HAMPA. Sungguh tidak diduga. Ikhwan kecewa dengan keputusan emaknya. Tidak
terlintas di fikiran dia,emaknya bersikap begitu. Masih wujud lagi di zaman ini,
ibu-ibu yang ingin memilih menantu perempuan yang sama taraf kelulusan dengan anak
lelakinya? Macam cerita filem Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku saja.
“Tak bolehlah mak bersikap begitu. Apalah yang ada pada
sekeping ijazah? Ikhwan pun belum tentu berjaya bawa balik ijazah tu. Ikhwan
sedang belajar lagi. Tapi tak patut sangatlah mak menolak gadis pilihan hati Ikhwan
sebab dia masih duduk di kampung ni. Sebab kelulusannya setakat SPM aje,” kata Ikhwan
kepada emaknya.
“Kalau dah tau kamu tu masih belajar, belum berjaya
memiliki ijazah, yang kamu gatal nak kahwin tu kenapa? Nanti kamu nak bawa Yana
ikut kamu, kan? Tekak sendiri pun tak lepas lagi, dah nak tanggung beban,” tingkah
Mak Cik Tijah dengan wajah menyinga. Dipandangnya wajah Ikhwan yang kelihatan
rungsing.
“Nanti bila dah berbini, beranak pulak! Nafsu kamu, macam
mana kamu nak tahan? Kalau dah beranak-pinak, macam mana kamu nak belajar?”soal
Mak Cik Tijah lagi dengan nada marah.
“Kerana nak jaga
nafsulah Ikhwan nak menikah. Ikhwan nak bawa balik Yana ke sana. Sebab itu Ikhwan
nak menikah dengan dia segera,” terang Ikhwan.
“Ni belum apa-apa mak dah mengamuk! Menentang! Tak
baiklah mak buat Ikhwanmacam ni,” kata Ikhwan dengan suara yang mengendur.
“Ikhwan dah kenal Yana lama. Sejak dari kecil lagi. Hati
budinya Ikhwan dah tahu. Yana tu dah memenuhi segala kriteria isteri yang Ikhwan
inginkan. Dialah gadis calon isteri Ikhwan,” tegasnya. Hampalah hatinya jika
impiannya berkecai gara-gara sikap emaknya.
“Apa lebihnya Dayana tu?”tanya Mak Cik Tijah dengan gaya
menghina. Hairan dia kerana Ikhwan begitu melambung-lambung gadis itu sedangkan
pada pendapatnya Dayana itu tidak lebih daripada seorang gadis kekampungan yang
hanya layak berkahwin dengan pemuda kekampungan juga.
“Mak, ada empat perkara yang harus kita fikirkan sewaktu
mencari isteri. Seorang perempuan itu dinikahi orang sama ada keranaagama, kedudukan,
harta dan kecantikannya. Kalau orang lain nak pilih cantik, banyak harta, kedudukan,
mereka buatlah begitu. Tapi bagi Ikhwan, Ikhwan akan pilih yang beragama! Yana
tu seorang gadis yang mengambil berat
kepada agama, mak!”jelas Ikhwanbersungguh-sungguh.
“Mak tak risau ke Ikhwan sorang-sorang di rantau orang. Cabaran
banyak. Pergaulan antara lelaki dan perempuan tak ada batasan langsung. Mak tak
bimbang ke kalau Ikhwan terpengaruh dan berasa seronok melakukan perkara
maksiat. Berzina ke? Mak nak ke?”soal Ikhwan dengan nada perlahan. Matanya
merenung wajah emaknya.
Hatinya teringat teman serumahnya, Azmir. Azmir yang
tidak puas-puas mengenyangkan nafsu syahwatnya kerana gagal membentengkan
imannya. Dia bimbang keimanannya akan merapuh. Syaitan dan iblis berjaya
mengasak kesabarannya.
Mak Tijah terdiam. Banyak cerita yang didengarnya. Cabaran
hidup di negara orang putih memang banyak. Tambahan pula kalau iman setipis
kulit bawang. Anak Lebai Aki di kampung seberang yang bertudung labuh sehingga
ke lutut pun boleh tercabut tudungnya, apabila duduk di Amerika Syarikat. Lebih
menyedihkan apabila
ada pula kawan-kawan sepersekolahan Siti Saliha yang menunjukkan gambar
Siti Saliha meneguk minuman keras di dalam gelas sebesar jag. Gambar yang
dimuat naik di dalam internet. Walaupun dia tidak faham sangat tentang
internet-internet yang dikatakan orang, namun hal seburuk itu cepat saja
hatinya percaya.
“Yana tu tak berpelajaran! Nanti kalau anak-anak kamu
mewarisi otaknya macam mana? Mak nak cucu-cucu mak menjadi orang bijak, berpelajaran tinggi,” kata
Mak Cik Tijah lagi sambil memandang Ikhwan dengan wajah tanpa emosi.
“Itulah, mak! Suka pandang rendah kepada orang lain. Sebenarnyakeputusan
SPM Yana lebih baik daripada keputusan Ikhwan! Dia tolak tawaran masuk
universiti sebab tak sampai hati nak tinggalkan mak abahnya. Tak sanggup untuk
berpisah dengan mereka. Itulah tandanya dia seorang anak yang baik. Sanggup
mengorbankan diri demi mengenang jasa ibu dan ayah. Gadis yang beginilah layak
dijadikan isteri. Senang nak didik.”
“Sanggup berkorban untuk ibu bapa, sudah tentu jugak
sanggup berkorban untuk suami,” sambung Ikhwan lagi.“Bukan semua orang sanggup
melakukan pengorbanan demi orang lain walaupun sebesar hama,” tegasnyasambil merenung
ke wajah emaknya sebaik sahaja habis mengungkapkan kata-kata.
“Amboi, pandai benar kamu menjatuhkan hukum! Kalau dah
tak sanggup berpisah dengan mak ayah, masakan sanggup mengikut kamu pulak bila
dah bernikah?”soal Mak Cik Tijah.
“Alah mak, Mak Bedah dan Pak Yusof tu orang yang faham
hukum hakam agama. Begitu jugak dengan Yana. Bila dah jadi isteri saya, kewajipannya berada di
samping saya. Mestilah dia sanggup mengikut saya dan berpisah dengan ibu
ayahnya dengan reda,” jawab Ikhwan dengan panjang lebar.
“Mereka keluarga yang baik, mak. Ikhwan pun dah biasa
sangat dengan mereka. Masa budak-budak dulu, selalu Ikhwan ke rumah mereka. Takkan
mak dah lupa!”ungkit Ikhwan cuba membuka fikiran dan hati emaknya.
“Tak apalah, Ikhwan. Mak ikut cakap kamu untuk meminang
Yana tu. Tapi hati mak tetap tak mahu terima Yana tu menjadi isteri kamu! Tak
sesuai! Tak layak!”tegas Mak Cik Tijah.
Guruhberbunyi sayu bagaikan berkongsi kesedihan dengan Mak Timah. Tidak dapat
ditahan, airmatanya terus berderaian di pipinya yang sudah dimakan usia. Pak
Kulub suaminya juga tidak dapat menahan kepiluan hati. Suasana rumah itu
diselubungi duka. Jiran-jiran yang datang, kebanyakannya tidak dapat menahan
hati lantas membanjirkan airmata di pipi masing-masing. Bacaan ayat suci al-Quran
terdengar memecah hening sedih. Perginya seorang anak gadis kampung itu dalam
keadaan ngeri. Perginya tak kembali lagi. Bau kapur barus terus menyelubungi
sekitar rumah itu.
“Kulub! Timah! Ada nak tunggu sesiapa lagi tak? Jika tak,
kita uruskan segera jenazah ni!”kata Imam Yaakob. Jenazah yang sudah siap
dikapan dan disembahyangkan hanya menunggu masa untuk dikebumikan.
“Imam, tolonglah uruskan. Abangnya Kamarul, yang di Sabah
tak sempat nak sampai hari ini. Dia pun suruh uruskan jenazah adiknya seberapa
segera,”jawab Pak Kulub dengan suara sebak.
“Yang lain-lain semua dah ada,”sambung Pak Kulub lagi
dengan nada perlahan. Hatinya masih diasak pilu.
“Kalau begitu, sekarang jugak kita bawa ke tanah
perkuburan untuk dikebumikan,”beritahu Pak Imam sambil memberi isyarat kepada
beberapa orang pemuda yang masih menunggu arahannya di halaman rumah.
Akif melangkah dengan longlai menaiki rumah Mak Timah
bersama beberapa orang jiran sambil mengangkat keranda. Dari semalam lagi dia
telah bertungkus-lumus membantu keluarga Mak Timah yang dilanda musibah.
“Akif...”tangis Mak Timah tiba-tiba sambil memeluk bahu
pemuda itu.
“Sabar, Mak Timah,” kata Akif. Hanya kesabaran sahaja
yang dapat membentengi jiwa yang remuk kerana kehilangan orang yang disayang.
“Ros dah tak ada. Anak makcik dah tak ada, Akif...”tangis
Mak Timah di bahu Akif meleret.
“Ya, Mak Timah. Sabar, ya! Tenang. Dah qada dan qadar
ALLAH, Mak Timah. Kenalah reda. Kita semua akan ke sana,”jawab Akif seolah
memujuk dan mengembalikan jiwa wanita itu kepada keimanan.
“Kita semua milik ALLAH. Kita doakan kesejahteraannya,”kata
Akif lagi dengan suara perlahan dan sebak. Segalanya telah tertulis di
Lohmahfuz. Sebagai seorang muslim yang mengakui dirinya beriman kepada ALLAH, wajiblah
menerima segala peristiwa dan ujian dengan berlapang dada. Akif ingin
mengungkapkan kata-kata itu kepada Mak Timah, namun bibirnya seolah terkunci apabila
melihat airmata Mak Timah tidak berhenti berderai.
“Makcik mintak maaf! Makcik dengar Ros...”Tersangkut-sangkut
ungkapan Mak Timah. Sekali lagi dia menangis di bahu Akif. “Tak apa-apa, Mak
Timah. Saya dah anggap Ros macam adik kandung saya,”kata Akif sambil mengesat
airmatanya. Jika boleh dia ingin wanita itu berbagi kedukaan dengannya. Biar
dia berkongsi rasa. Akif tidak dapat menahan rasa sedih dan hiba. Hatinya
dihimpit rasa pilu mengenangkan nasib gadis itu.
Walaupun boleh menerima segalanya sebagai takdir kerana
berdasarkan ilmu agama, setiap hamba ALLAH yang mukmin itu diperintahkan agar
bersikap reda pada ketentuan-NYA. Bersabar ketika menghadapi musibah-musibah
dunia seperti kefakiran, kesakitan dan kematian, namun dia tidak mampu menepis rasa
terkilan yang menamui laman hatinya. Rosnani menemui ajal di dalam keadaan
hatinya yang kecewa dan hampa kerana cintanya ditolak!
Akif turut berada di atas lantai untuk membantu
teman-temannya mengangkat jenazah Rosnani untuk dimasukkan ke dalam keranda. Perasaannya
terlalu tersentuh pada saat itu. Namun, airmata yang ingin menjurai di pipinya
terus dikekang.
“Saya pergi dulu, Mak Timah. Assalamualaikum,” kata Akif
sambil mengangkat salah satu kayu pengangkat keranda yang menampung tubuh
Rosnani ke atas bahu kanannya.
Kematian adalah kehilangan, dialah pemutus hubungan, cita-cita
dan harapan. Namun, tiada siapa yang dapat melarikan dirinya daripada kematian.
SUBUH itu Akif membaca kitab suci al-Quran seperti rutin hariannya selepas
solat subuh. Kedukaan yang bersemayam di hatinya sejak semalam kerana kematian
Rosnani, mula menyisih perlahan sebaik sahaja dia membaca kalimah-kalimah suci
berserta maksudnya.
“Abang Akif!”
Ketukan di pintu bilik membuat Akif tersentak dan
berhenti mengaji.
“Hmm...” gumam Akif sambil merenung Nisah yang masuk ke
bilik dengan ekor matanya.
“Kenapa Nisah tak pergi ke sekolah lagi?”soal Akif sebaik
sahaja melihat Nisah sudah berada di sisinya.
“Abang, tolonglah hantarkan Nisah,”rengek Nisah. Akif
tidak mempedulikan Nisah dan terus membaca al-Quran. Nisah menunggu dengan
sabar sambil melihat ayat-ayat yang sedang dibaca oleh abangnya itu di lembaran
al-Quran.
Hampir 5 minit Nisah menunggu abangnya menyelesaikan
pembacaannya. Dia bertepuk tangan sebaik sahaja Akif membaca surah al-Fatihah
menandakan abangnya itu akan berhenti mengaji. Mungkin juga membawa maksud yang
Akif akan menghantarnya ke sekolah.
“Selalu Nisah pergi sekolah dengan basikal, kan?”tanya
Akif sambil bangun. Nisah turut bangun sambil mengharap.
“Memanglah! Tapi Nisah tengok awan mendung, macam nak
hujan,” adu Nisah dengan suara lirih cuba memujuk abangnya.
“Angah mana?”tanya Akif yang lambat-lambat tangannya
menyangkut sejadah di tempatnya. “Alah, Nisah nak abang yang hantar. Angah pun
buat tahi mata lagi,” rengek Nisah manja.
“Jom,” kata Akif sambil menyimpan al-Quran. Nisah
mengekori langkah Akif yang keluar dari bilik. Abangnya yang hanya berbaju
Melayu dan berkain pelikat itu berjalan dengan laju menuju ke pintu.
“Abang tak marah Nisah lagi? Terima kasih,” kata Nisah dengan
suara ceria sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
“Kenapa abang nak marah? Kalau Nisah belajar tak pandai, dapat
nombor corot baru abang marah,” jawab Akif selamba sambil menghidupkan enjin
kereta.
“Yalah, sebab mulut Nisah, Kak Ros dilanggar lori sampai
mati,” beritahu Nisah dengan suara sedih.
“Bukan salah Nisah. Dan jangan Nisah nak menyalahkan diri
sendiri lagi. Semua kejadian yang berlaku sudah ditakdirkan. Nisah dah lupa ke
dengan rukun iman yang keenam tu?”soal Akif sambil menggerakkan keretanya
perlahan.
“Nisah tahu. Tapi...”Nisah menghentikan kata-katanya
apabila melihat Akif menjelingnya tajam.
“Cuma lain kali Nisah berhati-hatilah bila nak bercakap. Banyakterjadi
musibah angkara lidah. Berlaku bencana kerana kata-kata,”ungkap Akif perlahan. Nisah
tertunduk seketika. Kata-kata abangnya itu bagaikan menghiris hatinya.
“Mulut adalah senjata yang sangat tajam, mulut boleh
menyakiti, boleh membunuh, boleh menggoda dan banyak hal lainnya yang tidak
menyenangkan,”leter Akif dengan lembut dan perlahan.
“Alaa... Nisah tahu, Nisah yang salah. Nisah yang
suka-suka nak bercakap. Nisah yang letakkan hati di hujung lidah. Sepatutnya
Nisah letakkan lidah di hati,”rungut Nisah seolah merajuk.
“Hmm...pandai pun Nisah! Sudahlah tu jangan menyesali hal
yang telah berlaku lagi! Sekarang ini kita pandang ke hadapan dengan mengambil
iktibar kesilapan kita pada hari semalam, Okey!”pujuk Akif apabila melihat
adiknya masih ingin menyalahkan diri sendiri di atas kejadian malang yang
menimpa Rosnani.
“Okey!”jawab Nisah dengan perasaan lega.
“Hmm...Kak Yana macam mana?”soalnya pula.
Airmuka yang muram kerana mengenangkan nasib Rosnani
tiba-tiba bertukar menjadi ceria. Walau baru sekali bertemu dengan gadis itu, hatinya
sudah tertarik dengan kelembutannya.
“Kak Yana?”soal Akif pula.
Nisah mengangguk-angguk menanti jawapan. Akif hanya
membisu. Kegalauan di jiwa menyebabkan Akif tidak tahu untuk menjawab apa. Harapannya
kini agar gadis itu menghubunginya kembali. Mungkin Dayana masih trauma dengan
kejadian yang menimpanya pada hari tersebut lalu menyepikan diri. Akif cuba
memujuk hatinya sendiri.
“Kalau Kak Yana putuskan perhubungan dengan Abang Akif
macam mana? Nisah faham perasaan Kak Yana. Mesti dia rasa dimalukan pada hari
tu. Semuanya kerana Nisah.”Nisah menyalahkan dirinya sekali lagi.“Sayang aje
kalau terputus. Kak Yana tu orangnya lemah lembut. Tak macam Nisah ni. Kasar.”Nisah
terus bercakap sendiri.“Kak Yana tu cantik,”pujinya pula.
Akif buat tidak peduli. Dia terus memandu, seolah tidak mendengar
rungutan Nisah. Kegalauan hati ditelannya sendiri.
AKIF meraup wajahnya berkali setelah usai membaca surah Yasiin di atas
pusara Rosnani. Haruman bunga kemboja yang menghiasi pusara di sebelah pusara
Rosnani menerjah hidungnya. ‘Ya ALLAH, tempatkanlah rohnya dalam kalangan
orang-orang beriman,’doanya di dalam hati.
Tanah pusara direnungnya dengan penuh keinsafan. Itulah tanah
yang akan memusnahkan jasad manusia di dalam benamannya. Sementara menunggu
hari kebangkitan dan pengiringan manusia ke hadapan Rabbul Alamin dan saatnya
ditiupkan sangkakala. Seluruh penghuni kubur berada di bawah tanah. Tidak ada
sesuatu pun yang mengetahui nasib mereka, kecuali Dzat yang Maha Mengetahui
hal-hal yang tersembunyi.
Akif bertafakur agak lama dengan perasaan galau. Sampai
ketikanya nanti, entah bagaimana cara matinya. Hati kecilnya terfikir sejenak. Salah
satu bentuk keadilan ALLAH adalah, seorang hamba meninggal dengan cara sesuai
dengan kebiasaan semasa hidupnya.
Orang yang menyibukkan diri selama hidupnya dengan zikir,
solat, sedekahdan puasa biasanya akan meninggal dengan husnul khatimah. Manakala
hamba ALLAH yang ingkar dan melakukan yang sebaliknya pula akan mati dalam
keadaan su’ul khatimah. Justeru kerana perbezaan itulah orang-orang soleh
selalu bersiap-siap menghadapi kematian dan berusaha sebaik-baik mungkin, menggunakan
setiap nafas yang ia hirup dan waktu yang dimiliki menjadi bekal menghadapi
kematian dan dapat mengangkat darjatnya di sisi ALLAH.
‘Ya ALLAH, golongkanlah aku, ibu bapaku, saudara maraku, para
sahabatku di dalam golongan para solihin. Condongkanlah hati kami untuk berjihad,
mengamal makruf dan menjauhi mungkar. Matikanlah kami di dalam keadaan husnul
khatimah.’ Tak tersedar bibirnya menitip doa sambil matanya menoleh kepada Mak
Timah yang baru selesai menutup buku Surah Yasiin.
“Jom, Mak Timah, kita balik. Esok-esok kita datang lagi,”kata
Akif kepada Mak Timah yang bersama dengannya melawat pusara Rosnani.
“Yalah, Akif. Terima kasihlah kerana sudi menumpangkan Mak
Timah,” jawab Mak Timah.
Tadi sewaktu dia berjalan kaki menuju ke tanah wakaf itu,
dia bertembung dengan Akif. Pemuda itu yang secara kebetulan ingin singgah
menziarahi kubur Rosnani sebelum pergi ke pasar mininya, menumpangkannya. Akif
menghantar Mak Timah sehingga ke halaman rumahnya. Dia keluar dari kereta untuk
membukakan pintu buat wanita itu.
“Akif ni! Tak payah susah-susah turun, bukakan pintu
kereta untuk Mak Timah pulak,” kata Mak Timah. Akif hanya ketawa kecil sambil
menyeluk saku seluarnya.
“Mak Timah, saya tak tahu nak bantu Mak Timah macam mana,”
balas Akif sambil menyumbat sesuatu di dalam genggaman tangan orang tua itu.
“Ya ALLAH, apa lagi ni Akif?”tanya Mak Timah sambil
membuka genggaman tangannya.
“Duit lagi? Akif dah banyak sangat yang Akif bagi kepada
Mak Timah! Nanti marah pulak mak kamu! Kelmarin perbelanjaan urusan jenazah
daripada hospital sehinggalah jenazah masuk ke liang lahad, semua Akif dah tanggung!
Nak buat apa Akif buat semua itu?”tanya Mak Timahdengan perasaan terharu.
“Tak banyak mana pun. Rezeki daripadaALLAH. Kita
kongsikan bersama,” jawab Akif dengan lembut dan tenang. Apa salahnya
menghulurkan bantuan kepada orang yang sedang ditimpa musibah. Mudah-mudahan
dengan bantuannya itu dapat menggembirakan sedikit hati wanita itu yang sudah
dianggapnya macam ibu sendiri. Lagipun, bukankah segala amalan sedekah jariah
itu akan menjadi bekalannya di hari akhirat nanti?
“Akif...”Terusik hati Mak Timah dengan kebaikan hati
pemuda itu. Patutlah anak gadisnya terlalu mengharap dan mendambakan cinta
pemuda itu sehingga menjadi gila bayang. Akif memang seorang pemuda yang
terlalu baik di matanya.
“Mak Timah gunalah untuk buat majlis tahlil ke. Saya dah
anggap Ros macam adik saya. Mak Timah macam ibu saya jugak! Saya bersimpati
dengan Ros. Saya...”
Bicara Akif terputus di situ. Dia sebak mengenangkan
nasib Rosnani yang memilukan. Terbayang dimatanya peristiwa malang yang menimpa
gadis itu gara-gara perangai syaitan Karim. Rahsia peristiwa itu akan
disimpannya sampai mati. Sebagaimana Rosnani menyembunyikannya walaupun
batinnya terseksa.
“Mak Timah, saya beredar dulu. Pasar mini tu kalau hari Ahad
macam ni, ramai orang,” beritahu Akif sambil tersenyum. Dengan perlahan dia
menggerakkan keretanya melalui jalan kecil yang merintangi sawah yang luas
terbentang. Urusannya dengan Rosnani sudahpun usai, kini dia harus bertemu
dengan Dayana. Dia harus memberi penjelasan kepada gadis itu. Akif menekan butang-butang
di telefon bimbitnya ‘Nombor yang anda dail tiada lagi di dalam perkhidmatan.’
‘Alah, dia tukar nombor telefon pulak!’keluh Akif. Bibirnya
tersenyum pahit.
Haluan kereta dihalanya ke jalan yang akan membawanya ke
rumah gadis itu. Matahari terus menyinari alam, sewaktu kereta yang dipandu
Akif memasuki lorong masuk menuju ke rumah Dayana. Dia membuka skrin tingkap
kereta untuk menikmati udara segar dari sawah yang luas terbentang. Pemandangan
di kiri kanan jalan yang dipenuhi oleh petak-petak sawah yang padinya sedang
subur dan menghijau menenangkan hatinya yang sugul dua tiga hari ini.
“Harap-harap Yana ada di rumah.”Akif berbicara sendiri
sambil bibirnya mengukir senyuman.
Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat rumah gadis itu
yang dikelilingi oleh sawah padi. Rumah kayu berwarna kuning air dengan halaman
rumahnya dipenuhi oleh tanaman bunga kertas dan pelbagai bunga lagi nampak
berseri. Akif memperlahankan pemanduannya sebaik sahaja sampai di jalan
berhadapan rumah gadis itu. Matanya melihat empat buah kereta yang sedang
diparkirkan. ‘Nampaknya rumah itu sedang dihadiri tetamu,’kata hati kecilnya. Akif
terus memerhati dari jauh. Seorang demi seorang keluar dari kereta dengan
membawa dulang hantaran dan terus naik ke rumah gadis itu.
‘Alamak! Aku datang pada masa yang tidak
tepat!,’rungutnya. Hatinya terbenam hampa. Menyakitkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan