Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 56



Hari ini Dayana kembali memulakan tugas di pejabat setelah bercuti hampir dua minggu termasuk Sabtu dan Ahad. Azmir pun sudah dikeluarkan dari wad dan kini berada di rumah.
“Kasihannya kau, Dayana. Badan pun dah susut. Hai, mesti malam-malam tak dapat tidur lena.Maklumlah,menjaga orang sakit ni, susah!”Itulah kata-kata yang terlontar dari bibir Rafidah sebaik sahaja melihat Dayana masuk ke pejabat pagi itu. Dayana  tersengih.
“Alah, dah tanggungjawab aku.Takkan nak biarkan dia layan penyakitnya sendiri.Namapun suami isteri! Kenalah saling tolong-menolong dan bantu-membantu. Susah senang bersama.”Sebagaimana panjangnya leteran Rafidah, begitulah juga jawapan daripada Dayana.
“Eleh, itu kata kau. Kalau akulah, aku tak mahu layan. Kau dilayannya dengan buruk. Kau dah lupa ke, Yana?”
Rafidah bersuara agak kuat. Dia teringat yang Dayana pernah menunjukkan pahanya yang lebam kerana dipukul Azmir. Peristiwa yang berlaku dua tigatahun yang lalu. Sedangkan wanita itulah yang mengusungnya ke hulu ke hilir untuk mendapatkan rawatan penyakitnya.
“Alah, Idah... Idah! Biarlah aku jalankan tanggungjawab aku sebagai isteri sehingga ke akhir hayat. Perkara yang dah lepas tu biarkan berlalu. Tak usah taburi keburukan kepada orang melakukan kejahatan kepada kita,

lebih baik taburinya dengan kebaikan, insya-ALLAH segalanya akan jadi baik,”ujar Dayana sambil menghidupkan suis komputernya. Jika dilayan perbualan Rafidah, takkan ada kesudahannya sehingga ke petang. Akhirnya tugas yang diamanahkan oleh jabatan, terbengkalai.
“Aku nak mulakan kerja ni, Idah,” sambung Dayana lagi sambil mencapai fail yang diletakkannya di atas rak di sebelah meja komputernya. Kini tumpuannya hanya kepada tugasan yang diamanahkan kepadanya berdasarkan jawatan yang disandangnya di pejabat itu.
“Saya nak buat kerja di sini.”
Tiba-tiba satu suara menjengah ke pendengaran Dayana yang sedang asyik menaip. Dayana melihat sekeliling. Tiada seorang pun di dalam pejabat kecuali dirinya. Matanya melihat pula jam di dinding. Jarum jam menunjukkan waktu 10.00 pagi.
‘Hisy,dia orang ni keluar makan tak ajak aku!’ Hatinya berbisik sendiri, memarahi teman-teman sepejabat. Setelah itu bola matanya terlontar pula ke wajah lelaki yang berdiri hampir dengan mejanya.
“Err... encik  nak buat apa ya?”soal Dayana sambil matanya melihat peralatan yang telah dilambakkan oleh lelaki tadi di tepi dinding dekat dengan mejanya. Kabel-kabel dan paip PVC berwarna putih bergelimpangan.
“Nak pasang kabel untuk internet.”Lelaki itu menjawab ringkas dengan nada tegang tanpa secalit senyuman pada wajahnya.
“Saya nak guna plug tu,”beritahunya dengan wajah kering dan selamba.
“Belum siap lagi ke? Saya ingat dah selesai dah,”komen Dayana spontan. Dua minggu dia bercuti sangkanya sekembalinya ke pejabat semua kerja-kerja pemasangan itu sudah beres. Pemuda itu tidak menjawab.
“Boleh tunggu sekejap?”soal Dayana lagi sambil tangannya laju sahaja memasukkan ‘pendrive’ ke soket kabel USB lantas menyimpan data yang sedang diprosesnya tadi ke ‘pendrive.’ Nampak gayanya dia terpaksa mencari komputer lain untuk menyiapkan tugasannya itu.
Pertanyaan Dayana tidak mendapat jawapan. Lelaki yang berbaju T warna maroon berleher bulat itu terus melakukan kerjanya tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Dayana terus mencuri pandang ke arah lelaki itu dari arah sisi. Sekali lagi hatinya dipalu debaran yang menggetarkan seluruh jiwanya. Dia cuba mengingati. Betulkah lelaki itu yang pernah melanggar punggung keretanya?
‘Berat mulut betul mamat ni! Tak guna berwajah kacak kalau tak mahu tersenyum kepada orang lain,’gerutu hati Dayana. Perutnya pula terasa pedih kerana masih belum diisi sejak dari tadi.
Dayana beredar dari komputer dan menuju ke pantri. Dia menutup pintu pantri lalu mencapai sebiji mug di atas meja. Tidak lama kemudian, semerbak bau Nescafe di seluruh ruang itu. Selesai minum dan makan beberapa keping biskut, Dayana membancuh seteko Nescafe lagi lalu meletakkannya di dalam dulang berserta sebiji cawan dan sepiring biskut. Selesai minum dia keluar dari bilik itu. Rafidah masih belum balik dari kantin.
“Encik,saya dah bancuhkan minuman untuk encik. Ada dalam bilik tu. Nanti encik minumlah, ya,”pelawa Dayana kepada lelaki yang belum diketahui namanya itu. Lelaki itu nampaknya sudah bersiap-siap untuk meninggalkan tempat itu. Walaupun kerjanya masih belum selesai.
“Encik nak balik ke?”Laju saja bibir Dayana menyoal. Matanya singgah ke wajah lelaki itu. Mereka bertentangan mata seketika.


“Ya,saya balik sekejap. Nak ambil anak dari tadika. Petang nanti saya datang balik,” jawabnya sambil mengangkat gulungan kabel dan disangkutnya di atas bahu.
“Kabel tu kenapa nak bawa balik pulak?” tanya Dayana lagi. Hairan juga wanita itu melihat telatah lelaki yang di hadapannya itu. Baru melakukan tugas beberapa minit sudah mahu pulang.
“Kabel ni tak betul saiznya. Saya silap bawa tadi,”jawabnya dengan keadaan tergesa-gesa. Paip-paip PVC yang bergelimpangan dibiarkan berselerakan di sudut pejabat.
“Paip PVC tu jangan dibuangkan pula,”sambungnya lagi dengan sadis. Dayana rasa tersindir. Teringat pada invois pemuda itu yang pernah dibuang oleh Rafidah kerana geram.
“Minumlah air tu dulu.Saya bancuh untukencik,”pelawa Dayana lagi seakan memujuk.
Dia menganggap lelaki itu sebagai tetamu di pejabat mereka lantaran itu apa salahnya menjamunya dengan secawan air. Lelaki itu tidak menjawab apa-apa terus beredar dan keluar dari pejabat itu tanpa memberi salam atau mengucapkan terima kasih pun.
Dayana, meskipun orangnya seorang periang, namun sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh lelaki tadi menyebabkan perasaannya berasa tergores juga.
‘Tak tahu nak menghargai oranglah mamat ni!’ Lagi sekali hatinya berbisik tentang lelaki itu. Matanya mengekori lelaki itu yang menuju ke keretanya yang diparkirnya di hadapan pejabat. Wira putih dengan nombor plet WDC4421 itu diperhati oleh Dayana dengan teliti. Deringan telefon menyebabkan Dayana kembali ke meja kerjanya.
“Helo, hmm... saya sedang bercakap dengan siapa ni?”tanya suara lelaki yang jarang-jarang kedengaran di telinganya menjengah.
“Dayana!” jawab Dayana ringkas dan riang.
“Hai, Dayana! Khalid ni! Zaim ada di situ tak?” Pertanyaan dari lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Khalid itu mengejutkan Dayana. Khalid ialah pengurus sebuah syarikat yang selalu berurusan dengannya.
“Zaim?”soalnya kembali.
“Alah, pekerja saya yang sedang buat kerja di pejabat tu.Yang pasang kabel internet tu.Dia ada?”jelas Khalidlagi.
“Alamak, Encik Khalid! Kalau dia tu, dia dah balik! Baru sebentar tadi. Katanya nak ambil anak,”beritahu Dayana. Baru hari ini dia dapat mengetahui nama lelaki itu. Zaim. Ya, jelas diingatannya kini, memang benarlah lelaki itu yang melanggar punggung keretanya beberapa tahun yang lalu.
“Okeylah, kalau begitu,” balasKhalidlalu menghentikan perbualan mereka.
‘Zaim.’ Nama itu terpacul di bibir Dayana.
      
Dari Lapangan Terbang Bayan Lepas, Nur Aiman menyewa sebuah teksi untuk menghantarnya ke Ladang Wong, Parit Buntar. Papa dan mamanya terkejut besar dengan kepulangannya yang mengejut itu.
“Kenapa ni? Bergaduh dengan laki lu?”teka mamanya.
Nur Aiman hanya tersenyum meleret. “Taklah, mama. Selalu sangka buruk kepada suami saya,” jawab Nur Aiman lalu memeluk dan mencium emaknya.
“Kalau tak bergaduh, kenapa lu balik sendiri? Lu lari lagi?”soal papanya pula.

“Bukan begitulah, papa! Sekarang ni Aiman takkan lari lagi! Aiman hendak bersama Akif sampai mati,”jawab Nur Aiman sambil ketawa lalu bersalam dan mencium tangan papanya. Wong Pek Chak menyembunyikan senyuman.
Dulu, Nur Aiman tidak pernah pun bersalam atau mencium tangannya. Semenjak anak tunggalnya itu memeluk agama Islam, sikapnya sudah banyak berubah. Mungkin suaminya telah berjaya mendidiknya dengan baik. Itu yang difikirkan oleh Wong Pek Chak. Akif pun seorang lelaki yang sangat baik.
“Akif ada beri izin lu balik sini?”soal papanya lagi dengan nada curiga. Sikap keras kepala dan degil Nur Aiman memang difahaminya benar. Nur Aiman tidak menjawab pertanyaan papanya, namun terus ketawa.
“Papa tanya mengapa tak mahu jawab?”tanya Wong Pek Chak lagi. Matanya merenung wajah Nur Aiman yang nampak berseri.
“Adalah, papa. Abang Akif dah beri keizinan untuk Aiman jenguk papa dan mama. Aiman balik sini dua minggu aje,”jawab Nur Aiman.
“Aiman rindu pada papa dan mama,”beritahunya lagi. Matanya sempat mengitari di dalam ruang tamu rumah itu. Dia dapat merasakan satu kelainan.
“Kenapa ruang tamu ni macam lain, mama. Cat baru ya? Rasa lapang dan luas lagi,” komen Nur Aiman.
“Papa dah buang tokong.Nak buat baru,”jawab Chan Sze Hong. Sudah tigabulan suaminya menyuruh orang meruntuhkan tokong tempat mereka bersembahyang. Kata suaminya dia hendak membuat yang baru.
“Papa buang?”soal Nur Aiman dengan nada terkejut dan hairan.
Walau bagaimanapun dia bersyukur. Alangkah bagusnya jika di rumah itu tidak mempunyai tokong yang berwarna merah itu sampai bila-bila. Alangkah indah dan cantiknya jika ruang tamu di rumah itu  dihiasi dengan sekeping gambar Kaabah yang dibingkaikan besar-besar. Atau ukiran nama-nama ALLAH dan nama junjungan besar Nabi Muhamad SAW.
“Lu sudah sembahyang ke belum? Pergi naik sembahyang. Papa suruhBibik siapkan makanan, lepas makan lu rehat,” suruh Wong Pek Chak. Dia mengisyaratkan kepada isterinya supaya ke dapur untuk mencari pembantu rumah mereka.
Nur Aiman terus mendaki tangga menuju ke biliknya di tingkat dua banglo itu. Baru sahaja dia menghumbankan tubuhnya di atas katil, telefon bimbitnya berdering.
“Assalamualaikum, abang! Ya, Aiman dah selamat sampai di rumah papa! Baru sampai. Jangan bimbang. Aiman nak solat ni,jaga diri ya,” begitulah jawabnya. Akif memang sudah berpesan kepadanya supaya menghubunginya sebaik sahaja sampai di rumah. Sebaliknya belum sempat dia menghubungi, suaminya pula yang menelefonnya terlebih dahulu.
Nur Aiman menyalin pakaian dan menuju ke dalam bilik mandi. ‘Alamak, tak ada air pulak paip ni,’rungutnya perlahan. Dia keluar dari bilik mandi dan menuju ke balkoni di hadapan bilik.
“Mama! Aiman nak guna bilik air di bilik mama! Paip dalam bilik Aiman tak ada air!”jeritnya dari balkoni.
“Haiyaa! Guna saja, Aiman. Apa pasal lu jerit-jerit dari situ! Satu rumah ni memang lu punya! Tak payah tanya-tanya!”jawabChan Sze Hong dari tingkat bawah. Setelah itu dia menggeleng.
Nur Aiman memasuki bilik papa dan mamanya perlahan-lahan. Sejak kecil dia memang jarang bermain-main di dalam bilik kedua orang tuanya. Tambahan lagi setelah berkahwin dengan Akif. Suaminya itu pernah

mengajarnya tentang adab anak-anak terhadap ibu bapa. Tidak boleh suka-suka masuk ke dalam bilik mereka. Mata Nur Aiman sempat terlontar di atas meja tulis berhampiran jendela. Dia terus menghampiri meja itu. Buku tebal yang terletak di atas meja tulis papanya dikenalinya benar.
Kitab tafsiral-Quran terbentang di atas meja. Cermin mata Wong Pek Chak turut berada di sebelahnya. Sebatang pen dan buku catatan.
“Subhanallah, papa sedang membaca kitab tafsir ini,”kata Nur Aiman. Matanya terus meneliti helaian yang sedang dibaca oleh papanya. Nur Aiman cepat-cepat mandi dan berwuduk. Setelah itu dia segera menunaikan solat. Selesai solat dia terus mengangkat kedua-dua belah tangannya.
“Ya ALLAH, berilah pertunjuk dan hidayah kepada kedua ibu bapaku. Ya ALLAH, ENGKAUlah yang memberi petunjuk dan cahaya iman kepada sesiapa yang ENGKAU kehendaki. ENGKAU juga yang menyesatkan sesiapa yang ENGKAU kehendaki dan membiarkan mereka di dalam kegelapan dengan kuasa-MU. Ya ALLAH, tolonglah hamba-MU ini Ya TUHAN, bukakanlah pintu hati kedua ibubapaku untuk mengikut jalan-MU yang lurus. Berilah mereka petunjuk, taufik dan hidayah untuk berpegang kepada kalimah syahadah-MU. Menyerah diri hanya untuk-MU. Hidup dan mati kerana-MU Ya ALLAH. Ya ALLAH, kekalkanlah daku, suamiku dan saudara seIslamku dengan keimanan dan tingkatkan ketaqwaan kami. Perkenanlah doaku ini. Amin.’


MENTARIbersinar garang pada petang itu. Dayana memandu agak laju daripada kebiasaannya. Bukannya apa, hatinya berasa resah kerana terkenangkan Azmir yang bersendirian di rumah. Sudahlah suaminya itu baru lepas menjalani pembedahan di perutnya. Walaupun Dayana ada meminta jirannya menjenguk Azmir, hatinya tidak betah untuk berasa lapang.
Pukul 5.25 petang, Dayana tiba di hadapan rumahnya. Suasana rumah itu lengang. Tidak kedengaran suara radio seperti biasanya. Agaknya Azmir sudah tidak berminat lagi untuk mendengar radio kerana kondisi kesihatannya.
“Yana, alhamdulillah, Yana dah balik,”kata Pak Cik Johari.
Suara Pak Cik Johari, jiran sebelah rumahnya yang menemani Azmir kedengaran agak kuat dan cemas. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, Dayana terus menerpa ke ruang belakang. Azmir sedang duduk di katil bujang yang sengaja diubah dari bilik ke ruang belakang itu, mengikutnya..
“Ya ALLAH! Kenapa dengan abang ni?”Suara Dayana separuh menjerit apabila melihat Azmir sedang sibuk-sibuk mengelap darah di perutnya. Azmir terkebil-kebil memandang Dayana.
“Azmir terjatuh, Yana!”beritahu Pak Cik Johari.
“Tak sempat pakcik nak telefon, Yana dah sampai ke rumah,” terang lelaki itu lagi.
Dayana menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ada-ada sahaja malang yang menimpanya. Lepas satu hal, satu hal yang lain pula.
“Abang tumpahkan air.Abang ingat nak mop lantai! Baru bangun dari katil abang rasa pening dan jatuh,”jelas Azmir dengan perlahan dan lambat-lambat. Dia tahu perbuatannya itu mengecewakan isterinya.
“Hisy, abang ni! Buat apalah abang sibuk-sibuk nak mop lantai? Yana balik dari ofis, Yana buatlah semua tu!  Ya ALLAH, tengok tu!  Berdarah tak berhenti di perut tu! Yana kena bawa abang ke hospital sekarang juga!”jerit Dayana. Dia tergesa menuju ke bilik tidurnya untuk menyalin pakaian. Baju kurung yang dipakai digantinya dengan seluar panjang dan blaus berlengan panjang.
“Yana nak pakcik  ikut ke?”soal Pak Cik Johari. Pak Cik Johari yang sedari tadi mendiamkan diri membantu Azmir ke kereta. Dayana tersenyum memandang ke arah lelaki separuh umur itu.
“Tak apalah, pakcik. Biar Yana pergi dengan Abang Azmir aje.Terima kasih kerana tolong jenguk-jengukkan Abang Azmir tadi,” jawab Dayana kepada Pak Cik Johari.
Dayana memandu agak laju kerana bimbangkan keadaan Azmir yang mukanya nampak berkerut-kerut menahan sakit. Sampai sahaja ke bahagian parkir bersebelahan Unit Rawatan dan Kecemasan hospital daerah itu, Dayana memarkirkan keretanya.
“Abang tunggu di sini! Yana ambilkan kerusi roda! Tak usah berjalan! Nanti perut abang yang dah terbuka jahitannya tu terburai pulak,”kata Dayana cuba bergurau dengan Azmir yang nampak tertekan dan bimbang. Azmir menjeling ke arah Dayana dengan perasaan tidak puas hati kerana isterinya itu cuba menakut-nakutkannya pula.
“Luka encik belum kering lagi! Sepatutnya dah kering. Tapi nampaknya dah berair dan bernanah di dalam ni!”Doktor yang merawat Azmir menekan-nekan perut Azmir ditempat pembedahan tempoh hari. Dahi Azmir berkerut-kerut menahan rasa sakit sewaktu perutnya ditekan berulangkali. Setiap kali doktor menekan dengan jari telunjuknya, nanah dan darah memancut keluar dari celah jahitan pembedahan.
“Encik kena dirujuk balik ke hospital, saya rasa luka di perut encik ni dah bernanah di dalam ni,”beritahu doktor lambat-lambat.
“Encik kena masuk wad,”ujar doktor itu lagi sambil mengarahkan jururawat dihadapannya menyiapkan dokumen. Azmir dan Dayana yang mendengar berita itu terkesima seketika. Lebih-lebih lagi Azmir. Dia sudah jemu tinggal di wad.
“Kita kena buka balik jahitan perut encik ni. Luka tu hendak dibersihkan pada setiap hari. Kalau tidak tinggal di wad, encik kena ulang ke hospital ni setiap hari sebagai pesakit luar,”terang doktor lagi apabila melihat wajah Azmir yang muram dan keberatan untuk masuk ke wad.
“Tak apalah, bang! Tinggal di wad lebih elok untuk kebaikan abang.”Dayana cuba memujuk. Bimbang pula hatinya jika Azmir bersangka buruk terhadapnya.
“Nanti Yana macam mana? Takkan nak ambil cuti tanpa gaji lagi?”soalAzmirkepada Dayana dengan suara perlahan. Sudah terlalu banyak pengorbanan Dayana terhadap dirinya.
“Tak perlu ambil cuti, bang! Yana akan jaga abang di wad ni selepas waktu kerja,”kata Dayana.
“Malam-malam Yana akan tidur di wad untuk jaga abang,”janjinya lagi. Dia berjanji sambil mengenggam tangan Azmir. Dalam diam dia mengumpul kekuatan untuk mengharungi segala ujian TUHAN yang telah ditetapkan untuknya.







Tiada ulasan: