Ahad, 19 Julai 2015

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 9







MEMANG benarlah hidup ini bagaikan sebuah titian yang perlu dilalui oleh setiap insan di dunia ini. Oleh itu merentaslah di titian yang teguh yang dibina dari kayu-kayu keimanan yang kukuh. Jika tidak, tertewaslah hati untuk menempuhi segala ujian dengan berlapang dada.
Subhanallah. ALLAHUAKBAR. Astaghfirullahalazim. Ya ALLAH,rintih hati Dayana. Peristiwa yang baru dialaminya sebentar tadi benar-benar menguji kesabarannya. Tidak pernah dia dimaki hamun dan dipukul di khalayak ramai begitu. Perasaan Dayana benar-benar keliru. Sungguh dia tidak menduga gadis yang dikenalinya sebagai Rosnani itu benar-benar mencintai Akif. ‘Cinta gila’ nya itu telah menyebabkan akalnya menjadi buta dan tidak sedar apa yang dilakukannya. Lantaran amukan cintanya itu, gadis itu telah memalukan dirinya sendiri dan orang lain.
Dayana berasa amat malu dengan peristiwa tadi dan tidak dapat lagi mengawal kesedihannya. Dia memandu kereta untuk balik ke rumah dengan derai airmata.Terperanjat besar Mak Bedah apabila melihat Dayana terkocoh-kocoh keluar dari kereta Kelisanya sambil menangis. Pipi anak kesayangannya berdarah.
“Kenapa ni, Yana?”spontan bibirnya bertanya. Terasa sayang melihat pipi gebu dan licin Dayana tercedera bagai dicakar.
“Terkena dawai, mak!”Itulah jawapan kepada emaknya supaya emaknya tidak menyoal selidik. Dayana menekap pipinya dengan tisu. Airmata yang mengalir di pipi segera disekanya dengan telapak tangan.
“Macam mana pula boleh terkena dawai?”soal Mak Bedah seolah-olah curiga dengan jawapan yang diberikan oleh anaknya tadi.
“Alah, dah nak terkena nak buat macam mana! Terima sajalah. Kecil sangat ujian yang ALLAH bagi ni..Itupun mak nak risau,” jawab Dayana sambil ketawa. Kelaraan jiwa serta-merta terusir dengan perhatian yang ditunjukkan oleh emaknya.
“Cepat letak ubat. Kalau tidak, berparut muka tu nanti,”suruh emaknya sambil merenung sayang. Dayana terus melarikan diri ke bilik. Sampai sahaja ke dalam bilik dia terus menangis sepuas-puasnya. Perasaannya semakin keliru. Dia bertapa di dalam biliknya sehingga waktu Maghrib.
Tidak dapat dielakkan fikirannya terus melayang kepada peristiwa petang tadi.
‘Buat apa kau rampas kekasih aku! Kau tak tahu malu ke?Akif aku punya! Kenapa kau menggatal nakkan dia jugak! Kau tak tahu ke yang aku cinta pada dia! Dia pun cinta kepada aku!
Suara Rosnani terus terngiang-ngiang di telinga dan berbekam di hatinya. Perasaan Dayana terus berkecamuk. Jiwanya yang semakin resah terus menghimpit perasaan. Kesedihan yang disembunyikan semenjak tengah hari tadi berderai juga melalui airmata. Suara marah Rosnani terus terngiang-ngiang di telinganya.
‘Diam! Perempuan tak malu! Perampas!’.
Kata-kata itu yang terlontar dari bibir Rosnani benar-benar mencarik hatinya. Dia berasa terlalu hina. Lebih hina daripada anjing kurap yang selalu menggeledah longgokan sampah di pasar Parit Buntar. Dayana menangis sepuas hatinya. Perasaannya terus buntu dan keliru. Kebuntuan dan kekeliruan itu tidak mungkin terleraikan


dengan begitu sahaja. Dia inginkan penjelasan daripada Akif. Bayangan Akif serta Rosnani terus menari-nari dipelupuk matanya.
‘Apakah yang telah terjadi sebenarnya? Akif, Yana tak faham! Mengapa Ros marah-marah dan menuduh Yana yang bukan-bukan? Sedangkan kita tidak ada perhubungan apa-apa pun,’rintih hati Dayana. ‘Yana pun belum memberi jawapan kepada permintaan Akif tempoh hari,’ bicaranya sendiri.
Dayana tidak menyangka gara-gara Nisah memperkenalkannya sebagai tunangan Akif kepada Rosnani, dia diserang oleh gadis itu. Deringan telefon bimbit berulang kali minta dilayani. Tidak sempat menjawab panggilan telefon terdengar laungan emaknya dari luar pintu bilik.
“Yana! Keluarlah dari bilik tu. Tengok siapa yang datang ni,” panggil Mak Bedah dengan suara kuat.
“Siapa mak?”soal Dayana sambil menjengukkan mukanya di pintu bilik. Dadanya dipalu debaran tidak semena-mena.
“Adalah... cepat keluar! Pakai tudung,” pesan Mak Bedah lalu meninggalkan Dayana. Selepas berdandan seadanya, Dayana pun keluar dari bilik dan menuju ke anjung rumahnya.
“Ha! Itu pun, Yana! Kau orang berbuallah! Pakcik ke dapur, tolong mak cik kau apa yang patut,” kata Pak Yusof sambil beredar dari ruang tamu.
“Assalamualaikum...”sapa pemuda yang bersama dengan Pak Yusof sebentar tadi sambil melontarkan senyuman mesra kepada Dayana. Berderau darah Dayana apabila melihat tetamu yang sedang menunggunya.
“Ikhwan... waalaikumussalam! Bila balik? Tak cerita pada Yana pun?”soal Dayana bertubi lalu duduk di hadapan Ikhwan. Mata mereka saling bertatapan beberapa ketika. Dayana terharu dengan kunjungan pemuda itu. Saat hati dilanda badai resah dan dikepung duka, senyuman dan wajah redup pemuda itu melegakan perasaannya.
“Ikhwan sampai pagi tadi,”jawab Ikhwan. Matanya terus menjilat ke wajah Dayana. Wajah tanpa sebarang alat solek itu padat dengan keindahan yang tersendiri.
“Pipi Yana kena apa?”soal Ikhwan sambil merenung wajah gadis yang sedang dirindui itu.
“Kenapa menangis?”tanya Ikhwan lagi apabila melihat mata Dayana yang masih basah. Dayana ketawa kecil sambil melarikan pandangan.
“Taklah! Yana baru selesai solat maghrib.”Dayana memberi alasan sambil bibirnya mengukir senyuman. Cepat-cepat jarinya mengesat matanya yang basah.
“Pipi tu?”soal Ikhwan sekali lagi. Matanya terus merayapi ke pipi gadis itu.
“Hmm, terkena dawai! Alah, sikit aje. Esok lusa baiklah,” jawab Dayana selamba. Dia meraba-raba kesan cakaran kuku Rosnani tadi. Kepiluan yang mewarnai hatinya, cuba dihakis.
“Ikhwan cuti berapa lama ni? Wah! Nampak sihat dan ceria ya! Mesti seronok duduk kat sana,” ujar Dayana mesra. Mengalih perbualan berkenaan dengan kecederaan di pipinya. Tidak diduganya Ikhwan akan datang mengunjunginya pada malam itu. Di saat hatinya melara.
“Ikhwan cuti empat bulan. Di sana sedang musim sejuk,” beritahu Ikhwan sambil meleretkan senyuman.
“Dah lama Ikhwan tak balik, kan?”tanya Dayana riang. Ikhwan mengangguk dan sempat senyum kepada Dayana yang sedang merenung kepadanya.
“Hmm... dah lama jugak! Dua tahun rasanya. Rindu dah berkepul-kepul di dalam jiwa,” katanya lagi sambil mengusap-ngusap dadanya. Dayana yang melihat telatahnya menyeringai seketika.

“Alhamdulillah! Tahun ni terbuka pula pintu hati Ikhwan nak balik kampung,”ujar Ikhwan.
“Balik ni pun cadangnya nak uruskan hal kita,” beritahunya dengan ramah. Senyuman tidak lekang menghiasi bibirnya.
“Hal kita? Hal apa?”soal Dayana lembut dan lambat-lambat. Matanya merenung ke wajah Ikhwan. Pada saat itu dadanya dipalu debaran. Jiwanya dilanda keresahan.
“Hmm...Yana tadi Ikhwan dah mintak kebenaran daripada Pak Yusof untuk bawa Yana makan malam di luar. Nanti kita boleh berbincang,” beritahu Ikhwan. Pertanyaan Dayana tadi terbiar tanpa jawapan. Matanya terus menatap wajah gadis yang tidak pernah lekang daripada ingatannya itu.
“Oh ya? Kalau begitu, Ikhwan tunggu sekejap. Yana pergi tukar baju,” beritahu Dayana sambil tersenyum lebar.
“Tapi kita selesaikan solat Isyak dulu, boleh?”tanya Dayana pula. Secara kebetulan azan Isyak pun sedang berkumandang. Ikhwan mengangguk.
“Ikhwan pun nak tumpang solat di sini,” beritahu Ikhwan lalu bangun.
“Okey! Bilik air ada di bawah kat dapur. Lepas ambil air sembahyang nanti, Ikhwan naik ke sini semula. Yana sediakan sejadahnya,” beritahu Dayana lembut sambil mengukirkan senyuman manis.
“Baik,” jawab Ikhwan ringkas. Layanan baik dan mesra yang ditunjukkan oleh gadis itu semakin menambat hatinya.
Dayana meninggalkan Ikhwan dan menuju ke biliknya. Dia sempat mencapai telefon bimbitnya yang secara kebetulan baru berhenti deringannya. Enam panggilan tidak dijawab. Mesej itu terpamer diskrin telefonnya. Dayana memicit butang ditengah telefon bimbitnya. Nama pemanggil terpamer. AKIF.


BINTANG-BINTANG bertaburan dilangit yang luas terbentang bagaikan butiran permata berlian di atas baldu hitam. Aduhai, indahnya panorama malam ciptaan TUHAN. Bayu malam terus berhembus lembut membelai daun-daun dengan sentuhan kasih sayang bagai membujuk. Lupakanlah kehangatan memeritkan, yang meratah dan mengeringkanseluruh lembaran tubuh mereka siang tadi.
Restoran tepi laut yang dipilih oleh Ikhwan sebagai lokasi untuk makan malam dengan Dayana nampak sesak dengan pengunjungnya. Mereka berbual sambil menjamu selera. Macam-macam hal yang menjadi isu. Dari nostalgia manis sewaktu zaman persekolahan hinggalah pengalaman-pengalaman yang ditempuhi oleh Ikhwan sewaktu duduk merantau di negara orang. Perbualan mesra yang diselangi gelak ketawa sesekali seolah-olah semakin merapatkan hati mereka.
Apabila dirasakan yang gadis itu sudah bersedia untuk membicarakan soal hati dan perasaan mereka, barulah Ikhwan berterus terang tentang hasrat hatinya.
“Yana kena ikut Ikhwan balik ke sana?”tanya Dayana sambil menatap wajah pemuda yang sedang duduk berhadapan dengannya. Ikhwan merenungnya kembali sambil tersenyum dan akhirnya ketawa ringan.
“Yalah, Yana... bila kita dah bernikah, dah jadi suami isteri Yana kenalah ikut Ikhwan. Takkan Yana nak tinggal kat sini pulak,” jawab Ikhwan perlahan. Dayana menundukkan mukanya beberapa ketika. Tidak diduganya yang perhubungannya dengan Ikhwan akan pergi sejauh itu.

“Dah lama sangat Ikhwan menanggung rindu seorang diri,” sambung Ikhwan lagi dengan suara bergetar. Sudah lama dia menyimpan impian untuk sentiasa dekat dengan gadis itu bagai laut dan pantai. Laut dan pantai yang tidak mungkin terpisahkan. Sentiasa berdakapan.
“Habis tu kita nak terus bernikah begitu aje ke?”tanya Dayana bersahaja. Tindakan Ikhwan yang terus melamar dirinya itu sebagai sesuatu perkara yang janggal pula.
“Kenapa, Yana?”soal Ikhwan kembali. Pertanyaan daripada gadis itu seolah tidak bersetuju dengan rancangannya. Bagaikan menolak cintanya. Penolakan itu pasti menghumban hatinya ke lembah kecewa yang tidak diketahui dalamnya.
“Selain daripada Ikhwan, Yana ada seseorang yang lebih istimewa ke? Maksud Ikhwan, teman lelaki? Maaf Ikhwan bertanya,” balas Ikhwan sambil terus menatap mata gadis itu. Dayana menguis-nguis nasi di dalam pinggannya. Sewaktu dia menundukkan wajahnya begitu, sepasang matanya yang berbulu lebat dan lurus tampak begitu indah dan mengasyikkan.
“AlaIkhwan ni! Berlainan pula maksudnya! Yang Yana maksudkan, takkan kerja nikah kahwin ni kita nak uruskan berdua aje. Tidak melibatkan keluarga,”jelas Dayana lembut sambil ketawa dan merenung ke wajah Ikhwan dengan mata yang bersinar.
“Oh! Maaf, sayang...Ikhwan tersilap tafsir ungkapan Yana tadi! Jangan risau Yana! Mestilah keluarga kita yang uruskan soal pernikahan tu! Perbincangan kita malam ini sebabIkhwan nak pastikan sama ada hati Yana, memang milik Ikhwan atau ada orang lain! Insya-ALLAH, kalau kita sudah bersatu hati, satu matlamat dan impian, Ikhwan akan hantar rombongan meminang Yana dengan kadar segera,” jelasIkhwan, panjang lebar.
“Yana setuju tak dengan cadangan dan rancangan Ikhwan tadi?”Sekali lagi wajah Dayana ditatapi. “Yana akan terimaIkhwan tak?”soalnya dengan harapan yang melebar seluas angkasa yang terbentang di atas kepala mereka.
“Insya-ALLAH, kalau dah memang TUHAN ciptakan Ikhwan untuk Yana...”jawab Dayana perlahan sambil merenung bintang-bintang di langit. Seluruh dirinya telah diserahkan kepada ALLAH. Apa juga ketentuan-Nya, dia akan menerimanya dengan pasrah. Apatah lagi pada saat itu hanya Ikhwan yang paling dekat berada di sisi hatinya. Mungkin lelaki itu yang akan menjadi jodohnya,bisik Dayana di dalam hati. Wajah Akif yang menjelma di lembaran kenangan, dilontarkannya jauh-jauh apabila mengenangkan peristiwa pada tengah hari tadi.
‘Biarlah Akif menjadi milik Rosnani yang begitu mencintainya,’pujuk hati Dayana sambil mengeluh perlahan. “Terima kasih, sayang. Dah lama kita bersama, Yana. Dari kecil lagi. Semoga TUHAN berkati dan redai hasrat dan impian kita,” ungkap Ikhwan sambil merenung ke dalam mata Dayana. Gadis itu telah sebati dengan dirinya. Bagaikan darah yang mengalir di dalam tubuhnya.
Insya-ALLAH,” jawab Dayana.







MALAM telah pun ke penghujungnya apabila fajar menyinsing dengan sinarnya yang halus dan lembut. Sehari lagi, hari yang baru, muncul pada alam ini. Hari semalam telahpun jadi kenangan yang tidak mungkin akan berulang, namun tetap terakam di dalam ingatan.
Hampirlenguh jejari Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya. Akhirnya hatinya dimamah kecewa. Dayana gagal dihubungi. Semalaman dia tidak lena tidur kerana mengenangkan gadis itu. Dayana yang diserang oleh Rosnani secara tiba-tiba. Pasti Dayana berkecil hati dan terasa malu. Rosnani pula terlibat dengan kemalangan jalanraya, tidak berapa saat setelah insiden itu. Kini, nama kedua-dua orang gadis itu kejar mengejar di dalam hatinya, lantas melontarkan dirinya ke jurang keresahan dan kegelisahan yang merimaskan.
“Awalnya Akif bersiap pagi ni?”tegur Mak Esah apabila susuk tubuh anak bujangnya itu muncul di dapur. Akif sudah berpakaian kemas. Baju kemeja lengan pendek warna biru berjalur halus dan berseluar hitam.
“Mak!Akif nak pergi tengok Ros, mak!”beritahu Akif dengan tergesa-gesa sambil meneguk Nescafe yang dihidangkan oleh emaknya.
“Pagi lagi ni! Baru 7.30. Akif tak pergi berniaga ke?”soal Mak Esah.
“Akif kena pergi awal pagi, mak. Hospital Taiping tu jauh. Lagipun kalau tengah hari nanti susah nak dapat tempat parkir,” jelas Akif.
“Pasar Mini tu biarlah Ali jaga sekejap. Akif dan beritahu pada dia, mak.”
Mi goreng yang disediakan oleh emaknya hanya dimakan dua sudu sahaja. Patah seleranya mengenangkan nasib Rosnani dan peristiwa tengah hari semalam.
Kenapa hantar Ros ke hospital Taiping pulak! Hospital Pulau Pinang, bukankah lebih dekat?”tanya Mak Esah seolah terkejut dengan cerita anaknya itu. Semalam Akif tiba di rumah hampir 1.00 pagi dan hanya sempat memberitahunya tentang kemalanganyang menimpa gadis itu.
“Tak tahulah, mak! Apa masalahnya. Semua tu pihak hospital yang uruskan! Bukannya ikut kehendak kita! Agaknya mereka dah berhubung dengan pihak Hospital Pulau Pinang dulu. Mungkin bilik ICU di Penang dah penuh dengan pesakit, lalu mereka hantar Ros ke Taiping,” terang Akif mengikut justifikasinya.
Kalau begitu, mak pun nak ikut! Ayah pun sama,”beritahu Mak Esah. Berita malang tentang Rosnani memanggil rasa sedihnya juga.
“Akif nak pergi sekarang,mak! Kita bawa Mak Timah dan Pak Kulub sekali,” cadang Akif. Rosnani dan keluarganya adalah jiran mereka. Kini keluarga itu ditimpa musibah. Mak Timah dan Pak Kulub mesti dilanda kesedihan kerana kejadian malang yang menimpa mereka.
Rosnani, selepas mengamuk-ngamuk di hadapan pasar mininya tengah hari semalam, terlibat pula dengan kemalangan. Motosikal yang dipecutnya telah berlanggar dengan sebuah lori di persimpangan berhampiran pasar mininya. Kini, Rosnani masih di wad hospital dan masih belum sedarkan diri.
“Yalah. Eloklah tu.Mereka pun tak ada siapa lagi yang nak diharapkan. Anak-anak yang lain semua dah merantau jauh,” setuju Mak Esah dengan cadangan anak sulungnya itu. Bukannya dia hendak memuji, Akif anaknya memang selalu mengambil berat kepada jiran-jiran mereka.
“Cepat mak dan ayah bersiap, cepat kita boleh bertolak,” ujar Akif sambil bangun dari kerusi. Dia meraba telefon bimbit di dalam kocek seluarnya untuk menghubungi emak dan ayah Rosnani. Hati Akif berasa rungsing kerana bimbangkan Rosnani. Dia memejamkan matanya cuba melenyapkan bayangan tubuh Rosnani yang dilihatnya semalam. Tubuh yang terguling di atas jalanraya. Rosnani yang tidak bertopi keledar terhempas kepalanya di atas aspal jalan. Darah merah kehitaman membasahi tudungnya.

LANGIT kelihatan mendung di angkasa. Matahari seolah-olah bersembunyi dan menyepikan dirinya sejak pagi tadi. Cuaca kelihatan muram bagaikan hati setengah-setengah penghuni di dunia. Nisah yang sedari tadi asyik mengelamun di jendela menggaru-garu dagunya. Setelahitu tangannya berpindah ke atas kepala pula. Dia berasa sunyi. Ayah, emak dan Abang Akifnya pagi-pagi lagi sudah keluar dari rumah. Abang keduanya, Rais masih lagi bergulung di dalam selimut di dalam biliknya. Rais, baru balik semalam. Katanya cuti semester sudah bermula.
“Huah!!! Berangan aje anak dara ni!”sergah Rais secara tiba-tiba.
Nisah terkejut dan menjegilkan matanya kepada Rais. Tangannya laju menepuk abangnya itu. Selepas itu matanya singgah ke rambut Rais yang kusut masai.
“Angah ni, kalau ada di rumah aje, mesti nak kacau Nisah!”kata Nisah sambil menjeling. Rais hanya menyengih lalu membetulkan ikatan kain pelikatnya.
“Eleh! Usik sikit pun dah marah! Nisah ni cuba ubah perangai sikit! Awak tu perempuan. Mana boleh garang-garang, nanti tak laku tahu tak?”usik Rais lagi.
“Nisah tengah sedih-sedih, angah nak menyakat pulak!” kata Nisah sambil menangis.
“Pulak! Nanti banjir kat sini! Sedih pasal apa?”soal Rais lalu duduk di sebelah adik bongsunya itu. “Mak dan ayah pergimana? Senyap aje?”soal Rais lagi.
“Mak pergi hospital,”beritahu Nisah. Rasa sebak mulai memukul pantai hatinya.
“Pergi hospital buat apa? Tengok siapa?”soal Rais.
Matanya merenung Nisah. Adiknya yang sudah mencebir-cebirkan bibirnya. “Kak Ros...”jawab Nisah dengan tangisannya yang semakin kuat. Dia mengesat hingus yang mula meleleh dari hidungnya dengan belakang tapak tangannya. Rais yang melihat, genyi.
“Ros? Rosnani?”soal Rais pula sambil cuba mengingatkan wajah perempuan itu. Nisah mengangguk.
“Kenapa? Dia terjun dalam tali air ke?”tanya Rais dengan penuh minat. Yang dia tahu gadis yang bernama Rosnani itu otaknya mereng kerana kecewa cinta.
“Bukan terjun dalam tali air,” nafi Nisah.
“Dia dilanggar lori! Selepas mengamuk di depan pasar mini Abang Akif,” cerita Nisah pula.
“Kenapa pulak dia mengamuk?”soal Rais semakin teruja. Setahunya Rosnani itu seorang yang lemah lembut walaupun sewel sesekali.
“Dia nakkan Abang Akif! Dia dah jadi gila bayang,”cerita Nisah sambil tersedu. “Nisah beritahu dia, Abang Akif dah bertunang! Sebab itulah agaknya dia pergi mengamuk pada Abang Akif.”Nisah berhenti bercerita kerana melayani sedu sedannya.
“Sekarang ni Nisah rasa bersalah sangat. Kalau tak kerana mulut Nisah, takkan jadi perkara begini! Semalam, lepas Kak Ros kemalangan, Abang Akif balik ke rumah saja terus marah Nisah,” cerita Nisah sambil teresak.
“Nisah bersalah jugak kepada Kak Yana! Sebab tak pasal-pasal mengheret dia dalam permasalahan. Sedangkan dia tak tahu apa-apa pun,” sambungnya lagi.


“Kak Yana tu siapa pulak?”soal Rais. Dia semakin keliru dengan cerita adiknya itu. Baru dua tiga bulan tidak balik ke kampung bermacam hal pulak yang berlaku.
“Kak Yana tu... entah! Agaknya girlfriend Abang Akif. Atau Abang Akif baru nak bercinta dengan dia agaknya. Nisah tak tahu. Tapi kelmarin Abang Akif bawa mak dan Nisah pergi melawat Kak Yana di wad. Secara kebetulan dia dah discharged. Kami terus hantar dia balik. Kalau bukan teman istimewaAbang Akif takkan Abang Akif nak pergi melawat dan menghantarnya sampai ke rumah,” cerita Nisah dengan panjang lebar dan bersungguh-sungguh.
“Nisah pandai buat teori sendiri ya. Abang Akif tu dengan semua orang dia baik. Semua orang dia nak tolong,” balas Rais pula. Dia faham sangat dengan sikap abangnya itu. Orang yang selalu melakukan kebaikan akan disukai ALLAH. Kata-kata itulah yang selalu diulang-ulang oleh abangnya untuk menasihatinya dan Nisah.
“Seterusnya?”tanya Rais ingin mengetahui cerita selanjutnya.
“Waktu nak balik dari hospitallah kami bertembung dengan Kak Ros. Waktu itulah Nisah beritahu dia Abang Akif dah bertunang. Dan kenalkan Kak Yana sebagai tunang Abang Akif. Tak sangka pulak Kak Ros boleh jadi begitu. Sekarang ni Nisah rasa rungsing sangat,” rengek Nisah pula.
“Alah! Kenapa pulak Nisah nak fikir yang bukan-bukan. Ros tu memang otaknya dah tak betul,” pujuk Rais. Tidak tergamak pula Rais untuk memarahi Nisah pada waktu itu apabila melihat airmuka Nisah yang sugul.
“Tapi kasihanlah juga kepada dia. Abang nak ke hospital tengok dia,” kata Rais lalu bangun dari sofa.
“Kak Ros cedera teruk tak?”sempat lagi dia menyoal.
“Entah, kata Abang Akif, kepalanya retak!”beritahu Nisah sambil menangis.
“Retak? Parah tu,” komen Rais spontan.
Rosnani mungkin tak tertolongkan lagi.

Tiada ulasan: