Hari ini hari Ahad. Jam 8.30 pagi baru Dayana
sampai di hadapan rumahnya. Keluar saja dari kereta, Dayana terus membuka booth dan membawa keluar bakul yang
berisi baju-baju kotor yang dibawa dari wad hospital. Masuk hari ini, sudah sebulan
Azmir berada di wad.
‘ ALLAH HUAKBAR, penatnya badan aku,’rungut Dayana sambil
menghumban tubuhnya di atas permaidani di ruang tamu. Sambil berbaring
menelentang matanya sempat menyinggahi mesin faks yang diletakkan di sudut
ruang tamu. Ada beberapa helai kertas yang terjulur keluar dari mesin faksnya
itu.
‘Aduh,ada pesanan lagi ke? Tak laratlah aku nak buat,’ keluh
Dayana. Walau bagaimanapun, dia segera bangun dengan lemah longlai dan menuju
ke mesin faks itu. Kertas yang terjulur di mesin faks diambil dan dibacanya
perlahan. Tempahan tiga biji kek coklat untuk majlis hari lahir anak jirannya. Majlis
akan diadakan pada petang, Sabtu akan datang. Dayana tersenyum lega. Dia segera
menekan butang-butang nombor pada mesin faks untuk menghubungi jirannya itu.
“Assalamualaikum, Kak Lin. Faks pesanan akak, Yana dah
terima. Kek-kek tu akak nak ambil bila?” soal Dayana, mesra. Walaupun badannya
penat, dia masih bersikap ramah dengan pelanggannya.
“Waalaikumussalam, Yana.Kek tu kalau siap tengah hari
Sabtu boleh tak? Kalau awal sangat, takut tak sempat majlis hari lahirnya kena
ngap dengan anak-anak akak! Faham-faham sajalah si kembar 3 tu,”jawab Linda
sambil ketawa besar.
“Baik, kak! Kalau begitu lega rasanya. Balik dari
hospital saya boleh buat kek tu. Tengah hari sewaktu nak ke hospital balik saya
hantar ke rumah akak,”beritahu Dayana.
“Azmir masih di wad, ya?”soal Linda dengan suara perlahan
dan simpati.
“Hmm...”jawab Dayana ringkas. Ikutkan hati dan kepenatan
yang sedang ditanggungnya, memang dia ingin menolak pesanan Linda itu. Namun,apabila
terkenangkan Akif, dia jadi bersemangat semula. Bukankah dulu Akif terlalu
berharap yang dia akan menjadi usahawanita yang berjaya.
“Sabarlah, Yana. Semuanya dugaan daripada ALLAH. Tapi kau
ni cekal jugak, Yana. Dalam menjaga suami di hospital, kerja di pejabat, masih
sempat lagi nak buat-buat kek, kerepek! Akak rasa bangga,”puji Linda sambil
ketawa.
“Alah,Kak Lin ni memang pandai ambil hati saya,”balas
Dayana.
“Dah memang minat saya sejak dulu akak.Dapat jugak rezeki
seringgit dua,”sambungnya sambil merendah diri.
Linda ketawa mengekek.“Hai, kalau musim hari raya, bukannya
seringgit dua yang masuk dalam kocek kau, Yana! Beribu, kan? Ramai orang buat
tempahan kek dan biskut raya, betul tak?”tanya Linda ramah. Dayana menjawabnya
dengan tawa.
“Baiklah, akak.Saya nak basuh kain ni. Yang sebenarnya
saya baru sampai di rumah ni. Baru balik dari hospital,” beritahu Dayana.
“Okey, Yana. Terima kasih,” kata Linda sambil meletakkan
gagang.
Telefon Dayana kembali berdering sebaik sahaja gagangnya
diletakkan. Dayana menjawab salam emaknya sebaik sahaja mendengar suara emaknya.
Setelah itu dia mendengar dengan teliti cerita yang sedang disampaikan oleh
emaknya itu.
“Mak bagi nombor telefon Yana kepada Nur Aiman? Nur Aiman
tu siapa, mak?”soal Dayana bertalu-talu. Seingatnya, dia tidak mempunyai teman
yang bernama Nur Aiman.
“Dia seorang mualaf. Dia nak sangat berkenalan dan
bertemu dengan Yana,” beritahu Mak Bedah lalu menceritakan sejarah pertemuannya
dengan Nur Aiman.
“Mualaf tu Yana tak kisah, tapi kenapa dia hendak sangat
berkenalan dan bertemu Yana?”soal Dayana dengan nada hairan.
“Manalah mak tahu. Mungkin dia nak tanya apa-apa yang dia
tak faham. Mak dah hadiahkan dia kitab tafsiran al-Quran yang Yana simpan dalam
almari tu,”beritahu Mak Bedah dan berhenti berkata-kata buat seketika kerana
cuba mengingatkan sesuatu. Hal itu belum diberitahu kepada Dayana lagi.
“Alamak...”kata Dayana. Dalam almari bukunya memang ada
banyak kitab. Akif pun ada menghadiahkannya sebuah kitab tafsiran al-Quran yang
bertulisan jawi.
“Mak bagi dia kitab yang mana? Ada sebuah tu, Akif
belikan untuk Yana, mak!”beritahu Dayana dengan suara bimbang.
“Yang tulisan rumi tu,” beritahu Mak Bedah.
“Takkan mak nak bagi pemberian Akif untuk Yana kepada
orang lain pulak,” sambungnya lagi. Dayana tersenyum lega.
“Bila mak bagi kat dia kitab tu?”soal Dayana. Mak Bedah
cuba mengingat detik pertemuannya dengan Nur Aiman. Dia berkira-kira di dalam
mindanya sendiri.
“Dah lama, Yana. Dah makan tahun jugak. Nanti Yana layan
dia elok-elok tau,” pesan Mak Bedah pula. Dayana ketawa kecil apabila mendengar
pesanan emaknya.
“Janganlah mak risau. Yana pasti akan layan dia dengan
baik. Kan, dia saudara seagama kita? Alhamdulillah kerana dia telah diberi
petunjuk hidayah oleh ALLAH. Yana rasa bertuah pulak kerana dia hendak
berkenalan dengan Yana,” kata Dayana sambil ketawa riang. Terasa hilang penat
yang ditanggungnya apabila mendengar suara emak tersayang.
“Baiklah, Yana. Mak cuma nak beritahu hal itu aje. Bimbang
kau terkejut pulak apabila mendapat panggilan daripada Aiman,” kata Mak Bedah.
“Nanti sampaikan salam mak dan ayah kepada Azmir,” beritahu
Mak Bedah sebelum menoktahkan perbualan mereka.
“Yalah, mak. Kirim salam pada ayah, tau. Assalamualaikum,”
kata Dayana lalu meletakkan gagang telefon.
‘Nur Aiman,’terpacul nama itu di bibirnya. Dalam
kegembiraan menerima panggilan telefon daripada emaknya, hatinya dihadiri sebak.
Ingatannya kepada Akif semakin kuat. Dulu, Akif pernah
memberitahunya, selepas mereka berkahwin, jika memperolehi cahaya mata, sama
ada lelaki atau perempuan anak itu akan dinamakan Nur Aiman. Kata Akif dia inginkan
cahaya mata cepat-cepat.
‘Akif...’ bisik hatinya.
Tubir mata Dayana kembali rebak dan membanjirkan airmata
untuk sekian kalinya. Cintanya kepada lelaki itu masih belum terpadam walau
berjuta onak dan kepedihan telah dilewati sejak kehilangannya.
Sejak pagi tadi cuaca mendung. Tengah hari ini
baru gerimis mulai menitis. Nur Aiman merenung titis hujan yang berjatuhan
melalui kaca jendela rumahnya. Dari tadi dia duduk di situ sambil menunggu
kepulangan Akif untuk makan tengah hari dan solat zuhur. Kadangkala dia rasa
bosan juga tinggal sendirian di rumah. Kalaulah Haiqal masih hidup, tentu
anaknya itu dapat menjadi temannya berbual sementara Akif bekerja. Tusukan hiba
membenam di ulu hatinya.
Hanya keluhan berat yang dapat meredakan kehibaannya
seketika. Sesungguhnya ALLAH mengatur sesuatu untuk setiap hamba dengan
menyembunyikan hikmah dan muslihatnya. Walau pada mula dianggap pahit dan
memanggil kesedihan, namun di hujungnya pasti ada kemanisan dan kebaikan. Kalau
Haiqal masih hidup tentu perasaannya sering terganggu kerana kerap mengingati
sejarah hitamnya bersama Zaim. Hati kecil Nur Aiman terus tunduk akan kehebatan
kekuasaan ALLAH.
Namun, alangkah baiknya kalau TUHAN mengurniakan seorang
lagi anak buatnya. Zuriatnya bersama Akif. Pada waktu itu pasti dia sibuk
melayani anaknya itu. Yang mungkin sedang belajar berjalan, berlari dan bermain.
Ulas bibir Nur Aiman mengukir senyuman membayangkan kebahagiaan yang bakal
dinikmatinya nanti jika sudah mempunyai zuriat sendiri.
‘Mahukah Akif memiliki cahaya mata dengan aku? Aku bukan
isteri pilihan hatinya. Akif mencintai Dayana dan tidak ada ruang untukku di
hatinya,’desis hati Nur Aiman. Seluruh kalbunya dibuai rasa sayu.
Tiba-tiba bayangan wajah Dayana seolah melintas di depan
matanya. Walaupun dia hanya melihat foto tetapi hati kecilnya mengakui, Dayana
memang seorang gadis yang cantik. Berwajah lembut dan tenang. Senyumannya manis.
Memang sepadan sangat dengan Akif.
Hasratnya untuk menghubungi Dayana dihalangi oleh papanya.
Papanya telah mengambil nombor telefon Dayana dan memberi amaran, jangan
sesekali menghubungi wanita itu. Lantaran itu sehingga saat ini hajat di
hatinya ingin bersemuka dengan Dayana untuk meminta maaf belum lagi tertunai. Dia
balik ke Beijing dengan perasaan kecewa.
“Assalamualaikum!”Laungan Akif dari muka pintu
mengejutkan lamunan Nur Aiman.
“Aiman berangankan apa? Lama abang berdiri di muka pintu,
sampai tak perasan?”soal Akif sambil menghulurkan tangannya kepada Nur Aiman. Nur
Aiman menyambut tangan Akif lalu menciumnya.
“Hmm... Aiman teringatkan Haiqal. Kalau dia masih hidup, taklah
Aiman berasa sunyi di rumah ni,”beritahu Nur Aiman sambil tersenyum. Akif
mengerling Nur Aiman dengan ekor matanya.
“Kalau rasa sunyi, Aiman bacalah Quran. Buat solat sunat.
Berdoa dan mintalah kepadaALLAH, apa-apa yang Aiman inginkan,” kata Akif sambil
mencuit pipi isterinya itu.
“Kalau Aiman mintak TUHAN kurniakan cahaya mata lagi, boleh
tak?”soal Nur Aiman sambil mengekori langkah Akif.
“Mestilah boleh! Permohonan atau permintaan hamba ALLAH
kepada TUHANNYA, tidak pernah ada sempadan,” jawab Akif sambil berjalan.
“Lagipun ALLAH suka jika hamba-NYA selalu berdoa dan
meminta kepada-NYA. Insya-ALLAH, pasti makbul,”nasihat Akif.
“Tapi, abang mahu ke Aiman lahirkan anak abang?”spontan
bibir Nur Aiman bertanya. Akif tidak menjawab soalan itu sebaliknya mencubit
mesra hidung Nur Aiman dan menggoyang-goyangkan hidung isterinya itu.
“Hari ni Aiman masak apa? Abang dah lapar ni,”kata Akif
lagi cuba mengalih tajuk perbualan mereka. Dia bimbang Nur Aiman akan melontarkan
pertanyaan yang meresahkan hatinya.
Nur Aiman Zumaiah Wong. Wanita itu amanah ALLAH kepadanya.
Daripada kafir kepada seorang muslimah. Walau apapun yang terjadi dia harus
menjaga amanah ALLAH itu sebaik-baiknya. Dia menyayangi Nur Aiman kerana itu
hak yang harus diterimanya sebagai seorang isteri. Jauh di sudut hati, dia
belum pernah melupakan Dayana. Harapannya untuk bersama kembali dengan
tunangannya itu tetap subur, tidak pernah layu.
“Aiman, minggu depan kita balik. Mak abang tak sihat. Abang
baru terima e-mel daripada Nisah. Rais pun ada e-mel kepada abang,”beritahu
Akif sambil menarik kerusi lalu duduk.
“Tapi tidakkah kehadiran Aiman akan mengganggu perasaan mak abang.
Aiman ni menantu yang dibenci, bang,”jawab Aiman sayu. Akif merenung ke wajah
Nur Aiman yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Mak bukan bencikan Aiman,”jawab Akif, cuba membetulkan
persepsi isterinya itu. Nur Aiman diam. Dia merenung ke arah Akif dan menunggu
suaminya itu meneruskan bicaranya.
“Mak cuma terkejut. Dan buat masa ini dia tidak boleh
menerima keadaan ini. Dia tak boleh terima kenyataan. Dia tidak percaya yang
abang telah nikahi Aiman,” terang Akif dengan nada perlahan. Dia tidak mahu Nur
Aiman berasa tersinggung dengan kata-katanya.
“Tapi... kalau mak tak mahu terima Aiman selamanya macam
mana?” soal Nur Aiman sambil duduk di hadapan Akif.
Akif terdiam seketika kerana tidak tahu untuk memberi
jawapan. Emaknya memang keras hati kepada perkara yang dia tidak suka. Hitam
katanya hitamlah. Putih katanya, putihlah. Dayana tunangannya dulu memang
pilihan hatinya, tetapi Dayana gadis yang disayangi oleh emak dan seluruh ahli
keluarganya.
“Aiman jangan bimbang atau fikirkan perkara yang
bukan-bukan. Insya-ALLAH, lama-kelamaan mak akan sayangi Aiman jugak. Yang penting
Aiman kena pandai ambil dan jaga hatinya. Dia emak mertua, tarafnya sama macam
ibu kandung Aiman,” nasihat Akif sambil tersenyum.
“Tapi kasih sayang mak kapada Aiman yang mungkin akan
tumbuh itu tentu tak tak setanding dengan kasih sayang mak kepada Dayana, kan?”
soal Nur Aiman pula.
Akif terdiam lagi. Mendengar nama Dayana menyebabkan
jiwanya berdebar-debar. Rasa rindu yang tersimpan seolah meledak. Matanya
merenung ke wajah Nur Aiman. Selera Akif tiba-tiba terpadam. Dia menghentikan suapannya. Nasib baik nasi yang tersisa hanya tinggal sedikit. Akif terus
membasuh tangannya. Nur Aiman terkejut dengan tindakan Akif yang lain dari
biasa.
“Abang dah kenyang. Aiman teruskanlah. Hmm...abang nak ke
bilik air,” kata Akif memberi alasan.
Dia cepat-cepat minum dan bangun dari kerusi terus beredar dari meja makan. Akif terus
menghumbankan tubuhnya di atas katil sebaik sahaja tiba di dalam bilik. Lembaran
kenangannya bersama Dayana bagaikan diselak satu persatu.
‘Insya-ALLAHYana,kita akan bertemu kembali sedikit waktu
lagi. Akif akan lenyapkan segala penderitaan yang sedang kita harungi. Seribu
impian kita yang telah berkecai, kita himpunkan kembali, Yana. Tapi...’
Hati Akif terus berbicara sendiri. Fikirannya semakin
berserabut dan kusut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan