SUNGGUH tidak diduga, banglo dua tingkat itu akan menjadi tempat perteduhannya. Rupa-rupanya peristiwa dia bertembung dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang dikejar oleh seorang wanita menjadi penyebab dia berkenalan dengan Datuk Wahab. Ditawarkan pekerjaan pula.
“Ray...” Ketukan di pintu bilik mengejutkan Ray yang masih di atas sejadah usang. Sejadah yang memang dibawanya dari kampung telah digunakan sejak dia berusia tujuh tahun.
“Assalamualaikum.” Sekali lagi suara itu menyapa. Dengan sejadah yang masih di tangan, Ray menerpa ke pintu.
“Waalaikumussalam, err... er... Datuk...” Terkejut Ray. “Maaf, Datuk... saya solat isyak,” beritahunya sopan. Matanya menatap wajah lelaki yang mungkin seusia arwah ayahnya.
Datuk Wahab senyum. Terasa damai di hatinya melihat air muka Ray yang tenang dan jernih. Tadi terpanggil pula hatinya untuk mengintai ke dalam bilik melalui tingkap yang masih renggang. Sempat dia melihat anak muda itu solat dengan penuh khusyuk.
“Tak apa, Ray. Baguslah begitu. Solat pada waktunya. Jangan ditangguh-tangguh,” nasihatnya.
“Macam mana dengan bilik ni? Selesa tak?” tanyanya pula. Matanya sempat mengitari bilik yang akan dihuni oleh Ray mulai malam itu.
“Alhamdulillah, Datuk. Selesa sangat-sangat. Terima kasih,” jawab Ray. Dia bersyukur kerana ALLAH telah membuka pintu hati lelaki itu untuk menawarkan kerja sebagai pemandu kepadanya. Dapat pula menumpang teduh di rumah itu.
“Ray...”
“Saya, Datuk...” balas Ray cepat-cepat. Pandangan Datuk Wahab menggamit resahnya.
“Sekejap lagi Ray datang ke rumah ya. Kita makan malam sama-sama,” pelawa Datuk Wahab ramah dan mesra.
“Err... err...” Ray serba salah. Sudah diberi tempat tinggal diajak makan pula. ‘Macam mana nak tolak ni?’ Fikiran Ray semakin memberat.
“Ray kena biasakan diri dengan Eisha Safiya,” beritahu Datuk Wahab apabila dilihatnya Ray gelisah dan malu-malu. “Auntie Zarina sedang hidangkan makanan tu. Datang jangan tak datang tau,” tegas Datuk Wahab lalu beredar.
Mahu tak mahu, selepas menyalin pakaiannya, Ray melangkah ke rumah utama. Dia terus masuk melalui pintu dapur. Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam rumah itu, Ray terpukau dengan keindahan hiasan dalamannya. Reka bentuk rumah yang begitu menarik walaupun di dapur. Datuk Wahab yang sudah menunggu di meja makan mempersilakan Ray duduk bersamanya.
Mata Ray meliar sehingga tertembung pandangan dengan seorang kanak-kanak perempuan.
Bulat mata Eisha Safiya merenung Ray. Apabila Ray merenungnya kembali cepat-cepat dia menyorokkan mukanya di sebalik mamanya. Jejarinya yang kecil, mencubit-cubit daging pinggul Zarina. Dia mula merengek-rengek.
“Kenapa Eisha ni?” tanya Zarina lalu mengangkat anaknya itu. Diletakkannya Eisha Safiya di atas kerusi bersebelah dengan Ray.
“Eisha dah tak kenal abang, eh?” tanya Ray sambil mencuit pipi Eisha Safiya yang gebu. Tangan Eisha Safiya yang lembut digenggamnya perlahan.
“Eisha, ini Abang Ray. Eisha ingat tak hari tu sewaktu ada auntie jahat kejar Eisha?” tanya Datuk Wahab cuba mengembalikan nostalgia di ingatan anaknya yang masih kecil itu.
Eisha Safiya mengangguk-angguk perlahan. Akhirnya, dia tersengih.
“Hah! Mulai hari ni, Abang Ray akan duduk di sini. Dia akan hantar Eisha ke sekolah... ambil Eisha dari sekolah,” pintas Datuk Wahab. Zarina hanya tersenyum.
“Dia anak papa ke? Anak papa yang besar, eh? Abang Eisha?” Soalan Eisha Safiya yang bertalu-talu agak lucu pada pendengaran Datuk Wahab, Zarina dan Ray.
Mereka sama-sama ketawa sambil memandang Eisha Safiya yang menupang dagu di meja. Serius benar kelihatannya.
“Yalah! Abang Eishalah tu,” kata Datuk Wahab. “Eisha suka tak, ada abang?” tanyanya pula. Matanya menyorot ke wajah Eisha Safiya yang nampak teruja dengan soalan papanya.
“Kita suka! Nanti kita boleh main Barbie dengan abang. Boleh main warna-warna,” jawab Eisha Safiya sambil menggaru-garu kepalanya mencari akal.
Ketawa Datuk Wahab dan Zarina semakin meleret. Sikap Eisha Safiya yang gemar membahasakan dirinya sebagai ’kita’ itu, begitu mencuit hati mereka.
“Dengar tu, Ray,” ujar Zarina.
Ray angguk sambil tersenyum lebar. Walaupun belum sehari dia berada di dalam keluarga itu, dia terasa mesra. Bagai keluarganya sendiri. Serta-merta dia terkenang emaknya di kampung. Dania dan Iwan.
Selesai makan malam, Datuk Wahab ingin beredar dari rumah itu.
“Ray, pagi esok auntie akan tunjukkan Ray tadika tempat Eisha bersekolah,” beritahu Datuk Wahab. “Oh ya,” katanya. “Ray, jom ikut saya!” ajak Datuk Wahab. Dia berjalan keluar rumah menghala sebelah kanan. Di situ ada sebuah garaj yang berdinding sekelilingnya.
“Kat dalam ni, kereta yang akan Ray guna selama bertugas di sini,” jelasnya sambil menghulurkan kunci ke tangan anak muda itu.
Ray menyambutnya dengan perasaan gementar.
“Mulai hari ni, kunci kereta ni Ray pegang. Kereta ini Ray tolong jaga ya?” pesan Datuk Wahab sambil menolak picu lantas pintu garaj bergerak ke atas secara automatik.
“Saya amanahkan kereta ni, rumah ni, anak dan isteri saya untuk Ray jaga selama saya tiada di rumah,” tegas Datuk Wahab.
Pintu garaj yang sudah terbuka seluruhnya mendedahkan penghuni yang tersembunyi di dalamnya selama ini. Ray cuba bertenang. Dia memejamkan matanya seketika. Bagaikan bermimpi. Kereta yang menjadi idamannya selama ini berada di hadapan mata. Sebuah Honda Accord 2.0 model terbaharu berwarna putih.
“Ray suka kereta ni?” duga Datuk Wahab.
Ray tak terjawab. Yang mampu dilakukannya hanyalah mengangguk kepalanya sambil tersenyum.
“Saya tak kisah, asalkan saya dapat jalankan tugas yang Datuk amanahkan...” Tidak untuk berbasa-basi, itulah jawapan jujur dari hatinya. Walaupun diberi kereta lembu, dia tetap akan menerimanya.
“Okey, Ray. Selamat menjalankan tugas,” ucap Datuk Wahab sambil menggenggam dan meramas kuat tangan pemuda itu.
“Saya kena balik ke rumah isteri pertama,” beritahunya terus terang.
Ray mengekori Datuk Wahab sehingga ke keretanya. Sekali lagi lelaki itu menghulurkan tangannya. Ray mencium tangan Datuk Wahab sebagai tanda hormat dan menghargainya.
“Assalamualaikum,” ucap Datuk Wahab.
“Waalaikumussalam,” jawab Ray. Pemergian Datuk Wahab diiringi dengan matanya. Setelah itu, pandangan dilontarkan ke langit yang terbentang. Bintang-bintang bertaburan. Malam itu, dia merasakan nasibnya secerah bintang-bintang yang dilihatnya. Ray senyum dan bersyukur. Hatinya tunduk kepada kebesaran ALLAH.
BANTAL guling yang berada di sisinya didakap erat. Jasmin terus menggelisah. Hampir sejam dia cuba mendodoikan matanya agar lena. Namun, biji matanya masih terjegil tidak mahu lelap.
“Di mana aku jumpa budak haprak tu, ya?” tanya hatinya berulang kali. Puas dia memikirkan tentang pemuda yang menjadi tetamu istimewa papanya tengah hari tadi. Istimewa? Dia sendiri yang memberi gelaran itu. Jika tidak istimewa mustahil papanya menolak untuk bertemu dengannya. Membiarkan dia menunggu di luar macam kera!
Tambah menyakitkan hati apabila papanya memberitahu yang pemuda itu bakal menjadi orang penting dalam keluarga mereka.
Kalau pemuda haprak itu menjadi orang penting keluarga, ke mana pula dirinya akan dicampakkan? Bukankah aku anak Datuk Wahab? Anak tunggal pula! Akulah yang sepatutnya menjadi orang penting keluarga. Atau papa ingin menjodohkan aku dengan budak itu?
Tiba-tiba sahaja tekaknya berasa kembang. Kalau papa memilihkan jodoh untuknya dengan budak tak tahu asal usul itu, bagaimana pula dengan Iskandar? Tidak! Aku tidak akan tunduk kepada kehendak papa. Fikiran Jasmin terus berlegar sehingga urat di dalam otaknya seolah menegang.
“Mereng aku jadinya kalau asyik berfikir tentang perkara bodoh ni,” rungutnya sendiri. Jasmin semakin bingung. Setahu dia, papanya bukan jenis manusia yang begitu mudah mempercayai orang lain.
“Kalau papa dah lama kenal budak haprak tu, kenapa dia tak pernah bercerita kepada mama atau aku?”
“Tapi, kenapa papa sanggup keluarkan kenyataan seperti itu? Apa sebabnya?” tanya Jasmin sendiri. Mindanya terus diterjah oleh pelbagai persoalan.
Telefon bimbitnya pula dicapai. Nombor telefon Iskandar ditekan dengan rakus. Baru sekali berdering panggilannya terus dijawab oleh pujaan hati.
“Hai, sayang...” sapa Iskandar. Dia juga sedang berbaring-baring di atas katil. Selepas isyak tadi, terlintas juga di fikirannya hendak keluar bertemu dengan kawan-kawan lelakinya, tetapi cuaca tidak begitu cerah. Angin yang bertiup agak deras. Langit gelap tiada berbintang. Membawa isyarat bumi akan disirami hujan.
“Hai,” jawab Jasmin lesu. Suaranya serak.
“Kenapa ni?” tanya Iskandar lembut sambil menguap. Jasmin mengeluh agak kuat. “Mengeluh pulak! Kenapa ni?” soal Iskandar lagi. Walaupun hati tidak begitu selesa menerima panggilan telefon daripada gadis itu, dia terpaksa melayaninya juga.
“Entahlah, hati Jess tak begitu selesa sejak tadi,” beritahu Jasmin manja. Harap-harap Iskandar dapat memberi penawar kepada hatinya yang sedang keresahan.
“Tak selesa? Jess rindu Is agaknya,” gurau Iskandar. Hati kecilnya cuba meneka perkara yang menyebabkan gadis itu merunsing.
“Hisy! Takkanlah nak rindu Is sepanjang masa,” nafi Jasmin. Iskandar ketawa kecil.
“Apa salah? Takkanlah rasa rindu kepada kekasih hati boleh pasang surut macam air laut? Kalau Is, rasa rindu kepada orang yang Is cinta, sentiasa segar. Semakin melangit, semakin mekar, setiap saat... sepanjang masa,” ujar Iskandar cuba bergurau.
“Sebenarnya, Jess berjauh hati dengan sikap papa,” adu Jasmin. Rasa sayu menyelinap ke ulu hatinya.
“Berjauh hati dengan papa? Apa masalahnya ni?” tanya Iskandar perlahan. Dia mengubah posisinya di atas katil. Tadi dia berbaring sekarang sudah tersandar di kepala katil.
“Sekarang ni, papa selalu marah-marah. Layanannya kepada Jess tak macam dulu lagi,” cerita Jasmin.
“Perasaan Jess aje tu! Mustahil papa nak marah-marah pada anak kesayangan dia,” pujuk Iskandar. Disebabkan Jasmin anak manja dan anak tunggal Datuk Wahab, dia rela untuk terus setia dengan gadis itu. Meskipun hubungan mereka ditentang habis-habisan oleh neneknya.
“Tengok tu! Is pun tak percaya Jess,” kata Jasmin hampir menangis. Terasa diri tidak dipedulikan lagi.
“Bukannya Is tak percaya,” balas Iskandar. Harap-harap Jasmin tidak merajuk mendengar kata-katanya. “Sebenarnya, apa yang papa dah buat pada Jess?”
“Mula-mula dia batalkan janji dia untuk belikan Jess kereta baru,” jawab Jasmin. Suaranya semakin menghalus dan bergetar. Hampa hatinya apabila kereta idaman hanya menjadi impian dan angan-angannya.
“Kereta yang Jess guna sekarang masih elok lagi, kan? Is ingat lagi, kereta tu hadiah daripada papa untuk birthday Jess tahun lepas,” ujar Iskandar.
“Is!” bentak Jasmin bengang. “Yang jadi kekasih Is, papa ke Jess?” marah Jasmin. Pertanyaan bodoh yang terlontar dari bibirnya menyebabkan Iskandar ketawa terbahak-bahak.
“Ya ALLAH, apalah Jess ni! Jess ingat Is lelaki gay ke?” tanya Iskandar.
Jasmin pun ikut ketawa. Terhibur hatinya seketika. “Manalah tahu,” balasnya, tak mahu mengalah.
“Ceritalah lagi,” desak Iskandar.
“Tadi Jess pergi ke Perkasa Holding,” cerita Jasmin.
Iskandar hanya membisu. Dia memberi peluang kekasihnya itu meluahkan segala isi hatinya.
“Tapi papa tak benarkan Jess masuk! Siap pesan kepada staf dia yang jaga kat kaunter tu,” sambungnya lagi. Matanya dipejam sejenak cuba membayangkan keadaan dirinya dalam situasi menunggu lampu hijau daripada papanya untuk memasuki bilik.
“Papa ada mesyuarat dengan customer dia agaknya,” tebak Iskandar. Cuba meredakan perasaan meradang yang sedang melanda hati Jasmin kala itu.
“Lama Jess tunggu kat luar macam orang bodoh! Akhirnya, Jess terjah aje ke bilik papa,” beritahu Jasmin dengan bangga.
“Laaa... ” kata Iskandar. “Kenapa Jess buat begitu?” tanya Iskandar sesal. Perangai Jasmin itu agak keterlaluan.
“Depan pintu bilik papa, Jess terserempak dengan budak haprak dari mana entah! Eeii,” kata Jasmin. Dia cuba mengingatkan wajah pemuda tadi. Wajah yang masih kabur dalam kenangannya.
“Sakitnya hati Jess! Disebabkan nak layan budak tu, tergamak dia biarkan Jess ternanti-nanti. Sedangkan Jess ni anak kandung dia,” adu Jasmin dengan suara tertahan-tahan.
“Is nak tahu...” Suaranya bertambah sebak. Sekali lagi Iskandar membisu.
“Bila Jess tanya pada papa, siapa budak haprak tu! Papa tak mahu berterus terang. Tiba-tiba saja, papa cakap suatu hari nanti, dia akan menjadi orang penting di dalam keluarga kami! Lepas tu, sanggup papa halau Jess,” ajuk Jasmin.
“Jess benar-benar tersinggung dengan kata-kata papa tu, terus Jess tinggalkan papa!” Akhirnya, cerita Jasmin bernoktah juga.
“Apa pendapat Is?” tanyanya tiba-tiba. Biarlah pendapat Iskandar dapat mendamaikan tasik hatinya yang tiba-tiba membadai.
“Is tak tahu nak komenlah, Jess. Sebab papa Jess bukannya sembarangan orang. Takkan dia nak keluarkan kenyataan macam tu pada orang yang tak menentu pula,” ungkap Iskandar perlahan. “Mungkin dia nak jodohkan Jess dengan pemuda tu,” sambungnya saja hendak mengusik.
“Eeii... Jess gelilah... Tak ada kelas langsung budaknya. Hanya layak cuci longkang aje dia tu. Jess percaya, dia itu pemuda miskin dari kampung terpencil mana entah.”
“Jess...tak baik pandang rendah kepada orang lain! Entah-entah Tom Cruise sebelum terkenal dan popular dan kaya-raya dulu pun macam tu jugak! Bila dah banyak duit, dia servis paras rupa dia... nah! Tengoklah sekarang. Terancam semua lelaki dan wanita serta gadis kat dunia ni,” balas Iskandar meleret.
“Alah, takkannya dia nak jadi macam Tom Cruise pulak. Mustahil!” bidas Jasmin meradang. “Papa tu dah nyanyuk agaknya!” Jasmin masih tidak berpuas hati dengan papanya.
“Is, cepat-cepatlah kita kahwin! Janji sebelum balik dari US dulu, macam mana?” tanya Jasmin mula menagih janji.
Iskandar terkedu. Wajah neneknya menari-nari di ruang mata. Tidak sanggup dia mendengar neneknya berleter. Tidak tergamak juga untuk membantah kata nenek kesayangannya.
“Is!” panggil Jasmin apabila Iskandar menyepi agak lama.
“Ya... ya... Jess tanya apa tadi?” tanya Iskandar pura-pura. Dia mendengar Jasmin merengus.
“Jess tanya, bila kita nak kahwin? Kan dulu Is janji dengan Jess, balik dari US nak datang melamar?” tanya Jasmin yang mula naik angin.
“Melamar? Is ada janji macam tu ke?” soal Iskandar menduga. Sengaja hendak bermain kata.
“Is!” Jasmin menjerit kuat di telefon. Menggelegak darahnya mendengar pertanyaan pemuda itu.
Iskandar ketawa mengekek. Dia dapat membayangkan rupa Jasmin yang sedang baran. Ngeri dia membayangkan dirinya yang akan menjadi suami gadis itu jika mereka ada jodoh. Entah-entah dia akan menjadi mangsa penderaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan