Khamis, 28 Ogos 2014

Sapu Tangan Biru (Bab 25)

DESIRAN angin petang yang bertiup agak deras menerbangkan daun-daun lantas mendamparkannya ke permukaan bumi sebaik sahaja tiupan angin berhenti. Dania yang baru menyelesaikan kerja-kerja sekolahnya mengambil peluang untuk menenangkan fikiran dengan bermenung di muka jendela. Dia melihat langit. Merenung awan. Memerhati daun-daun yang melayang perlahan. Ranting-ranting kayu melambai mesra. Kotak fikirannya tidak lepas daripada mengingati abangnya, Ray. Rasa rindu berpaut erat di sudut hatinya. Dania terus mengelamun mengenangkan abang kesayangannya. Peristiwa manis yang terukir sewaktu abangnya masih tinggal bersama di rumah itu terus dikenang.
“Kenapa muka abang dengan muka Dania tak sama langsung?” tanyanya kepada Ray, pada suatu hari. “Ya ke?” jawab Ray acuh tak acuh. Bibirnya melukis senyuman. Memang tidak dapat dinafikannya, senyuman abangnya memang manis. Ada lesung pipit comel di sebelah kiri pipinya menyebabkan senyumannya nampak memikat. Ramai gadis kampung meminati abangnya dalam diam. Dan hal itu sangat tidak disenanginya. “Kenapa? Muka abang handsome? Wajah Dania tak cantik?” usik abangnya pula. “Alah! Abang tu suka perasan,” bidasnya sambil menjelirkan lidah kepada Ray. Ray ketawa sambil mencubit dagunya sendiri. Beraksi macam model popular. “Sebab abang anak sulung. Pasal tu abang handsome. Dania anak nombor dua... sebab tu tak cantik!” Usikan Ray semakin membakar hatinya yang sedia panas.
“Abang Ray ni...” rajuknya terus. Wajahnya dimasamkan. Bukannya apa, sekadar berpura-pura. Kalau dia merajuk, Ray pasti memujuknya. Itulah yang paling dia suka. “Dania, wajah kita serupa ke tak serupa ke, kita semua hamba ALLAH tau tak? Terserah pada DIA nak cipta rupa paras kita macam mana pun. Dania pun comel juga. Comel sikit saja. Kalau comel banyak, ramai pulak budak lelaki angau kat Dania. Abang pulak yang susah hati banyak!” Akhirnya, Ray memujuknya sambil ketawa riang. Detik ini, ketawa riang Ray semakin menjauh. Kini, Ray tidak ada lagi di sisinya. Hatinya menganyam rasa sepi.
“Dania...” Suara Ray seolah-olah membisik di teliganya. Dania menoleh ke kanan. Hanya kehampaan menjenguk wajahnya. Tak ada sesiapa di sana. Yang ada hanya bayangan Abang Ray yang tidak pernah menghindar daripada kenangan. Dania mengesat air mata yang tiba-tiba terbit di pipinya. Hatinya berasa sangat sunyi. Sejak Ray pergi, dia berasa kehilangan. Hidupnya rasa lesu dan tidak bermaya lagi. Hatinya terus dihempas gelombang rindu yang menderu. “Dania!” Laungan emaknya dari dapur menyentakkan lamunan gadis itu. Bayangan Ray segera menghilang. “Ya mak!” sahutnya kuat. Cepat-cepat kakinya diayun keluar dari bilik. Dania pergi ke dapur untuk membantu emaknya. “Iwan mana?” Lagi sekali suara emaknya menjerit dari dapur bertanyakan anak bongsunya. “Dia lambat balik, mak! Hari ni ada perlawanan bola sepak,” jawab Dania sambil berjalan. Sisa air mata dilap dengan baju-T yang tersarung di tubuhnya.
“Mak...” panggilnya sebaik sahaja berdiri rapat dengan emaknya yang sedang sibuk menyiang bawang. Fazidatul membalas senyuman Dania. “Dania dah siapkan kerja sekolah?” tanya Fazidatul. Dania menganggukkan kepalanya. “Dania menangis, ya?” Fazidatul merenung mata Dania yang kebasahan. Dania mengangguk lagi. “Dania teringatkan Abang Ray, mak...” beritahu Dania dengan suara bergetar. “Kenapa Abang Ray tak kirimkan surat kepada kita lagi, mak?” tanyanya sambil merenung wajah emaknya sayu. Sejenak wajah Ray seolah tertampal di situ. Menyebabkan Dania senyum sendiri. “Adalah masalah dia tu,” jawab Fazidatul perlahan. Menyembunyikan kerisauan di hati. “Tapi, Dania jangan bimbang. Mak yakin abang akan hubungi kita sedikit hari lagi. Mungkin dia tak sempat, Dania...” ujar Fazidatul cuba memujuk hati anak gadisnya itu. Dania menguntum senyuman. Alasan yang diberi oleh emak mungkin ada benarnya. Lega sikit rasa hatinya. Harap-harap sehari dua lagi mereka dapat menerima berita daripada Ray. Harap-harap. “Biar Dania tolong emak kupas ubi tu ya,” tawar Dania apabila melihat longgokan ubi keledek dan ubi kentang di atas meja. Kesedihan yang sedang bertakhta di jiwa, biar jangan ketara. “Bolehlah kalau rajin,” setuju Fazidatul. “Pucuk dicita, ulam mendatang,” katanya pula. Dania menyengih. “Mestilah rajin. Kan anak emak! Dania tolong buatkan inti karipap sekali, ya mak?” ujar Dania lagi sambil melambung diri sendiri. “Kalau nak tolong buat semua pun lagi mak suka,” usik Fazidatul. Anak gadisnya itu sudah boleh diharap. Setiap hari Dania akan membantunya membuat kuih untuk jualan. “Mak tak rindu kat abang ke?” tanya Dania sambil membuang kulit kentang. Dulu sewaktu Ray ada, mereka sama-sama menolong kerja emaknya di dapur. Menyediakan bahan-bahan untuk membuat kuih. Itupun sekiranya Restoran Abang Ba ditutup. “Mestilah rindu,” jawab Fazidatul. Pandangan matanya dilontar ke wajah Dania yang sedang menunduk. “Dania pun rindu jugak! Tambah-tambah kalau ada masalah nak buat homework! Lagilah Dania ingatkan abang,” adu Dania. “Abang tu pandai... sayang dia tak sambung belajar ke universiti, mak,” tukas Dania. Setahunya abangnya yang di aliran Sains, mendapat pangkat 1 dalam peperiksaan SPM. Keputusan STPM pun cemerlang. 5 prinsipal. 4A 1B. Tawaran ke universiti pun sudah diperoleh. “Bukan mak yang halang dia, Dania. Tapi sewaktu dia terima tawaran ke universiti, ayah meninggal dunia. Mak pun tak sihat,” jelas Fazidatul. “Abang terpaksa berkorban untuk kita semua.” Sayu kedengaran suara Fazidatul. Tiba-tiba dia teringatkan suaminya. Suaminya, yang hanya bekerja di bengkel membaiki kereta. Setelah kematiannya, mereka sekeluarga hilang tempat bergantung dan menyara hidup. Ray yang terpaksa mengambil alih dan melupakan cita-citanya. “Mak...” tegur Dania apabila melihat emaknya mengesat mata. Perasaannya kembali sebak. Kolam matanya mula memedih. “Mak, janganlah sedih. Dania saja tanya,” pujuk Dania penuh rasa bersalah. “Dania minta maaf, mak!” Bergetar suaranya menahan tangis.
“Tak Dania... bukan pasal tu,” jawab Fazidatul perlahan. Bagai ada sesuatu yang mencengkam hatinya. Semakin lama cengkamannya semakin kuat. “Emak sedih mengenangkan nasib Abang Ray kamu. Tak sama macam orang lain,” jelas Fazidatul sambil senyum pahit. “Kenapa pulak, mak?” tanya Dania. Ubi kentang yang berlonggok tadi sudah habis dibuang kulitnya. “Tak ada apa-apalah, Dania,” jawab Fazidatul lalu mengeluh perlahan. Bersembang lama-lama dengan anak gadisnya itu ada bahayanya. Bimbang pula Dania akan menyoal yang tidak-tidak. “Emak nak pergi sembahyang,” beritahu Fazidatul cuba mengelakkan diri. “Ubi keledek tu bolehlah mula gorengkan,” suruhnya kepada Dania. “Baik, mak! Kalau emak tak sehat biar Dania aje yang jaga gerai kuih petang ni. Esok pun cuti sekolah,” tawar Dania lagi. Membantu emaknya menjual kuih sudah menjadi tanggungjawabnya. Gerai tempat berjualan pun tidak jauh. Hanya di pinggir jalan besar di hadapan rumah mereka saja.

Tiada ulasan: