Isnin, 8 Jun 2015

Cinta Tak Pernah Usai Bab 1

TERIKNYA cahaya matahari tengah hari itu, bagaikan menggigit kulit-kulit yang terdedah di bawah panahannya. Sudah beberapa minggu cuaca berkeadaan begitu. Bumi kini benar-benar sedang kehausan. Hanya mengharapkan belas ehsan dari TUHAN, semoga DIA menurunkan titisan air dari langit buat menyegarkan semula tanah-tanah yang gersang.
“Panasnya cuaca hari ni,” rungut Dayana. Bibir yang kering dijilatnya berkali. Tekaknya pun terasa haus. Meskipun kereta yang sedang dipandu berhawa dingin, bahang mentari yang garang tetap juga menembusi. Mata Dayana meliar kembali mencari pasar mini yang dikatakan oleh emaknya.
‘Hah! Itupun dia...Pasar Mini Akif! Tersorok pulak kedainya,’rungutnya lagi.Bola matanya terus bergerak ke kiri dan ke kanan memerhati tempat parkir.
‘Macam inilah orang Melayu, asalkan ada tempat untuk berniaga, tempat macam ni pun nak bukak pasar mini! Tak strategik langsung tempat ni! Laku ke?’ rungut hati kecilnya lagi. Di matanya terbayang kotak-kotak yang terisi kerepek di dalam boot kereta. ‘Silap-silap hari bulan kerepek aku tu, tak laku walaupun satu bungkus,’ kata hatinya pula. ‘Tapi bukankah ALLAH telah menetapkan rezeki kepada setiap hamba-NYA?’ Hati kecilnya seolah-olah memujuknya pula. Matanya terus meliar.
“Alhamdulillah...”ucapnya sambil tersenyum. Ada satu lagi ruang parkir yang masih kosong di bawah pokok di hadapan pasar mini itu. Dayana lalu memarkirkan kereta Kelisanya. Setelah itu, dia cepat-cepat keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke pasar mini yang memang dicarinya itu.
Hari itu dia berseluar jeans dan berkemeja lengkap bertudung. Lantaran itu hayunan langkahnya pun deras. Tidak seperti selalu, langkah kakinya terbatas kerana berbaju kurung. Masuk sahaja ke dalam pasar mini dia terus menuju ke peti sejuk yang ada di pasar itu. Sekotak minuman diambil buat menghilangkan kehausan.
Kelihatan seorang pemuda berbaju T hitam yang sedang memikul kampit-kampit beras ke arah stor di belakang kedai. ‘Mungkin pembantu kedai ini,’teka hati Dayana. Keyakinannya bertambah teguh apabila melihat bahagian belakang baju T yang dipakai oleh pemuda itu tertera perkataan Pasar Mini Akif.
“Nak cari apa, akak?” Tiba-tiba ada suara yang menegur dari arah sisinya. Dayana terkejut lantas menoleh. Seorang pemuda yang lain, berkulit cerah dan berwajah bujur tersenyum lebar memandangnya. Apabila Dayana tidak menjawab pertanyaannya, pemuda itu mengangkat sebuah kotak yang agak berat dan mengalihkannya dari situ. Setelah itu dia kembali ke sisi Dayana.
“Tak jumpa ke barang yang akak nak? Biar saya tolong carikan,” tawarnya sambil tersenyum lagi. Agak lama matanya menyorot ke wajah gadis yang sedang asyik menyedut minuman itu. “Hmm... saya cari tauke kedai ni! Dia ada tak? Saya nak jumpa dengan dia sekejap. Ada hal nak runding,” beritahu Dayana sambil tersenyum manis. Minuman di dalam kotak terus disedut tanpa mempelawa pemuda itu. Pemuda itu hanya memerhatikannya sambil tersenyum. “Haus ya?Cuaca panas sangat hari ni! Kalau tak cukup air tu, ambillah lagi dalam peti tu,” ujar pemuda yang menegurnya tadi sambil berlalu dari situ. Pertanyaan daripada Dayana tadi tidak berjawab. Beberapa minit Dayana menunggu di celah rak yang terisi dengan pelbagai barangan keperluan dapur, pengurus pasar mini itu tidak juga muncul. Pemuda yang menegurnya tadi datang kembali di sisinya. Dia mengambil tin-tin susu di dalam kotak dan menyusunnya di atas rak berhampiran Dayana.
“Encik,tauke tak ada ke?”soal Dayana. Dia seakan hilang sabar. Sepanjang dia berada di situ, tidak nampak pun lelaki berumur yang boleh dianggap sebagai pengurus pasar mini yang agak besar dan maju itu. Tidak sangka pula kedai yang tersorok itu ramai pelanggannya. “Ada...kenapa akak nak jumpa dengan tauke?”soal pemuda berwajah bujur itu sambil merenung Dayana. Gadis itu memakai kemeja lengan panjang berwarna merah jambu berjalur putih jarang-jarang. Berseluar jeans biru muda dan berkasut sukan. Kepalanya ditutupi tudung berwarna putih. Wajahnya yang cantik nampak bersahaja. Dayana tidak menjawab pertanyaan pemuda itu. Puas meninjau hatinya diintip kecewa.
“Kalau tauke tak ada, saya baliklah! Esok saya datang lagi,”kata Dayana lalu menuju ke kaunter untuk membayar air kotak yang telah menghuni perutnya. “Saya ingat nak tumpang letak kerepek kat pasar mini ni,” beritahu Dayana sambil tersenyum manis. “Kerepek? Mana kerepeknya?”soal pemuda itu sambil mengekori Dayana menuju ke parkir kereta sebaik sahaja urusan di kaunter selesai. Dayana tidak menjawab. Sampai di kereta, dia pun mengeluarkan sebuah kotak dari dalam boot kereta lantas meletakkannya di atas aspal jalan.
“Ini, kerepek-kerepeknya! Ayah saya yang cadangkan supaya tumpang letakkan di pasar mini ini. Sebab itulah saya nak jumpa dengan taukenya! Sayang, dia tak ada pulak,” beritahu Dayana. Sebuah lori menderu laju di belakang Dayana sewaktu dia terbongkok-bongkok membuka kotak untuk menunjukkan kerepek kepada pemuda tadi.
“Astaghfirullahalazim!” Yang kedengaran di telinga Dayana ialah suara pemuda itu beristighfar panjang dan sederas itu telapak tangan pemuda itu menghinggapi atas punggungnya. Dayana tersentak dan terus menjerit.
“Hei!”pekiknya kuat. Bibirnya tidak sempat mengungkapkan kata-kata lagi kerana teramat marah. Dia menjegilkan matanya kepada pemuda itu sebelum memasuki kereta dan menghidupkan enjin dengan hati yang membengkak. Perasaan marahnya meruap. Kotak yang penuh berisi dengan kerepek ditinggalkannya begitu sahaja. “Akak! Akak!” Pekikan kuat daripada pemuda itu yang memanggil serta melaungnya tidak dipedulikan langsung. Dayana terus memecut meninggalkan tempat itu dengan perasaan yang menggelegak.
“Kurang ajar punya jantan! Raba punggung aku pulak!”rungutnya dengan perasaan geram yang semakin membuak bercampur malu.

Tiada ulasan: