereka hendak bersuka ria waktu usia muda ni,” balas Datin Julaidah.
Bukan main gembira lagi Jasmin apabila Iskandar datang ke rumah untuk memujuknya lewat tengah hari tadi. Hilang rajuknya yang berhari-hari sebelum ini.
“Itu aje yang mereka tahu! Asyik nak berseronok dan membuang masa. Tengok wayanglah! Pergi karaokelah!  Pergi berseronok dengan harta siapa? Duit ringgit siapa?  Kalau dapat keluarga miskin dan papa kedana, baru dia tahu langit tinggi atau rendah!” marah Datuk Wahab. Dia sudah bersiap dengan baju Melayu warna biru tua. Sudah bersedia untuk keluar dari bilik itu.
Senja-senja orang sibuk duduk dalam masjid, mereka duduk dalam panggung wayang!” leternya lagi.
“Kenapa kebelakangan ni abang asyik nak marah-marah Jess?” soal Datin Julaidah hairan.
“Saya bukan marah, cuma rasa kecewa. Kita dah jaga dia macam menatang minyak yang penuh, tetapi cakap kita selalu aje dia bantah. Saya bimbang lama-kelamaan dia lupa daratan, tak sedar diri. Tak tahu diuntung!”
“Abang!” jerit Datin Julaidah. Cepat-cepat dia memintas percakapan suaminya sebelum berlarutan. Kalau Jess dengar nanti, pasti dia akan merajuk.”
“Yalah! Saya takkan cakap begitu lagi. Dengan syarat, Jess ubah sikapnya! Jika tak jangan harap apa-apa lagi daripada saya,” tegas Datuk Wahab. Jangan buat kita terdera perasaan kerana tingkah lakunya,” sambungnya lagi.
Datin Julaidah terdiam.
“Balik dari masjid saya nak ke pejabat. Tak tahu sampai pukul berapa,” beritahu Datuk Wahab. Sengaja mencipta alasan. Nada suaranya kembali merendah. Hatinya teringat pula kepada Zarina. Isteri keduanya yang tidak berapa sihat.
Saya ada bawa kunci rumah,” katanya lagi. Malam itu, dia akan tidur di rumah Zarina. Bimbang pula akan keselamatan anak dan isteri mudanya itu. Manalah tahu, jika penculik tadi datang mengganggu rumahnya pada waktu malam pula. Sebelum waktu subuh esok, dia akan balik ke Villa Kasih Wafa.
“Saya pergi dulu,” beritahu Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya kepada Datin Julaidah.
“Abang janji dengan saya ya, jangan nak buat tak tentu kepada Jess, kalau abang benar-benar sayangkan saya,” kata Datin Julaidah sambil menyambut huluran tangan suaminya. Air matanya berlinangan sewaktu mendongak melihat wajah Datuk Wahab.
“Awak tu isteri saya,” jawab Datuk Wahab bersahaja.
“Habis tu, Jess? Bukan ke dia anak kita?” tanya Datin Julaidah tidak puas hati. Berlainan sangat sikap suaminya kebelakangan ini.
“Sudahlah Jun, jangan merunsing tentang soal ini, ya? Abang nak pergi ni...” pujuk Datuk Wahab.
Malam semakin larut. Walau langit yang terbentang sudah dibungkusi warna hitam, suasana di kota raya masih terang-benderang bagaikan hari siang. Selesai menonton wayang, Jasmin dan Iskandar meneruskan agenda mereka untuk berhibur dengan mengunjungi pusat karaoke pula. Hampir 2.00 pagi barulah Jasmin pulang ke rumah.
“Bibik!” laungnya sebaik sahaja tubuh dihenyak ke sofa empuk. Tekaknya berasa haus benar. “Bibik, bawa jus oren!” pekiknya dari arah ruang tamu dengan suara serak. Tadi, di pusat karaoke dia puas melalak bagai melepaskan giannya yang memang gemar menyanyi.
“Bibik dah tidur!” Tiba-tiba menjengah suara mamanya.
Jasmin segera menoleh. Mamanya yang memakai kaftan warna biji kundang kelihatan serius airmukanya.
“Jess pergi ke mana ni? Dah pagi baru balik?” tanya Datin Julaidah dengan suara kuat.
Jasmin merenung ke arah mamanya. “Hai! Lain macam pula mama malam ni? Selalu tu, tak pernah tanya pun kalau Jess balik lewat,” jawab Jasmin. Tangannya menghalakan remote control ke arah televisen di hadapannya.
“Papa marah, Jess! Dia tak suka Jess membuang masa dan duit tak menentu,” beritahu Datin Julaidah.
“Bukan Jess yang keluar belanja. Is yang tanggung semua! Kenapa papa dan mama nak sibuk urusan peribadi Jess pulak?” sanggah Jasmin.
Tersentak Datin Julaidah. Memang betullah, Jasmin sudah melampau dan tidak sedar diuntung.
“Jess, kenapa cakap dengan mama macam ni?” tanya Datin Julaidah. Bulat matanya memandang Jasmin yang sedang berbaring di atas sofa sambil menyilangkan kakinya.
“Mama yang cari pasal! Tengah-tengah malam ni mama nak berleter dengan Jess pulak!  Mama kan dah tahu, Jess tak suka sesiapa pun kongkong hidup Jess,” balas Jasmin tanpa memandang ke wajah mamanya.
“Bukannya papa dan mama nak kongkong hidup Jess! Tapi, papa dan mama mahukan yang terbaik untuk Jess. Jadilah seorang  yang berguna dan berjaya. Boleh berdikari supaya masa depan Jess terjamin,” nasihat Datin Julaidah dengan lembut. “Sekarang ni... alhamdulillah kita hidup senang-lenang. Kalau tiba-tiba menjadi sebaliknya macam mana Jess nak menjalani kehidupan nanti? Kalau daripada sekarang Jess tak beringat,” sambung Datin Julaidah lagi.
“Apa yang Jess buat ni yang terbaiklah, ma! Apa yang menyusahkan mama? Tak lama lagi Jess akan kahwin dengan Iskandar. Papa dan mama tak payah nak tanggung hidup Jess lagi. Tanpa papa, Iskandar pun boleh beri Jess kemewahan,” balas Jasmin dengan bongkak.
“Jess!  Iskandar tu belum tentu lagi akan menjadi jodoh Jess, tahu tak? Papa bukan suka pada dia! Nenek Iskandar pun tak begitu berkenan kepada Jess, kan?” tanya  Datin Julaidah sambil membidas. Geram betul hatinya dengan sikap keras kepala anak gadis itu.
“Kalau papa menentang perhubungan Jess dan Iskandar, Jess akan tinggalkan rumah ni,” balas Jasmin cuba mengugut.
Jess, kalau Jess buat begitu, papa akan semakin marah!  Takut nanti papa takkan beri duit kepada Jess walau satu sen pun!” balas Datin Julaidah yang semakin naik angin.
Iskandar cinta pada Jess! Segala kemahuan Jess, dia akan turutkan nanti,” sambung Jasmin lagi. Dia begitu yakin dengan Iskandar. Bukankah lelaki itu selalu mengungkapkan cintanya yang tidak pernah berbelah bahagi?
“Jangan percaya sangat janji cinta lelaki ni! Sesetengah tu pergunakan ungkapan cinta untuk dapatkan keseronokan aje. Bukannya cinta sejati pun. Jangan esok-esok bila diri dah rosak binasa, cinta dan diri awak dicampak begitu aje!” tempelak Datin Julaidah melepaskan geram.
Lagipun Jess jangan lupa, Iskandar tak boleh buat keputusannya sendiri. Nenek dia yang kawal seluruh isi keluarga Datuk Jalal tu. Kalau dia tak bersetuju dengan perhubungan Jess dan cucunya, Iskandar atau mak dan ayahnya tak boleh buat apa-apa,” ungkap Datin Julaidah.
Lantaklah! Nanti Jess suruh Is ikut cakap Jess. Bukan ikut cakap nenek dia! Lagipun nenek tu dah tua. Entah esok lusa dah nak mati!” balas Jasmin tidak mahu mengalah.
Jess! Kenapa kurang ajar sangat ni?” Datin Julaidah terus meninggalkan Jasmin seorang diri di ruang tamu. Bimbang gunung kesabarannya akan berkecai. Nampaknya, Jasmin sudah tidak boleh dinasihati lagi. Dia akan hanyut dengan cintanya.

Tiada ulasan: