Isnin, 21 Julai 2014

Zuriat sulung saya: IRDAYANI

Irdayani. Inilah novel sulung saya. Pengalaman sewaktu melahirkan novel yang pertama ini terlalu indah. Sebenarnya saya tidak pernah bermimpi yang karangan saya akan diterbitkan menjadi sebuah novel.

Walaupun sejak di zaman persekolahan saya memang minat menulis namun saya tidak pernah bermimpi ada novel karya saya diterbitkan dan dipasarkan di negara ini. Angan-angan memanglah ada.

Sewaktu dibangku sekolah saya begitu berminat di dalam penciptaan puisi. Boleh dikatakan buku-buku sekolah saya menjadi hamparan nukilan saya pada waktu itu. Saya menggunakan nama samaran Ardi Mira.

Namun saya tidak menyimpan puisi-puisi yang pernah saya cipta sewaktu bersekolah dulu.

Tamat tingkatan 6 saya merantau ke Pelabuhan Klang dan bekerja di sebuah kilang. Disebabkan kesibukan kerana bekerja shift minat mengarang saya lupakan buat beberapa ketika. Agak lama juga saya menyepikan diri dari dunia ini. Pada tahun 1992 saya mula mengarang puisi kembali. Ini adalah kerana pada waktu itu saya terpaksa mengharungi dugaan hidup yang amat mencabar. Kegalauan jiwa menyebabkan saya mencari sesuatu alternatif untuk merawat luka di hati. Justeru itu, puisilah yang menjadi teman karib saya.

Inginkah adik-adik membaca puisi-puisi saya itu?

Saya akan usahakan ya. Manalah tahu lembaran puisinya masih saya simpan.

Berbalik kepada kisah novel saya yang sulung.

Irdayani mengisahkan tentang monolog seorang guru muda yang telah melanggar seorang anak muridnya sewaktu hari melaporkan diri di sekolah sebaik tamat pengajiannya. Cikgu Hilmi begitulah nama guru muda itu. Insiden itu begitu mengganggu emosi Cikgu Hilmi kerana dia gagal mencari murid itu untuk meminta maaf. Sehinggalah pada suatu hari Cikgu Hilmi yang sedang mencari buku di pusat sumber sekolahnya telah ditimpa oleh sebuah buku yang sangat tebal...

Sebaik dia bangun dan menoleh ke belakang seorang murid perempuan berdiri tercegat dengan wajah penuh ketakutan.
Gadis berambut panjang sehingga ke pinggang dan bermata lembut redup itu menyebabkan Cikgu Hilmi terpukau seketika. Dialah murid yang sedang dicari.

"Nama awak siapa?"Pantas bibirnya bertanya.
"Irdayani" jawab murid itu lantas beredar dari situ.

Sejak hari itu Cikgu Hilmi sering teringat kepada Irdayani. Rupa-rupanya Irdayani memang murid yang popular di sekolah itu. Hari demi hari perasaan Cikgu Hilmi semakin tidak keruan namun dia harus mengawal segalanya kerana dia seorang guru dan gadis yang sedang meniti jambatan hatinya ialah anak murid sekolah itu.

Namun peluang untuk dia mendekati Irdayani sampai juga setelah agak lama Cikgu Hilmi bermain dengan perasaannya sendiri.


Apakah kisah seterusnya?

Bersambung...

Tiada ulasan: