Jumaat, 11 Julai 2014

Sapu Tangan Biru (Bab 21)






Jasmin mencapai skirt berwarna coklat tua dari dalam almari bajunya. Lantas skirt yang panjangnya hanya di atas paras lutut itu segera dipakai. Dia berpusing-pusing di hadapan cermin besar yang melekat pada dinding bilik tidurnya.
Dia tersenyum. Berpuas hati dengan penampilan diri sendiri. Rasa bangga berkembang mekar. ‘Wajahku memang jelita!’ pujinya sendiri.
Sekali lagi dia menayang diri di hadapan cermin.
“Hah... dah cantik dah! Anak mama nak pergi ke mana hari ni?” tanya Datin Julaidah yang tiba-tiba muncul di dalam bilik tidur anak gadisnya.
“Selamat pagi, mama!” sapa Jasmin dengan riang. Dia terus memusingkan tubuh di hadapan mamanya.
“Nak pergi temu duga ke?” tebak Datin Julaidah sambil membetulkan pakaian anak gadis itu. Jasmin tergelak.
“Temuduga apa, mama? Jess tak pernah mohon kerja pun,” sanggah Jasmin di dalam tawanya. Papa sendiri ada syarikat besar takkan hendak melamar pekerjaan di tempat lain pula. Perkasa Holding dan semua anak syarikat bakal menjadi miliknya suatu hari nanti. Apa perlunya dia bersusah payah mencari atau bekerja di tempat lain?
“Manalah tahu, kalau-kalau Iskandar suruh Jess menghadiri temu duga terbuka,” balas Datin Julaidah.
“Takkanlah anak Datuk Wahab hendak menghadiri temu duga terbuka,” tukas Jasmin. Jatuhlah imejnya sebagai anak gadis Datuk Wahab jika dia bekerja di tempat lain. Tambah-tambah kalau syarikat itu lebih kecil daripada Perkasa Holding. “Jess nak ke Perkasa Holding! Saja nak jenguk papa,”  terangnya setelah agak lama mamanya menunggu.
“Eloklah tu, Jess,” setuju Datin Julaidah. Dia membantu Jasmin menyisir rambutnya yang berombak. “Dari sekarang Jess kena belajar macam mana nak uruskan perniagaan papa. Belajarlah pelan-pelan,” nasihat Datin Julaidah lembut.
“Menguruskan perniagaan papa? Takkan macam tu, mama. Perkasa Holding dan anak-anak syarikatnya bukan ke akan menjadi milik Jess?” tanya Jasmin. Sebagai anak tunggal Datuk Wahab, dialah pewaris segala harta benda milik papa dan mamanya apabila mereka telah meninggal dunia nanti. Sejak kecil lagi dia telah memprogramkan di dalam mindanya tentang hal itu.
“Bukan ke sepatutnya Jess hanya arah orang buatkan kerja untuk Jess dan bayar gaji mereka?” tanyanya dengan ekspresi angkuh.
“Kalau dah Jess tak tahu kerja-kerja pengurusan, macam mana Jess nak memberi arahan kepada orang lain?” soal Datin Julaidah pula.
“Betul juga tu, mama. Jess tak terfikir pulak. Tapi...” bicara Jasmin terhenti seketika. “Tapi, buat apa Jess nak peningkan kepala fikirkan semua hal syarikat tu sekarang. Papa masih ada, kan? Dia pun bukannya hendak mati lagi,” sambungnya dengan wajah tanpa emosi.
“Tengok tu, Jess ni kalau bercakap tu fikir-fikirlah sikit,” nasihat Datin Julaidah.
Jasmin hanya tergelak. Langsung tidak terkesan nasihat mamanya.
“Mama, Is kata bila Jess dah kahwin dengan dia, dia nak cantumkan Megah Enterprise dengan Perkasa Holding,” beritahu Jasmin.
“Apa? Belum apa-apa lagi dah ada cadangan besar, ya?” kata Datin Julaidah sambil ketawa. Mustahil suaminya akan membiarkan perkara ini terjadi.
“Mestilah mama! Papa jugak yang desak-desak Jess kerja, kan? Kalau bukan Is yang jadi bosnya, Jess tak mahu kerja,” balas Jasmin dengan suara mengada-ngada.
“Takkan Jess nak menghadap muka Iskandar 24 jam. Di rumah tengok muka dia. Di pejabat nak renung dia jugak.Tak bosan?” tanya Datin Julaidah cuba menduga. Betulkah Iskandar hendak berkahwin dengan Jasmin?
“Takkanlah kita nak bosan dengan lelaki yang kita cinta, mama. Macam mama dan papa jugak. Tak pernah rasa bosan, kan?” tanya Jasmin kembali.
“Yalah. Mana-manalah, Jess.  Bersiaplah.  Mama pun nak keluar ni,” ujar Datin Julaidah yang malas hendak melayan perbualan Jasmin lebih lama lagi.
Pukul 10.00 pagi, Ray sudah terpacak di hadapan bangunan Perkasa Holding. Matanya merenung bangunan setinggi 12 tingkat itu dengan rasa kagum. Paluan debaran di dadanya semakin kencang. Keresahan di hatinya membelit. Ray merenung dirinya melalui biasan cermin di dinding pintu masuk ke ruang pertanyaan di aras tanah. Rambutnya yang terurai ditiup angin sewaktu menaiki bas tadi, dirapikan dengan jari-jemarinya.
Sekali lagi Ray melihat kad niaga yang telah diberikan oleh Datuk Wahab kepadanya. Sudah dua bulan, dia tidak bertemu dengan lelaki itu. Harap-harap lelaki itu masih mengenalinya. Yang paling penting, dia tidak lupa pada janji dan tawaran kerja yang telah diberikan kepadanya dulu.
Butang nombor 7 ditekan sebaik sahaja memasuki lif. Hanya ada enam orang penumpang. Seorang gadis menjerit dan cuba memasuki lif sebaik pintu lif hampir tertutup.
“Eh... tunggu!” pekiknya. Salah seorang yang di dalam lif menekan butang untuk membuka pintu semula.
Ray hanya mendiamkan diri dan tersandar di tepi dinding. Seorang gadis berskirt coklat tua dan berblaus beige lembut tidak berlengan menerobos masuk.
“Thank you,” ucap gadis itu sambil tersenyum entah kepada siapa.
Button number seven, please...” katanya sambil merenung Ray yang tersandar berhampiran butang yang ingin dicapainya.
Ray buat-buat tak tahu. “Button number seven,” ulang gadis itu lagi. Sekali lagi matanya tertala ke arah Ray.
“Sudah,” jawab Ray sepatah sempat merenung wajah gadis itu sekilas. Setelah itu, dia memejamkan matanya perlahan. Nafasnya tiba-tiba melaju. Wajah gadis itu masih dicamnya lagi. Jasmin. Teringat pula sulaman nama pada sehelai sapu tangan sutera berwarna biru muda yang masih disimpannya. Ray menundukkan wajahnya memandang hujung kasut.
Tidak semena-mena hatinya dikuasai oleh perasaan marah dan bengang. Telinganya terpiang-piang kata-kata makian gadis bernama Jasmin. Walau peristiwa itu sudah berbulan berlalu, tidak sedikit dia melupakan.
“Assalamualaikum, saya nak berjumpa dengan Datuk Wahab, boleh?” tanya Ray di kaunter menyambut tetamu. Gadis manis berlesung pipit senyum padanya. Natasha. Ray sempat membaca tag nama yang tersemat di dada kiri gadis itu.
“Saya Ray...” beritahu Ray memperkenalkan dirinya.
“Encik ni, Encik Ray? Betul?” tanya gadis itu pula untuk kepastian.
Ray mengangguk.
“Dah banyak minggu Datuk menunggu kedatangan, encik,” beritahu Natasha. Senyumannya semakin melebar. Setiap pagi Datuk Wahab berpesan kepadanya, jika ada seorang pemuda bernama Ray datang, hantar ke biliknya dengan segera.
“Silakan,” sambungnya lagi sambil menyuruh Ray mengikutnya.
Ray akur. Dia menapak perlahan mengekori lenggang gadis itu. Mereka melalui sebuah ruang yang menempatkan kakitangan Perkasa Holding Sdn. Bhd.
Abdul Wahab bin Talib- PENGARAH URUSAN
Nama yang terpapar di pintu kayu tebal itu begitu jelas di pandangan mata Ray. Gadis penyambut tetamu tadi mengetuk pintu beberapa kali dan setelah itu menolak perlahan daun pintu itu.
“Silakan, Encik Ray,” katanya sambil mempersilakan Ray masuk ke dalam bilik. Setelah itu, dia meninggalkan Ray untuk meneruskan kerjanya di bahagian hadapan.
“Assalamualaikum,” sapa Ray kepada Datuk Wahab yang sedang tekun bekerja. Wajah lelaki itu sedang menunduk menatap dokumen di dalam fail di atas meja.
“Waalaikumussalam,” jawab Datuk Wahab sambil mengangkat mukanya. Serta-merta senyumannya melebar.
“Ray...” sapanya gembira. Pantas dia bangun dari kerusi dan menghampiri Ray di muka pintu.
Tangan yang dihulurkan disambut oleh Ray. Tanpa sedar dia mengucup tangan lelaki itu.
 Datuk Wahab terkesima.
“Apa khabar, Datuk?” tanya Ray setelah menegakkan badannya semula. Senyuman di bibirnya tidak memudar.
“Alhamdulillah. Syukur, dapat kita bertemu kembali. Saya ingat Ray dah lupa,” jawab Datuk Wahab sambil mempelawa Ray duduk di sofa. Wajah Ray dipandang lama. Ray nampak lebih segak dan bergaya dengan gaya rambut pendek dan tubuh yang sedikit berisi. Meskipun pakaian yang menyaluti tubuhnya bukan berjenama, dia nampak kacak dan begitu berkeyakinan. Hampir dia tidak mengenali pemuda itu tadi.
“Insya-ALLAH, saya tak lupa, Datuk! Hanya saya mengambil masa untuk berfikir dan menduduki ujian memandu seperti yang Datuk suruh. Saya sempat balik kampung untuk bertanya pendapat emak saya, Datuk,” beritahu Ray jujur. Sempat dia menyebak anak rambutnya yang terjurai di dahi.
Datuk Wahab senyum. Kenyataan yang baru didengar daripada bibir anak muda itu membuatkan dia terharu. Ray mempamerkan sikap yang begitu menghargai ibunya. Menghormati wanita yang  melahirkannya.
“Oh ya! Emak dan adik-adik Ray sihat?” tanya Datuk Wahab. Sekali lagi ulu hatinya rasa tergigit. Macam-macam perkara yang mendatangi fikirannya sejak dia berkenalan dengan anak muda itu.
 “Alhamdulillah, emak saya seorang yang kuat semangat. Sebenarnya, dia tak begitu sihat juga,” cerita Ray ringkas.
“Adik-adik?”
“Alhamdulillah, adik-adik saya sihat, Datuk.”
“Hari ni, Ray boleh mula bekerja di rumah err... Auntie Zarina, ya?” Datuk Wahab menggaru kepala memikirkan ganti nama yang harus digunakan oleh Ray kepada isteri keduanya itu.
“Insya-ALLAH,” kata Ray tenang. “Sebenarnya apa tugas saya, Datuk?” tanya Ray terus terang.
“Setiap hari Ray tolong ambil dan hantar Eisha ke sekolah. Sebelah petang, dia ada belajar agama dan mengaji quran. Ambil dan hantar ke mana saja mereka nak pergi. Maksud saya, isteri dan anak saya itulah. Zarina tu tak berapa cekap bawa kereta,” jelas Datuk Wahab.
“Itu saja, Datuk? Banyak masa saya yang berbaki lagi nanti,” kata Ray. Dia memang tidak suka membazir masa.
“Kalau begitu mungkin Ray akan jadi drebar saya juga, jika saya memerlukan,” beritahu Datuk Wahab sambil senyum. “Tak cukup lagi?” tanyanya kepada Ray, cuba untuk bergurau. Deringan telefon di atas meja mengganggu perbualan mereka. Datuk Wahab menjawab panggilan itu.
“Jess nak jumpa dengan Datuk. ” Lembut suara Natasha memberitahu.
Air muka Datuk Wahab berubah serius. “Beritahu dia saya ada mesyuarat! Ada apa-apa hal, bincang di rumah!” tegas Datuk Wahab. Pelik dengan perangai anak gadisnya itu yang tiba-tiba sahaja datang ke pejabatnya.
“Saya dah beritahu dia, Datuk ada tetamu. Tapi, dia nak jumpa dengan Datuk sekarang juga,” bisik Natasha.
“Halang dia, Natasha. Tunggu tetamu saya keluar dulu, baru dia boleh masuk! Kalau dia tak sabar, suruh dia balik,” tegas Datuk Wahab. “Nak buat apa dia datang sini?” tanya Datuk Wahab mulai naik angin.
“Baik, Datuk... ” jawab Natasha. Gagang telefon diletaknya sambil merenung ke arah Jasmin yang sedang duduk di sofa tidak jauh dari situ. Muka Jasmin mencuka.
“Maaf, Ray... terganggu pula perbualan kita,” beritahu Datuk Wahab sebaik gagang telefon diletakkan.
“Anak gadis saya...” beritahu Datuk Wahab. Pantas tangannya mencapai bingkai gambar di atas almari yang berhampiran. Dia menunjukkan gambar anak perempuannya kepada Ray.
Ray terkesima. Bukankah gadis itu yang pernah menghinanya beberapa bulan yang lalu? Tadi mereka bertembung di dalam lif. Mungkin itu gadis yang sama atau pelanduk dua serupa?  Tasik hati yang tiba-tiba bergelora cuba ditenangkan. Mengikut nama yang terjahit pada sapu tangan tempoh hari, nama gadis sombong itu Jasmin. Dia pasti kerana sapu tangan itu masih disimpannya. 
“Berbalik kepada perbualan kita tadi. Boleh Ray mula bertugas hari ni?” tanya Datuk Wahab.
“Mak Cik Zarina setuju ke dengan cadangan Datuk ni? Bagaimana dengan Eisha?” soal Ray ragu-ragu cuba menyisihkan bayangan gadis itu daripada kenangannya. Lagipun lelaki itu tidak menyebut nama anak gadisnya.
“Dah! Dia dah tahu, Ray. Sekejap lagi, saya telefon dia dan bagitau, Ray akan mula bekerja hari ni...” jawab Datuk Wahab dengan mesra.
“Datuk... tak apa ke saya tinggal di rumah isteri Datuk tu?” soal Ray. Suaranya cuba ditenangkan.
“Apa salahnya? Saya yang suruh. Lagipun bukannya Ray tinggal di dalam rumah bersama dengan dia. Saya ada sebuah bilik kosong di luar rumah. Asalnya bilik itu disediakan untuk tukang kebun. Sekarang ni, bilik tu kosong sebab isteri saya tak mahu ada tukang kebun. Semua kerja di dalam rumah atau di luar rumah, dia nak lakukan sendiri,” cerita Datuk Wahab tentang sikap isteri keduanya.
Ray mengangguk tanda faham. Lega hatinya. Benarlah tekaan adiknya, Iwan. “InsyaALLAH, saya akan cari seorang pembantu rumah untuk Zarina nanti. Untuk temani dia. Taklah Ray dan dia saja di rumah tu. Eisha tu masih kecil lagi!  Takut terjadi fitnah,” ujar Datuk Wahab.
Hati Ray semakin menguak lapang.
“Hmm... beginilah, Ray...” katanya lagi. “Ray pergi ambil kain baju dan terus pergi ke rumah Zarina... hari ni juga!”
“Baiklah,” setuju Ray. Dia menghulurkan tangannya kepada lelaki itu sebelum beredar. Baru sahaja Ray sampai ke pintu, daun pintu tertolak dari arah luar.
“Papa,” jerit seorang gadis yang tiba-tiba meluru masuk ke dalam bilik Datuk Wahab. Nyaris Ray tidak dirempuhnya. Sakit telinga Ray mendengar suara yang mengada-ngada itu. Perasaan geramnya terus menyemarak. Sekilas pandang dia tahu, gadis itu ialah  Jasmin. Gadis yang ditemuinya di dalam lif tadi. Gadis yang pernah menghinanya suatu waktu dulu.
“Siapa budak haprak tu, papa?”
Telinga Ray sempat mendengar pertanyaan Jasmin. Soalan yang sudah tentu tertuju kepadanya. Hatinya bagai dirobek. Ray terasa hendak berpatah balik dan mencubit-cubit bibir yang celopar dan biadap itu. ‘Sabar Ray!’ pujuknya kepada diri sendiri. Cepat-cepat kakinya diayun, meninggalkan ruangan itu menuju ke lif.
“Kenapa Jess biadap sangat ni?” tanya Datuk Wahab sebaik daun pintu tertutup. Jasmin berlenggang merapatinya.
“Dah memang dia budak haprak, kan? Tengoklah pakaian dia. Langsung tak ada branded. Low class!” Jasmin terus menghina lalu mencebik.
“Jess, jangan suka menghina dan pandang rendah pada orang. Dia tu suatu hari nanti akan menjadi orang penting dalam keluarga kita.” Suara Datuk Wahab melengking marah. Jari telunjuknya terjurus ke arah anak gadis itu.
“Jess ingat kalau berpakaian branded, sudah pasti orangnya high class? Bagi papa, pakaian harga berjuta pun tapi kalau akhlak buruk dan kurang ajar, anjing kurap yang selalu orang buang kat pasar itu lagi tinggi martabatnya...”
Berdesing telinga Jasmin. Pipinya menghangat.
 “Dia tu suatu hari nanti akan menjadi orang penting dalam keluarga kita!” ulang Datuk Wahab. Sekali lagi jari telunjuknya terjurus ke arah anak gadis itu.
“Kenapa pulak?” tanya Jasmin tidak puas hati.
Datuk Wahab tidak menjawab. Dia sendiri sedang mencari jawapan. Namun, jauh di dasar hatinya itulah kenyataan yang telah tersemadi, sejak dia berkenalan dengan pemuda itu. Ahmad Raiyan Wafa atau Ray akan menjadi orang yang paling penting di dalam hidup, keluarga dan empayar niaganya.
Jasmin menjeling sambil duduk di hadapan papanya. Nafasnya turun naik menahan sabar. Matanya terbayang wajah pemuda tadi. Bagaikan pernah bertemu, tetapi entah di mana. Ah! Takkan aku pernah berjumpa dengan pemuda haprak macam tu?’ pujuk hatinya sendiri.

Tiada ulasan: