ANGIN malam berpuput lembut. Cuaca yang mendamaikan. Namun hati Mukhriz tidak lagi berasa aman sejak petang tadi. Wajah Ray. Wajah Datuk Wahab bersilih ganti di hadapan matanya. Hari ini, dia benar-benar telah dimalukan oleh Datuk Wahab. Walaupun tidak di khalayak ramai, kesannya pada hati sangat mendalam.
“Tak guna punya orang tua! Nasib baiklah kau suruh aku uruskan Wafa Construction tu! Aku jadi bos di situ, kalau tidak...” gerutu Mukhriz. Terjojol biji matanya apabila Datuk Wahab menyerahkan RM58,785 tunai sebaik sahaja mereka sampai ke bilik pejabatnya di Perkasa Holding. Nasib baik, dia tidak pitam. Itulah nilai cek tunai yang telah dihilangkannya. Rupa-rupanya cadangan Datuk Wahab mengajaknya ke bank untuk nenunaikan cek hanya lakonannya.
“Mujur saya tak cuai macam awak, Mukhriz. Dengan perkara penting begini pun awak tak ingat? Macam mana pula dengan hal-hal penting yang lain? Awak jatuhkan cek yang saya bagi di bawah kerusi. Itupun awak tak sedar? Seminggu saya tunggu awak datang tanya balik tentang cek itu, tapi awak tak datang. Itu maknanya fikiran awak tak fokus kepada kerja. Lalai! Mulai bulan depan, Ray akan uruskan hal pembayaran gaji kepada pekerja kontrak tu. Lebih mudah lagi kalau saya masukkan ke dalam akaun mereka. Tapi, awak halang! Macam-macam alasan yang awak bagi!”
Mukhriz menggaru-garu cuping telinganya seolah-olah menghalang suara Datuk Wahab menembusi telinganya.’ ‘Ray!’ jerit hatinya. Siapa pemuda itu sebenarnya? Datuk Wahab begitu mempercayainya. Sedangkan Ray bersikap seperti lembu kenyang. Diam. Tidak bersuara. Hanya matanya yang asyik memerhati ke sana dan ke sini.
Cara renungan mata pemuda itulah yang mencuakkan hatinya. Renungan tajam tanpa kata-kata menandakan orangnya bijak dan berani. Silap-silap hari bulan Ray akan dianggap anak kandung Datuk Wahab. Ray yang dilihatnya sudah semakin segak dan tampan apabila tubuh kurusnya mulai berisi. Stail rambut panjang dan bertocangnya sudah lenyap. Kini, dia berambut pendek sesuai dengan bentuk wajahnya dan tersisir rapi. Apatah lagi apabila dia memegang stereng kereta mewah model terbaharu. Tiada siapa menduga yang dia itu hanyalah seorang drebar! Cara berjalannya juga penuh gaya. Dia ada aura yang istimewa. Mungkin akan mengancam kedudukannya di mata Datuk Wahab.
Silauan lampu kereta yang memasuki pekarangan rumah menerbangkan lamunan Mukhriz. Bayangan wajah Ray berkecai.
“Assalamualaikum!”
Kuat suara yang memberi salam dari pintu kereta. “Waalaikumussalam! Masuklah,” jawabnya dengan suara kuat. Iskandar datang bersama Jasmin. Selalu juga Iskandar bertandang ke rumahnya. Maklumlah perhubungan mereka walaupun sepupu agak rapat juga.
“Kau tak keluar ke malam ini?” tanya Iskandar sambil bersalaman dengan Mukhriz.
“Hai, Mukhriz... apa khabar?” Jasmin menghulurkan tangannya sambil menyapa manja.
“Baik! Memang aku tak ke mana-mana malam ii,” jawab Mukhriz. Soalan daripada Iskandar dan Jasmin dijawabnya serentak. Dia mempersilakan Iskandar dan Jasmin masuk ke rumah.
“Hai, sunyi aje rumah ni...” kata Iskandar sambil berjalan menuju ke ruang tamu.
“Is, bukannya aku ada bini dan anak sedozen! Memanglah sunyi!” jawab Mukhriz berseloroh.
“Ya tak ya juga. Terlupa pulak aku yangkau dan mak tam bujang trang tang tang!” balas Iskandar sambil menumbuk mesra bahu Mukhriz.
“Kau orang duduklah dulu, aku pergi panggil mak,” kata Mukhriz lalu meninggalkan Jasmin dan sepupunya di ruang tamu.
Tidak lama kemudian, dia muncul semula bersama emaknya. Iskandar terus bangun dari sofa dan bersalaman dengan emak saudaranya itu.
“Apa khabar, Mak Tam,” sapanya mesra sambil mencium tangan emak Mukhriz.
“Baik, alhamdulillah! Emak Is sihat?” tanya Puan Sarah. Emak Iskandar adik kandungnya. Mereka hanya dua beradik.
“Sihat, Mak Tam! Alhamdulillah. Emak berkirim salam pada Mak Tam,” jawab Iskandar ramah. Ekor matanya mengerling pada Jasmin yang masih mematung di sofa. Gadis itu langsung tidak tahu untuk menghulurkan tangan kepada orang tua. Dengan Mukhriz tadi, laju sahaja dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
“Jess apa khabar? Sihat?” tanya Puan Sarah. Kerap juga Jasmin datang ke rumahnya kerana mengekori Iskandar, tetapi sikap gadis itu yang berlagak memualkannya. Walaupun Datin Julaidah sahabat karibnya, tetapi dia tidak boleh menerima perangai Jasmin yang mengada-ngada.
“Sihat,” jawab Jasmin sepatah. Mahu tak mahu, dia terpaksa bangun dan menghulurkan tangan kepada wanita itu apabila melihat isyarat mata daripada Iskandar. Setelah itu, dia duduk balik. Langsung tidak tahu bertanya khabar.
“Berbual-buallah ya! Mak tam pergi ke dapur,” beritahu Puan Sarah terus meninggalkan teruna dara berbual sesama mereka. Mukhriz memberi isyarat bibir kepada Iskandar. Menunjuk ke arah Jasmin yang memuncung dari tadi. Iskandar menjongketkan kedua bahunya.
“Hai, Jess... senyap saja ni?” tanya Mukhriz. Jasmin yang memakai blaus warna pinang masak dan berjean putih, mendung wajahnya.
“Tak ada benda nak diceritakan,” jawab Jasmin perlahan. Sebenarnya pada saat itu, hatinya tidak begitu ceria.
“Takkanlah tak ada cerita. Satu hari ada 24 jam. Takkanlah tak ada peristiwa manis, pahit atau kelat yang boleh dikongsikan,” tukas Mukhriz.
“Jess merajuk dengan papa dia,” kata Iskandar. Dia pula yang memecah rahsia.
Jasmin mencubit paha Iskandar yang duduk rapat di sisinya.
“Kenapa merajuk?” tanya Mukhriz. Terbayang pula wajah Datuk Wahab di matanya. Saat lelaki itu berleter, dia rasa ingin menyumbat telinganya dengan simen! Runsing! Atau simenkan saja bibir lelaki itu, biar dia tidak boleh berkata-kata lagi!
“Hai... anak manja! Tunggal pulak tu, mustahil Datuk tak menatangnya macam minyak yang penuh,” tukas Mukhriz cuba berkias. Peristiwa tengah hari tadi berlegar di ingatannya kembali. Datuk Wahab ada menyebut nama seseorang kepada Ray. Eisha. Entah-entah Jasmin merajuk kerana kewujudan wanita lain di dalam hidup papanya.
Jasmin mencebik. “Manja? Itu dulu,” katanya. Entah-entah segala kemanjaan yang pernah dikecapi akan hilang bagai kabus di waktu pagi.
“Jess dah dapat mama baru ke?” tanya Mukhriz. Cuba mencungkil rahsia. Bibirnya menyungging senyuman.
“Mama baru?” tanya Jasmin sambil membulatkan mata. Langsung dia tidak menduga soalan itu akan terpacul daripada mulut Mukhriz.
“Ala, papa takkan berani nak berkahwin lain!” jawab Jasmin. Kalau benar, pasti akan tercetus peperangan antara papa dan mamanya.
Iskandar dan Mukhriz sama-sama ketawa. Perempuan! Kalau bab lelaki berkahwin lebih daripada seorang, cepat sahaja mereka berang!
“Habis tu, Eisha tu siapa? Bukan isteri baru Datuk?” tanya Mukhriz terus terang.
“Eisha? Entah, Jess tak kenal pun dan tak pernah dengar nama tu sebelum ni,” jawab Jasmin. Dahinya berkerut beberapa ketika.
“Ray? Jess tahu tentang Ray?” soal Mukhriz. Sekali lagi Mukhriz cuba mencungkil rahsia.
Jasmin menggelengkan kepalanya. Tadi nama Eisha yang disebutkan. Kini nama Ray pula! Beberapa minggu yang lalu, papanya mengisytiharkan seorang pemuda haprak bakal menjadi orang penting di dalam keluarga mereka. Diakah Ray? Lelaki itukah yang dimaksudkan oleh Mukhriz? Jasmin kebingungan.
“Yang jadi drebar papa you tulah” jelas Mukhriz lagi. Matanya terus menjamah wajah Jasmin. Setelah itu pandangan matanya singgah pula kepada dada gadis itu yang memakai baju berleher luas. Mukhriz menelan air liur.
“Drebar? Setahu I, Pak Man tu yang jadi drebar. Orang tua tu masih bekerja dengan kami lagi. Takkan papa nak guna drebar sampai dua, tiga orang?” balas Jasmin. Fikirannya semakin diasak pertanyaan.
“Kalau bukan drebar, mungkin pembantu khas papa you!” tukas Mukhriz. Wajah Ray bermain-main di matanya. Entah mengapa perasaan marah semakin mengepal di hatinya.
“Jess, entah-entah budak haprak yang you cerita pada I tu, namanya Ray,” tebak Iskandar.
Jasmin mengangguk. Menyetujui tekaan Iskandar itu. “Mungkin juga. Tapi apa hubungan dia dengan papa?” soal Jasmin kembali. Matanya merenung ke wajah Iskandar dan Mukhriz silih berganti.
“Papa kata... dia akan menjadi orang penting di dalam keluarga kami suatu hari nanti,” adunya terus.
“Entah, Entah... dia calon suami you,” giat Mukhriz.
“Kalau calon menantu, takkan Datuk suruh dia jadi drebar pulak,” sahut Iskandar.
“Betul jugak! Kalau nak dikahwinkan dengan Jess, sekurang-kurangnya Datuk lantiklah dia jadi pengurus salah satu anak syarikatnya, macam...” ujar Mukhriz sambil menunjuk pada dirinya sendiri. Cuba mengusik pasangan itu.
“Yang kau orang berdua ni, bila nak kahwin?” tanyanya pula. Matanya merenung wajah Iskandar dan Jasmin silih berganti. Persoalan tentang Ray diketepikan. Buat menyakitkan hati!
“Lambat-lambat nanti terlepas! Jess ni, tak ada siapa yang akan menolaknya. Maklumlah, gadis cantik jelita,” koyok Mukhriz. Terasa kembang hati Jasmin apabila dipuji. Dia senyum-senyum sendiri. “Anak gadis Datuk Wahab pulak tu. Kalau ada peluang, aku pun nak jugak,” ujar Mukhriz. Sekali lagi deraian tawa mengisi ruang tamu di rumah itu. Iskandar dan Jasmin ikut ketawa.
“Is ni, dia yang tak datang-datang melamar! Macam mana nak kahwin,” beritahu Jasmin. Sekali lagi paha Iskandar menjadi mangsa jarinya.
“Nenek belum bagi lampu hijau, macam mana nak kahwin?” tukas Iskandar bersahaja. Takut dia hendak membantah cakap nenek kesayangannya itu!
“Nenek you tu penting sangat ke dalam hidup kita?” tanya Jasmin selamba. Hatinya semakin meluat apabila membayangkan karakter nenek Iskandar.
“Kenalah hormat kepada orang yang paling tua dalam keluarga,” sampuk emak Mukhriz tiba-tiba. Puan Sarah yang baru sampai di ruang tamu sempat mendengar perbualan itu.
Jasmin memuncung. Sejujurnya pada wanita separuh usia yang sedang menghidangkan minuman buat mereka itu pun, dia meluat! Walau dia tahu wanita itu teman karib mamanya.
“Is, I nak balik! Jomlah, aduh... sakit perut tiba-tiba!” kata Jasmin sambil bangun dari sofa. Dia menekan-nekan perut sambil mengerutkan mukanya.
“Alah, minumlah dulu! Penat mak tam buatkan kita air ni,” pujuk Iskandar.
“Tak apa, Is. Hantarlah dia balik,” gesa Puan Sarah. Sekali orang tidak sudi, sepuluh kali dia tidak mahu melayaninya.
“Biar dia tunggu di kereta! Saya nak minum jugak!” balas Iskandar. Cawan yang berisi Nescafe terus dicapai. Bingka ubi kayu yang terhidang mengecurkan air liurnya.
Puan Sarah senyum melihat gelagat anak saudaranya itu. “Sedapnya bingka ubi ni, mak tam,” puji Iskandar sebaik saja potongan bingka ubi kayu mencecah mulutnya.
“Makanlah, Is... kalau betul sedap,” balas Puan Sarah. Matanya sempat menjeling ke luar rumah melihat Jasmin yang berdiri tersandar di kereta.
“Cepat-cepat makan, Is. Nanti Jess mengamuk!” pintas Mukhriz. Amukan gadis itu sudah difahaminya benar.
“Lantak dialah! Asyik nak mengamuk. Pasal tulah nenek tak suka dia,” balas Iskandar lalu membasuh tangan.
“Is! Cepatlah!” pekik Jasmin dari luar rumah.
Puan Sarah menjeling dari jauh dengan perasaan meluat.
“Hisy! Jess ni perangai macam budak-budak,” rungut Iskandar. “Menyesal bawak dia datang ke sini!” Iskandar semakin menyampah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan