Isnin, 18 Ogos 2014

Sapu Tangan Biru (Bab 23)

BERDENTUM bunyi pintu kereta yang dihempas. Dari parkir kereta langkahnya laju. Mukhriz cepat-cepat menuju ke biliknya. Tidak diduga hari itu dia kelewatan datang ke pejabat. Semalam, dia pergi berhibur bersama kawan-kawannya. Jasmin pun ada. Jam hampir 3.00 pagi baru mereka meninggalkan pusat hiburan itu. Sampai sahaja di bilik tidurnya semalam, dia terus membuntang sehingga jam 10.30 pagi tadi.
“Kenapa berjalan laju sangat, Encik Mukhriz? Nak terceret ke? Nak terkucil?” soal Hawa yang geli hati melihat langkah Mukhriz sedepa-sedepa. “Jangan menyibuk!” jerkah Mukhriz. Dia terus berpaling daripada Hawa, melangkah ke biliknya. “Encik Mukhriz! Datuk Wahab ada dalam bilik encik,” beritahu Hawa kuat. “Hah?” Hampir terjojol mata Mukhriz. Langkah kakinya terenjat seketika. Terus dia merapati Hawa. “Kenapa awak tak telefon saya, beritahu Datuk datang?” tanyanya sambil berbisik. Kelat wajahnya menandakan yang dia sedang marah. “Datuk tak benarkan,” bisik Hawa kembali. Dia senyum-senyum melihat wajah Mukhriz yang kelat menahan perasaan. ‘Padan muka kau! Kaki ngular! Kena lempar keluar dari syarikat ini baru kau tahu!’ gerutu hati Hawa. Mukhriz sempat menjeling tajam sebelum menolak daun pintu biliknya. Terpaksalah dia berlakon dan berlagak tenang.
“Datuk!” tegurnya pura-pura terkejut. Apabila melihat Mukhriz, Datuk Wahab terus bangun dari kerusi. “Mukhriz, kenapa datang ke pejabat lambat sangat ni?” soal Datuk Wahab sambil menyambut huluran tangan daripada Mukhriz. Jarum jam yang terlekat di dinding pejabat sudah menunjukkan waktu 11.15 pagi. “Minta maaflah, Datuk! Saya tak sangka Datuk nak datang ke sini. Kalau saya tahu, taklah saya pergi melawat ke tapak projek Awana Mall tadi,” bohong Muhkriz. Selamba wajahnya sewaktu berkata. Datuk Wahab menjeling. “Oh begitu.” Pagi tadi, dari rumah dia terus ke tapak projek yang dikatakan oleh Mukhriz itu. Hampir dua jam dia berada di sana, langsung tak nampak bayangan wajah pemuda itu pun. “Saya pergi ke sana tadi,” beritahu Datuk Wahab perlahan. Pipi Mukhriz tiba-tiba panas. Lidahnya terkelu. “Mukhriz, hari ni berapa hari bulan?” tanya Datuk Wahab serius. Matanya merenung Mukhriz. “Err... 25 hari bulan, Datuk!” jawab Mukhriz tergagap. ‘Entah betul entah tidak! Alamak! Kenapa dengan kepala otak aku pagi ini?’ tanya hatinya. Dia meraup wajahnya dengan telapak tangan beberapa kali. Cuba meredakan kegelisahan. “25 hari bulan?” tanya Datuk Wahab kembali. Kali ini suaranya lebih kuat. “Mukhriz! Buka mata besar-besar sikit! Pasal itulah saya pesan jangan suka tidur lewat malam! Kepala otak boleh jadi biul. Hari ini dah lima hari bulan, Mukhriz!” leter Datuk Wahab. “Patutlah awak tak bayar gaji pekerja! Rupa-rupanya kalendar dalam kepala otak awak tak berkoyak lagi!” sindir Datuk Wahab. Mukhriz mengetap bibir menahan perasaan malu. “Alamak, Datuk! Saya mati-mati ingatkan hari ni 25 hari bulan,” balas Mukhriz masih cuba mempertahankan dirinya. “Cuai betul awak ni, Mukhriz!” marah Datuk Wahab. “Saya dah beri cek kepada awak pada 23 hari bulan, kan? Bukan awak tak tahu kita bayar gaji pekerja-pekerja kontrak tu pada 28 hari bulan.” Leteran Datuk Wahab berpanjangan. “Sampai hari ni, awak tak bayar gaji mereka! Nak suruh mereka makan apa? Nak makan pasir berlaukkan batu bata yang ada kat tapak projek tu?” Melengking suara Datuk Wahab. “Hari ni jugak saya uruskan hal tu, Datuk,” janji Mukhriz. Memori ingatannya berputar ligat. ‘Cek? Alamak! Mana aku letak cek tu? Dahlah cek tunai! Mampus aku kena marah dengan orang tua ni lagi!’ Mukhriz rasa hendak pitam. Hendak berterus terang takut kena sembur. Kesan bisanya nanti pasti lebih dahsyat daripada semburan bisa ular tedung! “Pergi tunai cek tu sekarang jugak! Saya nak ikut sekali! Saya nak tengok macam mana awak uruskan hal pembayaran gaji kepada mereka! Banyak sangat kompelin yang saya dengar!” tegas Datuk Wahab. Mukhriz tersentak. Mukanya merah padam. ‘Siapa pula yang kompelin aku pada Datuk ni? Nak kena dia orang ni!’ marahnya dalam hati. “Jomlah, Mukhriz! Nak tunggu apa lagi?” “Err... err...” Mukhriz terkumpal-kumpal sekali lagi. Degupan jantungnya semakin laju. “Jomlah,” ajak Datuk Wahab. Dia bergerak menuju ke pintu. Tangannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Datuk Wahab membuat panggilan telefon dan membuat arahan kepada seseorang. “Pergi dengan kereta saya,” ajak Datuk Wahab sambil menjeling Mukhriz yang berjalan beriringan dengannya. Senyumannya disembunyikan apabila melihat wajah Mukhriz yang berkerut. Pemuda itu seperti sedang diserang sakit perut. Bagaikan tali perutnya sedang dipulas pintal.
Sebuah kereta Honda Accord model terbaharu berhenti di hadapan mereka sebaik sahaja mereka keluar dari pintu utama Wafa Construction. Datuk Wahab terus membuka pintu dan duduk di sebelah pemandu. Mahu tak mahu, Mukhriz terpaksa membuka pintu belakang dan masuk ke dalam kereta. Dia yang duduk di bahagian belakang sempat memerhati pemuda yang sedang memandu kereta. Mukhriz tersentak sesaat. Wajah drebar Datuk Wahab macam pernah dilihatnya sebelum ini. ‘Kat mana aku jumpa dengan mamat ni?’ Hatinya menyoal sendiri. Dia mengalihkan matanya ke arah lain apabila perasan yang pemuda itu juga sedang memerhatinya melalui cermin pandang belakang. ‘Siapa ke nama budak ni!?’ Mukhriz terus meneka-neka. ’‘Roy? Boy? Ram?’ Satu demi satu nama melintas di fikirannya. “Ray, bawa kami ke CIMB bank,” arah Datuk Wahab. Mendengar suara Datuk Wahab menyebut nama pemuda itu, Mukhriz mengeluh kuat. ‘Yes! Ray! Budak penagih dadah yang kerja di tapak pembinaan tempoh hari! Jadi drebar Datuk pulak kau.’ Mukhriz mengetap bibir. ‘Perjalanan hidup seorang manusia umpama putaran roda.’ Sering sahaja telinganya disumbat dengan kiasan itu oleh Datuk Wahab. Pada saat itu, tak semena-mena pula kata-kata yang selalu diungkapkan oleh lelaki itu terpiang di telinganya. “Betul CIMB, Mukhriz?” tanya Datuk Wahab pura-pura tidak pasti. Dia menoleh ke arah Mukhriz yang duduk di belakang. “Betul,” jawab Mukhriz. Mahu sahaja dia melompat keluar dari kereta. ‘Macam mana ni? Sampai di bank mesti Datuk suruh aku tunaikan cek tu! Ya ALLAH!’ Kereta yang dipandu oleh pemuda itu pula terasa amat laju. Mukhriz rasa sakit perut tiba-tiba. Datuk Wahab melihat jam di pergelangan tangannya. Hampir 12.00 tengah hari. Teringat pula kepada anaknya yang harus dijemput pulang dari sekolah. “Ray! Kita tak payah pergi bank. Awak hantar saya ke Perkasa Holding! Lepas tu, pergi ambil Eisha,” arah Datuk Wahab. Mendengar kata-kata itu, Mukhriz terus tersandar ke tempat duduknya. Lega. Degupan jantungnya kembali normal. Kedua tangannya segera meraup muka tanda kesyukuran. Kalau Datuk Wahab membatalkan niatnya untuk menunaikan cek pada hari itu, petang nanti sempatlah dia mencarinya. Jika tidak pun, dia akan kerahkan kerani di pejabat supaya mencari cek itu sehingga dapat. Namun mindanya diterjah pelbagai persoalan. ‘Eisha? Siapa pulak Eisha ni? Isteri muda orang tua kutuk ni agaknya,’ tebaknya sendiri. ‘Ulat bulu juga dia ni.’ Semakin galak pula hatinya mengumpat Datuk Wahab.
“Ray,” panggil Datuk Wahab apabila Ray terdiam. Sangkanya pemuda itu tidak mendengar kata-katanya tadi. “Baik, Datuk” jawab Ray. Matanya sempat menjeling Mukhriz yang duduk di belakang. Dia masih cam muka lelaki itu. Ini kali ketiga mereka bertemu. Kali pertama di tapak pembinaan. Dia dipecat kerana dituduhnya cuba mencuri dan menagih dadah. Setelah itu, mereka bertemu di tapak parkir. Mukhriz menuduhnya sebagai peragut pula. Dan hari ini, dia bertemu pula dengan lelaki itu yang belum lagi dikenalkan oleh Datuk Wahab kepadanya. Namun begitu dia sudah tahu, nama lelaki itu Mukhriz. Sepupunya bernama Iskandar.
“Datuk, saya macam mana pulak?” tanya Mukhriz. Kalau pemuda itu menghantarnya kembali ke Wafa Construction, macam-macam persoalan dapat ditanyanya. “Awak ikut saya balik ke pejabat. Banyak perkara yang saya nak beritahu awak,” tegas Datuk Wahab. “Ray! Selepas solat zuhur nanti datang balik ke Perkasa Holding! Kita nak pergi bayar gaji kepada pekerja di tapak pembinaan! Awak belajar macam mana nak uruskannya. Mulai bulan depan, awak yang akan uruskan,” beritahu Datuk Wahab.
Ray terpinga-pinga. ‘Mengapa Datuk Wahab ni terlalu mempercayai aku?’ Pandangan matanya terlempar ke cermin di hadapannya. Air muka Mukhriz yang berubah menjadi kelat apabila mendengar kata-kata daripada Datuk Wahab itu dapat dilihatnya melalui cermin. “Mukhriz, saya nak kurangkan beban kerja awak sikit.Bila beban kerja terlalu banyak, awak jadi pelupa,” kata Datuk Wahab. Mukhriz tidak menjawab. Pelbagai perkara mendatangi fikirannya. ‘Apa hubungan budak penagih ni dengan Datuk Wahab?’ Sekali lagi Mukhriz merenung wajah Ray. Hatinya diintip perasaan dengki. Ray menghentikan kereta di hadapan bangunan Perkasa Holding. “Okey, Ray. Jangan lupa selepas zuhur nanti, datang ke sini semula,” kata Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya kepada Ray sebelum dia keluar dari kereta. Seperti telah menjadi rutin, Ray mencium tangan lelaki itu. Mukhriz terkejut melihat situasi itu. Hatinya menjadi sakit tiba-tiba. “Oh ya... terlupa pula nak perkenalkan awak berdua,” kata Datuk Wahab kepada Mukhriz. Tangan Ray dilepaskan dari genggamannya. Ray menoleh kepada lelaki separuh umur itu sambil tangan sebelahnya masih memegang stereng. “Perkenalkan,” kata Datuk Wahab. “Mukhriz! Ini Ray,” kenal Datuk Wahab. Ray menghulurkan tangannya kepada Mukhriz. “Ray,” katanya. Senyuman tipis dilemparkan kepada Mukhriz yang nampak sinis. “Mukhriz,” balas Mukhriz. Sekejap sahaja tangannya menyentuh tangan Ray. Bersalam ala kadar. Namun bibirnya sudah bergerak-gerak ingin mengatakan sesuatu kepada pemuda itu. Peluangnya datang apabila Datuk Wahab bergerak agak jauh sedikit dari kereta. “Ray... tak sangka kita boleh bertemu lagi, ya? Harap-harap awak dah insaf dan tak menyusahkan Datuk,” ungkap Mukhriz perlahan. Ray diam. ’‘Tidak guna berlawan cakap dengan orang yang kusut pemikiran itu!’ getus hatinya. “Okey, Ray... Awak boleh pergi sekarang. Bawa kereta elok-elok,” pesan Datuk Wahab sambil beredar dari situ. Mukhriz mengekori langkah kaki orang tua itu cepat-cepat. Sebelum itu, dia sempat menoleh melihat kereta yang sedang dipandu oleh Ray. Tidak sampai 10 saat, kereta itu hilang daripada pandangannya. ‘Ray! Aku akan pastikan kau tidak akan kerja lama dengan Datuk Wahab!’ Tiba-tiba sahaja ayat itu bernyanyi di fikirannya.

Tiada ulasan: