Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 59



Keindahan mentari petang menghangatkan wajah Zaim yang sedang memandu keretanya menuju ke Restoran Mi Udang yang terletak tidak jauh dari bandar Ipoh. Bibirnya mengukir senyuman sebaik sahaja melihat kereta Dayana sudah terparkir di medan parkir yang tersedia di sebelah kiri restoran itu. Dia pun memarkirkan keretanya di sebelah kereta Dayana. Setelah keluar dari kereta dia pun masuk ke dalam restoran dan mencari wanita muda itu. Dayana yang sudah melihat Zaim sampai terus melambai kepada lelaki itu.
“Assalamualaikum,” sapa Zaim mesra sebaik sampai di sisi Dayana lalu duduk di kerusi.
“Waalaikumussalam,” jawab Dayana perlahan sambil tersenyum.
“Zaim, pesanlah minuman,” pelawa Dayana pula sambil memberi isyarat kepada pelayan kedai supaya menghampirinya. Zaim pun membuat pesanan.
“Yana sihat?”soal Zaim dengan suara lunak. Matanya merenung ke wajah Dayana yang nampak lesu.
“Alhamdulilah. Sihat. Cuma penat sikit,” jawab Dayana jujur.
Dia mengerling jam tangan di lengan kirinya. Jarum di jam tangannya menunjukkan waktu 5.15 petang. Azmir tentu sedang kegelisahan menanti kehadirannya di wad hospital.
“Suami Yana macam mana? Dah beransur baik?”soal Zaim tenang.
Dayana hanya mengangguk perlahan.
“Saya tabik denganYana. Yana kuat dan begitu tabah,” puji Zaim. ‘Pujilah wanita untuk mengambil hati mereka,’bisik hatinya. Bukan seorang berdua teman wanitanya. Tak ada yang tak suka dipuji puja.
“Maksudnya?”soal Dayana sambil melirik ke wajah Zaim. Lelaki itu masih mempamerkan wajah tenang, namun matanya asyik meliar ke sana dan ke sini. Bimbang kalau-kalau terlihat oleh isterinya atau saudara mara isterinya dia sedang bersama dengan wanita lain.
“Orang perempuan selalu kuat! Sabar! Tengoklah Yana ni. Mana nak jaga suami di hospital. Kerja lagi. Satu hari kena ulang alik ke tiga lokasi. Rumah, hospital, pejabat. Alang-alang wanita tak terbuat. Silap-silap hari bulan, ke pejabat agamalah. Mohon fasakh,”bicara Zaim agak meleret.
 “Pasti ALLAH memberi ganjaran syurga untuk Yana kerana setia menjaga suami yang sakit. Banyak pahalanya tu.”
“Dah nasib Yana, nak buat macam mana,” jawab Dayana sambil tersenyum.
“Mahu tak mahu kena hadapi segalanya. Kalau saya lemah, menangis siang dan malam pun dugaan itu tetap datang,” jawab Dayana dengan petah.
“Yana tak ada anak ke?”soal Zaim yang nampaknya terlalu berminat untuk mengenali wanita yang berada di hadapan matanya.
“Yana hanya tercipta untuk menjadi seorang isteri,”jawab Dayana sambil menundukkan muka. Tidak semena-mena rasa sayu menjalar ke seluruh pelosok hatinya. Zaim menjongketkan keningnya sewaktu mendengar jawapan berkias yang dilontarkan oleh wanita itu. Tanpa penjelasan yang mendalam dia memahami maksud yang tersirat di sebalik ungkapan ‘Yana hanya tercipta untuk menjadi seorang isteri.’
“Oh.. sadisnya. Saya bersimpati dengan Yana. Memang besar dugaannya ni. Amat besar. Hanya wanita yang terpilih sahaja yang menerima dugaan sebesar ini, Yana. Pasti ALLAH menyayangi Yana,sebab itu diberinya ujian yang hebat-hebat.”Zaim terus melambung-lambung Dayana dengan mengungkapkan kata-kata yang bakal meresapi jiwa wanita itu.
“Ya, Zaim. Memang besar dugaan ALLAH tapi, insya-ALLAH Yana akan terima segala ketentuan TUHAN kepada Yana, setakat yang terdaya,” sampuk Dayana sambil melemparkan pandangannya ke jalan raya. Seolah-olah ingin melemparkan kesedihannya jauh-jauh.
“Yalah, sebagai hamba ALLAH, kenalah diuji-NYA. Jika tidak, tak  tahu teguh atau rapuhnya keimanan kita. Derita atau bahagia,ujian belaka tu. Tambahan kehidupan di dunia ini hanyalah sebagai jambatan menuju ke akhirat. Seperti satu firman ALLAH dalam al-Quran tu. Kehidupan di dunia ini hanyalah sesuatu  mainan yang melalaikan,” kata Zaim dengan lembut.
Dia merenung Dayana yang sedang menundukkan wajahnya menghirup fresh orange. Wanita itu hanya mendengar dengan tenang tanpa mengulas apa-apa. Sangkanya Dayana akan menyuarakan kekagumannya tentang apa yang diperkatakan tadi. Sekurang-kurangnya berilah pujian pada lidahnya yang persis lidah seorang ustaz.
“Zaim, Yana tak boleh nak bersembang panjang. Beginilah, borang-borang yang Zaim bagi dulu, Yana dah lengkapkan. Yana minat juga dengan pelaburan tu,” kata Dayana.
“Okey,” jawab Zaim lembut sambil membaca maklumat yang dicatatkan oleh Dayana dalam borang pelaburan itu. Kepalanya dianggukkan tanda berpuas hati dengan maklumat yang telah ditulis oleh Dayana.
“Yana serahkan borang kepada saya dulu. Duitnya kemudian pun tak apa,” sambung Zaim lagi dengan suara yang perlahan dan lembut. Sekali lagi, wajah Dayana ditatap. Wajah ayu dan mempesona. Dia tertarik kepada mata wanita itu. Saat dia menundukkan wajahnya melihat ke bawah, jelas terpamer sepasang matanya yang indah dihiasi bulu mata yang panjang, lurus serta lebat.
“Jangan terburu-buru. Lagipun saya faham, sekarang ni Yana sedang perlukan banyak duit untuk kos rawatan suami,” katanya lagi dengan nada simpati.
“Suami Yana kerja di mana?”tanya Zaim cuba beramah mesra.
“Sebelum ni dia ekskutif di sebuah syarikat telekomuniksi. Tapi sekarang ni dia tak kerjalah. Sedang bercuti tanpa gaji,”jawab Dayana lurus.

“Minggu depan Yana bagi duitnya. Mula-mula ni Yana melabur RM2000 aje,” beritahunya. Zaim senyum dan mengangguk.
“Okey, kalau begitu kita jumpa lain kali! Yana nak cepat ni,” kata Dayana sambil bangun dari kerusinya. Dia membayar bil dan terus berjalan ke kereta diekori oleh Zaim.

Kicau burung murai di hujung dahan pokok rambutan seolah-olah menyambut Akif pada petang itu. Semalam dia baru sampai ke tanah air. Dari Lapangan Terbang Bayan Lepas dia terus menuju ke Ladang Wong, ke rumah bapa mertuanya untuk bermalam di sana. Selepas zuhur tadi dia bertolak dari rumah bapa mertuanya untuk balik ke rumah orang tuanya pula.
Keengganan Nur Aiman untuk mengikutnya, melegakan hati Akif. Lantas laluan yang dipilih bukan jalan yang menuju ke rumah emaknya. Dia terus memandu menuju ke Parit Lima, Parit Buntar. 45 minit perjalanan dia sudah sampai ke halaman rumah orang tua Dayana.
Berhenti saja kereta di bawah pokok rambutan, Akif memerhati sekeliling rumah itu. Kawasan rumah Dayana memang tidak banyak yang berubah. Agak  lama juga Akif memerhati rumah orang tua Dayana dari dalam kereta. Cat warna kuning air yang mewarnai rumah papan separuh batu itu sudah nampak usang. Akif masih ingat lagi, rumah itu sedang dicat pada hari dia datang ke rumah itu untuk membincangkan tentang majlis pernikahannya dengan Dayana, beberapa tahun yang lalu. Hatinya diasak rasa pilu dan rasa bersalah yang tidak pernah ada kesudahannya.
Akif terus memerhati.
Pak Yusof yang sedang mencangkul tanah di kebun kecilnya berhampiran dapur rumah juga tidak perasan kehadiran tetamunya di halaman rumah itu.
Mak Bedah yang sedang membasuh pinggan di dapur tiba-tiba terpandang sebuah kereta di bawah pokok rambutan, apabila dia menjenguk tingkap melihat kucing yang melarikan  ikan dari  atas meja makan. Tangannya yang sedang memegang pinggan tiba-tiba menggeletar. Proton Perdana berwarna kelabu bercermin gelap itu dikenalinya benar. Mak Bedah terus memerhati. Tidak pula kelihatan pemandu kereta itu. Hatinya semakin berdebar. Dia pun menuju ke jendela di sebelah kanan lalu memanggil Pak Yusof dengan suara perlahan. Pak Yusof menghampirinya. Mak Bedah berbisik-bisik.
“Ada kereta kat bawah pokok rambutan tu. Cuba awak intai,” kata Mak Bedah. Pak Yusof pun mengintai ke arah pokok rambutan dari sebalik daun tingkap. Hatinya juga berdebar dan berasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya itu.
“Eh,macam kereta Akif tu!”bisiknya kembali sambil merenung ke wajah Mak Bedah. Wajah isterinya itu mulai mencebir seolah-olah ingin menangis.
Bukankah Akif sudah mati? Bisik hati kedua-duanya. Belum sempat Mak Bedah menjawab kata-kata Pak Yusof, kedengaran suara dari arah depan. Mereka cepat-cepat berjalan ke arah pintu hadapan.
“Assalamualaikum!”
Akif menunggu dengan sabar di depan pintu selepas memberi salam.
“Waalaikumusalam,”jawab Pak Yusof sambil menatap wajah lelaki yang tercegat di hadapan matanya. Lelaki berbaju kemeja lengan pendek berkotak halus berwarna biru muda dan berseluar jeansbiru itu berkaca mata

hitam. Pak Yusof  memerhatikan lelaki itu lama-lama dan tidak mampu berkata sesuatu pun. ‘Memang benar, ini Akif,’bisik hatinya. Tekaknya tiba-tiba terasa kesat dan berpasir.
“Pakcik...”sapa Akif terus menerpa dan memeluk Pak Yusof sambil menangis.
“Saya Akif, pakcik! Akif...”beritahu Akif dalam tangisan. Pak Yusof membalas pelukan Akif dan cuba mententeramkan Akif yang menangis agak kuat.
“Ampunkan saya, pakcik! Saya mintak maaf...”kata Akif sambil menyalami dan mencium tangan Pak Yusof setelah itu memeluk lelaki itu sekali lagi.
“Ya ALLAH, Akif! Pergi ke mana selama ini?” jerit Mak Bedah yang baru tiba di situ.
Akif melepaskan pelukannya pada Pak Yusof lalu menerpa serta menyalami Mak Bedah pula dan mencium tangan wanita itu lama-lama. Tangisannya masih belum berhenti.
“Makcik, saya mintak ampun... mintak maaf dari hujung rambut ke hujung kaki,”kata Akif dengan suara serak. Dia tidak malu lagi untuk menangis di hadapan kedua orang tua itu. Mak Bedah turut menangis bersama Akif.
“Tenang. Bawa bertenang, Akif dan maknya,” tegur Pak Yusof. Kejadian itu langsung tidak terduga.
“Akif, naik ke rumah dulu boleh kita bercerita panjang. Maknya, pergi ke dapur, buatkan air untuk Akif,”arah Pak Yusof satu persatu.
“Akif dah makan tengah hari?”soal Pak Yusof dengan mesra.
Akif mengangguk. Mak Bedah segera beredar untuk menyediakan minuman dan sedikit juadah untuk lelaki yang gagal menjadi menantunya itu. Tidak lama kemudian,dia muncul kembali dan duduk bersama suami dan tetamu mereka di ruang tamu.
Dalam pertemuan mereka pada tengah hari itu, Akif mengambil peluang untuk menjelaskan segala peristiwa yang telah berlaku tanpa menyembunyikan apa-apa pun. Pak Yusof dan Mak Bedah mendengar segala cerita Akif dengan penuh perhatian.
“Begitulah ceritanya pakcik,makcik,” kata Akif sambil mencapai cawan teh di hadapannya. Teh yang masih panas sewaktu dihidangkan tadi sudah sejuk.
Pak Yusof dan Mak Bedah terdiam. Mereka saling berpandangan. Lama juga ruang tamu di anjung rumah itu didakap keheningan. Masing-masing melayan perasaan dan fikiran.
“Jadi sekarang ni, Akif berniaga di Beijinglah?”soal Pak Yusof sambil merenung Akif yang berwajah muram. Akif mengangguk.
“Alhamdulillah, pakcik. Di sana saya ada restoran dan kedai menjual produk makanan halal,” beritahu Akif dengan nada perlahan sambil menundukkan mukanya. Dia mencapai sepotong kek yang terhidang di dalam piring. Kek coklat Moist.
“Makanlah, Akif! Kek tu Dayana yang buat! Minggu lepas dia ada balik,”cerita Mak Bedah.
“Saya tahu, makcik. Dulu, Yana selalu buatkan untuk saya,”kata Akif dengan suara sebak. Dia terus mengunyah kek di dalam mulutnya perlahan sambil mengeluh.
“Yana apa khabar, makcik?”soal Akif sambil merenung ke wajah Mak Bedah.
“Dia masih buat kerepek, kuih tradisional dan kek-kek lagi ke?”soal Akif lagi.
Mak Bedah mengangguk.

“Minggu lepas, waktu dia balik, nampaknya sihatlah,” beritahu Mak Bedah. Matanya menatap wajah Akif yang suram.
“Boleh saya dapatkan alamat dia, makcik. Yana tinggal dan bekerja di Ipoh, kan?”soal Akif lagi.
“Makcik, pakcik! Saya ingin menyambung kembali pertalian yang terputus itu. Saya... saya ingin Yana jadi isteri saya jugak,”beritahu Akif dengan suara tergagap.
“Jadi isteri? Ya ALLAH Akif, kalau boleh memang makcik mahu Akif berkahwin dengan Dayana tu. Tapi...”kata-kata Mak Bedah terhenti di situ. Dia menatap wajah Akif yang nampaknya begitu gelisah.
“Yana tu dah ada suami,” sambung Mak Bedah lagi.“Suaminya sedang sakit pulak. Yanalah yang menjaganya. Kasihan dia,” ujar Mak Bedah lagi.
“Astagfirullahalazim,maafkan saya makcik. Saya benar-benar tak ingat yang Dayana sudah berkahwin,” kata Akif dengan suara kesal.“Kalau saya nak jumpa dia macam mana?”tanya Akif lambat-lambat.
“Saya nak mintak maaf. Mintak ampun. Saya telah buat dia kecewa,menderita,” sambung Akif lagi dengan penuh perasaan. Mak Bedah merenung ke wajah suaminya.
“Beginilah, Akif. Pakcik rasa lebih baik Akif tak payah bertemu dengan Yana lagi. Pakcik tahu dan faham, Akif dan Yana saling menyayangi dan tidak boleh melupakan antara satu sama lain,” kata Pak Yusof. Dia yang hanya mendiamkan diri dari tadi menyampuk.
“Tapi masalahnya sekarang, Akif dah ada isteri. Akif bimbinglah isteri yang mualaf itu ke jalan yang diredai. Lebih baik lagi kalau Akif dapat menarik ibu dan ayahnya untuk beriman kepada ALLAH,” sambung Pak Yusof lagi. Dia merenung ke wajah Akif yang sugul. Bukannya dia tidak  faham isi hati lelaki itu. Dia faham sangat-sangat.
“Pakcik...saya tak pernah abaikan tanggungjawab kepada isteri saya tu, pakcik. Walaupun saya tak pernah mencintai dia. Saya lakukan segalanya demi cinta saya kepada ALLAH,” jawab Akif pula. “Tapi hati saya takkan tenteram selagi saya tidak menjelaskan perkara sebenarnya kepada Dayana,” sambungnya lagi sambil mengesat airmatanya yang jatuh di pipi.
“Akif, makcik faham perasaan Akif. Tapi makcik bimbang penderitaan Yana semakin parah pula. Dulu, kami yang paksa dia kahwin dengan Azmir tu. Ikutkan hati Yana, dia tetap nak tunggu Akif balik,”kata Mak Bedah pula.
“Tambahan pula waktu tu dia baru habis edah kerana kematian Ikhwan. Akif tahu Yana sempat bernikah dengan Ikhwan? Sempat jadi isterinya hanya beberapa minit aje? tanya Mak Bedah. Perasaannya berbaur. Dia juga rasa bersalah kerana telah memaksa Dayana berkahwin.
“Benar kata makcik tu, Akif. Bimbang kalau Yana tahu, Akif masih hidup dan datang mencarinya, dia akan rasa menyesal dengan ikatan perkahwinannya itu. Tambahan pula dia sedang menjaga suaminya yang sakit,”sampuk Pak Yusof sambil merenung wajah Akif.
“Kalau tak boleh bertemu,boleh tak pakcik beri saya nombor telefon Yana?”tanya Akif dengan harapan menggunung. Pak Yusof menatap wajah Akif seketika dan menggeleng. Ketegasan Pak Yusof pada saat itu menghampakan hati Akif.
“Mungkin lebih baik kalau cerita kedatangan Akif ini, kami rahsiakan daripada dia buat sementara waktu,” cadang Mak Bedah.
 “Makcik...pakcik...”kata Akif.
Namun, kata-kata yang ingin diucapkannya lenyap entah ke mana. Sebenarnya dia berasa kesal dengan pendirian kedua orang tua itu. Mak Bedah dan Pak Yusof seolah-olah tidak ingin memberinya peluang untuk menebus dosa kepada bekas tunangannya itu. Dia ingin sangat bertemu dengan Dayana walaupun sesaat. Dia ingin menatap wajah dan berbual-bual dengannya walaupun seketika. Dia ingin melihat sejuta luka yang tersembunyi di hujung senyuman wanita itu.
“Kalau boleh makcik dan pakcik sampaikan salam saya kepada Yana,” kata Akif dengan suara mengharap. “Mintak maaflah, Akif! Pak cik tak mahu buat begitu. Bukan niat pak cik untuk memutuskan silaturrahim antara Akif dan Yana. Berdosa hukumnya. Dan menjadi satu perkara yang wajib pula untuk pakcik menyampaikan salam Akif kepada Yana, kalau pakcik sudah berjanji. Tapi...” kata-kata Pak Yusof tersangkut di situ.
“Yana sudah bersuami,”sambung Mak Bedah pula. Dia bimbang perasaan cinta antara dua insan itu akan meledak kembali kalau Dayana tahu Akif masih hidup. Mula-mula berkirim salam. Setelah itu mesti inginkan pertemuan pula. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Pasti kerinduan yang bersarang di jiwa masing-masing begitu membara.
“Baik. Baiklah pakcik, makcik. Saya faham,” kata Akif sambil mengeluh kecewa. Tatkala warna jingga mulai mewarnai langit barulah dia bersedia untuk beredar dari rumah itu.
“Terima kasih, makcik! Pakcik,” kata Akif lalu memeluk mereka sekali lagi. Pelukannya kuat.
“Sabar, Akif! Insya-ALLAH, kalau masih ada jodoh takkan ke mana.”Pak Yusof sempat berbisik di telinga Akif sambil membalas pelukan lelaki itu. Bagaikan terkena sentuhan sakti, mendengar bisikan Pak Yusof itu. Gelora di hati Akif seolah berhenti kocakannya. Bibirnya mengukir senyuman harapan.

 SUDAH lapan hari Mak Esah terlentang di atas katil di rumahnya. Badannya terasa seram sejuk. Kepalanya rasa memberat. Pak Shukri telah membawanya ke hospital kerajaan. Ubat yang dimakan tidak memberi kesan. Rais yang bercuti tiga hari juga telah membawanya ke klinik. Mak Esah sudah jelak menelan ubat, lantas ubat-ubat yang dibekalkan oleh doktor terbiar di dalam bekas plastik.
“Mak, saya bawa mak ke klinik lagi. Kita cari doktor pakar,” pujuk Akif pula. Wajah emaknya yang nampak kusut dan runsing ditatapnya berkali.
“Tak payahlah, Akif. Sebenarnya hati mak rasa runsing,” adu Mak Esah sambil terbatuk-batuk. Mendengar kata-kata emaknya itu, Akif mengeluh kuat.
“Apa yang mak runsingkan?”soal Akif lembut sambil memegang tangan emaknya.
“Kau baliklah, duduk di sini. Tak payahlah merantau di negeri orang lagi,”kata Mak Esah dengan suara tertahan-tahan.
“Mak,Akif memang akan balik! Tapi buat masa ini, biarlah Akif duduk di negara orang dulu. Perniagaan Akif sedang maju, mak! Sayang dibiarkan begitu aje,”beritahu Akif kepada emaknya.
“Kalau mak nak mati...mak nak Akif dan anak-anak yang lain, di depan mata mak. Sebelum mak pejamkan mata buat selamanya,” kata Mak Esah dengan suara tersangkut-sangkut. Nafasnya juga panjang-panjang.
“Astaghfirullahalazimm! Apa yang mak repekkan ni?”soal Akif dengan nada bimbang. Tidak sanggup dia kehilangan ibu untuk selamanya walaupun dia menyedari yang emaknya itu tidak akan menongkat dunia.
“Mak tak merepek. Tapi mak ni dah semakin tua,” kata Mak Esah lagi. Dia mengitari sekeliling bilik itu dengan pandangan matanya.
“Mana isteri kamu?” soalnya sambil mengangkat kepala seketika. Dari tadi Nur Aiman tidak menjenguk muka kepadanya.
“Saya tinggalkan Aiman di rumah mak dan ayahnya,”beritahu Akif. Isterinya sering keletihan kebelakangan ini dan perlukan rehat.
“Atau dia yang tak mahu datang. Sebab dah benci kepada mak,” teka Mak Esah. Perkara biasa kalau menantu perempuan membenci emak mertua.
“Memang saya yang tak mahu bawa dia, mak,” tegas Akif lagi.
“Tadi dia sakit kepala. Biarlah dia berehat dan lepaskan rindu kepada mak dan ayahnya. Esok-esok Akif bawa dia ke sini,” sambung Akif lagi. Mendengar kata-kata Akif, Mak Esah bingkas duduk dan menyandarkan belakangnya ke kepala katil.
“Kamu tinggalkan isteri kamu di rumah mak bapaknya yang kafir?”soal Mak Esah sambil membulatkan matanya merenung Akif.
“Kafir pun, mereka tu ibubapa kandung Aiman,” jawab Akif dengan lembut.
Mak Esah baring kembali. Memang benar kata Akif itu. Hubungan darah antara Nur Aiman dan ibu bapanya tidak putus walaupun mereka berbeza agama.
“Bini kamu tu mau ke ikut nasihat kamu? Dia sembahyang?”soal Mak Esah.
Pada pendapatnya bukan mudah hendak membimbing seseorang yang baru memeluk agama Islam. Walaupun dia begitu yakin anaknya itu dapat membimbing Nur Aiman, rasa bimbang tetap berbunga di hatinya.
“Alhamdulillah! Sembahyang, puasa, membaca al-Quran dan lain-lain perkara yang bersangkutan dengan agama, Akif dah ajar dia. Tak usah mak bimbang,” beritahu Akif sambil meleretkan senyuman.
“Cuma dia ni manja sikit dan tak biasa hidup susah! Maklumlah anak tunggal. Bapaknya tu agaknya hartawan atau jutawan,” beritahu Akif sambil ketawa. Dia tidak pernah bertanya Nur Aiman tentang status bapa mertuanya itu.
“Entahlah Akif, hati mak ni sebenarnya runsing dan keliru apabila mengenangkan hal kamu dengan bini kamu. Mak merasakan yang seolah kamu dicolek oleh bapanya dan memaksa kamu berkahwin dengan anaknya,” teka Mak Esah.
“Mak,janganlah mak fikir-fikirkan lagi perkara yang telah berlaku. Akif terima perencanaan ALLAH ini. Insya-ALLAH, ada hikmah dan muslihat di sebaliknya. Segala yang ALLAH jadikan ada sebabnya,” jawab Akif dengan lembut.
Sehingga saat itu dia tidak menceritakan sebab musabab yang menyebabkan dia menikahi Nur Aiman. Lebih-lebih lagi cerita tentang Nur Aiman yang mengandung anak tidak sah taraf dan percubaannya membunuh diri. Demi TUHAN, dia tidak akan menceritakannya kepada sesiapa pun kecuali kepada Pak Yusof dan Mak Bedah. Itupun kerana sebab yang sangat kukuh.
 “Mak, sebelum balik ke sini Akif pergi ke..” bicara Akif tersangkut seketika. Dia berasa serba salah samaada untuk memberitahu emaknya ataupun tidak. Matanya merenung ke wajah emaknya.
“Akif pergi ke rumah orang tua Yana,” sambungnya lagi dengan suara yang amat perlahan. Akif menundukkan mukanya. Dia tidak ingin emaknya melihat rona wajahnya. Mana tahu kesedihan dan kekecewaan yang menyelubungi hati terbias pada wajahnya.
“Mak Bedah dan Pak Yusof kamu, sihat?”soal Mak Esah. Dia bangun dan duduk di birai katil pula.“Alhamdulillah, mak! Tapi saya rasa terkilan kerana mereka tak benarkan saya bertemu dengan Yana lagi, mak,” adu Akif dengan suara sedih.
“Kalau mak di tempat mereka pun, mak akan buat perkara yang sama!”tukas Mak Esah dengan suara kuat.“Kamu bertindak bodoh dan tidak memikirkan tentang orang lain. Kau korbankan perasaan sendiri. Perasaan Yana. Perasaan mak, ayah. Perasaan Mak Bedah dan Pak Yusof kamu, kerana anak Cina tu,”leter Mak Esah.
“Mak suruh kamu lepaskan dia, kamu tetap degil!”bidas Mak Esah lagi lalu bangun pula dan berjalan menuju ke tingkap untuk berludah.
“Mak, Nur Aiman tu mualaf! Kita sepatutnya memberi bimbingan kepada dia. Menunjukkan kepada dia contoh tauladan yang baik seperti yang diajar oleh Rasulullah. Agama Islam ni, agama yang indah mak!  Agama ukhwah. Berkasih sayang dan menganjurkan kebaikan,”jawab Akif dengan panjang lebar. Dia mengekori Mak Esah yang menuju ke dapur.
“Lagipun, Aiman seorang wanita yang baik. Dia telah teraniaya dan dizalimi. Apabila TUHAN telah pilih dia untuk memeluk agama ISLAM ni, dia telah menjadi saudara kita, mak. Akif takkan ceraikan dia sampai bila-bila,” terang Akif.
“Siapa yang aniaya dan zalimi dia?”tanya Mak Esah spontan seolah ingin mengorek rahsia.
“Alah, mak! Tak payahlah kita nak ungkit-ungkit sejarah hidup Aiman, mak! Apabila dia lafazkan kalimah syahadah, dia seolah bayi yang baru lahir. Bersih dan suci. Alhamdulillah, isteri saya tu sedang cuba menjadi muslimah sejati,” puji Akif sambil tersenyum.
“Lagipun papa dan mamanya telah menerima Akif sebagai menantu dengan baik. Mengapa pulak mak tak boleh terima Aiman? Dah memang jodoh Akif dengan dia, itu memang ketentuan TUHAN. Tak ada siapapun yang dapat menghalang,” jelas Akif lagi.“Perjalanan hidup kita, TUHAN yang tentukan,” sambungnya.
Mak Esah terdiam.
“Tapi mak tetap mahukan Yana jadi menantu mak, beri cucu kepada mak! Mak tak mahu cucu yang dilahirkan Aiman,”tegas Mak Esah sambil tangannya mencapai teko untuk membancuh kopi.
‘Subhanallah,’keluh Akif di dalam hatinya apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh emaknya itu. Jika emaknya sudah bertegas begitu, tentu masalah yang membelit dirinya semakin berselirat.
“Akif masih cintakan Yana?”soal Mak Esah dengan pandangan mata yang bersinar. Persoalan daripada emaknya itu menyebabkan hati Akif bergoncangan. Cintanya kepada Dayana tidak pernah menyusut walau secebis. Cintanya yang sedang dibalut rindu sentiasa menyala dan tetap hangat.
“Mak, Akif mampu untuk bernikah 1, 2, atau 3 lagi, mak. Tak menjadi kesalahan walaupun Akif sudah ada Aiman, tapi Yana sudah bersuami, mak!”jawab Akif dengan nada sebak. Bukankah senja tadi, Mak Bedah dan Pak Yusof menolak kehendaknya.
 “Akif, suami Yana sakit! Dia boleh tuntut fasakh!”beritahu Mak Esah dengan nada suara kuat dan bersungguh.
“Makk!”balas Akif terkejut dengan ungkapan emaknya.Fikirannya semakin memberat.
“Kalau Azmir tak mahu ceraikan Yana, dia boleh buat secara khuluq atau tebus talak! Akif tentu mampu biayainya, kan?”soal Mak Esah dengan suara kuat.
“Mak?Astaghfirullahalazim...”Akif beristighfar panjang terus terduduk di hadapan emaknya.


Tiada ulasan: