“Masuk Ray... jangan segan-segan,” pelawa
Datuk Wahab dengan nada mesra. Selepas solat isyak berjemaah tadi mereka
berbual dengan panjang lebar.
“Sebenarnya nama encik... errr... Datuk
sama macam ayah saya,” beritahu Ray perlahan. “Tapi, arwah bapa saya tak adalah
gelaran Datuk. Kami orang miskin,” sambung Ray lagi sambil menundukkan
wajahnya. Cuba membayangkan wajah ayah yang dirindui.
“Apa nak kisah Datuk atau tidaknya, Ray.
Masuk ke dalam kubur, malaikat Munkar Nakir takkan panggil kita dengan gelaran
tu,” tukas Datuk Wahab sambil ketawa. Kereta yang dipandu akhirnya berhenti di
sebuah gerai di tepi jalan. Sekali lagi Ray mengekori lelaki yang layak
dipanggil ayah itu menuju ke meja yang menjadi pilihannya.
“Sebenarnya begini Ray,” kata Datuk Wahab
sebaik sahaja duduk di bangku kayu di gerai itu. “Saya ingin membalas budi
Ray,” sambungnya.
“Budi?” tanya Ray agak terkejut. Budi apa
yang telah ditaburnya kepada lelaki itu?
“Ya, budi Ray yang telah menyelamatkan
anak saya,” terang Datuk Wahab. Harapan terangkum di dalam doanya.
“Secara kebetulan saya lalu di situ,
Datuk. Saya tidak berbuat apa-apa pun kecuali bertempik untuk menakutkan
perempuan yang mengejar anak Datuk tu,” cerita Ray. Dia juga tidak menduga yang
tempikannya itu menyebabkan perempuan itu menghentikan niat untuk menculik.
Agaknya dia disangka abang atau saudara-mara Eisha Safiya.
“Kalau tak ada Ray... tak tau apa yang
dah terjadi kepada Eisha,” ujar Datuk Wahab sambil mengeluh perlahan.
Ray hanya senyum.
“Dialah harapan saya untuk mewarisi harta
dan syarikat apabila saya dah tak ada lagi,” cerita Datuk Wahab tanpa
berselindung.
“Oh...” Hanya itu yang mampu diperkatakan
oleh Ray.
“Selepas peristiwa hari tu, saya risaukan
keselamatan anak dan isteri saya. Sangat risau, Ray.” Datuk Wahab memulakan
bicaranya sekali lagi.
“Saya tak boleh bermalam bersama mereka
setiap hari kerana Zarina itu isteri kedua saya,” terang Datuk Wahab. “Pernikahan saya dengan Zarina tidak diketahui oleh isteri
pertama saya,” ceritanya terus terang.
Ray diam. Timbul tanda tanya di benaknya,
mengapa lelaki itu begitu mudah menceritakan segalanya? Sedangkan mereka baru
sahaja berkenalan.
“Jadi, saya bercadang nak menggajikan Ray
menjaga mereka dan rumah tu sewaktu ketiadaan saya,” kata Datuk Wahab.
Ray tersentak. Bagaimana lelaki yang baru
dikenali begitu mempercayainya?
“Sekarang ni, Ray bekerja di mana?”
Belum sempat Ray membalas kata-katanya,
Datuk Wahab terus menyoal lagi. Tertarik benar hatinya untuk mengetahui latar
belakang pemuda itu.
“Saya bekerja di tempat parkir kereta,
Datuk! Baru beberapa minggu saya kerja di situ,” jawab Ray. “Sebelah malamnya,
saya membantu kawan saya menjual burger,” sambungnya.
“Maksudnya, datang dari kampung aje Ray
dah jadi penjaga parking?” tanya Datuk Wahab. Memang ramai pemuda-pemuda yang datang dari
kampung menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan mereka.
“Tak... err... sebelum tu, saya kerja di
tapak pembinaan. Kerja di situ pun tak lama juga. Disebabkan tubuh badan saya
yang kurus dan berambut panjang, saya dituduh penagih dadah pulak,” cerita Ray
tanpa berselindung. Bukannya untuk meraih simpati, namun dia ingin menduga
lelaki di hadapannya itu.
“Apa masalahnya kalau tubuh badan kurus,
asalkan kudratnya banyak,” balas Datuk Wahab bersahaja. Dia semakin tertarik
mendengar cerita daripada pemuda itu.
“Saya dituduh melukis peta untuk
memudahkan kawan-kawan penagih dadah datang mencuri barang-barang di tapak
pembinaan tu, lalu saya dipecat,” jelas Ray lagi sambil tersenyum sinis.
Dia terkenangkan lelaki yang bernama
Mukhriz. Lelaki yang mengaku dirinya sebagai bos syarikat Wafa Construction.
Datuk Wahab terus mendengar cerita Ray dengan teliti. Tertarik benar
hatinya mendengar intonasi suara Ray yang lembut sopan sewaktu bercerita.
“Begitulah ceritanya, Datuk,” kata Ray akhirnya. Menoktahkan segala
kisahnya.
“Astaghfirullahalazim,” kata Datuk Wahab. Dia menggeleng sesal. “Apa
yang Ray lukis?” tanyanya pula. Hatinya semakin terpanggil untuk mengetahui
cerita seterusnya daripada pemuda itu.
“Saya lukis pelan tapak projek tu dan semua yang bersangkutan dengan
hal ehwal bangunan yang sedang dibina...” jawab Ray sambil senyum malu.
“Oh ya?” kata Datuk Wahab sambil menjongketkan kedua keningnya.
“Semakin menarik cerita ni,” tambahnya lagi cuba bergurau. “Saya pernah
berangan nak jadi arkitek, Datuk,” jawab Ray malu-malu sambil ketawa. Janganlah
Datuk Wahab bertanya lagi tentang hal itu. Dia akan terlebih malu!
Angan-angannya yang terlalu tinggi.
“Saya minat sangat melihat bangunan yang cantik-cantik. Sebenarnya pada
hari saya bertembung dengan anak Datuk tu, tergerak pula hati saya hendak
memasuki kawasan perumahan tempat Datuk tinggal. Saya tengok rumah-rumah kat
situ reka bentuknya begitu eksklusif,” ujar Ray cuba berbalik kepada ceritanya
tadi.
“Kalau dah bercita-cita menjadi arkitek, mesti pandai melukis tu,”
komen Datuk Wahab. Wajah Ray yang sedang menunduk diamati dalam-dalam. Diukur
dari percakapannya, anak muda itu bukan sembarangan orang. Raut wajah dan sinar
matanya juga menunjukkan dia seorang yang bijak, berani. Wajah bujurnya yang
berkulit kuning langsat kelihatan bersih. Bulu matanya lentik. Rambutnya lurus.
Walaupun panjang, tetapi tersisir rapi. ‘Kacak tampan budak ni,’ puji Datuk
Wahab di dalam hati. Lebih kacak daripada Iskandar, teman lelaki anak gadisnya,
Jasmin.
“Alhamdulillah, bolehlah sikit-sikit, Datuk.” “Setuju Ray. Biarlah merendah diri. Kata orang, ikutlah resmi
padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Ray kerja kat mana dulu? Di bangunan mana? Siapa kontraktornya?”
Bertalu-talu pertanyaan Datuk Wahab.
Ray senyum. Mustahil dia melupakan tempat pertama dia bekerja. Tambahan
pula ada peristiwa yang menoreh hatinya.
“Nama syarikat yang membina bangunan tu, saya masih ingat, Datuk...”
jawab Ray perlahan. “Wa... Wafa...”
“Wafa Construction? Sedang bina bangunan 20 tingkat? Awana Mall, betul?” pintas Datuk Wahab.
Ray mengangguk.
“Wafa Construction tu anak syarikat Perkasa Holding,” beritahu Datuk
Wahab sejurus selepas itu. “Perkasa Holding tu milik saya,” jelasnya perlahan.
Bukan tujuan untuk berbangga diri atau menunjuk, namun itulah hakikat yang
sebenarnya.
“Jangan-jangan awak yang pernah saya lihat sewaktu melawat ke tapak
projek tu. Seorang anak muda yang asyik dengan buku catatannya. Saya nak pergi
mendapatkan awak, tiba-tiba ada orang lain pula memanggil saya,” cerita Datuk
Wahab bersungguh-sungguh. “Jika tak, dulu lagi kita dah berjumpa.”
Ray tersentak lantas mendongak melihat wajah Datuk Wahab. Teringat pula
cerita Jani kepadanya. Dia merenung Datuk Wahab sekali lagi. ‘Oh, jadi lelaki
inilah Datuk Wahab yang dikatakan oleh Abang Jani tempoh hari!’ getus hati Ray.
Setiap pertemuan telah ditentukan oleh Tuhan.
Kalau mereka bertemu dulu, tentu jalan ceritanya jadi lain pula.
“Siapa yang buat hal begitu kepada Ray? Tengoklah bangsa kita ni! Pada
bangsa sendiri pun nak buat aniaya. Prejudis. Rakyat asing tu mereka tatang,”
spontan Datuk Wahab berleter. Dia pasti Mukhriz yang bertindak begitu kepada Ray. Mukhriz memang
perengus.
“Tak apalah, Datuk,” jawab Ray. “Orang miskin dan merempat selalu
dipandang hina,” kata Ray seolah berbisik untuk dirinya sendiri.
“Miskin atau kaya hanya ukuran manusia, Ray. Seharusnya, orang kaya
menghormati orang yang kurang kaya daripada dirinya dan membantu supaya orang
itu menjadi kaya sama sepertinya jugak,” kata Datuk Wahab meluahkan
pandangannya.
“Rasulullah tak pernah ajar umatnya meninggi diri,” komen Datuk Wahab.
“Tambahan pula kalau dari satu akar bangsa. Kena saling menolong. Tolong
melonjakkan supaya yang sedang naik ke atas terus naik. Cuba tengok bangsa Cina
tu, sebab itu ekonomi negara kita dalam tangan mereka.” Ungkapan Datuk Wahab
terhenti seketika.
Ray diam. Jika semua orang kaya berfikiran dan berpandangan seperti
lelaki di hadapannya itu, semakin meningkatlah ekonomi dan taraf hidup umat
Islam di seluruh dunia.
“Zaman ni susah nak cari orang yang berfikiran macam Datuk. Yang kerap
terjadi, sesama Melayu saling memijak untuk naik ke atas atau menarik dari
bawah supaya yang sedang naik jatuh ke bawah,” balas Ray. Meremang pula bulu
romanya pada saat itu apabila lelaki di hadapannya menimbulkan persoalan sikap
bangsa mereka.
“Memang betul, Ray,” setuju Datuk Wahab. “Dulu saya pun orang susah.
Lulus LCE saja. Lepas tu, kena berhenti sekolah sebab keluarga miskin,”
sambungnya dengan suara perlahan. Kesusahan yang membelenggu diri menyebabkan
dia dihina. Isteri yang baru dinikahi terpaksa ditinggalkan. Berpisah
selamanya.
“Berbalik kepada tawaran saya tadi,” kata Datuk Wahab cepat-cepat.
Emosi Ray yang tercalar jangan menjalar
terus. Emosi dia pun sedang tergores juga. Jika dibiarkan calaran di hati Ray
semakin melebar. Gurisan di hatinya pula semakin dalam.
“Ray ada lesen memandu?” tanyanya.
Ray menggeleng. Dulu, kerap juga dia memandu kereta Abang Ba untuk
membeli barang di pasar pada subuh hari.
“Boleh memandu tak?” soal Datuk
Wahab lagi. Biasanya anak-anak muda sekarang ada kemahiran memandu walaupun
belum ada lesen.
“Boleh, Datuk,” jawab Ray jujur. Sewaktu berada di tingkatan 5 lagi,
dia sudah boleh memandu kereta. “Tapi, saya tak ada lesen lagi!” jelasnya.
“Bagus! Esok, pergi daftar ke kelas memandu untuk jalani ujian memandu,” suruh Datuk Wahab.
“Atau kalau boleh terus pergi ke JPJ,” sarannya pula. Matanya terus menyorot ke
wajah anak muda itu.
“Di samping tolong menjaga rumah dan anak isteri saya, Ray juga akan
jadi pemandu mereka,” jelas Datuk Wahab tenang.
“Tapi...” Ray cuba menolak. Kemesraan dan kebaikan yang dihulurkan oleh
lelaki itu membuatkan dia rasa takut. Maklumlah, hidup di kota. Nilai kejujuran
dan keikhlasan terlalu sukar dicari.
“Ray tak sudi nak kerja dengan saya ke?” tanya Datuk Wahab. Dia cuba
sedaya upaya untuk membantu pemuda itu. Jika yang empunya diri pula menolak,
dia tiada daya untuk terus memaksa.
“Bukan begitu, Datuk! Saya dah janji dengan abang yang ambil saya
bekerja di tempat parkir tu,” beritahu Ray lambat-lambat. Walaupun Mat Ali baru
dikenalinya, tetapi meninggalkannya begitu sahaja tanpa alasan dan tanpa
pesanan memang tidak wajar.
“Saya tak mahu jadi kacang, Datuk,” jelas Ray jujur.
Datuk Wahab senyum kepadanya apabila mendengar kata-kata itu.
“Bagus, Ray.” Bahu Ray ditepuk perlahan. “Anak muda yang bersikap
beginilah saya suka,” pujinya mesra. “Pagi esok Ray pergilah berbincang
dengannya. Bila Ray dah bersedia datanglah berjumpa dengan saya di pejabat,”
tukas Datuk Wahab dengan ramah. Dia mengeluarkan buku catatan kecil daripada
beg kecil yang sentiasa dibawanya.
Ray senyum kerana secara kebetulan tabiat mereka serupa pula. Dia juga
sering membawa buku kecil ke mana-mana.
“Boleh saya minta kad pengenalan Ray?” duga Datuk Wahab. “Saya nak
salin butiran Ray dan beri kepada kerani di Perkasa Holding,” dalih Datuk
Wahab. “Walaupun Ray bertugas di rumah isteri kedua saya, nama Ray akan saya
rekodkan di Perkasa Holding...” jelasnya supaya Ray tidak mencurigainya.
“Insya-ALLAH. Tak ada masalah, Datuk,” jawab Ray terus mengeluarkan kad
pengenalan dari dompetnya yang lusuh.
Berderau darah Datuk Wahab sebaik sahaja membaca nama lengkap Ray.
Ahmad Raiyan Wafa. Nama bapanya pula sama dengan nama dia. Abdul Wahab.
Terketar tangannya sewaktu memegang kad pengenalan anak muda itu. Agak lama
Datuk Wahab berdiam, cuba menenangkan hati yang tiba-tiba berkocakan.
Bergelora. Tulisan pada kad pengenalan Ray dibaca berkali-kali. Saat ekor
matanya merenung anak muda itu lama-lama, ribuan duri halus seolah-olah sedang
mencucuk-cucuk ulu hatinya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan