Khamis, 17 Julai 2014

Coret-coret Sapu Tangan Biru

Alhamdulillah. Pada tahun ini lahir lagi sebuah novel saya yang diberi tajuk Sapu Tangan Biru.
Untuk pengetahuan anda semua, Sapu Tangan Biru merupakan novel saya yang ke lapan.
Sebenarnya bagaikan mimpi novel saya lahir satu demi satu. Syukur alhamdulillah. Segalanya anugerah daripada DIA. Sebagai seorang insan yang banyak kekurangan dari segenap perkara, bakat menulis yang dikurniakan oleh ALLAH kepada saya adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.
Terima kasih Ya Allah.


Saya mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan manuskrip ini yang pada mulanya diberi tajuk Di Hatiku Ada Kamu. Manuskrip asal mengumpul lebih 190 ribu patah perkatan. Namun apabila melalui proses suntingan hampir 40 ribu patah perkataan terpaksa dibuang. Aduhai.....sabar sajalah. Namun inilah cabaran yang harus didepani oleh semua penulis. Bukan semua hasil karangannya akan diterima seratus peratus oleh pihak penerbit. Sebagai penulis yang memerlukan penerbit untuk melastarikan cita-cita menghasilkan sebuah novel, saya kena akur. Saya sangat memahami tugas editor yang inginkan yang terbaik dan mereka sudah banyak pengalaman di dalam bidang ini. Setakat ini, setelah 8 buah novel saya diterbitkan iaitu 3 buah oleh Rthymn Publisher dan 5 buah oleh Alaf 21, saya tidak pernah menemui kesulitan atau masalah untuk bekerjasama dengan semua editor.



Untuk pengetahuan pembaca semua idea Sapu Tangan Biru ini dicetus oleh suami saya. Saya pula mendapat ilham untuk menggarapnya setelah teringat-ingat dengan watak Ray yang saya baca dalam sebuah novel Indonesia. Hemm...saya jatuh cinta dengan nama Ray itu lantas menggunakannya di dalam manuskrip saya. Tapi.....haaa..manuskrip saya langsung tidak ada kena mengena dengan novel yang saya baca tau...heee..hee..

Bagi saya yang serba kekurangan ini, kerja menulis bukanlah kerja yang mudah. Bermula dari memilih tajuk, jalan cerita, watak, mood dan pelbagai lagi menuntut kesabaran yang bukan sedikit. Begitu juga dengan novel Sapu Tangan Biru ini.

Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang atau pakcik makcik sudah ke membaca novel saya ni? Kalau sudah terima kasihlah. Kalau belum cepat-cepatlah dapatkan novel ini di pasaran atau beli secara on line di http://mall.karangkraf.com.

Kalau sudi jom kongsikan dengan saya pendapat adik-adik, kakak-kakak dan saudara-saudari semua berkenaan dengan novel itu.


Jumpa lagi...  



Tiada ulasan: