Selasa, 25 November 2014

Sapu Tangan Biru(Bab 26)





SELEPAS solat isyak, Ray merebahkan tubuh di atas katil bujang di dalam biliknya. Sebuah bilik yang dipisahkan dari rumah utama oleh garaj amat selesa untuknya. Dengan keluasan 20’x 20’ berserta bilik air dan tandas, Ray berasa dia sudah memiliki sebuah rumah. Hampir tiga bulan dia menjadi penghuni bilik itu. Bermakna sudah tiga bulan juga dia bekerja dengan Datuk Wahab. Datuk Wahab membayarnya RM1150 sebulan. Makan dan minumnya ditanggung. Bil letrik dan air percuma. Bilik tempat tinggalnya pun percuma. Dengan situasi yang begitu, Ray sudah merasakan hidupnya cukup mewah. RM500 dikirimkan ke kampung untuk membantu kehidupan emak dan adik-adik. RM650 disimpan untuk keperluansendiri.
Selepas peristiwa dibelasah oleh beberapa orang lelaki di tapak parkir tempat kerjanya sebelum ini, Ray mengikuti kelas tae kwan do. Dia mengikut Mat Ali belajar ilmu mempertahankan diri itu. Mat Ali juga menasihatkannya supaya membuat latihan fizikal di pusat gym yang banyak terdapat di bandar. Untuk menguatkan stamina, katanya. Ray terpaksa menggunakan sedikit wang gajinya bagi tujuan itu. Ray mencapai buku catatannya. Setiap peristiwa yang terjadi pada hari itu ditulisnya dengan kemas. Setelah itu, dia mengambil writing pad yang dibelinya tadi. Potret emak dan ayah yang tersimpan di dalam beg dikeluarkannya. Ditatap berulang kali. Potret Dania dan Iwan juga ditatapi. Hujung jarinya mengusap-usap potret Dania yang tersenyum manis. Ada rasa rindu yang menjalar. Potret Dania direnungnya tanpa rasa letih. Sesaat dia mengeluh sambil mencium gambar itu dalam-dalam. ‘Dania itu adik kamu! Jangan menyimpan perasaan lebih selain daripada seorang abang kepada seorang adik!’ bisik hati kecilnya. Ray terus menelan perasaan yang semakin menghimpit batinnya. Hajat untuk mengirim secebis berita buat emak dan adik-adik di kampung tidak ditangguhkannya lagi. Penanya terus laju menari.
Assalamualaikum, emak dan adik-adik tersayang... Semoga sihat dan gembira. Ray rindu pada emak dan adik-adik. Alhamdulillah, Ray di sini sihat. Ray masih menjadi drebar Datuk Wahab yang baik budi. Auntie Zarina isteri Datuk pun melayani Ray dengan baik. Eisha Safiya anak mereka yang berumur lima tahun mengingatkan Ray pada Dania sewaktu dia kecil dulu... Mak, Ray minta maaf sebab dah lama tak balik. Ray segan nak minta cuti daripada Datuk. Tapi, Ray janji setiap bulan Ray akan kirim duit untuk emak. Sekarang ni, Ray hantar lima ratus sebulan. Kalau ada rezeki lebih, Ray akan hantar lebih duit untuk emak. Ray sedang kumpul duit untuk beli telefon bimbit untuk emak dan Ray supaya senang kita berhubung.
“Abang Ren!” Ketukan di muka pintu biliknya telah melenyapkan konsentrasi Ray yang sedang bercakap-cakap dengan emak dan adik-adiknya di dada kertas. Dia bingkas bangun dari katil dan menerpa ke pintu.
“Eisha,” sapa Ray lalu duduk mencangkung sehingga sama paras dengan Eisha Safiya yang berdiri di muka pintu. “Buat apa Eisha main-main kat luar ni! Kan dah malam? Jom, Abang Ray hantar ke rumah balik. Nanti mama cari Eisha,” kata Ray dengan suara keanak-anakan. “Abang Ren, mama ajak makan...” jawab Eisha Safiya petah. Tangannya menarik kain pelikat yang sedang dipakai Ray. “Alah... Abang Ray dah makanlah, sayang,” beritahu Ray sambil menggaru-garu dadanya yang tidak berbaju. Dia berat hati untuk menerima pelawaan isteri muda Datuk Wahab itu. Jarang sekali dia masuk ke rumah besar itu sejak dia bekerja di situ.
“Abang Ren!” bentak Eisha Safiya dengan suara halusnya. Ray ketawa. Bibir Eisha Safiya yang memuncung dicuitnya manja. “Nama abang, Ray bukan Ren,” ujarnya. Sudah acapkali dia membetulkan sebutan namanya. Agaknya si kecil cuba menyebut nama penuhnya, Raiyan. Disebabkan pelat, Raiyan menjadi Ren! “Jomlah...” Eisha Safiya merengek panjang. Kali ini, dia menarik-narik tangan Ray pula. “Tak mahulah, sayang. Abang Ray kenyang lagi ni. Eisha masuk sekejap. Tunggu Abang Ray pakai baju. Abang hantarkan Eisha balik ke rumah ya...” pujuk Ray.
Walaupun jarak biliknya dengan rumah utama tidak sampai 30 kaki, dia tetap bimbangkan keselamatan Eisha Safiya. Manalah tahu ada penjahat yang sedang mengendap di luar pagar dan menunggu peluang untuk menculik kanak-kanak cerdik itu. Lagipun Eisha Safiya anak orang kaya. Kalau diminta tebusan satu juta pun, Datuk Wahab sanggup adakan. “Abang, kita nak dukung,” pinta Eisha Safiya sambil menghulurkan tangannya kepada Ray. Ray sudah menyalin kain pelikat kepada seluar sukan berwarna putih dan berbaju T putih juga. “Okey,” kata Ray lalu mengangkat Eisha Safiya. Langkah diatur menuju ke rumah utama. “Mama...” panggil Eisha Safiya sebaik sahaja sampai ke pintu dapur. Ray menurunkannya di muka pintu. Eisha Safiya terus berlari masuk ke dalam rumah. “Masuk, Ray,” ajak Zarina tanpa melihat pemuda itu. Dia sedang bersibuk-sibuk membantu pembantu rumah menyediakan hidangan. “Auntie, saya hantar Eisha aje,” balas Ray dan berpusing balik ke belakang untuk ke biliknya semula. “Ray,” panggil suara seorang lelaki. Langkah Ray terhenti. Dia menoleh. Datuk Wahab menggamitnya dari muka pintu. Ray kembali semula ke rumah utama. Tangan yang dihulurkan oleh Datuk Wahab disambutnya penuh hormat. “Masuk Ray, kita makan malam sama-sama,” pelawa Datuk Wahab. “Err... tak apalah, Datuk...” Ray cuba menolak. “Saya dah beli nasi bungkus tadi,” terangnya. Teringat pula pada surat yang sedang ditulis. “Astaghfirullahalazim. Buat apa Ray beli nasi bungkus? Kan saya dah beritahu, makan minum ambil aje dalam rumah ni,” kata Datuk Wahab. “Masuk... masuk!” desaknya. Mahu tak mahu, Ray melangkah juga masuk ke dalam rumah besar itu. “Horeyy!” jerit Eisha Safiya. Lantas, dia memanjat ke ribaan Ray sebaik saja Ray duduk di kerusi. “Abang Ren suap kita,” rengek Eisha Safiya sambil mendongak melihat ke wajah Ray. Ray senyum padanya sambil mengangguk. “Sebut nama abang betul-betul dulu. Abang Ray...” “Abang Ren!” balas Eisha Safiya sambil menekankan suaranya. Matanya dibesarkan. “Eh... tak... tak...” Dia terlatah-latah pula apabila Ray merenungnya dengan ekor mata. Ray merenung dengan kasih sayang sambil mencubit perlahan pipi si kecil itu. Eisha Safiya menyeringai lalu merengkuh leher Ray. “Abang Rray!” pekiknya di telinga Ray. Pekikannya kuat sehingga membingitkan telinga Ray. “Hah! Pandai pun!” puji Ray sambil mencium pipi Eisha Safiya. Datuk Wahab yang melihat telatah Eisha Safiya dan Ray senyum. Ada rasa bahagia menyelinap di lubuk hatinya. Zarina yang ada di situ turut senyum meleret. “Eisha ni, sejak Ray ada di sini, bukan main manja lagi dia dengan Abang Raynya...” adu Zarina. Dia mencedokkan nasi untuk suaminya. Setelah itu untuk Ray. “Tak apa, auntie. Saya dah biasa dengan budak-budak. Dulu saya yang jaga adik-adik saya,” cerita Ray. Rambut Eisha Safiya dielusnya perlahan. Rambut Eisha ikal sama macam rambut adiknya, Dania. ‘Rindunya pada Dania,’ hatinya membisik. Pada saat mengingatkan Dania, jiwanya rasa bergetaran. Jika dia ada sayap terasa ingin terbang pulang ke kampungnya pada waktu itu juga. “Ray, dua minggu lagi cuti sekolah, kan? Kalau Ray nak balik kampung tengok emak dan adik-adik, saya beri cuti seminggu,” beritahu Datuk Wahab tiba-tiba. Piring yang terisi udang goreng dirapatkannya kepada Ray. Mendengarkan kata-kata itu Ray tersenyum lebar. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Lelaki di hadapannya itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya pula. “Betul ke, Datuk?” soal Ray lembut. Datuk Wahab mengangguk. “Waktu cuti sekolah nanti, kami pun nak pergi bercuti,” sampuk Zarina pula. Walaupun lokasi percutian mereka belum ditetapkan, tapi suaminya telah berjanji akan bercuti ke luar negara. “Kalau Datuk kata begitu, saya ikut aje,” balas Ray. Di matanya kini hanya ada wajah emak, Dania dan Iwan. Rasa rindu sudah mengepal kian lama. Kadangkala rasa rindu itu amat menyakitkan. “Lepas hantar kami ke airport saja, Ray terus balik ke kampung,” pesan Datuk Wahab. “Baik, Datuk...” setuju Ray. Hatinya semakin menguak lapang. Semoga rindu yang terhimpun di hujung jantung akan terurai.
GERIMIS sejak dari pagi membawa hingga ke tengah hari. Dania yang baru pulang dari sekolah mengayuh basikal perlahan-lahan. Dia yang terpaksa memegang handle basikal sebelah tangan saja kerana tangannya lagi sebelah memegang payung, harus berhati-hati. “Oi, Dania! Tak tahu nak berhenti dulu ke? Boleh ke kau bawa basikal macam tu!” laung satu suara lelaki entah dari mana.
Dania tidak mengendahkan laungan itu. Lebih kurang 30 meter lagi, dia akan sampai ke rumah. Pandangannya hanya terfokus ke depan. Jalan yang sedang dilalui pula berlubang-lubang. “Dania! Tunggulah oii!” panggil lagi satu suara. Kali ini suara itu dicamnya benar. Suara Aminah, anak ketua kampung. Aminah pun berbasikal ke sekolah macam dia juga. “Dania! Tunggu ambil surat ni!” jerit Aminah. Mendengar perkataan surat, Dania membrek mengejut. Tindakannya itu menyebabkan tayar hadapan basikal tergelincir ke lubang yang agak dalam dan panjang. “Aduh!” jerit Dania kesakitan. Punggungnya sudah mendarat di atas tanah yang becak. Lebih malang lagi kedua tangannya juga tercelup dalam air lecah yang keruh dan likat. “Ya ALLAH!” Aminah yang baru tiba pula terpekik. Setelah itu, dia ketawa melihat Dania yang bersalut dengan lecah seolah-olah kerbau sedang berkubang di dalam lumpur. “Kau punya pasallah ni!” marah Dania lalu bangun. Baju kurung putih dan kain biru sudah bertukar warna. “Bak surat!” katanya sebaik berdiri. “Tunggulah! Amboi, tak sabar-sabar! Kenapa tak singgah kat kedai Pak Muin tadi?” tanya Aminah. Dia meraba-raba poket sebelah luar beg sekolahnya. “Cepatlah!” desak Dania tak sabar. Gerimis semakin kasar. Kini, kepala mereka berdua hanya berpayungkan langit yang memutih. “Sabarlah...” kata Aminah. “Surat daripada balak kau ke? Tak sempat-sempat! Nasib baik aku tolong ambilkan di kedai tadi,” ungkit Aminah. Hatinya mulai kecut. Surat yang ditujukan kepada Dania tiada pula di dalam begnya. “Eh, tak adalah Dania,” beritahunya sesal dengan dahi berkerut. “Kat mana aku letak tadi ya?” soalnya kepada Dania sambil menggaru-garu kepala. Sekali lagi Aminah membuka beg sekolahnya. “Alah, mesti kau ci...” balas Dania. Namun kata-katanya terhenti begitu sahaja kerana matanya terlempar ke arah becak yang agak melebar di atas jalan. Satu sampul surat sudah terendam separuh di dalam air yang keruh kekuningan. “Hah... tu dia! Kan aku dah kata kau dah cicirkan,” kata Dania sambil menerpa ke arah sampul surat itu. Aminah pun ikut sama. “Alah, dah basah!” kata Dania dan Aminah serentak. “Maaflah Dania, aku tak sengaja. Aku ingat aku nak tolong kau. Kalau tahu jadi macam ni, baik aku biarkan saja surat kau kat kedai tadi,” ujar Aminah. “Tak apalah Aminah, nak buat macam mana,” balas Dania menyembunyikan rasa kecewa. Sampul surat yang sudah basah dilap dengan baju kurungnya. Sekali lagi Aminah melambakkan tawanya. “Hah! Sudah, Dania! Lap kertas basah dengan kain basah pulak,” perlinya sambil ketawa. “Surat daripada siapa Dania? Biar aku pergi jumpa mamat tu, suruh dia tulis lain,” kata Aminah. Mereka sudah menyonsong basikal sambil berjalan perlahan. “Mana aku tahu,” jawab Dania. Kecewa hatinya kerana tidak dapat membaca surat itu. Pasti apabila dibuka sampul surat itu nanti, tulisan pada lembaran suratnya sudah kembang. Tidak berapa lama berjalan, mereka sampai di persimpangan menuju ke rumah Aminah. Dua sekawan itu terpaksa berpisah di situ. “Okey, Dania. Aku dah sampai kat rumah. Jumpa lagi esok!” kata Aminah. “Okey, terima kasih!” balas Dania.
Rumah yang sudah kelihatan dari jauh menyebabkan Dania mengayuh basikal dengan laju. Tidak sabar rasanya untuk sampai ke rumah. Surat yang terendam di dalam air akan diusahakan juga untuk dibaca walau apa juga caranya. ‘Jangan-jangan surat daripada Abang Ray,’ tebak Dania. Perasaan rindunya terus menggebu. Kayuhan basikalnya semakin laju. Keinginannya untuk membaca surat terus membuak. Sampai saja di rumah tak sempat menyalin baju, Dania menerpa seterika yang terletak di tepi dinding. “Astaghfirullahalazim, Dania! Buat apa tu?” Terjerit Fazidatul melihat Dania yang bersungguh-sungguh menggosok kertas. Asap putih mengapung-apung di sekelilingnya. “Dengan baju kain kotor berseloteng lecah! Basah pulak tu! Apa yang dah terjadi ni, Dania?” leter Fazidatul dengan suara kuat. “Dania buat apa tu? Kerja sekolah yang cikgu suruh buat ke? Gosok kertas dengan seterika! Nak buat eksperimen ke?” tanya Fazidatul yang hairan melihat Dania menggosok kertas bersungguh-sungguh. “Bukan kerja sekolah, mak,” jawab Dania. “Surat Abang Ray jatuh dalam lecah,” adu Dania sambil menangis. Teresak-esak pula. “Astaghfirullahalazim, surat Abang Ray jatuh dalam lecah Dania menangis teruk macam ni sekali? Dengan comotnya? Eeii, pergi mandi dulu! Dah macam anak kerbau jatuh dalam kubang aje!” marah Fazidatul lagi. “Alah, mak! Dania nak baca apa yang abang tulis untuk Dania,” tangis Dania. “Dania dah rindu sangat pada dia...” “Alah, Dania! Tak payah baca pun tak apa. Emak dah tahu dah apa yang Abang Ray tulis untuk Dania,” celah Fazidatul. “Mesti abang cakap dia rindu kat Dania. Kalau Dania sayang kat abang, belajar rajin-rajin,” kata Fazidatul cuba mengusik Dania. “Pergi bersihkan diri, Dania. Surat tu bagi pada mak.Biar emak simpan,” katanya lagi. Sebagaimana Dania, dia juga teruja hendak mengetahui khabar berita daripada Ray. Apa agaknya yang ditulis oleh Ray kepada Dania? Fazidatul cuba meneka-neka. ~~~~~~bersambung~~~~~

Tiada ulasan: