Khamis, 11 Jun 2015

Cinta Tak Pernah Usai -Bab 2

POHON-POHON padi meliuk lentok dibelai bayu. Tiupan angin yang bertukar-tukar arah mengalun-alunkan batang-batang pokok padi itu ke kiri dan ke kanan. Senyuman terlukis di bibir Dayana apabila melihat pemandangan alam yang mengasyikkan itu. Pokok-pokok padi seakan menari. Warna kehijauan menyegarkan mata yang memandang. Bahkan dia juga terasa nyaman apabila tiupan angin yang lembut menyentuh pipi dan lengannya. Subhanallah. Nikmatnya anugerah TUHAN ini, dapat dikongsi bersama pokok-pokok dan setiap makhluk di atas muka bumi ini,bisik hati Dayana. Dia menghirup udara segar di tepi sawah sambil mendepangkan tangannya serta bertasbih bersama dedaunan, awan, burung-burung dan sekalian makhluk ciptaan TUHAN.
“Yana, sudahlah tu! Pergi balik! Jangan tergedang-gedang lagi di situ! Tu matahari dah menggalah!”jerit Mak Bedah dari teratak kecil yang terbina di tepi sawah. “Yana!”panggilnya lagi apabila melihat anak gadisnya itu masih tidak berganjak dari tadi. “Ya, mak!”jawab Dayana sambil menoleh kepada emaknya dan berjalan perlahan di atas tanah batas yang lembik. Bibir Mak Bedah mengukir senyuman apabila melihat anak gadisnya berjalan lambat-lambat menghampirinya. Kain tudung yang menutupi kepala anaknya itu terangkat-angkat kerana ditiup angin dari sawah. “Alah, mak ni! Yana nak berlama-lama sikit di sawah ni pun tak boleh! Dahlah nak turun ke sawah tu mak tak pernah izinkan! Nak ambil angin di tepi sawah pun, mak dah marah,” rungut Dayana sambil duduk di sebelah emaknya. Mak Bedah ketawa kecil mendengar rungutan anak kesayangannya itu. “Yana nak cari apa dalam bendang tu? Nak cari lintah! Eee...mak sendiri pun takut! Yana nak turun ke dalam bendang, tunggu musim menuai nanti! Bendang dah kering. Lintah pun tak ada,” jawab Mak Bedah dengan panjang lebar. “Ni, ubi kayu ni bawa balik. Sampai ke rumah nanti terus buang kulitnya,” suruh Mak Bedah sambil menghulur sebuah bakul kecil ke tangan Dayana. Ubi kayu yang ditanam di tepi bendangnya itu baru dikoreknya sebentar tadi. “Bekalan pisang yang Yana hendak tu, petang nanti ada orang hantar ke rumah. Hari ni Yana buat kerepek ubi dulu,” arah Mak Bedah pula. Dayana hanya membisu. Dia terkenangkan peristiwa yang memalukannya itu. Jika diikutkan, hatinya tidak mahu lagi membuat kerepek untuk jualan. Namun, apabila mengenangkan yang kerepek buatannya menerima banyak permintaan tanpa melibatkan Pasar Mini Akif, Dayana bersemangat kembali. “Nanti Yana tak payah mintak kerja lainlah, ya mak! Biar jadi usahawan kerepek aje,” kata Dayana cuba bergurau dengan emaknya. “Terserah pada Yana,” jawab Mak Bedah sambil merenung sayang wajah anak gadisnya itu. Itulah satu-satunya zuriat yang tinggal setelah kematian dua orang anaknya yang lain. Yang sulung dan yang bongsu. “Dulu ada tawaran sambung belajar, Yana jugak yang tolak,” ungkit Mak Bedah. “Alah! Ramai orang yang ada ijazah bergulung pun masih menganggur, mak! Apabila gagal memperolehi pekerjaan, akhirnya terpaksa bekerja sendiri jugak,” jawab Dayana. “Asalkan kita rajin berusaha, ada cita-cita disamping selalu berdoa kepada ALLAH, insya-ALLAH di mana-mana pun boleh dapat rezeki, mak! Lagipun kalau duduk jauh dengan mak, tak dapatlah Yana nak bermanja,” rengek Dayana sambil tersenyum sewaktu melihat wajah emaknya. Sebenarnya pada waktu dia mendapat tawaran untuk menyambung pengajiannya, emaknya tidak begitu sihat.
“Hmm...yalah! Kalau Yana dah letih nak buat kerepek nanti, ada orang datang meminang Yana, mak kahwinkan aje,” usik Mak Bedah sambil ketawa. Dayana pun turut ketawa menunjukkan giginya yang tersusun cantik. “Takkanlah Yana dah letih buat kerepek ni. Duit ansuran kereta tu nanti takkan ayah nak bayar pulak,” balas Dayana manja. Kereta Kelisa kesayangannya itu dibeli dengan duit hasil titik peluhnya sendiri. “Nanti ada peluang, Yana pergilah ikut kursus yang dianjurkan kerajaan. Kursus usahawan ke. Dalam negara ni dah ramai orang berjaya dalam bidang keusahawanan ni, mak. Ada yang kerepek-kerepek mereka dieksport ke luar negara! Mak tak mahu anak mak berjaya sehingga ke tahap itu?”tanya Dayana bersemangat. “Nak-naknya industri kecil dari kaum bumiputera ni, kerajaan pun senang nak bantu,” sambungnya lagi dengan rasa kesyukuran kerana menjadi rakyat Malaysia.
“Kalau betul-betul bersemangat dan bersungguh-sungguh, mak sokong! Tapi jangan hangat-hangat tahi ayam. Memang sahlah kena kahwin kalau ada orang datang meminang, nanti,”usik Mak Bedah lagi. “Alah mak ni! Jangan nak kahwinkan Yana dengan lelaki tak tahu asal-usulnya!Tak nak Yana,” jawab Dayana sambil berpura memuncungkan bibirnya pula. “Habis, Yana tu asyik terperuk di celah ketiak mak, dah ada buah hati ke?”soal Mak Bedah sambil tersenyum meleret. “Siapalah yang nakkan Yana ni mak,” jawab Dayana merendah diri,seolah-olah merajuk sambil matanya menjeling melihat wajah emaknya.
“Yana... Yana! Mak ni dah lama makan garam! Tak ada buah hati konon! Tu, surat yang selalu posmen hantar tu,” tukas Mak Bedah. Matanya melirik ke wajah anak gadisnya yang tersipu malu. Dayana hanya memasang telinga untuk mendengar kata-kata seterusnya daripada emaknya. “Yana sedang bercinta dengan Ikhwan, kan?”tebak Mak Bedah sambil ketawa. Dayana terus tergelak. “Mana ada mak! Ikhwan tu kawan biasa aje,” sangkal Dayana sambil ketawa. Pipinya mulai memerah keranarahsia yang disembunyikan dapat diteka oleh emaknya. Dia terasa malu.
“Mula-mula kawan biasalah, lama-lama esok mesti jadi luar biasa pulak! Rindu-merindu,”usik Mak Bedah lagi. Matanya melirik ke wajah Dayana yang tersenyum malu. “Kalau tidak saling merindu, takkanlah kerap berkirim surat!”giat Mak Bedah lagi. “Nak buat apa rindu pada dia. Baik Yana rindu pada mak ni,” dalih Dayana masih cuba menyembunyikan rahsia.“Pandang wajah mak, pahala pun dapat,” sambungnya lagi sambil ketawa riang. “Rindu pada mak nak buat apa! Memang dah ada depan mata! Yana... Yana, pandai aje nak main sorok-sorok dengan mak ya!”perli Mak Bedah. Bakul yang berisi ubi kayu dihulurkannya kepada Dayana. “Dah, Yana! Pergi balik,” suruh Mak Bedah sebaik sahaja bakul berisi ubi kayu bertukar tangan. Dayana beredar dari sisi Mak Bedah setelah mencium pipi emaknya itu. SETELAH meninggalkan petak-petak sawah, dari jauh lagi Dayana perasan, rumahnya dikunjungi tetamu yang tidak dikenali. ‘Siapa pulak tu?’soal hatinya. Langkahnya semakin laju. Seorang remaja lelaki menunggunya sambil duduk di atas motosikal di depan tangga rumahnya.
“Akak! Kak Dayana, kan?”soal remaja lelaki itu sebaik sahaja Dayana menghampirinya. Dayana mengangguk. “Saya dah tanyakan kepada budak-budak yang berada di kedai kat simpang tu, sambil tunjukkan label kerepek ni! Mereka kata, akak yang usahakan kerepek di kampung ni,” cerita remaja itu lagi sambil turun dari motosikalnya.
Dayana tersenyum malu. ‘Glamor jugak kerepek-kerepek buatan aku,’ bisik hatinya. “Ni, Abang Akif suruh saya hantar duit! Lepas tu dia suruh akak datang ke kedai jumpa atau telefon dia,” beritahu remaja itu lagi sambil menghulurkan bisnes kad kepada Dayana. “Duit? Abang Akif? Siapa dia tu? Eh, saya tak kenal dia lah! Kenapa tiba-tiba nak bagi duit pulak! Saya tak mahu,” kata Dayana menolak pemberian remaja lelaki itu. “Abang Akiflah. Tuan punya PASAR MINI AKIF tu,” jelas budak itu lagi. “Dua ratus ringgit ni, kak! Takkan akak tak mahu! Rezeki jangan ditolak,” pujuk remaja lelaki itu lagi. Tangannya masih menghulurkan kepingan not RM50 kepada Dayana.
“Rezeki yang diragukan halal atau haramnya, harus ditolak! Saya tak mahu terlibat dengan perkara syubhah! Mintak maaf,” tegas Dayana sambil melemparkan senyuman. Bukankah setiap muslim wajib memastikan sumber pendapatan yang diperolehinya, halal.
“Kalau begitu akak datanglah ke pasar mini tu, jumpa dengan Abang Akif,” pujuk remaja lelaki itu lagi. “Mintak maaflah, saya tak mahu! Saya tak suka,” jawab Dayana. Hatinya kembali bergelora dengan perasaan marah. Walaupun tidak tahu siapakah lelaki yang bernama Akif itu, bayangan wajah pemuda yang telah memegang punggungnya dengan cara yang biadap, terakam di dalam ingatannya. Dayana mengetap-ngetap bibirnya menahan geram.

Tiada ulasan: