Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 55



Azmir mencelikkan matanya perlahan-lahan. Di sebelah kiri perutnya terasa amat sakit. Tidak tertahan rasanya dia menahan kepedihan dan kesakitan yang sedang ditanggungnya.
“Aduh,sakit!”
Tidak tersedar bibirnya menjerit meraung. Berulangkali. Azmir meronta-ronta di atas katil.
“Doktor! Nurse!”Pantas bibir Dayana  terpekik memanggil doktor yang secara kebetulan sedang menghampiri katil yang menempatkan Azmir. Jeritan Azmir sudah berhenti. Hanya mukanya pula berkerut-kerut cuba menahan kesakitan.
“Encik, sabar sikit! Memang sakit... tapi tadi doktor dah suntik morfin untuk tahan sakit. Sabar ya,”kata Doktor lelaki berbangsa India itu sambil menepuk-nepuk bahu Azmir cuba memujuknya. Azmir kelihatan tenang sedikit. Dayana pun cuba memujuk suaminya itu dengan cara mengusap-ngusap perlahan lengan Azmir. Doktor beredar dari situ apabila melihat Azmir kembali tenang.
“Insya-ALLAH,lepas ini abang akan sihat,” kata-kata semangat itu dilontarkan oleh bibir Dayana dengan nada perlahan dan lembut. Matanya menatap ke wajah Azmir. Azmir yang masih mengaduh sesekali membalas genggaman tangan isterinya itu.
“Maaf,abang banyak menyusahkan Yana,”ujar Azmir pula dengan nada sebak.
Wajah Dayana diperhatinya seketika. Perasaan belas pula yang bertandang di hatinya. Sinar ketulusan dan keikhlasan yang terbayang di wajah isterinya itu membuatkan perasaan Azmir tersentuh dan terharu. Dayana yang telah menjaganya dengan penuh kesabaran sejak kesihatannya terganggu. Sudah bertahun. Selama itulah Dayana menguruskannya ke hospital berulangkali tanpa pernah merungut walaupun sekali.
“Abang dah menjadi tanggungjawab Yana. Bukankah Yana isteri abang?”jawab Dayana perlahan sambil mengelus-ngelus rambut suaminya itu.
“Abang mintak maaf kerana buat Yana menderita. Sepatutnya abang memberi kebahagiaan kepada Yana, tapi yang jadi sebaliknya pula. Segalanya berpunca kerana kemalangan itu. ”
Azmir seolah merintih. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Dayana asyik menjaga dia yang sakit.
“Kalau abang mati, tentu Yana lebih senang,kan?Tak perlu jaga dan beri perhatian kepada abang lagi.”Suara Azmir seolah merungut dengan dirinya sendiri.
“Apa yang abang repekkan ini? Kalau Yana suka abang mati, tak perlulah Yana bersusah payah membawa abang ke hospital. Berjaga siang dan malam. Lebih baik Yana biarkan abang aje,”balas Dayana dengan nada sebak.Bibir Azmir mengukir senyuman hambar. Tangannya mencapai tangan Dayana.
“Maaf,abang saja nak bergurau dengan Yana,” ujar Azmir.
“Yana terlalu baik,”pujinya.
Bibirnya seolah bergetar sewaktu mengungkapkan kalimah itu. Serta-merta dia teringatkan arwah Ikhwan, sahabat karibnya. “Patutlah cinta Ikhwan pada Yana sukar terhakis... sama macam abang.”
Suaranya semakin  lemah  dan mata  semakin layu. Nampaknya kesan bius sewaktu pembedahan tadi masih tersisa.
  “Abang, tak usah ingat hal yang bukan-bukan. Abang rehat,”nasihat Dayana lembut sambil mengusap-ngusap pipi Azmir. Akhirnya pelupuk mata Azmir mulai tertutup perlahan. Kalau suaminya itu tidur, bolehlah dia bersolat di surau hospital dan berehat seketika.
 Kebimbangan dan kerisauan yang telah menjadi tetamu di hatinya beberapa hari ini sudah pun berlalu pergi kerana Azmir telah selamat dibedah.

Akif meletakkan laptop di atas meja kecil di hadapannya. Malam itu bagaikan ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk pintu hatinya untuk membuka kotak e-mel yang kian lama tidak dijengah. Selepas menunaikan solat tahajud Akif terus melayari internet pada layar laptopnya. Entah mengapa sudah beberapa malam, matanya sukar untuk dilelapkan. Bola matanya terus terlontar pada kiriman e-mel yang datang.
‘Kasihan Kak Yana’
 
Tajuk kiriman e-mel daripada Nisah itu amat menarik perhatiannya. Jiwa Akif tiba-tiba dipalu keresahan dan debaran yang tidak terungkapkan. ‘Kenapa dengan Yana?’soal hatinya. Dia menekan sisi kiri tetikus dengan jari yang menggeletar. Nafasnya pun seolah tertahan.

Assalamualaikum, Abang Akif. Semoga abang dan Kak Aiman gembira dan bahagia selalu.
Sudah lama Nisah tidak mengirim e-mel buat abang. Nisah tidak pasti sama ada alamat e-mel abang ini masih aktif ataupun tidak. Desakan hati Nisah menyebabkan Nisah ingin juga mengirimkan berita buat abang. Harap-harap e-mel ini dapat abang tatap sehingga ke noktahnya.
Abang, tadi Nisah pergi menemani kawan Nisah melawat saudaranya di Hospital Ipoh. Tanpa diduga Nisah telah bertembung dengan Kak Yana.
Abang, Kak Yana sekarang sedang memelihara suaminya yang sakit. Suami Kak Yana bukan sahaja sakitbuah pinggang akibat kemalangan tetapi menghidap bermacam penyakit lagi. Sewaktu pertemuan, dia memang sedang menunggu suaminya yang sedang menjalani pembedahan membuang hempedu.
Nisah sangat bersimpati dan sedih dengan nasib yang menimpa Kak Yana. Suami Kak Yana yang bekerja di sektor swasta terpaksa bercuti tanpa gaji kerana kesihatannya itu. Justeru, Kak Yanalah yang terpaksa menanggung seluruh kos kehidupan dan rawatan suaminya itu. Walaupun keluarga suaminya ingin menghulurkan bantuan tetapi Kak Yana malu menerimanya.
Kak Yana kini sudah bekerja di sektor awam, tetapi masih lagi mengusahakan kerepek sebagai pendapatan sampingan. Mujur mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Jika tidak, tentu Kak Yana semakin terbeban.
Abang, Kak Yana ada bertanyakan tentang abang. Apakah ada perkhabaran tentang abang sejak kehilangan abang di saat hari pernikahannya dengan abang dulu. Nisah tak tahu untuk menjawab apa. Nisah hanya menangis. Apabila Nisah menangis, Kak Yana turut menangis, namun cuba menyabarkan Nisah. Katanya, ‘Sabarlah Nisah, sudah takdir untuk kita semua kehilangan Abang Akif. Dia pergi tanpa pesan, tanpa nesan... Kak Yana reda. Mungkin ini takdir ALLAH. Semoga Akif bahagia walau di mana juga dia berada. Abang Akif seorang lelaki yang sangat baik. Pasti dia disayangi TUHAN. TUHAN akan melimpahkan segala kebahagiaan buatnya. Nisah tak tertahan hati mendengar kata-katanya itu bang.(Nisah menangis sewaktu menaip e-mel ini untuk abang).

Akif menghentikan pembacaannya buat seketika. Dia menelan airliur berkali-kali. Beberapa titik air bening menghiasi wajahnya yang sendu. Akif terpegun beberapa lama. Dia seolah takut untuk meneruskan pembacaan. Dia takut mengetahui cerita tentang Dayana.
Hati Dayana yang luka dan berdarah kerana takdir yang menimpa mereka. Jika ada hati yang luka, pasti ada jiwa yang menderita. Dia tahu Dayana sangat menderita selepas kehilangannya. Walau Dayana pernah menikahi sahabat karib mereka, Ikhwan, namun cintanya terhadap gadis itu tidak pernah terhakis. Mesti ada suatu sebab yang sangat kuat yang menyebabkan Dayana menikahi Ikhwan. Mungkin dia sudah tahu penyakit yang sedang ditanggung oleh pemuda itu. Hati kecil Akif terus berbicara sendiri.
Dengan pandangan mata yang berkaca dia terus meneliti emel daripada adiknya itu.

 Bila Nisah katakan kepada Kak Yana, pasti Kak Yana rindukan Abang Akif macam kami rindukan dia...
Jawab Kak Yana... Memang kakak rindu sangat-sangat. Airmatanya tak henti berderai walaupun bibirnya tersenyum. Nisah faham di sebalik senyuman itu, Kak Yana menyembunyikan sejuta luka.
Abang, Nisah mohon dengan abang,berilah penjelasan kepada Kak Yana. Dari sinar matanya, Nisah mengerti...Kak Yana kini di dalam telaga penderitaan yang amat dalam. Bermacam dugaan berat telah melanda hidupnya.
Nisah tahu, cinta abang kepada Kak Yana masih belum padam. .

Sekian,
Daripada Nisah.

‘Nisah, sebenarnya abang pun menderita. Abang ingin menjelaskan segalanya kepada Yana, tapi abang belum ada kekuatan untuk bertemu dengan dia,’ bisik hati Akif. ‘Cinta abang pada Yana memang tak pernah berhenti, takkan berhenti sampai abang mati’ bisik hatinya lagi.
Bibirnya bergetar kerana dia sedang menahan asakan pilu yang terus menghimpit batinnya. Kepedihan hatinya di saat itu tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Lama Akif duduk berteleku di meja tulis sambil menghadap komputer ribanya. Hatinya terus gelisah. Akif cuba meneka reaksi Dayana sekiranya wanita itu tahu yang dia masih hidup bahkan sudah beristeri. Luka. Dayana pasti terluka. Dia rasa ingin menjerit dan meraung pada saat itu.
‘Yana, maafkan Akif,’keluhnya berulangkali. ‘Astaghfirullahalazim.’ Bertalu-talu Akif beristighfar sambil menutup laptop dan menyimpannya.‘Ya ALLAH Ya TUHANku, berilah aku kekuatan untuk berhadapan dengan kerumitan ini,’bisik hatinya pula.
Sudah lima tahun peristiwa itu berlalu. Fikirannya masih buntu untuk mencari jalan penyelesaian. Apakah ungkapan kata-kata yang patut dititipkan kepada Dayana? Semakin lama dia menyembunyikan diri dan kebenaran, semakin lama luka yang akan disimpan oleh wanita kesayangannya itu. Sebenarnya jiwanya terasa kosong dan sepi tanpa kasih sayang Dayana. Hidupnya terasa hambar. Rasa bersalah sering memburunya setiap saat.
‘Mengapa kita terpisah sayang. Nafasku kini seolah-olah tidak lagi bererti, sedangkan aku ingin terus hidup untuk merasai bahagia bersamamu walau sesaat cuma. Aku belum pernah melupaimu walau sedetik. Aku belum pernah memadamkan segala kenangan yang terukir antara kita berdua walau sekelip.
Di kejauhan ini hatiku sering didakap resah digeluti sepi dan sunyi yang amat menyeksakan. Aku ingin kembali kepadamu untuk memohon maaf kerana kelukaan yang kau tanggung. Namun, aku tidak punya kekuatan itu. Aku tahu luka dihatimu terlalu dalam.
Batuk-batuk Nur Aiman memancung lamunan Akif. Dia berkejar ke katil dan menghampiri isterinya itu. Sejak balik dari Malaysia selepas hari raya puasa beberapa bulan yang lalu, Nur Aiman sering tidak sihat.
“Kenapa abang tak tidur lagi?”soal Nur Aiman dengan suara serak.
“Abang belum mengantuk.Aiman tidurlah.Rehat, kan Aiman tak berapa sihat?”kata Akif sambil mengusap-ngusap dahi isterinya.
 “Dah banyak malam, Aiman tengok abang tidur lewat.Apa yang abang fikirkan?”tukas Nur Aiman. Bukannya dia tidak memerhati perlakuan suaminya itu.
“Tak ada apa. Cuma fikirkan tentang mak abang,” jawab Akif dengan suara sebak. Cuba menyembunyikan perkara sebenar. E-mel daripada Nisah yang baru dibacanya tadi begitu mengusik perasaannya. Penderitaan yang ditanggung oleh Dayana mungkin berpunca daripada dia.
“Aiman minta maaf kerana Aiman, abang melukakan hati mak, hati tunangan abang dan ramai lagi,” bisik Nur Aiman pula dengan suara sesal. Entah bagaimana dia dapat menebus rasa bersalahnya itu.
“Tidak,bukan salah Aiman. Bukan salah siapa-siapa. Ini semua takdir untuk kita,” jawab Akif perlahan.
Tidak ada sesiapa yang perlu disalahkan di dalam kemelut yang melanda hidup mereka. Segalanya telah direncanakan oleh ALLAH.
“Abang, bulan depan, Aiman nak balik Malaysia. Aiman nak jenguk papa dan mama. Abang izinkan tak?” tanya Nur Aiman sambil merebahkan dirinya kembali. Akif turut merebahkan diri di sisinya.
“Yalah, abang izinkan Aiman balik, tapi abang tak dapat ikut tau.Bisnes kita yang sedang berkembang itu kena diperhatikan selalu,” dalih Akif.
Nur Aiman tersenyum. Memang, dia ingin pulang bersendirian. Ada perkara yang sangat penting yang ingin diuruskannya. Hal ini sudah lama sangat difikirkannya. Mungkin jika dia dapat memenuhi tuntutan hatinya itu, perasaan bersalah yang selalu menghimpitnya akan terlerai buat selamanya.
‘Baca dengan cermat. Kitab ini milik DAYANA BINTI MOHD YUSOF’.
Di matanya seolah-olah terbayang tulisan yang tercatat pada kitab tafsiran yang dihadiahkan oleh seorang mak cik yang dikenalinya di Hospital Parit Buntar. Pada hari raya lalu, Akif tidak jadi membawanya ke rumah makcik tersebut seperti yang dijanjikan, kerana di rumah emak mertuanya ada majlis kenduri pertunangan Rais.
Mereka sempat tidur satu malam sahaja di rumah orang tua Akif. Akif mengajaknya balik ke rumah papa dan mamanya apabila emak mertuanya nampak tidak begitu selesa dengan kehadirannya di rumah itu. Sebagai seorang isteri dia akur pada kehendak Akif.
Walau bagaimanapun, semalaman di rumah Akif dia sempat melihat gambar wajah tunangan Akif. Di dalam bilik tidur Akif, di dindingnya tergantung sebuah frame. Foto Akif dan tunangannya. Di belakang frame Akif ada mencatatkan. Cinta pertama dan terakhirku,Dayana Mohd Yusof.
Lantas, dia teringatkan kitab tafsir al-Quran yang dihadiahkan oleh makcik yang belum diketahui namanya itu, ada mencatatkan nama DAYANA MOHD YUSOF. Selepas hari itu nama Dayana Mohd Yusof sering bermain-main difikirannya. Hasrat hatinya ingin menemui Dayana untuk memohon kemaafan dan...
Tidak semena-mena Nur Aiman berasa hiba dan teresak. Kalaulah dia yang berada di tempat Dayana, dia tidak mampu lagi untuk meneruskan hidup ini. Akif memang seorang lelaki yang sangat baik dan penyayang. Bertuahlah Dayana kerana menjadi wanita yang sangat dicintai oleh Akif. Tetapi kini, Akif telah menjadi miliknya. Mungkin hanya jasad, tapi dia tidak sanggup untuk berjauhan dengan Akif sampai mati.
“Kenapa Aiman menangis ni?”soal Akif sambil mengalihkan tubuh Nur Aiman ke arahnya.
“Tak ada apa-apa,” kata Nur Aiman dengan tangisan yang tertahan. Cepat-cepat dia mengesat airmata yang melimpah di pipi.
  “Aiman tak mau balik sorang ke? Kalau begitu, abang ikut balik,” pujuk Akif sambil memeluk Nur Aiman dan membelai-belai rambut isterinya.
“Lagipun kita belum sempat kenalkan  emak dan ayah kepada papa dan mama,” kata Akif lagi. Alangkah indahnya saat itu jika dia dapat menemukan antara besan itu. Tetapi sehingga kini, perhubungan emaknya dan Nur Aiman masih lagi dingin.
“Tak... bukan begitu! Aiman terharu dengan layanan baik abang. Walaupun Aiman bukan wanita yang abang cintai,”bisik Nur Aiman perlahan. Akif ketawa di dalam cahaya suram di kamar itu.
“Bertuahnya tunangan abang kerana menjadi calon menantu yang disayangi oleh mak,” sambung Nur Aiman lagi dengan nada sayu.
“Aiman, cinta itu perkara yang sangat subjektif. Bukan suka-suka boleh diungkapkan di bibir pada setiap saat. Abang pun jadi pelik mengapa Aiman selalu merasakan yang diri Aiman tidak dicintai,tidak disayangi,”omel Akif.Nur Aiman diam, tidak terjawab.
“Dah berapa tahun abang jadi suami Aiman? Dah berapa lama Aiman jadi isteri abang? Kalau abang tak sayang,”leteran Akif berhenti apabila melihat Nur Aiman sudah memejamkan matanya.
Fikiran Akif terus menerawang, mengenangkan Dayana dan ukiran cinta mereka yang telah terluka. ‘Yana, tanpa dirimu segalanya kurasakan berbeza. Aku seolah-olah tidak memiliki apa-apa lagi kecuali sebuah kenangan yang menambah jumlah rasa bersalahku kepadamu dari tahun ke tahun. Yana, mengertilah sayang, tanpa dirimu, pengembaraan hidupku kini semakin sunyi.’ Hati Akif terus berbicara sendiri. Di keheningan malam itu, Akif terus melayani hati dan perasaannya yang terus diburu rindu.

Tiada ulasan: