Khamis, 11 Jun 2015

Cinta Tak Pernah Usai Bab 3

HIDUP tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh memusnahkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan. Memang rezeki itu ada di mana-mana, datangnya tanpa diduga, tepat pada masa yang ditentukan oleh-NYA. Namun, setiap manusia itu mesti berusaha dan bertawakal. Setelah seminggu memendam perasaan geram, akhirnya hati Dayana dilunakkan kembali oleh nasihat ayahnya.HariSabtu itu, mahu tidak mahu dia terpaksa mengunjungi Pasar Mini Akif sekali lagi setelah didesak oleh ayah dan emaknya.
“Saya nak jumpa dengan tauke!”Sekali lagi bibirnya mengulangi permintaan yang sama seperti minggu sebelumnya. Remaja lelaki yang datang ke rumahnya memberi isyarat mata kepada Dayana. “Tauke ada kat bilik belakang! Err...pejabat kat belakang,” beritahu remaja itu lagi. Dia menggaru-garu belakang telinganya sambil merenung Dayana tanpa berkelip. “Pejabat?”soal Dayana ragu-ragu. ‘Mustahil kedai yang macam kapal barang yang sarat dengan muatan ni ada pejabat,’bisik hati Dayana. Apabila Dayana kelihatan ragu-ragu, remaja lelaki itu mengarahkan tangannya pula. “Pergilah kak! Di hujung sebelah kiri. Bilik bercermin tu! Dekat guni beras yang banyak-banyak tu,” beritahu remaja lelaki itu lagi. Dayana menoleh ke belakang. Mahu tidak mahu, Dayana terpaksa melalui celah rak yang sarat dengan barang menuju ke bilik yang dikatakan oleh pemuda tadi. Dayana lihat seorang lelaki muda sedang menundukkan wajahnya meneliti kertas-kertas dan laptop di atas meja dengan tekun. Kehadiran Dayana langsung tidak disedari kerana Dayana menolak daun pintu dengan perlahan. Bilik berhawa dingin itu bersaiz 12’ x 12’ sekadar boleh memuatkan sebuah meja tulis yang agak besar dan dua buah kerusi. Langsir tebal berwarna biru tua tersingkap ke tepi dinding. “Encik,” sapa Dayana sebaik sahaja menghampiri meja. Pemuda itu mendongak melihat Dayana. Mereka bertentang mata beberapa ketika tanpa bersuara. Masing-masing terkesima.
“Assalamualaikum...” ucap pemuda itu beberapa saat selepas itu. Bibirnya menguntum senyuman manis. Berderau darahnya seketika. Darah Dayana pun terasa menyirap ke kepala. Hatinya seolah-olah terbakar. Perasaan marahnya meledak kembali. “Awak?”soalnya. Tidak rela dia duduk berdepan dengan lelaki yang telah bersikap biadap terhadapnya. Dayana terus meluru ke pintu. “Akak! Nanti... nanti dulu! Jangan pergi lagi! Saya nak order kerepek ni!”teriak pemuda itu cuba menghalang Dayana. Langkah kaki Dayana terhenti di ambang pintu. Dia menoleh dan merenung pemuda itu. “Nak order kerepek?”soalnya kuat. Matanya merenung marah. “Ah,tak mahulah saya berurus niaga dengan lelaki tak sopan macam awak ni!”tempelaknyalagi dengan nada marah dan geram. Masih terasa telapak tangan pemuda itu berada di punggungnya. Pipinya terasa hangat. “Ramai lagi orang lain yang nak beli kerepek saya!”sambung Dayana dengan muka masam. Bukan tujuannya untuk bersikap angkuh,namun insiden kelmarin benar-benar menggugat kesabarannya. “Tak baik cakap macam tu! Tak kenal maka tak cinta,” kata pemuda itu sambil menyeringai. Wajah Dayana ditenungnya lama sambil tersenyum mesra.
“Itu skrip dah lapuklah!”perli Dayana dengan perasaan geram.“Tak ingin saya nak kenal dengan awak,” sambungnya lagi sambil mengetap bibir dan menjeling tajam. Pemuda dihadapannya itu masih berwajah tenang dan tersenyum lebar. Sikap garang dan keras kepala yang dipamerkan oleh gadis cantik di depannya itu mencuri tumpuannya. Teringin pula dia hendak menyakat gadis itu. Sekadar untuk menduganya. Sejauh mana kegarangan yang menyalut hati dan sekeras mana hatinya. “Yang itu lagi tak baik! TUHAN menjadikan manusia bermacam bangsa dan jantina untuk saling kenal mengenal dan berkasih sayang,” sampuk pemuda itu pula. Kata-kata itu semakin memarakkan lagi perasaan geram di hati Dayana. Walaupun tidak berniat untuk menafikan pendapat pemuda itu, dia rasa tersindir. “Yang itu saya tak nafikan! Tapi apa hak awak nak pegang punggung saya? Huh!”dengus Dayana. Perasaannya seolah-olah terbakar bila mengenang kembali insiden kelmarin. Lantas dia terus melontarkan kemarahan yang terpendam selama ini.
“Saya buat laporan polis, sebab awak cuba mencabul kehormatan saya, baru padan muka!”kata Dayana lagi dengan nada geram. Mukanya sengaja dimasamkan. Pemuda itu ketawa seketika. Barulah dia tahu punca kemarahan gadis cantik di hadapannya itu. “Astaghfirullahalazim! Akak! Sampai hati akak tuduh saya macam tu. Saya mintak maaf, kalau perlakuan saya kelmarin kurang sopan. Tapi saya sedang cuba jaga kehormatan akak! Bukan nak mencabul kehormatan.” “Apa maksud awak?”pintas Dayana. Matanya dibulatkan sewaktu menentang mata pemuda itu. “Jeans yang akak pakai kelmarin, cawatnya pendek sangat! Bila akak terbongkok-bongkok, tertonggeng-tonggengdan baju kemeja yang akak pakai pulak terselak ditiup angin, nampak separuh punggung akak! Seluar dalam akak yang warna merah jambu tu pun saya dah nampak! Saya cuba betulkan baju akak sebab nak tutup aurat akak yang tak sepatutnya menjadi tontonan orang lalu lalang di situ,” jelas pemuda itu dengan panjang lebar. Dengan jujur dan berterus terang.
“Tak guna kepala bertudung kalau aurat lain terdedah, ternganga.” Sinis kata-katanya, sekadar menduga gadis itu. Berdesing telinga Dayana yang mendengarnya. Penerangan itu menyebabkan kulit wajah Dayana terasa lebih tebal dan tegang serta panas. Dia terpaku di tempatnya berdiri seketika. Nafasnya turun naik. Matanya merenung pemuda di hadapannya itu dengan renungan tajam. Pemuda berwajah bujur itu tersenyum dan menentang matanya. Mereka beradu pandangan beberapa ketika. “Awak sengaja ambil kesempatan! Saya tak sukalah!” marah Dayana lagi. Bibirnya diketap sambil menjeling tajam. Sengaja dikeras-keraskan hatinya, jika tidak, pasti dia menangis saat itu. Jadi banjir airmata pula di dalam pasar mini itu. “Kalau nak ambil kesempatan, dari tadi lagi saya tarik awak dan tutup pintu bilik ni!” balas pemuda itu. Dia terus mengulum senyuman. Gelihatinya melihat gadis comel di hadapannya itu bengis dan merenungnya. Renungannya juga garang bak singa betina ingin menerkam mangsanya. Matanya yang lembut redup seolah-olah bertukar menjadi mata singa betina yang garang. “Ali! Bawa air kotak ke sini!” jerit pemuda itu melalui pintu. Dia terus mendesak Dayana supaya duduk di kerusi yang disediakan. “Soya ke Abang Akif?”soal Ali pula dan menjerit kembali. Pemuda yang dipanggil oleh Ali sebagai Abang Akif itu tidak menjawab. Dayana tersentak apabila mendengar nama itu.
‘Oh! Rupa-rupanya dia Akif, tauke pasar mini ni! Muda lagi,’bisik hati Dayana. ‘Kacak juga,’pujinya di dalam hati. Matanya merenung wajah pemuda itu yang kelihatan tenang dan teduh.

Tiada ulasan: