Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 57



Selepas sarapan Nur Aiman sudah berdandan rapi. Dia berbaju kurung ungu dan mengenakan tudung berwarna ungu muda yang dihiasi manik disekelilingnya. Baju kurung itu dibelikan oleh Akif semasa  hari raya puasa yang lalu.
“Szeze, lu nak kemana ni, cantik-cantik?”soal Wong Pek Chak yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu. Matanya merenung ke wajah Nur Aiman ke atas dan ke bawah.
“Papa...boleh tak kalau jangan panggil Aiman, Szeze lagi? Err... Aiman nak pergi ke Parit 5. Papa ingat tak, makcik yang jumpa dompet Aiman di hospital dulu!  Aiman nak pergi ke rumah makcik tu,” beritahu Nur Aiman jujur.
“Lu tak boleh pergi. Akif tak ada, lu jangan keluar suka-suka hati,”kata Wong Pek Chak dengan suara parau.“Lu tak ada beritahu dia, kan? Lu balik sini sebab nak pergi ke rumah makcik tu?”teka Wong Pek Chak.
Mendengar pertanyaan papanya itu, Nur Aiman terduduk di atas sofa di hadapan papanya. “Memanglah papa, tapi Aiman hendak uruskan perkara yang sangat mustahak!”tegas Nur Aiman cuba memujuk.
“Mustahak ke, tak mustahak ke, laki lu kena tahu kemana lu pergi! Lu sudah Islam, lu ikutlah perintah TUHAN lu, ikut semua sekali. Bukan ikut sikit-sikit,”nasihat Wong Pek Chak.
“Alah, papa! Aiman nak pergi sekejap aje. Aiman pinjam kereta papa. Boleh ya,”kata Nur Aiman masih berdegil.
“Tak boleh, Nur Aiman! Papa kata tak boleh dan lu jangan pergi! Jangan lu ingat laki lu jauh, dia tak tahu. Tapi TUHAN nampak semua perkara,” beritahu Wong Pek Chak lagi.
“Baiklah, papa! Aiman tak jadi pergi.Tapi...”kata-kata Nur Aiman terhenti seketika.
“Papa dan mama tolonglah jenguk makcik tu. Aiman rasa, anak makcik tu yang menjadi tunangan Abang Akif. Namanya Dayana. Disebabkan Aiman,mereka tak jadi bernikah,” cerita Nur Aiman dengan suara sebak.
“Aiman nak pergi jumpa mereka sebab nak mintak maaf,”kata Nur Aiman lagi dan terus tersedu.
“Selagi tak bertemu dan mintak maaf, selagi itulah Aiman rasa bersalah, papa,”rintihnya pula.
“Papa pun salah jugak! Sebab ugut Akif supaya bertanggungjawab pada Aiman. Paksa Akif supaya kahwin dengan Aiman,” ungkit Nur Aiman.
Bibir Wong Pek Chak bagai terkunci kerana memikir sesuatu. Namun, tidak berapa lama setelah itu dia merenung anaknya dan berkata,“Aiman, kenapalah lu pendek akal sangat ni? Buat apa lu nak cari sakit dan susah?Akif sudah lama menjadi laki lu,kan?Hal ini biarlah Akif yang selesaikan. Lu buat tindakan sendiri, takut semakin burukkan keadaan. Lu suka Akif tinggalkan lu?” soalnya lalu meletakkan surat khabar di atas meja.
“Papa, Aiman berniat baik,”balas Nur Aiman lagi mempertahankan kehendaknya. Meskipun pertanyaan-pertanyaan daripada papanya itu termakan juga oleh akalnya.
“Papa tau! Tapi ini hal peribadi Akif! Lu jangan masuk campur!”Sanggah Wong Pek Chak.
“Tapi Akif, suami Aiman,”jawab Aiman  lembut, cuba memujuk papanya.


“Sebab dia suami lu, lah, lu tak boleh begini. Kalau Akif tahu, dia mesti tak suka lu buat begini,” kata Wong Pek Chak lagi sambil bangun.
“Sekarang mak mertua lu tak suka sama lu. Tak boleh terima lu sebagai menantu, jangan sampai hati laki benci dengan lu,” kata Wong Pek Chak sinis. Dia beredar meninggalkan Nur Aiman sendirian.
“Papa nak pergi ladang,”beritahunya kepada Nur Aiman sebelum menghilangkan diri di sebalik daun pintu. Nur Aiman terpegun di atas sofa. Segala kata-kata papanya terngiang di telinga.
‘Oh ya, aku ada nombor telefon rumah makcik tu! Tapi aku simpan di mana ya?’soal hatinya sendiri.
Nur Aiman segera naik ke biliknya dan mula menyelongkar laci almari. Bibirnya mengukir senyuman sebaik saja menjumpai nombor telefon yang dicarinya itu.‘Alhamdulillah,’bisik hatinya. Dia pun terus mendail nombor itu dengan seribu doa.
“Assalamualaikum, makcik. Saya Aiman, makcik ingat saya lagi tak?”soal Nur Aiman dengan riang sebaik sahaja gagang telefon di hujung sana diangkat.
“Aiman? maaflah...mak cik hmm... Aiman yang mana?” tanya Mak Bedah.
Pertanyaan itu menyebabkan hati Nur Aiman rasa kecewa. Dia ragu-ragu untuk memperkenalkan dirinya. Maklumlah peristiwa pertemuan mereka sudah bertahun berlalu. Mungkin sudah terpadam terus dari memori ingatan wanita itu.
“Aiman...Mualaf! Yang makcik hadiahkan Kitab Tafsiral-Quran tu,”terang Nur Aiman dengan harapan orang tua itu mengingatinya.“Mintak maaflah, dulu Aiman tak sempat tanyakan nama makcik,” beritahu Nur Aiman.
“Makcik ni Bedah! Orang selalu panggil mak cik, Mak Bedah,” beritahu Mak Bedah, memperkenalkan diri.
“Oh ya...makcik dah ingat! Makcik bertemu dengan Aiman di hospital, lepas tu makcik terjumpa beg duit Aiman yang tercicir,”kata Mak Bedah dengan suara mesra.
“Haa... alhamdulillah, makcik tak lupa saya,” kata Nur Aiman pula. Perasaannya mula berbunga.
“Makcik, Dayana binti Mohd Yusof tu, anak makcik ya? Boleh tak saya dapatkan nombor telefonnya?”tanya Nur Aiman. Dadanya berdebar-debar.

Tompok-tompok awan yang agak kelabu menyebabkan hati Dayana digamit kerisauan. Kalau sebentar lagi hujan turun, alamat malam ini dia akan tidur kesejukan. Tidur di wad hospital bukanlah suatu yang menyeronokkan. Namun, demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, Dayana sanggup mengharungi segalanya. Kasihan pula kepada Azmir jika dibiarkan keseorangan di wad.
Dayana memandu tergesa-gesa dan memarkirkan keretanya di hadapan Bank Rakyat di daerah itu. Setelah itu dia cepat-cepat keluar dari keretanya dan menuju ke kedai elektrik untuk menghantar beberapa keping cek.
“Assalamualaikum, saya hantar cek,”ujar Dayana sambil duduk di atas kerusi yang disediakan untuk pelanggan yang ada urusan di kedai itu. Zaim yang sedang berada di kaunter kedai itu. Tangannya menyambut dokumen yang dihulurkan oleh Dayana. Setelah itu lambat-lambat dia menarik laci dan mengeluarkan resit. Pergerakannya begitu perlahan sehingga Dayana hilang sabar apabila melihat Zaim mengorek-ngorek laci mencari pen.
 “Saya nak cepat ni! Lepas ni nak ke hospital pulak,”beritahu Dayana memulakan bicara sambil merenung ke wajah Zaim. Dia harap lelaki itu faham maksud kata-katanya.
“Hospital?”soal Zaim sambil merenung ke wajah Dayana. Bola matanya yang tajam merenung ke dalam mata Dayana sekilas.
“Siapa kat wad tu? Anak akak ke suami akak?”tanyanya lagi sambil menulis resit.
“Ya, suami saya ada di wad! Lepas operation. Dia terjatuh pula selepas tu. Jahitan pada luka pun terbuka semula. Pendarahan dan bernanah. Doktor buka balik semua jahitannya dan dia kena ‘dressing’ setiap hari,” cerita Dayana dengan jujur. Pelik pula dengan sikap Zaim pada hari itu. Selalunya dia berat mulut. Orang bertanya pun dia tidak menjawab, apatah lagi beramah mesra.
“Oh... habis tu, tidur macam mana?”soal Zaim sambil mengoyak resit yang sudah siap ditulisnya.
“Hmm... saya tidur di wadlah! Subuh esok dalam pukul 5.00 pagi saya balik ke rumah. Dapat tidur sejam dua lepas tu saya pergi ke ofis pulak,” terang  Dayana sambil tersenyum.
“Kenapa nak tunggu dia pulak?Ada ramai jururawat di wad. Kan mereka boleh tolong jaga,”komen Zaim. “Memanglah nurse ramai tapi kasihan suami saya kalau saya tak tunggu dia di wad, dia tak boleh berjalan sebab luka di perutnya sudah ternganga. Dia tu bukan jenis yang rela pakai pampers,”terang Dayana.
“Oh begitu. Subhanallah.”Zaim mengulas ringkas sambil menghulurkan resit kepada Dayana. Keramahan wanita itu menarik hatinya.
“Terima kasih, encik! Assalamualaikum,” ujar Dayana.
Zaim menghulurkan tangannya untuk berjabat salam. Entah mengapa tiba-tiba sahaja spontan tangannya dihulurkan kepada Dayana. Dayana menyambut huluran tangannya itu sejenak.
Sampai ke kereta Dayana duduk di tempat pemandu beberapa ketika sebelum menghidupkan enjin kereta. Airmatanya tergenang lagi dan terhimpun di penjuru mata. Saat ini hatinya sedang dilanda kedukaan dan kebimbangan kerana situasi kesihatan Azmir. Baru Dayana mengundurkan keretanya, tiba-tiba cermin keretanya diketuk dari arah luar. Zaim memberi isyarat supaya Dayana membuka skrin tingkapnya. Dayana pun menekan punat di sebelah kanannya untuk menurunkan skrin tingkap.
“Masyaallah...akak tertinggal telefon,”beritahu Zaim sambil menghulurkan telefon bimbit Dayana. Bibirnya melarik senyuman singkat.
“ALLAHUAKBAR! Hisy! Tak perasan pulak saya. Hmm... terima kasih,” kata Dayana sambil menyambut telefon bimbit yang dihulurkan oleh Zaim.
“Ni untuk akak! Akak bacalah kalau ada waktu terluang. Kalau berminat, hubungi saya,”kata Zaim lagi sambil menghulurkan beberapa keping borang bersaiz A4 dan sekeping kad niaga.
“Kalau akak nak buat pelaburan untuk suami pun boleh jugak. Sebab ia bukan insurans. Saham ni produk baru sebuah bank tempatan,”jelas Zaim dengan nada mesra. Karakternya berbeza dari sebelum ini sewaktu datang ke pejabat Dayana.
“Nombor telefon ni, masih dalam perkhidmatan ke?”soal Dayana sambil merenung Zaim dan memerhatikan nombor telefon yang tertera pada kad niaga.
“Insya-ALLAH,” jawab Zaim lembut. Bibirnya mengukir senyuman.
“Encik Zaim ingat tak? Dulu pernah langgar punggung kereta saya?”soal Dayana sambil ketawa.
 “Langgar kereta?”soal Zaim kembali sambil membulatkan matanya seolah cuba mengingat. Wajah Dayana diamatinya lama-lama.
“Masyaallah... oh ya! Di simpang 3, Parit Buntar. Waktu tu akak bawa Kelisa warna merah! Ingat, saya masih ingat lagi,”jelas Zaim sambil menepuk dahi. Airmukanya sedikit berubah.
“Subhanallah! Tak sangka pula boleh bertemu lagi disini. Inilah yang dikatakan aturan TUHAN,”katanya lagi. “Mintak maaflah, yang dulu tu memang nombor telefonnya tak ada dalam perkhidmatan dah! Tapi yang ini terbaru. Kalau tak percaya cuba dail sekarang,” kata Zaim lagi. Matanya merenung Dayana.
“Macam mana pula kita boleh berjumpa di Ipoh ni?”tanya Zaim sambil ketawa.
“Dunia ni kecil sangat,”jawab Dayana sinis, sambil tersenyum. RM750 duitnya terpaksa dikeluarkan untuk membaiki kerosakan kereta Kelisanya kerana dilanggar oleh lelaki itu. Namun, dia malas hendak membangkitkan soal itu lagi dan menuntut ganti rugi daripada lelaki itu.
“Baiklah, Encik Zaim! Saya tak boleh nak berbual panjang ni. Saya pergi dulu! Assalamualaikum,” kata Dayana sambil tersenyum. Dia cepat-cepat menggerakkan keretanya apabila mendengar bunyi hon dari kereta di belakangnya.
      
Pokok getah yang ditanam semula mulai tumbuh dengan subur. Mungkin setahun dua lagi sudah boleh ditoreh. Wong Pek Chak berjalan antara deretan pokok-pokok getahnya yang sudah tumbuh sebesar betisnya. Ditemani oleh seorang kulinya dia memantau pekerja-pekerja lain yang sedang menabur baja di pangkal pokok-pokok getah.
Dia memerhati pokok-pokok di sekelilingnya. Bibirnya tersenyum puas. Apabila pokok-pokok getah itu sudah boleh ditoreh, harap-harap harga getah melambung lagi.
“Tauke! Tauke!”
Tiba-tiba Wong Pek Chak mendengar seseorang memanggilnya. Dia pun menoleh ke kawasan tanah yang bersempadan dengan tanah miliknya.
“Oii, kawan, ada durian ke?”tanya Wong Pek Chak dengan suara kuat.
Pak Shukri sudah menjadi kenalannya sejak dia membeli tanah di situ. Sayang sekali, puas memujuk, lelaki Melayu itu enggan menjual tanah kepadanya.
“Dah lama kita tak jumpa,”kata Pak Shukri. Lebar senyumannya sewaktu merenung lelaki Cina itu. Wong Pek Chak sedang berjalan menghampirinya.
“Saya selalu datang sini. Tapi lu yang tak nampak muka,”beritahu Wong Pek Chak dengan suara ramah. Memang benar sudah beberapa kali dia datang ke ladangnya, namun tidak bertembung dengan Pak Shukri.
“Saya pergi duduk dengan anak di Manjung,” jelas Pak Shukri pula. Wong Pek Chak sudah tercegat tidak jauh di hadapannya.
“Marilah sini, minum kopi! Nasi lemak ada,”pelawa Pak Shukri dengan suara mesra dan ramah. Wong Pek Chak berjalan merapati Pak Shukri yang sedang duduk beralaskan daun pisang.
“Duduklah,” pelawa Pak Shukri sambil membentangkan satu lagi pelepah daun pisang yang lebar daunnya. Wong Pek Chak duduk tanpa berlengah. Dia cuba duduk bersila sama seperti Pak Shukri walaupun terkial-kial.
 “Haiyaa! Tauke, duduk macam mana pun tak apa! Nasi lemak ni orang rumah saya buat! Silalah,”pelawa Pak Shukri sambil menghulurkan sebungkus nasi lemak yang dibalut dengan daun pisang.
“Wah, wanginya! Mesti sedap!”puji Wong Pek Chak.
“Memang sedap! Nasi lemak berbungkus dengan daun pisang ni, anak sulung saya suka sangat,”cerita Pak Shukri.
“Lu ada berapa anak? Saya ada satu saja! Perempuan...”cerita Wong Pek Chak pula. Dia terus menyuap nasi lemak ke dalam mulut dan mengunyahnya perlahan.
“Saya ada tiga orang. Dua lelaki, seorang perempuan,”balas Pak Shukri. Dia mengeluh perlahan.
Pak Shukri terkenangkan Akif. Anak sulungnya yang telah menghilangkan diri menjelang hari pernikahan. Disangkanya anaknya itu telah mati. Kepulangannya secara tiba-tiba menggembirakan hatinya dan keluarga. Lebih-lebih lagi isterinya. Namun, kegembiraan mereka lenyap apabila mendapati Akif telah berkahwin dengan seorang perempuan Cina yang tidak diketahui asal usulnya. Sebab musabab Akif memilih perempuan Cina itu menjadi isterinya juga tidak diketahui sehingga kini. Akif tetap mengunci bibir. Tambahan pula apabila emaknya enggan menerima Nur Aiman sebagai menantu.
“Anak-anak zaman sekarang, bukan mau kasi senang hati emak bapak,” keluh Wong Pek Chak. Wong Szeze sahajalah anaknya yang ada. Malangnya, anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh itu akhirnya menconteng arang ke mukanya dengan perbuatan terkutuk.
“Ya, tauke! Semua bangsa pun begitu! Tapi mujurlah anak-anak saya yang tiga orang tu, masih tahu menghormati emak dan ayah mereka,” kata Pak Shukri. Bibirnya terasa ringan untuk bercerita kepada Wong Pek Chak yang anak sulungnya telah melukakan hati emak dan ayahnya kerana mengkhianati janji dengan gadis tunangan sendiri, sebaliknya telah menikahi seorang gadis Cina.
“Biasanya, orang-orang Melayu, kalau kuat ikut agama, dengar perintah TUHAN, pasti akan baik. Hormat kepada orang tua,” kata Wong Pek Chak sambil tersenyum.
Di matanya terbayang wajah Akif. Seorang pemuda Melayu yang telah dipaksa menjadi pak sanggup kepada kandungan Wong Szeze. Rupa-rupanya dia seorang lelaki yang sangat baik. Jika tidak sudah tentu mereka sekeluarga telah menjadi abu. Pada malam itu dia memang nekad untuk menembak mereka anak-beranak kerana perasaan malu di wajahnya bagai tempekan najis khinzir yang sangat busuk.
“Menantu saya orang Melayu.”Tak tersedar Wong Pek Chak mengungkapkan kata-kata itu dengan perlahan. Tangannya mencapai cawan kopi O.
“Tauke Wong! Tolong! Cepat! Arun kena patuk ular!”Terdengar seorang kulinya berteriak dari jauh. Wong Pek Chak tergesa-gesa bangun. Tidak sempat dia menghirup kopi O yang dihidangkan oleh Pak Shukri.
“Haiyaaa! Kawan, saya pergi dulu, mau tengok kuli saya, kena patuk ular pulak!”katanya dengan suara cemas.
“Tauke,nanti dulu! Minum kopi ni dulu! Tadi sudah sampai ke mulut,”kata Pak Shukri sambil menghulurkan kembali cawan kopi kepada Wong Pek Chak.
“Baik... baik. Saya minum, terima kasih,” kata Wong Pek Chak sambil matanya merenung ke wajah Pak Shukri dengan jarak dekat. Ada sesuatu pada wajah lelaki Melayu itu yang menarik perhatiannya. Wajah tenang dan jernih itu bagaikan biasan wajah menantunya.
“Tauke Wong! Cepatlah!”Sekali lagi suara pekerjanya memanggil.
 “Terima kasih, jumpa lagi,”kata Wong Pek Chak sambil menepuk bahu Pak Shukri dengan mesra dan terus beredar dari situ dengan langkah deras. Pak Shukri mengangguk sambil menggaru kepalanya. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Wong Pek Chak tadi, ‘Menantu saya orang Melayu.’

Tiada ulasan: