Bau harum pisang yang sedang digoreng
menusuk ke hidung Ray, sebaik sahaja dia turun dari bas. Bibirnya tersenyum
lebar. Dari jauh lagi, dia nampak emak dan adiknya Dania sedang sibuk melayani
pelanggan yang membeli pisang goreng mereka.
Ray melangkah perlahan menuju ke arah
gerai. Dia pasti emak dan Dania, tidak menyedari kepulangannya. Mungkin mereka
tidak begitu cam kepadanya lagi. Inilah kali pertama dia balik ke kampung
sebaik sahaja kakinya melangkah meninggalkan rumah. Sudah hampir empat bulan.
“Assalamualaikum.” Garau suara Ray
menyapa. Cuaca yang panas terik sewaktu bekerja di tapak parkir menuntut dia
menggunakan cermin mata hitam untuk mengelakkan matanya daripada silau
matahari. Ray pura-pura meletakkan akbar tabloid di atas hidungnya.
Menyembunyikan sebahagian wajah supaya penyamarannya menjadi. Dapatlah dia mengusik
emak dan adiknya itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Dania sambil
menoleh sekilas.
“Nak pisang goreng dua ringgit,” kata Ray
lagi sambil menahan tawa. ‘Nampaknya, aku ada bakat terpendam dalam bidang
lakonan,’ desis hatinya.
Dania memasukkan kepingan pisang goreng
ke dalam beg plastik dan menghulurkannya kepada Ray.
“Eh, tak jadilah. Tak nak pisang goreng.
Nak kuih ketayaplah,” kata Ray sambil merenung ke arah emaknya pula. Emaknya
sedang membelakangkan mereka.
“Terima kasih. Manisnya adik ni,” usik Ray
kepada Dania yang sedang menghulurkan kuih ketayap kepadanya. Dania buat tidak
tahu.
“Laksa ada? Air batu campur?” tanya Ray
sambil merenung ke wajah Dania dari sebalik kaca mata hitamnya. Dania merenung
kembali kepadanya sambil memegang plastik yang terisi kuih ketayap kuat-kuat.
“Awak tak nampak ke?” tanya Dania sambil
menudingkan jarinya kepada manila kad yang tertampal di kereta tolak tempat
emaknya berjualan. “P. I. S. A. N. G G.
O. R. E. N. G dan kuih-muih!” marah Dania langsung mengeja perkataan yang
terpapar.
“Nak beli laksa dan ABC pulak!”
rungutnya. Bulat matanya merenung kepada pemuda yang cuba bermain-main
dengannya.
Ray terus melambakkan tawanya sambil
membuka cermin mata yang dipakai dan mengangkat akhbar yang menudungi separuh
mukanya.
“Abang Ray! Hisy... mengada-ngada betul!
Orang dah perasanlah dari tadi!” pekik Dania terus menerpa Ray dan bersalam
dengan abangnya itu. Tidak tertahan hatinya, Dania terus menangis. “Janji nak
balik sebulan sekali!” bentak Dania. Lengan Ray dicubit bertalu-talu.
“Aduh, hisy... Sakitlah! Mak... tengok
Dania ni!” adu Ray macam budak-budak. Sengaja hendak menyakitkan hati Dania
yang sedang bengkak menahan geram.
“Itulah, Ray! Nasib baik emak yang sedang
goreng pisang ni! Kalau Dania yang goreng...” sahut Fazidatul sambil merenung
Ray dengan pandangan sayang.
“Kalau Dania yang goreng, Dania potong
cuping telinga Abang Ray, gorengkan sekali,” sampuk Dania. Beberapa kali dia
menampar manja lengan abangnya itu. Dari awal lagi, dia sudah meneka memang Ray
yang sedang menyamar hendak mengusik dia dan emaknya.
“Kalau dah begitu jadi makhluk asinglah
abang. Tak ada cuping telinga lagi...,” balas Ray terus mengelak tamparan
Dania. “Emak apa khabar?” tanya Ray terus bersalam dan mengucup tangan emaknya
sebaik sahaja emaknya selesai membasuh tangan.
“Alhamdulillah! Kami semua dah rindu pada
Ray,” beritahu Fazidatul dengan nada sebak. Dia memeluk Ray seketika sambil
mengesat air mata yang tertumpah.
“Minta maaf, mak. Baru hari ni Ray dapat
balik,” jelas Ray. Dia perlu berjimat cermat. Lebih baik dia mengirimkan duit
kepada emaknya seratus dua untuk menampung perbelanjaan adik-adik yang sedang
bersekolah daripada menggunakan wang itu untuk tambang dan belanjanya dalam
perjalanan balik ke kampung.
“Ray, pergi balik ke rumah dulu, nak...”
suruh Fazidatul sambil mengintai pisang yang sudah siap digoreng. “Pisang goreng ni sekejap lagi habislah,” sambung Fazidatul
lagi.
“Alah, jomlah balik! Pisang goreng tu
bawak baliklah.Boleh kita makan sama-sama. Ray pun dah lama tak makan pisang
goreng yang emak buat,” pujuk Ray. Kerinduannya yang menyarat terubat sejenak.
Rasa tidak sabar pula untuk bercerita dengan mereka tentang pengalaman yang
ditempuhinya selama hidup di rantau orang.
“Yalah, emak! Kita baliklah,” ajak Dania
pula. Dia pun segera mengemaskan bekas-bekas plastik yang sudah kosong dan
memasukkannya ke dalam raga. “Hah! Yang ini abang bawak balik dulu! Sampai ke
rumah tolong jerang air panas,” arah Dania.
“Yalah, sayang! Abang pun dah rindu nak
minum kopi O yang Dania bancuhkan,” jawab Ray sambil tersengih. Raga yang
dihulurkan Dania segera disambutnya.
“Sayang konon! Werkk!” bidas Dania sambil
ketawa. Hatinya mengembang lapang. Matanya sempat merenung Ray yang sedang
menjeling sayang kepadanya. Entah mengapa, perasaannya terasa indah. Berbunga
cantik.
“Apa
pendapat mak?” tanya Ray. Wajah emaknya ditatap.
“Terserahlah
kepada Ray. Tapi kalau nak duduk sekali dengan isteri nombor dua Datuk tu, emak
rasa kurang manis pulak,” jawab Fazidatul.
“Ray
pun rasa begitu, mak. Lagipun Ray tertanya-tanya juga, kenapa Datuk beria-ia
sangat pelawa Ray duduk di rumah Mak Cik Zarina tu! Isterinya muda lagi, mak.
Macam awal 30-an aje. Ray rasa segan,” terang Ray. “Dahlah cantik,” ceritanya.
“Alah,
abang ni nak menolak tuah pulak. Takkanlah Datuk tu nak suruh abang duduk dalam
rumah dia dengan isterinya. Silap hari bulan kena cekup dengan pegawai pencegah
maksiat. Mestilah Datuk tu dah sediakan abang bilik di luar yang berasingan
dengan rumah isteri dia. Nama pun abang nak jadi drebar dan jaga rumah tu,
kan?” sampuk Dania yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya.
“Sokong!”
sahut Iwan dari jauh. Dia juga sedang meniarap di atas lantai membuat kerja
sekolah yang diberi oleh guru Bahasa Malaysia siang tadi.
“Kalau
Iwan jadi abang, Iwan tak lepaskan peluang ni. Jadi drebar! Wah, mesti Datuk
sediakan abang sebuah kereta untuk angkut anak tunggalnya tu ke sekolah. Kalau
nak beli kereta sendiri mesti abang tak mampu lagi, kan?” kata Iwan.
Fazidatul
dan Ray memandang sesama sendiri.
“Pandai
aje kamu dua beradik ni,” bidas Fazidatul.
“Lama-lama
nanti Abang Ray beli kereta jugak,” sampuk Ray dengan suara kuat. Bukannya dia
tidak bersetuju dengan pendapat adik-adiknya itu, namun sehingga hari itu dia
belum dapat meneka nilai kejujuran dan keikhlasan yang ada di hati Datuk Wahab.
“Kalau
Abang Ray kerja dengan Datuk tu, tentu tak payah tunggu lama-lama lagi,” giat
Iwan. “Tak sampai tiga hari abang dah boleh bawa kereta ke sana dan ke sini,”
sambungnya.
“Yalah
abang, buat apa abang nak lepaskan peluang baik ni? Orang kata musuh jangan
dicari, rezeki jangan ditolak,” nasihat Dania.
“Abang
tak sukalah nak menempek pada kesenangan dan kekayaan orang,” bantah Ray. Atas
sebab itulah dia berat hati hendak menerima tawaran daripada lelaki itu. Dia
lebih rela bekerja di tengah panas, asalkan maruahnya tidak diinjak-injak oleh
sesiapa pun.
“Itu bukannya menumpang kesenangan
orang!” tukas Dania kuat. “Datuk tu nak ambil abang sebagai pekerja dia,
kewajipannya menjaga kebajikan abang. Betullah kata Iwan tu... abang nak jadi
drebar, mestilah Datuk sediakan sebuah kereta untuk abang jalankan tugas abang,
kan?” soal Dania.
“Dua orang dah sokong!” sahut
Iwan. “Mana tahu, TUHAN dah tetapkan rezeki abang daripada Datuk yang kaya-raya
tu..” kata-kata Dania terlalu bersahaja.
Ray terdiam. Pandangan matanya
terjurus kepada emaknya pula. “Macam mana ni, mak?” tanya Ray mengharapkan
pandangan emaknya lagi.
Fazidatul segera tersenyum.
“Terserahlah kepada, Ray. Emak tak paksa, tak juga menghalang. Kalau Ray fikir
baik terima tawaran kerja tu, baiklah pada emak juga. Begitulah sebaliknya,”
jawab Fazidatul tenang.
“Okey, kalau begitu abang setuju
dengan pendapat Iwan dan Dania!” kata Ray sambil menumbuk bahu Iwan yang
bersila dekat dengannya. “Tapi pendapat emak pun abang setuju jugak!” kata-kata
Ray terhenti seketika. “Kalau Datuk sediakan bilik yang berasingan seperti yang
Iwan bayangkan itu, abang akan duduk di sana,” ujar Ray sambil menghela
nafasnya perlahan.
“Kalau tak, abang akan berterus
terang dengan Datuk, yang abang berat hati untuk menerima tawaran kerja itu,
kerana bimbangkan fitnah orang,” sambung Ray lagi.
“Betul tu, Ray. Kalau begitu, emak
setuju sangat. Lebih baik Ray berterus terang kepadanya,” kata Fazidatul.
Teringin pula hatinya untuk bertanya lebih lanjut tentang Datuk yang dikatakan
oleh Ray. Hatinya tiba-tiba meresah. “Tapi, kalau Ray terima tawaran Datuk tu,
jagalah diri elok-elok, nak. Jaga amanahnya. Kerja dengan jujur,” nasihat
Fazidatul.
“Jangan lupakan Dania,” sampuk
Dania. Sejak dari tadi, dia memasang telinga mendengar perbualan emak dan
abangnya. Pandangan matanya juga tidak lepas asyik berpaut pada wajah Ray,
namun rasa rindunya masih tak hilang juga.
“Eleh, asyik nak ingat akak aje!
Iwan ni?” tanya Iwan merajuk.
“Takkanlah abang nak lupa
adik-adik abang! Apalah kau orang ni! Kalau kehidupan abang dah selesa nanti,
abang bawa emak, Dania dan Iwan pindah ke sana,” janji Ray sambil berangan.
“Kalau abang dah jadi jutawan macam Datuk,” seloroh Ray sambil menyeringai.
“Alah, berangan tak sudah-sudah,”
koyok Dania sambil ketawa, sengaja hendak mengenakan Ray. Sudah lama mereka
tidak bergurau senda. Hatinya sudah terlalu rindu.
“Eh! Eh! Jangan pandang abang
sebelah mata tau tak?” balas Ray sambil mencubit pipi Dania yang licin gebu.
“Dania... Ray! Jangan bergurau
begitu,” tegur Fazidatul sambil ketawa. Cuak melihat kemesraan Ray dan Dania
itu.
“Alah, dah lama tak jumpa, mak...”
jawab Ray. “Rinduuu...” tambahnya lagi sambil mencubit kedua belah pipi Dania
sekali lagi.
Fazidatul diam. Matanya memerhati
Dania yang sedang mengacah untuk mencekik leher Ray.
“Dania, tolong bancuh teh O untuk mak dan
abang,” suruhnya cepat-cepat. Melihat kemesraan Ray dan Dania hatinya semakin
bimbang pula.
“Cukup-cukuplah tu, Ray... Dania!”
tegurnya pura-pura marah.
“Abang Ray ni, mak. Suka sakat
Dania,” adu Dania. Satu tamparan kuat hinggap pula pada lengan Ray.
Setelah itu, dia segera beredar
dari situ menuju ke dapur. Walau hati tidak ingin berjauhan dengan abang yang
dirindu, suruhan emaknya tidak boleh dibantah.
“Ray! Nanti kalau ada peluang, Ray
sambung belajar balik, ya...” kata Fazidatul sebaik sahaja Dania meninggalkan
mereka. Iwan entah ke mana perginya. Jangan-jangan sudah berdengkur.
“Insya-ALLAH, mak. Kan Ray dah
janji dengan emak. Dah janji dengan diri Ray sendiri. Cita-cita Ray, tak pernah
Ray lupakan, mak,” jawab Ray perlahan. Jasa ibu yang telah membesarkannya
dengan kasih sayang pasti akan dibalas. Sekali lagi Ray memikirkan tentang
tawaran kerja daripada Datuk Wahab. Mungkinkah itu suratan takdirnya? Keserabutan fikirannya dilerai satu-satu.
Dapatkan novel ini di pasaran atau beli on line di http://mall.karangkraf.com

Tiada ulasan:
Catat Ulasan